Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar
ALOR STAR: Mahkamah Tinggi di sini, semalam memerintahkan Hospital Jitra membayar ganti rugi RM450,000 kepada seorang suri rumah yang dijangkiti HIV berikutan kecuaian doktor ketika menjalani pemindahan darah di hospital berkenaan, tujuh tahun lalu.
Keputusan terhadap tuntutan Bashah Mustaffa, 53, yang sebelum ini menuntut ganti rugi RM3.25 juta, dibacakan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Rusita Md Lazim.
Rusita berkata, plaintif hanya menerima ganti rugi am selepas mahkamah menolak tuntutannya bagi ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk kerana kecuaian defendan bukan disengajakan dan ia tidak mempunyai niat buruk terhadap Bashah.
Ganti rugi am yang diberikan itu merangkumi kos, faedah serta kesakitan, trauma dan penderitaan yang terpaksa ditanggung Bashah akibat jangkitan virus HIV yang menyebabkan daya imunisasi badannya lemah.
Ketika ditemui, Bashah berkata, dia lega kes itu selesai, tetapi akan mengemukakan rayuan kerana tidak berpuas hati dengan jumlah ganti rugi.
"Keadaan saya semakin lemah, tambahan pula sejak Julai tahun lalu saya tidak dibekalkan ubat apabila ubat yang diambil sebelum ini tidak lagi sesuai dengan kesihatan saya.
"Darah saya juga sudah diambil September lalu, namun tiada susulan dibuat pihak hospital termasuk pemeriksaan bulanan," katanya yang ditemani suaminya, Halim Hamid, 52, dan anak sulung mereka, Masrizan, 29.
Jagdeep Singh Deo yang mewakili plaintif berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan bagi mendapatkan ganti rugi teruk berjumlah RM500,000 dan ganti rugi teladan RM750,000.
Sebelum ini, Bashah dan Halim yang juga plaintif kedua, memohon ganti rugi RM100 juta kerana disuntik darah tercemar HIV ketika menjalani pemindahan darah di hospital berkenaan pada 29 April 2000. Empat anak mereka juga dinamakan sebagai empat lagi plaintif dalam saman itu.
0 comments:
Post a Comment