Showing posts with label FERIZ OMAR Presiden Pertubuhan Profesional Melayu Pewaris Bangsa (ProWaris). Show all posts
Showing posts with label FERIZ OMAR Presiden Pertubuhan Profesional Melayu Pewaris Bangsa (ProWaris). Show all posts
Tangkap seladang, pulas tanduknya

Oleh Feriz Omar

PEPATAH Inggeris, Take The Bull By The Horns atau “tangkap seladang, pulas tanduknya” adalah luahan amanat Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika pertemuan dengan pemimpin- pemimpin pelajar Australia dan New Zealand di Perth, baru-baru ini.

Sememangnya kita sudah mempunyai jawapan kepada semua isu negara dan segala permasalahan rakyat.

Oleh itu, kita sepatutnya berani berdepan dan menangani pihak-pihak yang memutar- belitkan fakta dan mengelirukan pemikiran rakyat.

Tidak kita nafikan, rakyat yang tidak mempunyai “mata hati yang tajam” adalah mangsa mudah untuk dikelirukan oleh pakatan pembangkang dengan ‘kisah-kisah rekaan’ demi mengalih perhatian masyarakat daripada ‘kisah sebenar’ mengenai kegagalan dan kelemahan kepimpinan mereka.

Selain daripada kelompok ini, golongan sasaran kedua adalah mereka yang sentiasa bersedia untuk diperhambakan dan dijadikan ‘tunggangan’ untuk memporak-perandakan keharmonian negara dengan hanya upah tidak seberapa.

Jentera kerajaan Barisan Nasional (BN) sepatutnya terus-terusan bergerak dalam saf yang lebih tersusun untuk meyakinkan ahliahlinya bahawa semua hujah yang dilemparkan oleh gabungan parti pembangkang adalah dakyah, karut dan fitnah semata-mata.

Janganlah tunggu sampai “Jeneral UMNO” bertempik dan berteriak, barulah kelam-kabut hendak ‘menghidupkan enjin’. Jenterajentera, tidak kira sayap Puteri, Pemuda, badan-badan yang berkait rapat dengan UMNO sepatutnya sudah berani mengharungi cabaran. Mereka perlu menjadi matador untuk berdepan dengan seladang di dalam gelanggangnya!

Pakatan pembangkang pun sendiri mengakui bahawa kemenangan ‘sipi’ mereka di Manek Urai bulan lepas boleh menjadi titik permulaan kecundangnya pakatan untuk mengambil alih pentadbiran negara.

Gara-gara itulah, pelbagai usaha parti pembangkang telah dilipat-gandakan untuk terus memporak-perandakan negara.

Pakatan pembangkang kelam-kabut

Lantaran itu, kita melihat senario demonstrasi jalanan “diorkestrakan” sekali lagi oleh kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

Tunjuk perasaan ini sebenarnya hanyalah sekelumit usaha terdesak puak-puak tertentu untuk meraih sokongan murahan. Caranya ialah dengan mengekalkan ‘momentum kebencian rakyat’ terhadap pemerintah di samping mengalih perhatian terhadap isu dalaman mereka sendiri.

Menganjurkannya di tempat awam tatkala pandemik H1N1 berleluasa, kita tertanya-tanya juga ke mana perginya ‘akal’ penganjur dalam usaha membantu menangani penularan wabak itu?

Bukannya kita tidak tahu tujuan mereka yang sengaja mahu mewujudkan persepsi ‘ramai rakyat yang menyokong’. Walhal, pihak polis sebenarnya sudah berlembut mencadangkan perhimpunan diadakan di tempat tertutup.

Namun mereka sedar, jika dilakukan perhimpunan di tempat tertutup seperti di Stadium Melawati ketika protes harga minyak, akan “pecah tembelang”. Jumlah yang sebenarnya hadir tidak sebanyak mana. Kalau di tempat awam, yang hadir 5,000 boleh mudah-mudah didakwa bagaikan 500,000!

Sudahlah isu ‘kerajaan perpaduan’ yang menyaksikan Datuk Nik Aziz Nik Mat seperti menggunakan pengaruh veto menidakkan kehendak kepimpinan tertinggi Pas masih bersisa.

Kini tidak berhenti-henti pula, kenyataankenyataan yang memening dan mengelirukan dikeluarkan. Kenyataan yang dikeluarkan bagaikan lebih kepada ‘cakap berlapik’ dan ‘ menjaga hati’ daripada keperluan menjaga maruah dan hak kesucian Islam.

Alasan kononnya mahu berdakwah, tetapi adakah hingga mencerca dan memfitnah ahli-ahli agama seperti Tan Sri Harussani Zakaria dan penceramah bebas, Dr. Mohd Ridhuan Tee.

Bukankah bila sampai tahap tertentu seperti membabitkan maruah, seorang Islam patut bangkit mempertahankan saudara dan agamanya? Apalagi yang bertaraf ahli agama! Maaf jika kata-kata ini kasar, tetapi sikap mereka ini kadang-kadang seperti bacul!

Ambil peluang jelaskan pada rakyat

Melihat situasi ini, jentera kerajaan perlulah beristiqamah, teliti dan berani mengambil peluang yang ada untuk membukti dan menjelaskan bahawa kerajaan BN adalah pilihan terbaik berbanding pakatan pembangkang yang serba porak-peranda.

Setelah ‘kejayaan’ di Manek Urai, waktuwaktu beginilah pakatan pembangkang perlu digegarkan terus-terusan agar “momentum kesedaran” tidak terhenti begitu sahaja. Perak telah diambil semula oleh BN. Kini jadikanlah Kedah, Pulau Pinang dan Selangor sebagai sasaran.

Namun, jangan pula diabaikan tanggungjawab yang sudah ada di tangan kerana ia adalah elemen paling penting dalam membuktikan kemampuan dan keikhlasan kerajaan BN terhadap kesejahteraan rakyat. Jangan nanti dikata orang cakap sahaja berdegar-degar!

Ibarat belayar, biar sampai ke pulau. Begitu juga apabila menggenggam bara api, biarlah hingga menjadi arang.

Saya laungkan ole-torro-ole agar UMNO terus ikhlas dan gigih berusaha demi agama, nusa dan bangsa!

FERIZ OMAR adalah Presiden Pertubuhan

Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)
Keputusan profesional penuh justifikasi

KEPUTUSAN yang ditunggu-tunggu penuh debaran oleh rakyat Malaysia tiba juga Rabu lepas. Akhirnya, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan keputusan muktamad kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Ada yang gembira, ada yang tak puas hati dan ada juga yang masih mengambil sikap tunggu dan lihat. Paling menarik barangkali, di sebalik gambaran 'penolakan seratus peratus rakyat terhadap dasar PPSMI' sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh pihak pembangkang, ada juga beberapa bancian bebas yang dilaksanakan oleh beberapa blog popular membuktikan sebaliknya.

Hakikatnya, jika keputusan bancian anjuran blog bebas masih memihak kepada cadangan supaya PPSMI diteruskan sekali pun, keputusan tersebut masih boleh dipersoalkan.

Menurut perangkaan 2008 yang dikumpulkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pengguna Internet berdaftar di rumah adalah 85 peratus tertumpu di kawasan bandar dan hanya 15 peratus di kawasan luar bandar.

Statistik ini jelas menunjukkan bahawa taburan pengguna Internet yang diambil sebagai 'sampel' bancian tersebut hanya tertumpu kepada kelompok rakyat di dalam bandar yang aktif berinternet, manakala pandangan dan undian keseluruhan rakyat luar bandar belum diambil kira dan pasti dipinggirkan.

Secara kesimpulannya, tidak kira sama ada undi pelbagai bancian di atas benar-benar boleh dipercayai atau tidak, keputusan akhir ke atas dasar PPSMI ternyata ada 'peminat' yang tersendiri!

Kerajaan bukanlah tidak mencuba untuk meneruskan dasar PPSMI. Bagaimanapun, hasil pelbagai kajian ilmiah bebas seawal 2004 yang dianjurkan oleh pelbagai institusi dan organisasi berkaitan serta data statistik yang dikumpulkan oleh Kementerian Pelajaran mengenai keputusan pelajar dan kemampuan guru terhadap PPSMI tidak condong kepada penerusan dasar PPSMI. Ini sekali gus 'memaksa' kerajaan bertekad kepada keputusan pemansuhan.

Menyedari hasrat dan falsafah dasar PPSMI, kerajaan di peringkat awal tidak pernah putus asa untuk meneruskan dasar tersebut. Buktinya adalah melalui pelaburan ratusan juta ringgit ke atas usaha memperkasakan pengetahuan serta kebolehan guru dalam kedua-dua subjek berkenaan melalui pelbagai kursus dan latihan. Penggunaan teknik-teknik pengajaran yang terbaik juga telah diguna pakai. Namun, tiada perubahan ketara dapat dilihat.

Pelajar Melayu akan terus kecundang, keyakinan diri terbantut dan terus menganggur

Statistik Kementerian Pelajaran juga menunjukkan bahawa guru-guru PPSMI tidak mampu mengajar Sains dan Matematik seratus peratus dalam bahasa Inggeris malah dicampuradukkan dengan bahasa Melayu semasa mengajar dua subjek tersebut. Senario ini tidak berlaku di sekolah-sekolah kebangsaan Cina dan Tamil kerana kedua-dua subjek tersebut diajar dalam bahasa ibunda masing-masing. Yang menjadi mangsa adalah para pelajar Melayu yang semakin keliru, memperolehi keputusan peperiksaan yang terus menjunam sehingga mengakibatkan keyakinan diri terbantut. Kurang keyakinan diri inilah punca sebenar mengapa pelajar Melayu terus menganggur.

Untuk dikatakan dasar PPSMI telah gagal rasanya tidak juga. Lebih tepat barang kali kalau dikatakan ia kurang berjaya mencapai sasaran yang diingini. Bagi saya sendiri, PPSMI bukanlah tidak baik. Hasratnya, murni.

Namun demikian, menurut statistik sahih kajian Kementerian Pelajaran jelas membuktikan guru-guru belum bersedia sepenuhnya dan sebilangan pelajar luar bandar ada kekangan. Jika PPSMI diteruskan juga, kita menghadapi kekesalan berpanjangan kerana sejumlah besar anak-anak kampung yang cerdik tetapi ada kekangan pemahaman bahasa Inggeris akan menjadi korban nanti. Sanggupkah kita?

Syukurlah hikmah di sebalik pelaksanaan dasar kontroversi ini sekurang-kurangnya telah meningkatkan kesedaran akan pentingnya penguasaan bahasa Inggeris. Inilah natijah dan nawaitu asal PPSMI sewaktu perencanaannya diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dahulu.

Melalui transformasi sistem pendidikan Malaysia yang dirancang oleh Kementerian Pelajaran ketika ini, ia akan tetap dapat memurnikan hasrat Tun Dr. Mahathir itu dengan kaedah memperkasakan pembelajaran bahasa Inggeris melalui 12 langkah yang diutarakan oleh Muhyiddin. Saya amat setuju agar bahasa Inggeris sepatutnya diperkasakan dahulu sebelum subjek Matematik dan Sains diajar dalam bahasa tersebut.

Saya berharap sangat jika silibus baru disusun supaya pelbagai jargon teknologi dan sains dapat diterapkan dalam pembelajaran bahasa Inggeris. Begitu juga dengan subjek Geografi hari ini yang hanya fokus terhadap ilmu alam Malaysia sahaja.

Saya yakin para pelajar akan lebih tertarik jika mereka dihidangkan dengan Geografi dunia sebagai salah satu silibus dalam subjek bahasa Inggeris. Dengan silibus tersebut, ia bukan sahaja seiring dengan pendekatan saluran National Geographic dan Discovery tetapi juga memupuk pemikiran generasi muda Malaysia untuk berbahasa Inggeris apabila mereka menjelajahi dunia suatu hari nanti.

Dalam perihal memartabatkan bahasa Melayu, iltizam Kementerian Pelajaran memperkasakan pembelajaran bahasa Melayu seharusnya telah menjawab tuduhan beberapa pihak yang mendakwa kerajaan tidak sensitif dengan nasib bahasa kebangsaan. Apatah lagi sekarang, dalam modul transformasi pendidikan ini, Muhyiddin telah mengangkat semula martabat bahasa Melayu menjadi bahasa ilmiah untuk memacu kemajuan ketamadunan Melayu masa hadapan.

Suka saya katakan, keputusan kerajaan sudah pun win-win (menang-menang) bagi semua pihak. Objektif murni PPSMI bakal diusahakan secara terbaik sementara bahasa Melayu pula akan terus dimartabatkan.

Sekalipun usaha menjurus kepada keputusan terhadap PPSMI telah dibuat, usaha untuk memperjelaskan falsafah di belakang transformasi pelajaran perlu dibuat secara crystal clear (sejelas mungkin).

Rakyat hari ini semakin peka terhadap hal ehwal semasa dan sentiasa mahukan penjelasan konkrit. Ingatlah, pihak pembangkang pula tidak pernah lelah mencari 'peluru' untuk mengelirukan rakyat daripada fakta sebenar.

Setiap keputusan perlukan penilaian profesional, penjelasan dan justifikasi rasional. Kalau ia demi kebaikan, rakyat tentu boleh menerimanya biarpun mungkin mengambil sedikit masa.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)
Membudayakan 'Google' di kalangan generasi 'Y'

Feriz Omar
utusan.feriz@gmail.com

PENGGUNAAN teknologi yang salah akan mengundang kelahiran generasi masa hadapan yang hanya berminat dengan hiburan semata-mata dan langsung tidak menitik beratkan pembudayaan ilmu.

Sebelum luka menjadi nanah, sebelum nasi menjadi bubur adalah suatu tanggungjawab generasi X selaku generasi semasa untuk memberi input positif kepada generasi Y melalui pelbagai dorongan sihat agar mereka dapat membudayakan penggunaan teknologi untuk menggali ilmu pengetahuan.

Sesungguhnya, pembangunan dunia semakin pesat dan arus kemodenan memungkinkan teknologi baru dicipta hampir setiap ketika sehinggakan ada kalanya alam maya mula terasa sempit.

Membicarakan mengenai dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), sudah pasti pemikiran kumpulan-kumpulan perintis 'dunia tanpa sempadan' yang mencetuskan kelahiran world wide web (www) pada era akhir 1980-an dan awal 1990-an barang kali tidak menjangka pencapaian luar biasa dunia ICT pada hari ini. Setelah hampir tiga dekad berlalu, dunia teknologi kini ternyata sudah mencapai suatu dimensi baru.

Daripada hanya telefon ATUR, sambungan internet kaedah dial up, permainan konsol dan laman-laman web yang statik lagi membosankan, industri ICT berevolusi kepada telefon bimbit yang mempunyai kapasiti melayari internet, sambungan internet jalur lebar, permainan konsol 3D dan kini laman web multi fungsi (Web 2.0) seperti paparan berita terkini, forum, blog, perkumpulan komuniti atas talian dan komunikasi video.

Bagi kumpulan generasi Y yang merangkumi kumpulan anak muda 18 tahun ke bawah, jargon seperti Yahoo Messenger, Blogspot, Twitter, MySpace, Spacebook, PS3 dan XBox barang kali bukan lagi sesuatu yang asing.

Tak keterlaluan jika dikatakan, elemen-elemen sebegini bagai 'santapan' harian anak-anak pasca abad ke-21. Melihat dari suatu sudut negatifnya, kita khuatir jika fenomena teknologi yang bertali arus ini menjadi tanpa kawalan lantaran melalaikan dan akhirnya, memudarat anak bangsa kita.

Manfaatkan Teknologi Ke arah Kebaikan

Pengalaman saya semasa mengendalikan program motivasi PMR di salah sebuah sekolah menengah di Putrajaya pada Khamis, 2 Julai lalu seakan-akan mengiakan keresahan saya.

Daripada penyelidikan dan pemantauan, kami dapati hampir 90 peratus pelajar memiliki telefon mudah alih sendiri. Rata-ratanya pula cenderung ke arah perisian permainan PSP dan PS3 terkini serta 'ketagihan' aplikasi Web 2.0 seperti Facebook dan Friendster.

Statistik pula menunjukkan keputusan peperiksaan penggal kedua menjunam berbanding dengan keputusan peperiksaan penggal sebelumnya. Ia cuma bagi sekumpulan pelajar dari sebuah sekolah sahaja. Bagaimana agaknya jika diambil kira sekolah-sekolah yang lain?

Justeru, saya berharap langkah Kementerian Pelajaran menggubal sistem pembelajaran negara tidak akan melupakan saranan agar perkembangan teknologi terkini diterap penggunaannya kepada pelajar-pelajar dalam cara yang positif iaitu mengundang kepada pemantapan dan pembudayaan ilmu.

Teknologi sekiranya sekadar diaplikasikan untuk berhibur, tentulah tidak berfaedah. Sepatutnya, budaya menggunakan internet bagi tujuan meng'google' ilmu pengetahuan dan maklumat terkini perlu diutamakan.

Dengan jutaan laman web membanjiri dunia maya, teknologi perlu dipergunakan semaksimum mungkin untuk kebaikan, menggali ilmu dan informasi terkini di serata dunia.

Dalam hal ini, kemampuan bahasa Inggeris pelajar juga dapat ditingkatkan. Walaupun pembelajaran bahasa Inggeris melalui penggunaan internet adalah kaedah pembelajaran yang dikira 'santai', namun ia tidak boleh dianggap sebagai rutin 'kebiasaan' sehingga menjadikan generasi Y 'ketagih' dan sanggup memberontak jika keinginan mereka untuk berinternet tidak diturutkan.

Seperkara lagi yang tidak boleh diabaikan adalah apabila internet disalah gunakan untuk meng-Google maklumat yang sesat lagi terpesong.

Justeru, pemantauan ibu bapa dituntut untuk mendorong penggunaan Internet secara betul dan tepat.

Perluaskan Jalur Lebar dan Wujudkan 'Sedikit Sempadan'

Kerajaan, di sebalik istilah dunia tanpa sempadan, mungkin boleh menilai kaedah untuk mewujudkan 'sedikit sempadan' dalam sistem perkhidmatan jalur lebar negara supaya generasi Y tidak mudah terdedah kepada perkongsian maklumat yang salah.

Natijah sebenar untuk melahirkan generasi kaya ilmu pengetahuan mungkin tidak akan dapat direalisasikan jika teknologi tidak sampai ke semua peringkat. Masalah kekangan kewangan ternyata masih wujud dan terus menghalang anak-anak luar bandar mengecapi perkembangan informasi terkini berbanding teman-teman di bandar.

Bagi yang mampu memiliki perkhidmatan jalur lebar mudah alih seperti perkhidmatan Celcom dan Maxis Broadband ada kalanya berhadapan dengan keterbatasan capaian perhubungan kerana tiada pencawang talian bukan sahaja di luar bandar malahan juga di sesetengah kawasan di dalam bandar.

Untuk mengatasi isu ini, kerajaan perlu menimbangkan secara serius cadangan yang sudah pun dilaksanakan di beberapa negara asing seperti Amerika Syarikat dan Eropah yang menggunakan laluan elektrik sebagai sumber capaian internet jalur lebar.

Sudah pasti kos penggunaan jalur lebar melalui laluan elektrik ini tidak perlu terlalu tinggi agar masyarakat luar bandar yang kurang berkemampuan tidak ketinggalan.

Insya-Allah, dengan sedikit pemantauan dan galakan sihat, adalah tidak mustahil untuk kita mengecapi cita-cita murni bgi melahirkan generasi baru yang membudayakan ilmu melalui teknologi ICT.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu & Pewaris Bangsa (ProWaris).