Guru disiplin ajar 20 waktu seminggu

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad dan Azrina Ahzan

Sekolah diminta sedia maklumat pelajar bermasalah

KOTA BHARU: Kira-kira 10,000 guru disiplin di seluruh negara akan dibenarkan mengajar 20 waktu seminggu, mulai penggal persekolahan tahun depan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Md Dom, berkata pekeliling arahan itu akan dikeluarkan kepada pengetua sekolah ketika cuti persekolahan ini sebelum dikuatkuasakan.

Katanya, pengurangan masa mengajar itu penting kepada guru berkenaan memandangkan mereka adalah orang yang paling hampir dan mampu mengatasi masalah disiplin pelajar.


"Surat edaran akan dikeluarkan kepada semua pengetua ketika cuti ini bagi mengurangkan masa mengajar mereka sekitar 20 waktu seminggu berbanding tempoh mengajar biasa antara 28 hingga 30 waktu.

"Sekiranya jumlah guru disiplin di sekolah tertentu kurang, kita boleh pertimbangkan untuk mengurangkan lagi masa mengajar itu. Secara puratanya, kita tetapkan sekitar 20 waktu," katanya.

Alimuddin berkata demikian selepas majlis perjumpaan dengan warga pendidik Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan, di Pengkalan Chepa, dekat sini, semalam. Hadir sama Pengarah JPN negeri, Ismail Md Noor.


Beliau mengulas kenyataan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, baru-baru ini, yang berhasrat mengurangkan masa mengajar guru disiplin kepada 15 waktu seminggu bagi membolehkan mereka melaksanakan tugas mengawal disiplin pelajar dengan lebih berkesan.

Alimuddin berkata, pengurangan masa mengajar itu membolehkan guru terbabit menyediakan maklumat lengkap mengenai pelajar yang bermasalah dalam disiplin di sekolah berkenaan.

"Memandangkan mereka ini adalah orang yang paling rapat dengan disiplin, guru tadi mampu menyediakan maklumat lengkap mengenai berapa ramai pelajar terbabit dalam disiplin dan pelbagai isu lain," katanya.

Beliau berkata, cadangan Hishammuddin itu tepat pada waktunya yang dilihat sebagai satu langkah terbaik untuk kementerian ini mengurangkan isu disiplin di sekolah.

"Saya yakin pendekatan ini menjadi cara sesuai mengatasi masalah disiplin di sekolah. Kalau digerakkan guru ini, mereka mampu mengatasinya dengan dibantu pihak lain seperi ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak lain," katanya.

Sementara itu, di PUTRAJAYA, pelajar sekolah yang menyertai perhimpunan haram di Dataran Merdeka pada Sabtu lalu akan dikenakan tindakan, termasuk diarah mengikuti program pemulihan dan jati diri.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar, berkata kementerian akan mengesan pelajar terbabit supaya tindakan sewajarnya terhadap mereka yang melanggar peraturan.

"Sehubungan itu, saya akan mengarahkan Bahagian Sekolah menghubungi polis untuk mendapatkan maklumat lengkap mengenai pelajar yang dikatakan menyertai perhimpunan haram itu," katanya kepada pemberita selepas menutup Program Peningkatan Disiplin Pelajar Peringkat Sekolah Rendah dan Menengah Peringkat Putrajaya di sini semalam.

0 comments: