Showing posts with label 1Malaysia. Show all posts
Showing posts with label 1Malaysia. Show all posts
Menyemai perpaduan, cintakan negara

Oleh Abdul Halim Taib

1Malaysia wujud rakyat pelbagai etnik berfikir dan bertindak sebagai satu bangsa

SEPERTI biasa setiap 31 Ogos seluruh rakyat Malaysia akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara. Namun sambutan tahun ini agak berbeza dengan tahun sebelumnya kerana ia disambut serentak pada Ramadan, bulan yang mulia di sisi Islam. Oleh itu rakyat khususnya umat Islam pada tahun ini di samping mengerjakan ibadat puasa mereka juga turut menyambut dan memperingati Hari Kemerdekaan yang menjadi lambang kebebasan negara daripada belenggu penjajahan Inggeris.

Pada tahun ini, di samping usaha mengembang dan menyemarakkan syiar Islam sepanjang Ramadan seperti sembahyang sunat tarawih, witir, bertadarus al-Quran dan memberi sumbangan kepada fakir miskin, kerajaan juga menyusun beberapa program bagi menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-52 .. Malah, tempat sambutannya juga berubah dari jadual asal iaitu Stadium Bukit Jalil ke perkarangan Bangunan Parlimen.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata tema Hari Kemerdekaan tahun ini ialah 1Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan, selaras dengan hasrat dan wawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjadikan Malaysia negara yang maju dan bersatu padu.

Najib memperkenalkan konsep 1Malaysia sebaik saja beliau mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Malaysia keenam pada April 2009. Ia adalah konsep pembangunan negara bangsa Malaysia yang mencerminkan kesungguhan beliau yang tidak jemu-jemu berusaha menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Namun masih ramai lagi rakyat, terutama generasi muda termasuk golongan mahasiswa-mahasiswi, belia dan pelajar yang masih keliru dan belum benar-benar memahami mengenai konsep 1Malaysia. Mereka sering kaitkan dan samakan ia dengan konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan pembangkang.

Konsep Malaysian Malaysia menggariskan hak kesamarataan versi total yang membuta tuli. Ia digariskan tanpa mengambil kira realiti negara Malaysia yang berbilang kaum dan faktor sejarah bagaimana wujudnya persepakatan bagi membentuk negara Malaysia.

1Malaysia pula berbeza dengan Malaysian Malaysia kerana ia adalah satu konsep bagi mewujudkan rakyat yang berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia dan mengambil tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan atau etnik yang ada di dalam negara ini. Malah, ia mementingkan dan menganggap masyarakat majmuk sebagai aset negara, apatah lagi konsep Malaysian Malaysia juga tidak lari sama sekali dengan Perlembagaan negara.

Dalam apa keadaan atau suasana dan di mana jua tempat berlangsungnya sambutan kemerdekaan tidak menjadi persoalan, yang penting ialah semangat bersatu padu di kalangan rakyat dan juga semangat cintakan negara atau patriotisme perlu ditanam di jiwa setiap rakyat. Inilah yang sering ditekankan Perdana Menteri apabila bercakap mengenai kemerdekaan dan konsep 1Malaysia.

Malah ketika majlis pelancaran Kibar Jalur Gemilang pada 12 Ogos lalu bagi menandakan bermula sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, Najib mengajak rakyat memperkukuhkan semangat patriotisme dengan meningkatkan amalan nilai dan perangai terpuji demi menjaga keharmonian serta mematuhi undang-undang. Majlis itu menandakan bermula sambutan Hari Kebangsaan tahun ini dengan sambutan kemuncak pada 31 Ogos di pekarangan Parlimen. Penutup sambutan kemerdekaan ialah pada 10 Oktober di Kuching, Sarawak.

Bagi menyedarkan rakyat betapa pentingnya semangat patriotisme dan kemerdekaan ini jugalah Perdana Menteri hadir dan menyampaikan ucaptama pada 'Wacana Patriotisme: Ke Arah 1Malaysia dan Pelancaran 100 Wajah Wira Malaysia' di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 7 Ogos lalu. Pada majlis anjuran bersama UIAM dan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), 100 wajah wira negara diumumkan sebagai menghargai sumbangan mereka dalam pelbagai bidang kepada negara.

Perdana Menteri yang juga bekas Presiden UIAM, berkata beliau memilih universiti berkenaan untuk program itu bukan saja kerana ia dekat di hati malah masyarakatnya yang pelbagai dan berbentuk antarabangsa perlu memahami konsep 1Malaysia yang baru diperkenalkan. Semangat patriotisme penting difahami dan dihayati semua pihak, khususnya generasi muda kerana dengan patriotisme yang tinggi mereka akan dapat menghadapi persaingan dalam era semakin mencabar sekarang.

Pada majlis itu, beliau menjelaskan semangat 1Malaysia sebenarnya sudah bermula pada awal pembentukan Malaysia dengan kerjasama padu semua kaum bagi membentuk negara yang berjaya. Semangat patriotisme yang unggul semua kaum menyebabkan negara memperoleh kemerdekaan daripada Britain tanpa sebarang pertumpahan darah.

Perdana Menteri berkata: "Bukan senang penjajah hendak lepaskan negara yang dijajah� tetapi bila rakyat Malaysia datang dengan bersatu, pada masa itu tak ada 1Malaysia � mereka datang dengan satu komitmen ke arah satu Malaysia atau satu Malaya, maka kita telah mencapai kemerdekaan,"

Sementara itu, Rektor UIAM, Prof Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid ketika melancarkan sambutan bulan kemerdekaan dan ketibaan Ramadan pada 19 Ogos lalu menggesa semua kakitangan dan pelajar bekerja kuat demi kejayaan selaras dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan.

Menurutnya, konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri adalah kesinambungan kepada konsep pentadbiran yang dilakukan oleh semua Perdana Menteri sebelum ini dengan pendekatan berbeza tetapi matlamat yang sama iaitu ke arah mencapai perpaduan dan kemajuan negara.

Katanya, menurut satu kajian yang diadakan baru-baru ini lebih 90 peratus rakyat menyatakan mereka berbangga menjadi penduduk Malaysia kerana negara ini maju dalam pelbagai bidang, malah lebih baik berbanding dengan beberapa negara jiran.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan 1Malaysia, Prof Chandra Muzaffar, berkata persepsi 1Malaysia tidak memanfaatkan kaum Melayu dan Bumiputera mungkin muncul kerana perubahan yang dibuat kepada peraturan mengenai kuota dalam sektor ekonomi tertentu dan keperluan mengenai saham dalam pasaran saham.

Ini adalah perubahan pendekatan; bukan pemansuhan dasar. Dasar mempertingkatkan ekonomi masyarakat Melayu dan Bumiputera yang lain secara adil, tetap dilaksanakan seperti terbukti dalam pembentukan syarikat Ekuinas untuk mengenal pasti usahawan Bumiputera yang berpotensi dan memperkukuhkan kedudukan mereka.

Chandra berkata, membetulkan persepsi yang salah mengenai 1Malaysia adalah antara misi Yayasan 1Malaysia yang baru ditubuhkan. Malah yayasan itu juga akan menyampaikan idea dan pandangannya dari semasa ke semasa kepada kerajaan, pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) mengenai matlamat dan hasil pencapaian konsep 1Malaysia.

Disebabkan konsep itu baru, masih ramai lagi rakyat yang samar-samar, keliru dan kurang jelas mengenai konsep, pendekatan, matlamat dan faedahnya kepada rakyat berbilang kaum di negara ini.

Demi kejayaan konsep 1Malaysia ini, semua pihak termasuk agensi kerajaan seperti Jabatan Penerangan, Biro Tatanegara, pihak swasta dan NGO perlu memainkan peranan menerangkan kepada rakyat mengenai konsep berkenaan. Apabila sudah faham barulah rakyat termasuk generasi muda dapat menerimanya dengan hati yang lapang dan terbuka. Tidaklah salah atau keterlaluan sekiranya dalam bulan kemerdekaan dan Ramadan yang penuh berkat ini, penerangan mengenai konsep 1Malaysia ini dapat diselit dan diterapkan melalui majlis ilmu demi faedah semua.

Penulis ialah bekas pensyarah Jabatan Komunikasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan bekas wartawan Bernama.
Perpaduan 1Malaysia

Oleh MOHD. SUBHI MARSAN

TANGGAL 31 Ogos 2009 nanti, genaplah selama 52 tahun Malaysia mengecap kemerdekaan. Sejarah pembinaan sebuah negara Malaysia yang aman dan makmur yang kita nikmati hari ini telah meniti ranjau dan duri yang sangat hebat.

Biarpun lakaran sejarah itu telah mencatat bahawa kemerdekaan yang kita peroleh daripada penjajah Barat bukan bermandikan darah atau dengan mengangkat senjata, tetapi implikasi serta halangannya sangat besar. Kita telah berperang dan berjuang dalam usaha membentuk kesepakatan dan perpaduan antara kaum.

Perjuangan ini sangat sukar kerana rakyat kita masih belum sebati acuannya ketika itu sehinggakan rasa kurang percaya masih bertapak di dalam diri. Pengaruh komunis dan dakyah penjajah yang ditinggalkan, kemudian dimarakkan lagi dengan isu perkauman begitu sukar dileraikan dalam diri rakyat yang akhirnya mencetuskan detik hitam 13 Mei 1969.

Namun begitu, titik hitam itu semakin hari semakin terpadam kerana rakyat negara ini semakin bertamadun dan sofistikated. Tahu menilai baik buruk dan implikasi yang akan ditanggung jika mengabaikan dasar ini.

Asas-asas perpaduan demi menjaga kepentingan negara dan rakyat sebenarnya telah pun diusahakan dan dijayakan oleh Tunku Abdul Rahman yang memimpin barisan perpaduan ketika itu.

Usaha-usaha itu diteruskan pula oleh Perdana Menteri atau pemimpin-pemimpin seterusnya hingga ke hari ini di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak. Jika dahulu kita disajikan dengan konsep perpaduan kaum atau integrasi nasional, tetapi hari ini “Satu Malaysia” adalah pengukuhan kepada dasar-dasar yang relevan yang dibentuk dan diamalkan selama 52 tahun itu.

Pengalaman menikmati kemerdekaan sehingga hari ini yang diasaskan berpandukan prinsip perbincangan atau musyawarah yang dipupuk bersama nilai kesefahaman dan kesepaduan antara kaum atau ras negara ini yang berbeza budaya, agama dan asal usul sedikit demi sedikit mula memperlihatkan hasilnya.

Prinsip toleransi dan perpaduan merupakan acuan yang terbaik sehingga negara ini telah diiktiraf sebagai “role model” kepada negara-negara membangun seluruh dunia. Pemupukan perpaduan kaum akan terus menjadi agenda dalam pembangunan negara dan matlamat terakhir kerana masyarakat yang bersatu padu penting untuk memantapkan lagi kestabilan negara dari aspek sosio-politik di samping mengekalkan pembangunan ekonomi. Dasar-dasar pembangunan yang dirangka oleh kerajaan telah menetapkan satu paradigma ke arah membolehkan negara mencapai taraf sebuah negara maju.

Sebagaimana terkandung dalam Wawasan 2020 daripada semua sudut keadilan sosial, nilai, etika dan moral, kestabilan politik, kualiti hidup, kemajuan sains dan teknologi, kecekapan pentadbiran kerajaan dan kecemerlangan ekonomi.

Rakyat Malaysia pada hari ini seharusnya membuang jauh-jauh perasaan prasangka sebaliknya menganggap bahawa diri mereka adalah bangsa Malaysia. Sudah tiba masanya rakyat menunjukkan komitmen dan semangat “Satu Malaysia” dengan memberi tumpuan terhadap tugas serta tanggungjawab dengan penuh iltizam, keazaman, keyakinan dan bertekad demi kepentingan pembangunan dan kemajuan negara.
Najib masih di bawah 'pemerhatian' rakyat

Oleh Jamhariah Jaafar

Penjelasan mengenai 1Malaysia mesti dibuat secara lantang

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak, perlu mempunyai iltizam dan semangat kuat bagi menghadapi cabaran yang datang silih berganti sejak beliau mengambil alih pentadbiran Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN), empat bulan lalu.

Sebelum ini tempoh 100 hari pertama sering dianggap sebagai masa berbulan madu, namun Perdana Malaysia keenam itu langsung tidak berkesempatan untuk berehat, kerana beban digalas daripada pentadbiran lalu bukan hanya membabitkan kemelut politik, bahkan isu perkauman, krisis ekonomi dan terkini wabak penyakit yang merebak begitu pantas.

Ini adalah hasil pemerhatian Presiden Institut Kajian Politik dan Ekonomi (IKAPE), Tan Sri Abdullah Ahmad, ketika membentangkan analisisnya di seminar 'Pentadbiran YAB Datuk Seri Najib Razak' di Universiti Malaya (UM), anjuran bersama Jabatan Sejarah UM dan Pertubuhan Kebangsaan Wartawan dan Penulis Melayu Malaysia, baru-baru ini.

Katanya, sepanjang empat bulan mentadbir negara, Najib menghadapi pendapat umum yang berbelah bahagi, ada yang gembira, marah, ketakutan dan bimbang dengan apa yang bakal berlaku pada masa depan.

"Bukan Melayu mahu apa yang dilihatnya iaitu 'Malay Malaysia' (Melayu Malaysia) ditukar menjadi Malaysia yang mengamalkan meritokrasi sepenuhnya.

"Melayu/Bumiputera pula takut status quo (mereka) terkubur. Maka sebab itu ada usaha (gagal buat atau sengaja dilakukan demikian buat sementara waktu) agar ada perikatan, pakatan atau kombinasi pasukan antara penyokong status quo dengan mereka yang berhasrat (untuk mewujudkan) sebuah negara teokrasi berasaskan syariah," kata Abdullah merujuk kepada usaha parti Pas untuk membentuk Kerajaan Perpaduan dengan Umno dan BN baru-baru ini.

Bekas Duta ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata, menyedari cabaran serius yang sedang dihadapi, Najib memperkenalkan konsep 1Malaysia, dengan tekad yang diucapkannya dengan tegas iaitu 'Saya akan melakukan reformasi dan perubahan' .

"Terjemahan dan tanggapan saya 'aku bukan (Tun Abdullah) Badawi, aku bukan (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) dan aku juga bukan seperti ayah (Tun Abdul Razak Hussein)," kata Abdullah yang mengulas bahawa Najib mahu mencipta identitinya sendiri dan berharap rakyat tidak menyamakan beliau dengan mana-mana Perdana Menteri Malaysia yang lain.

Bagaimanapun, bekas Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press ini berkata, ramai pemerhati politik termasuk dirinya sendiri mendapati cara pentadbiran Najib hampir sama dengan pendekatan Tunku Abdul Rahman, yang menghadapi kemelut perkauman pertama dalam sejarah negara ini.

Perdana Menteri pertama itu adalah pemimpin Melayu pertama memperkenalkan gabungan parti antara kaum yang dikenali sebagai Perikatan bersama MCA dan MIC, serta mengamal sikap toleransi, perkongsian kuasa dan mewujudkan persefahaman yang akhirnya menjadi pegangan seluruh rakyat Malaysia sehingga hari ini.

Abdullah berkata, Najib hari ini menghadapi cabaran empat penjuru iaitu daripada kumpulan yang mempunyai cita-cita dan matlamat politik berbeza:

# Kumpulan yang ingin mewujudkan Malaysian Malaysia � konsep ini didukung oleh parti pembangkang dan disokong beberapa parti komponen BN.

# Kumpulan yang ingin mewujudkan negara teokratik � didukung parti pembangkang yang mula mengguna cogankata 'Islam Untuk Semua'.

# Kumpulan yang mahu status quo Melayu diteruskan dan diperkukuhkan � berjuang untuk memastikan kontrak sosial dan Perlembagaan Malaysia terus dijunjung, dan

# Kumpulan oportunis � mereka yang mengambil kesempatan apabila wujud saja peluang.

Katanya, semua kumpulan ini telah memecahbelahkan rakyat dan berikutan hasil Pilihan Raya Umum Ke-12 kini terbeban pada bahu Najib, dan rakyat Malaysia masih memerhati dan menilai sama ada beliau wajar diberi sokongan atau sebaliknya.

"Reaksi dan sokongan rakyat berbeza, bergantung dengan siapa anda bercakap. Majoriti bukan Bumiputera dan sekelompok Bumiputera hendak (konsep) Malaysian Malaysia.

"Dalam golongan yang sama, ada (juga) kalangan yang menyokong konsep untuk mewujudkan negara teokratik�. asalkan bukan atau jangan BN yang diterajui oleh Umno.

"Bagi Bumiputera pula, lebih separuh berazam akan mempertahankan status quo. Tetapi barisan ini sekarang kian ramai yang gelisah, sudah mula marah pada kerajaan kerana kepemimpinan (hari ini) dilihat sebagai banyak bertolak ansur dan berkompromi," katanya.

Justeru, Abdullah berpendapat kepemimpinan Najib, dengan dibantu timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, parti Umno serta barisan kabinet BN perlu menjelaskan dengan lantang apa yang sebenarnya dimaksudkan konsep 1Malaysia, yang memang sedap didengar tetapi agak kabur.

Jelasnya, konsep 1Malaysia penuh percanggahan terutama apabila Timbalan Perdana Menteri berkata dia akan berkompromi, bertolak ansur dengan pelbagai perkara, kecuali dalam isu membabitkan hak orang Melayu.

"Najib dan kerajaan (BN) harus berterus terang apa yang boleh dirunding dan apa yang tidak boleh berpadu padan," kata Abdullah yang turut bersetuju Najib wajar diberi sokongan untuk mewujudkan satu rundingan baru (new deal) kepada rakyat Malaysia.

Abdullah mengaku bahawa tempoh empat bulan adalah terlalu awal untuk menilai kewibawaan Najib yang sedang bertungkus lumus memulihkan keyakinan rakyat terhadap pemerintahan Umno dan BN, apa lagi beliau terus menghadapi ujian yang tidak kunjung padam.

"Saya sebenarnya yakin dengan kemampuan Najib untuk memulihkan keyakinan rakyat, berilah dia tempoh lima, enam bulan lagi� baru kita boleh membuat penilaian sebenar terhadap kepemimpinannya.

"Apapun satu hal yang rakyat tidak mahu, akan menolak dan mengguling pada pilihan raya akan datang (kecualilah ekonomi subur dan kemakmuran melimpah) ialah seorang pemimpin yang tinggal dalam 'fool paradise' atau yang 'delusional'. Saya kira dan berdoa Najib tidak demikian."
Semangat 1Malaysia terserlah di Sarawak

Oleh Dr Jeniri Amir
jamir@fss.unimas.my


SARAWAK yang mempunyai 33 etnik pelbagai budaya dengan suku kaum terbesarnya ialah Iban, Melayu/Melanau dan Cina begitu menyerlah semangat muhibahnya.

Pelbagai etnik kongsi budaya, harmoni sejak sekian lama

KETIKA menjalankan penyelidikan untuk penulisan biografi seorang tokoh, saya berkunjung ke Kanowit, 30 minit perjalanan dengan teksi dari Lapangan Terbang Sibu pada Sabtu, dua minggu lalu.

Di Kanowit saya duduk di kedai kopi, milik orang Cina, dengan penduduk tempatan. Lingua franca pelanggan kedai kopi itu ialah bahasa Iban. Di sebuah meja di kedai kopi itu ada etnik Iban, Melayu, Kanowit, dan Melanau.

Bagai tidak ada tembok penghalang dalam kalangan mereka. Mereka memperkatakan pelbagai isu semasa, termasuk soal politik tempatan dan pemilihan dalam parti dalam suasana yang mesra dan santai, sesuai dengan rentak pembangunan Kanowit yang perlahan. Pekan ini mulai sunyi selepas jam 12 tengah hari.

Sarawak sering dijadikan sebagai suri teladan atau contoh perpaduan kaum yang tulen di negara ini. Dengan sekitar 30 suku kaum, termasuk etnik minoriti yang mungkin tidak pernah pun didengar oleh sebahagian rakyat Malaysia seperti Lahanan, Sihan, Ukit, Kanowit, Bukitan, Kejaman dan sebagainya, konflik kaum adalah sesuatu yang asing di negeri ini.

Setidak-tidaknya dalam konteks sejarah moden. Apakah ramuan kejayaan Sarawak dalam mewujudkan masyarakat yang bersatu padu tanpa konflik dan persengketaan? Memang sejarah lampau hubungan etnik di Sarawak menyaksikan pertelagahan antara kaum sehingga perdamaian dicapai di Kapit pada 1924.

Ngayau atau kegiatan memburu kepala adalah masalah rumit sehingga menjejaskan hubungan etnik, tetapi kini semua itu sekadar tinggal di dalam lipatan sejarah. Dari segi sejarah, hubungan perdagangan antara pelbagai kumpulan etnik menjalinkan dan menggalakkan hubungan intra etnik di Sarawak.

Kini, generasi muda yang semakin terdedah kepada dunia luar dengan pendidikan lebih baik mempunyai peluang lebih terbuka untuk berinteraksi dengan kaum-kaum lain. Hasil sistem pengangkutan dan pendidikan yang lebih baik, mobiliti secara mendatar dan menegak terbuka luas.

Penduduk Sarawak kian terbuka kepada perkahwinan campur antara kaum dan agama sehingga berlakunya amalgamasi, iaitu satu proses apabila ras atau budaya bercampur untuk membentuk budaya atau ras baru.

Mungkinkah juga proses sedemikian akan menyebabkan etnik minoriti seperti Sihan di Belaga yang dianggarkan hanya sekitar 230 orang akan pupus dalam masa 15 tahun lagi? Malah, bukanlah sesuatu yang menghairankan jika dalam sebuah keluarga, ada yang berkahwin dengan lebih daripada lima kaum berbeza dan agama berlainan.

Perkahwinan campur antara Melayu dengan bukan Melayu adalah sesuatu yang biasa. Yang menarik, keluarga asal tidak menentang perkahwinan campur, malah amat faham akan tuntutan agama Islam apabila ahli keluarga yang sudah memeluk Islam kembali ke rumah di kampung.

Di Sarawak sikap tolak ansur dan persefahaman yang tinggi memungkinkan mereka hidup aman damai dan harmoni dan menjadi mangkin yang mengukuhkan tali persaudaraan serta perpaduan. Jiran berlainan kaum, agama dan kepercayaan tidak mempunyai masalah dari segi hubungan etnik.

Sesungguhnya, perkahwinan campur antara etnik dengan agama, budaya dan adat resam yang berbeza, tolak ansur dalam amalan beragama dan kehidupan seharian adalah tunjang utama dalam hubungan etnik yang harmoni di Sarawak. Melalui hubungan ikhlas sesama penduduk, bara syak wasangka dapat dipadamkan.

Keharmonian hubungan etnik terserlah daripada perkongsian kuasa melalui pelbagai parti politik, malah parti politik seperti parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dianggotai pelbagai etnik peribumi, termasuk masyarakat minoriti.

Prasangka, stereotaip dan etnosentrisme adalah musuh utama perpaduan dan pencapaian konsep satu Malaysia. Sarawak bernasib baik, kerana pada amnya rakyat pelbagai etnik tidak mempunyai prasangka terhadap etnik lain. Itulah sebabnya mereka dapat saling berinteraksi dalam pelbagai keadaan.

Dewan Suarah yang wujud di pelbagai bahagian yang dibina berdasarkan motif budaya etnik utama adalah manifestasi keinginan kerajaan negeri untuk melahirkan masyarakat bersatu padu. Dewan berkenaan menjadi tempat pertemuan bagi menyatukan penduduk dalam pelbagai kegiatan sosial dan kebudayaan.

Toleransi yang tinggi dalam masyarakat pelbagai kaum tidak harus digadai untuk kepentingan politik jangka pendek. Sebarang anasir luar yang cuba menyusup dengan tujuan untuk menjejaskan hubungan harmoni harus dicegah daripada awal sebelum terlambat.

Bukan mudah untuk membina perpaduan dan toleransi, tetapi perpaduan dan keharmonian dapat diruntuhkan dalam sekelip mata. Suasana yang berlaku di kedai kopi seperti di Kanowit itu perlu diteruskan.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas)

1Malaysia perspektif generasi merdeka


JALUR GEMILANG... kakitangan kerajaan mengibarkan bendera pada majlis pelancaran kempen kibar Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan ke-52 di Kompleks Sukan Air, Putrajaya, semalam.


Sesebuah negara yang majmuk seperti Malaysia amat memerlukan pelbagai konsep dan formula penyatuan rakyat jelatanya ke arah pembinaan satu negara bangsa yang kukuh, muafakat, progresif dan makmur.

Konsep seperti ini juga diperlukan supaya generasi merdeka Malaysia mempunyai aspirasi yang serupa, melangkah ke destini yang sehala, dan sentiasa megah untuk mengibarkan panji-panji perjuangan negara pada setiap masa.

Pengaplikasian konsep ini memerlukan komitmen, kebijaksanaan dan ketegasan di kalangan pemimpin. Ia menuntut kematangan minda, toleransi dan pengorbanan di kalangan warga.

Ia juga mengharapkan sumbangan ikhlas daripada seluruh organisasi masyarakat sivil dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk sama-sama mendukung serta menjayakannya.

Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan konsep 1Malaysia sebaik-baik sahaja beliau mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Malaysia yang keenam pada April 2009 yang lalu.

Ia adalah konsep pembangunan negara bangsa Malaysia yang mencerminkan kesungguhan Perdana Menteri yang sentiasa berusaha untuk menyatupadukan warganegara majmuk.

Ia bermatlamat supaya kepelbagaian sosio-budaya dan ekonomi rakyat dapat dicanai dan digemblengkan menjadi ciri-ciri kekuatan nasional yang kemudiannya dapat diterjemahkan menjadi strategi pembinaan negara bangsa.

Ciri-ciri kekuatan nasional ini juga boleh digunakan untuk mencorak dan melaksanakan program pembangunan insan, pembangunan negara dan pembangunan ekonomi, di samping memperkasakan keupayaan Malaysia menembusi aneka peluang serta aktiviti ekonomi dan perdagangan antarabangsa.

Ini membuktikan bahawa konsep 1Malaysia sekali-kali tidak serupa dengan Malaysian Malaysia ciptaan Lee Kuan Yew pada awal tahun 1960-an yang kini dijadikan asas perjuangan sesetengah parti politik tertentu di negara ini.

Sebaliknya, konsep 1Malaysia membuktikan kebijaksanaan serta keprihatinan Perdana Menteri untuk memberikan erti yang seluas-luasnya kepada doktrin Rukun Negara yang diilhamkan oleh ayahanda beliau, iaitu Allahyarham Tun Razak Hussein, pada tahun 1970.

Konsep 1Malaysia juga mencerminkan usaha Perdana Menteri untuk memberikan roh dan jiwa kepada Gagasan Wawasan 2020 hasil daripada pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia yang keempat.

Konsep 1Malaysia juga bermatlamat mengukuhkan seluruh peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang membabitkan keunggulan masyarakat pribumi dan kewujudan lain-lain warganegara Malaysia yang diiktiraf secara Perlembagaan atas prinsip muafakat, musyawarah dan penghormatan kepada kepelbagaian rupa bangsa di tanah air ini dalam negara yang merdeka dan berdaulat ini.

Lantaran itu, seluruh warga Malaysia perlu mendukung dan menyokong konsep 1Malaysia dengan sepenuh hati dan dengan keikhlasan yang total.

Sebagai generasi merdeka, saya sendiri amat yakin bahawa konsep ini akan berjaya mencapai matlamatnya jika ia diterima oleh seluruh warganegara, termasuk generasi merdeka seperti saya.

Ini kerana teras kepada konsep 1Malaysia adalah pemupukan perpaduan rakyat supaya mereka sentiasa mentaati, berpegang teguh dan menjunjung tinggi seluruh prinsip asas pembinaan negara bangsa seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan doktrin Rukun Negara.

Oleh sebab itu, seluruh generasi merdeka di Malaysia perlu diberikan penjelasan terperinci mengenai prinsip-prinsip pembinaan negara bangsa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan yang diperkukuhkan lagi oleh doktrin Rukun Negara.

Dengan itu saya cadangkan agar kerajaan mengambil usaha ke arah memasyarakatkan konsep 1Malaysia ini menerusi pendekatan serta program seperti berikut:

Satu: Kurikulum pendidikan rendah, menengah serta di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Malaysia mestilah memperkenalkan pengajian konsep 1Malaysia, Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara sebagai mata pelajaran wajib mengikut peringkat-peringkat sewajarnya, dengan secara serius, konsisten dan berterusan.

Dua: Kurikulum yang serupa mesti juga diperkenalkan sebagai mata pelajaran wajib di seluruh organisasi pembinaan generasi seperti pusat-pusat latihan belia dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Tiga: Organisasi masyarakat sivil dan NGO juga perlu digalakkan untuk menganjurkan siri penerangan mengenai prinsip-prinsip pembinaan negara bangsa seperti yang terkandung dalam konsep 1Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan doktrin Rukun Negara.

Empat: Seluruh rangkaian radio dan televisyen di Malaysia juga mesti mewujudkan program-program penerangan serta penghayatan konsep 1Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mesti digalakkan untuk menaja program-program ini. Mereka boleh diberikan insentif pelepasan cukai bagi menaja program-program ini.

Lima: Golongan akademik dan penulis-penulis terkenal mestilah diberikan insentif untuk menulis buku-buku yang mengupas konsep 1Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan doktrin Rukun Negara.

Hasil karya mereka mestilah dilambakkan ke dalam pasaran secara meluas dan segera supaya boleh dijadikan buku rujukan pengajaran di sekolah-sekolah, IPTA, IPTS, Pusat Latihan Belia dan PLKN.

Buku-buku ini juga perlu dijadikan rujukan kepada organisasi masyarakat sivil dan NGO dalam kegiatan mereka memasyarakatkan konsep 1Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan doktrin Rukun Negara. Buku-buku ini juga boleh dijadikan bacaan umum kepada seluruh warganegara.

Enam: Pelbagai program dan peraduan membabitkan usaha memasyarakatkan konsep 1Malaysia dan penghayatan kepada Perlembagaan Persekutuan serta Doktrin Rukun Negara mestilah diadakan, sama ada oleh pelbagai agensi kerajaan, GLC atau organisasi masyarakat sivil dan NGO.

Tujuh: Parti-parti politik komponen Barisan Nasional mestilah diberikan arahan supaya turut memasyarakatkan konsep 1Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan Doktrin Rukun Negara kepada ahli masing-masing, terutamanya ahli-ahli mudanya.

Saya yakin seluruh cadangan di atas akan membantu kerajaan mengembangkan fahaman dan penghayatan warganegara Malaysia kepada konsep 1Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan doktrin Rukun Negara.

Pembelajaran murid sekolah, para pelajar IPTA dan IPTS, serta para pelatih di Pusat Latihan Belia dan PLKN mengenai konsep 1Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan doktrin Rukun Negara juga pastinya akan menjadikan generasi merdeka yang masih muda sebagai warganegara yang lebih bersatu padu dan sentiasa rela untuk mempertahankan tanah air ini menerusi pelbagai tindakan dan aktiviti, baik di bidang informal, mahupun di sektor formal pada hari-hari mendatang.

Kejayaan konsep 1Malaysia memerlukan komitmen, dukungan serta sokongan semua pihak. Mulai sekarang, hentikanlah polemik dan tidak perlu lagi kita layani apa jua kritikan dangkal pihak-pihak tertentu yang negatif terhadap konsep ini.

Sebaliknya, kerajaan perlulah mewujudkan satu Sekretariat 1Malaysia di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk memastikan proses memasyarakatkan konsep 1Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan doktrin Rukun Negara, termasuk menerusi cadangan yang saya kemukakan ini, dapat dilaksanakan, dipantau dan diperkasakan pada setiap masa.

Seluruh sekolah, IPTA, IPTS, organisasi pendidikan informal kerajaan, termasuk pusat-pusat latihan belia dan PLKN, juga perlu mewujudkan sekretariat yang serupa supaya dapat menyelaras, melaksana, memantau serta menjayakan proses pemasyarakatan konsep 1Malaysia ini berjalan lancar dan berkesan.

Seluruh komponen BN, terutamanya sayap Puteri, Pemuda dan Wanitanya, hendaklah juga mempunyai sekretariat yang serupa semoga mereka turut menyokong, mendukung serta memasyarakatkan konsep 1Malaysia di peringkat warga siasah masing-masing secara komited, konsisten dan berterusan.

Ini semua pastinya akan menjadikan konsep 1Malaysia yang bersendikan Perlembagaan Persekutuan dan doktrin Rukun Negara menjadi satu konsep ke arah pembinaan negara bangsa Malaysia yang kukuh dan bersatu padu di hari muka.

Di samping itu, seluruh cadangan yang saya kemukakan ini pastinya akan melahirkan dinamika warganegara Malaysia yang sihat ke arah masa depan yang dapat dibanggakan oleh seluruh rakyat, terutamanya generasi muda yang akan memberikan kesinambungan kepada kesejahteraan negara di masa depan.

Sebagai kesimpulan, saya selaku Ahli Parlimen dan Presiden Perkasa, berikrar untuk sama-sama menyumbang peranan bagi menjayakan usaha memasyarakatkan konsep 1Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dan doktrin Rukun Negara di kawasan Parlimen saya sendiri, dan juga di peringkat Perkasa kebangsaan dan Perkasa negeri mulai waktu terdekat ini.

Datuk Ibrahim Ali ialah Ahli Parlimen Pasir Mas, Kelantan, merangkap Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa). Artikel ini dipadankan daripada kertas kerja yang belia bentangkan di Seminar Kebangsaan 1Malaysia, anjuran Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia di Putrajaya pada11 Ogos 2009.

Bahasa Melayu patut jadi ukuran perpaduan kaum

Oleh Teo Kok Seong


KEMAHIRAN menguasai bahasa Melayu di kalangan generasi muda pelbagai kaum boleh menjayakan konsep 1Malaysia.

Impian 1Malaysia sukar dicapai jika bukan Bumiputera masih lemah berbahasa kebangsaan

SEMINAR Bahasa Kebangsaan dan Masyarakat Cina yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka, baru-baru ini antara lain bertujuan mencari kaedah supaya masyarakat Cina dapat memperluaskan penggunaan bahasa Malaysia dalam kehidupan harian mereka. Bagaimanapun, ia juga mendedahkan mengenai satu lagi isu penting berkaitan bahasa Malaysia dalam masyarakat Cina iaitu tahap penguasaan yang amat rendah, khususnya dalam kalangan generasi muda. Dengan perkataan lain, generasi muda Cina didapati kurang atau tidak cekap menggunakan bahasa Melayu.

Walaupun ramai di antara mereka melalui sistem pendidikan nasional serta penghidupan ala-Malaysia sejak dilahirkan, penguasaan bahasa Malaysia mereka tidak pada tahap kecekapan yang sepatutnya. Malah, dalam hal ini, ada sebilangan belia Cina yang langsung tidak memahami bahasa Malaysia walaupun pada tahap daif iaitu dalam bentuk bahasa pasar. Oleh itu, mereka ini tidak boleh berbahasa kebangsaan langsung

Banyak persoalan dapat ditimbulkan daripada perilaku kebahasaan negatif ini, khususnya apabila seorang warga negara itu dikehendaki memiliki kefasihan yang baik, atau sekurang-kurangnya sederhana baik sifatnya, mengenai bahasa kebangsaan tanah air dan tanah tumpah darahnya.

Antara soalan penting ialah apa yang sudah terjadi dengan pelbagai sumber untuk penguasaan bahasa Malaysia oleh golongan bukan Melayu, baik yang bersifat pedagogi dalam sistem pendidikan nasional mahupun yang bersifat ekologi yang cukup agam di merata tempat di Malaysia. Sumber ini sudah tentu dapat memantapkan penguasaan bahasa kebangsaan mereka, baik di sekolah atau di luar lingkungan sekolah.

Penguasaan bahasa Malaysia yang amat rendah, yakni pada tahap bahasa pasar saja, pada kebanyakan kesnya hanya memungkinkan masyarakat Cina menggunakan bahasa kebangsaan untuk mengadakan perbualan asas dan tidak untuk menyampaikan konsep dan gagasan yang lebih kompleks selain menyatakan emosi, apabila berinteraksi dengan masyarakat Melayu selaku masyarakat induk di Malaysia, untuk tujuan integrasi atau tujuan lain.

Dengan kekangan begini yang membabitkan penguasaan hanya beberapa kosa kata asas serta cara penyampaian dalam bahasa Malaysia yang amat terhad, interaksi antara masyarakat Cina dengan masyarakat Melayu tidak mungkin dapat diadakan dengan berkesan, atau barangkali tidak wujud langsung dalam sesetengah kes.

Interaksi yang kurang berkesan atau tiada langsung ini, tidak dapat dinafikan mempunyai implikasi amat buruk kepada perpaduan antara kaum yang ingin dicapai, khususnya melalui penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan.

Dalam mempelajari bahasa Malaysia untuk tujuan penguasaan pada tahap yang lebih membanggakan selaku warga negara, masyarakat Cina perlu mengambil orientasi integratif. Antaranya untuk menjadi sebahagian penting daripada negara bangsa Malaysia dan bukan semata-mata atas orientasi instrumental yang menganggap bahasa kebangsaan sebagai satu subjek peperiksaan yang penting.

Dalam soal ini, masyarakat Cina perlu bertindak dalam cara yang lebih meyakinkan bahawa mereka sebenarnya mendukung kuat identiti nasional, melalui penganjuran penggunaan bahasa Malaysia selaku bahasa kebangsaan, walaupun pada masa yang sama, mereka sebenarnya amat kuat melindungi bahasa dan budaya Cina pada kadar yang amat pesat.

Penggunaan bahasa untuk membentuk negara bangsa, yakni melalui promosi bahasa kebangsaan, adalah sesuatu sangat lumrah dalam sejarah dunia, dan memang didapati boleh membawa implikasi yang positif. Dalam konteks ini, selepas Malaysia terbentuk, maka pengisian seterusnya, antara yang terpenting dari dimensi kebahasaan adalah untuk mewujudkan negara bangsa Malaysia daripada pelbagai keturunan, yang disatupadukan oleh sebuah bahasa sepunya, yang ikut berfungsi sebagai bahasa perpaduan.

Gagasan bahasa Melayu dalam kapasitinya sebagai bahasa kebangsaan, yang bertindak sebagai bahasa perpaduan, tidak boleh dipandang sepi oleh mana-mana pihak, lebih-lebih lagi dalam merealisasikan perpaduan kaum. Identiti nasional yang utuh, melalui penggunaan bahasa kebangsaan, sudah tentu yang baik mutunya, pasti adalah satu petanda yang baik untuk kemajuan Malaysia dari pelbagai dimensi. Antara yang terpenting ialah khazanah budaya yang tersimpul dengan kuat melalui satu ikatan dalam formula 'kebudayaan kebangsaan', yang menjadi amalan setiap warga negaranya.

Sehubungan ini, masyarakat, baik Melayu atau bukan Melayu perlu menganggap bahasa kebangsaan lebih daripada sebuah lingua franca, iaitu bahasa yang digunakan secara rutin, sering kali dalam bentuk bahasa pasar/jelek, oleh mereka yang memiliki bahasa yang tidak sama, apabila berurusan antara satu sama lain.

Bahasa Malaysia selaku bahasa kebangsaan perlu dituturkan pada tahap yang jauh lebih tinggi daripada lingua franca. Bahasa Malaysia bahasa utama dan perlu digunakan dengan baik dan betul pada setiap masa, oleh semua pihak, antaranya untuk memberi maruah yang luhur kepadanya, sepadan dengan status kudus sebagai bahasa kebangsaan.

Dalam konteks ini, masyarakat Cina, khususnya generasi muda perlu mempertingkatkan penguasaan mereka agar bahasa Malaysia yang digunakan tidak lagi boleh sekali-kali mengaitkan mereka dengan generasi nenek moyang mereka sebagai pendatang. Imej dan label pendatang yang rata-ratanya amat tidak disenangi oleh masyarakat Cina kini, lebih-lebih lagi generasi muda, perlu dikikis mereka sendiri. Antaranya, melalui penguasaan bahasa kebangsaan yang tidak lagi memperlihat pengaruh bahasa ibunda yang terlalu kuat, dari pelbagai segi: sebutan, intonasi, campuran nahu dan lain-lain.

Dalam hal bahasa kebangsaan ini, masyarakat Cina perlu menonjolkan identiti nasional yang lebih menyeluruh sifatnya. Ini antaranya dapat dilakukan melalui penguasaan bahasa Malaysia selaku bahasa kebangsaan yang baik atau tinggi mutunya. Penguasaan begini sudah tentu antara syarat penting untuk mewujudkan komunikasi/interaksi Cina-Melayu yang lebih berkesan, dalam konteks perpaduan kaum.

Yang lebih penting lagi sehubungan ini ialah penguasaan yang baik dan tinggi mutunya ini adalah satu aspek penting dalam nilai nasional Malaysia yang perlu dipertingkatkan oleh masyarakat Cina.

Bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan adalah bahasa yang mewakili selain kepunyaan setiap warga negaranya. Adalah aneh jika masih ada walaupun seorang warga Malaysia dalam kalangan muda yang tidak boleh berbahasa Malaysia atau kebangsaan langsung, dan masih ramai, lebih-lebih lagi generasi muda yang tidak menguasainya dengan baik, selepas lebih setengah abad negara bangsa Malaysia dibina.

Marilah kita atasi masalah ini melalui nasionalisme 1Malaysia!. Bahasa kebangsaan adalah bahasa perpaduan, dan penguasaannya yang baik mutunya boleh mempertingkat komunikasi dan interaksi antara kaum. Ini pula sudah tentu dapat memperkukuhkan perpaduan yang amat penting kepada pembangunan negara.

Oleh Prof Dr Teo Kok Seong adalah Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Toleransi demi 1Malaysia

Oleh ANUAR AHMAD

RAKYAT sebenarnya sangat berharap untuk melihat satu bentuk baru kenegaraan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, khususnya menjelmakan janji 'mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian'. Apa yang rakyat ingin lihat ialah pelaksanaan gagasan Satu Malaysia secara menyeluruh dan konsisten dalam semua aspek kehidupan rakyat negara ini, tanpa membezakan warna kulit, perbezaan agama serta budaya etnik.

Sudah banyak yang digariskan oleh Perdana Menteri tentang gagasan 'Satu Malaysia', kebanyakannya secara terpisah-pisah di dalam ucapan-ucapan beliau sama ada di parlimen, mesyuarat Kabinet, Majlis Tertinggi UMNO dan di majlis rasmi yang dihadirinya. Dengan serangkaian nilai murni seperti integriti, penerimaan, adil dan sebagainya, gagasan ini nampaknya perlu disepadukan untuk dilestarikan makna dan niat baik beliau.

Konsep 1Malaysia perlukan wajah serta tindakan. 1Malaysia perlukan pengorbanan serta keikhlasan. Oleh itu pemupukan nilai toleransi melalui tindakan (bukan sekadar slogan) menjadi faktor utama kepada asas pembentukan 'Satu Malaysia'. Bagi membina toleransi, maka pemikiran yang terbuka serta tindakan yang lebih berani, liberal dan tidak popular adalah enjin utamanya.

Sudah menjadi bukti sejarah bahawa negara ini telah berjaya membentuk keharmonian kaum melalui usaha liberalisasi antara kaum khusus tindakan toleransi dan persefahaman dalam politik, ekonomi dan budaya. Misalnya, tindakan pemimpin Melayu seperti Tunku Abdul Rahman membenarkan konsep Jus Soli dilaksanakan sebagai asas kewarganegaraan pada tahun 1957 kepada masyarakat Cina dan India adalah satu liberalisasi yang sangat besar ertinya. Tindakan beliau bukan sahaja tidak popular malah telah mendapat tentangan ramai pemimpin orang Melayu ketika itu. Tetapi hasilnya kita seluruh rakyat Malaysia dapat hidup dengan aman pada hari ini.

Manakala kesanggupan pemimpin orang bukan Melayu seperti Tun Tan Cheng Lock, Tun Tan Siew Sin dan Tun V.T Sambanthan menerima baik dengan konsep hak dan keistimewaan Bumiputera, kedudukan agama Islam, bahasa dan status raja- raja Melayu juga merupakan satu toleransi yang telah menjayakan kehidupan bermasyarakat di negara ini. Itulah tahap pertama liberalisasi dan toleransi terlaksana secara berstruktur di negara ini.

Kini kita sudah memasuki fasa kedua liberalisasi dan toleransi. Fasa baru ini ditandai dengan perubahan hidup masyarakat yang mengungkap bentuk-bentuk baru kemasyarakatan yang harus dikendalikan dalam bentuk yang baru, bermula sejak tahun 1991.

Tamatnya DEB fasa satu dan timbulnya Wawasan 2020 adalah penanda kepada fasa kedua liberalisasi berlaku. Maka para pemimpin politik sama ada kerajaan atau pembangkang harus menerima keadaan ini demi kesejahteraan dan survival rakyat negara ini.

Apabila migrasi penduduk Melayu ke bandar besar bermula pada era 1970-an menjadi matang sekarang, masyarakat Melayu dan bukan Melayu tidak lagi hidup seperti mana pada zaman penjajahan, terpisah antara satu sama lain. Kini mereka berjiran, bekerja dan berekreasi di ruang yang sama.

Selain itu, perkembangan perindustrian serta tekanan globalisasi telah mewujudkan masyarakat berpendidikan, tidak lagi seperti era awal abad ke-20. Sektor pekerjaan yang berasaskan etnisiti juga sudah mula berubah berbanding zaman sebelum merdeka dahulu. Semua ini mengubah bentuk serta struktur hubungan kaum di negara ini.

Demi meningkatkan daya saing negara, nampaknya Najib mula mendahului langkah liberalisasi dengan melaksanakan dasar liberalisasi ekonomi. Kini sektor perkhidmatan mula dikongsi secara bersama dengan semua kumpulan etnik.

Liberalisasi 27 sub-sektor perkhidmatan merupakan satu tindakan liberalisasi beliau yang berani. Sekarang liberalisasi ekonomi akan mula menjangkau ke bidang lain seperti francais, automotif serta pembinaan.

Apa yang lebih penting ialah tindakan ini seharusnya di uar-uar sebagai satu usaha ke arah membina gagasan 1Malaysia secara perlahan-lahan.

Secara sejarahnya, ikatan kontrak sosial yang rigid antara Melayu dan bukan Melayu telah menjadi sebab utama untuk masyarakat Melayu dan bukan Melayu bertelagah antara satu sama lain. Seharusnya kontrak sosial dilihat semula supaya lebih dinamik dan pragmatik agar toleransi kaum dapat direalisasikan sepenuhnya. Tetapi pada masa yang sama harus dikekalkan tujuan dan aspirasi sebagaimana terkandung dalam Perlembagaan negara.

Mungkin kontrak sosial ini perlu lebih terbuka, toleran dan mengutamakan keadaan menang-menang pada semua kaum. Satu yang pasti di negara ini ialah jika ada mana-mana kaum yang cuba bercita-cita untuk menguasai semuanya tanpa mahu berkongsi dengan kaum lain maka lambat-laun mereka pasti akan hilang semuanya.

Jika ada orang Cina bercita-cita ingin menguasai seluruhnya ekonomi negara atau ada orang Melayu mencuba mahu menguasai seluruh kuasa politik negara, akhirnya mereka semua akan menggigit jari. Percayalah, waktunya akan tiba jika kita tidak berhati-hati.

Ini hakikat perkongsian antara kaum di dalam sebuah negara bernama Malaysia, sama ada kita suka atau pun tidak. Pada yang ekstrem, mereka akan berkata biarlah jika begitu yang terjadi asalkan kami dapat apa yang kami mahu. Tetapi bukan semuanya rakyat berfikiran ekstrem, sebahagian besar masyarakat ingin hidup dalam keamanan, boleh berkongsi serta bersama-sama ingin membangunkan negara ini.

Maka penilaian semula terhadap dasar serta polisi berkaitan pengagihan ekonomi perlu dilihat semua. Sebagai contoh, walaupun hak istimewa orang Melayu yang sudah termaktub dalam Perlembagaan negara, pelaksanaannya kaedah pengagihan bantuan kerajaan masih boleh dinilai semula mengikut keadaan dan situasi semasa supaya turut dinikmati oleh semua kaum di negara ini.

Apakah orang Melayu tidak boleh bersifat sedikit terbuka rasa 'ketuanan' mereka dengan memberikan bantuan kepada golongan bukan Melayu yang miskin untuk pembiayaan perniagaan kecil melalui geran kerajaan, atau pembiayaan pengajian anak-anak mereka ke universiti.

Kerajaan perlu membina model baru ekonomi seperti DEB dengan roh 'Semangat Satu Malaysia'. Dasar baru ini jangan lagi terlalu rigid dan tidak lagi harus terikat dengan semangat Melayu semata-mata tetapi juga harus mengambil kira ukuran kemiskinan sebagai asas bantuan. Orang Melayu yang miskin wajib dibantu, begitu juga dengan orang bukan Melayu yang serba kekurangan.

Apabila orang Melayu boleh melaksanakan sifat liberalisasi, maka masyarakat Cina dan India juga harus tahu bersyukur dan boleh bertoleransi. Sebagai contoh, dengan mula membenarkan kewujudan sekolah satu aliran di dalam negara ini. Bukan untuk keuntungan orang Melayu tetapi demi hidup bersama. Demi perpaduan generasi masa depan.

Pentingnya liberalisasi pendidikan ini kerana tanpa sekolah satu aliran maka sampai bila pun negara ini tidak akan berganjak ke hadapan untuk membina sebuah masyarakat 'Satu Malaysia'.

Tindakan liberalisasi pendidikan oleh masyarakat bukan Melayu akan mula membina kepercayaan dan keinginan di kalangan orang Melayu bertoleransi di dalam sektor yang lain. Ini adalah satu permulaan bagi tujuan membina satu Malaysia yang diidamkan oleh semua.

Kajian psikologi sosial menunjukkan bahawa sesebuah masyarakat yang tidak mempunyai tahap toleransi yang tinggi bermula di dalam persekitaran kumpulan etnik sendiri yang tidak liberal.

Contoh mudah, bayangkan dalam sebuah keluarga yang ibu bapa terlalu autokratik dan tidak mengamalkan budaya yang sedikit terbuka, pasti anak-anak tidak akan mempunyai kepercayaan pada orang lain dan mereka biasanya tidak mempunyai budaya toleransi di kalangan rakan-rakan di sekolah.

Bagaimana pun, liberalisasi ini juga harus ada batasnya dan Perlembagaan negara adalah batas sempadannya. Bagaimana pun, penterjemahan kepada Perlembagaan negara haruslah lebih terbuka, sesuai dan adil pada semua kaum di negara ini.

Rasa hormat dan akur harus diberikan kepada Perlembagaan negara. Tanpa penghormatan kepada perlembagaan, sukar untuk menentukan takat mula dan sempadan keterbukaan, maka dibimbangkan tuntutan atau desakan oleh pihak tertentu akan melampaui tahap yang bersusila. Maka akan gagal juga cita-cita untuk membina '1Malaysia'.

ANUAR AHMAD ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia
Berpaksikan Perlembagaan


Pelbagai kaum memainkan alat muzik tradisional masing-masing tapi mesti mengalunkan satu irama yang sama. - gambar hiasan


SEWAKTU Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan konsep 1 Malaysia pada 3 April lalu, perkiraan awal banyak pihak ia mampu mengimbangi desakan dan tuntutan yang menjurus kepada kepentingan kaum.

1 Malaysia antara lain menekankan prinsip keadilan dan kesaksamaan di kalangan rakyat tanpa menafikan apa yang hak dan apa yang wajar dikongsi bersama dalam semangat bangsa Malaysia.

Sebelumnya atau lebih tepat selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, isu-isu sensitif yang melangkaui batas perkauman dihidupkan silih berganti oleh segelintir pihak.

Namun, selepas beberapa penjelasan dari pelbagai sudut dibuat dalam memahami semangat 1 Malaysia, hakikatnya ia masih belum dapat diterima dalam erti kata yang sebenarnya.

Sebaliknya, 1 Malaysia telah diterjemah mengikut sejauh mana ia mendatangkan manfaat atau kelebihan kepada diri atau kumpulan tertentu.

Lebih malang, ia diambil kesempatan pula untuk mewajarkan sesetengah tuntutan yang kononnya selari dengan konsep 1 Malaysia meskipun jelas melanggar batas-batas perkauman.

Desakan untuk membawa pulang pemimpin komunis, Chin Peng misalnya, secara jelas membelakangkan semangat patriotik dan nasionalisme yang menjadi tunjang kepada 1 Malaysia.

Biar dari sudut mana sekali pun, sejarah tidak pernah mencatatkan perjuangan komunis sebagai sesuatu yang berjasa kepada negara.

Sebaliknya ia lebih banyak menyimpan memori hitam dan penderitaan lebih-lebih kepada mereka yang pernah hidup sewaktu zaman Bintang Tiga (Parti Komunis Malaya) berkuasa.

Justeru apa rasionalnya apabila ada sesetengah pihak cuba menukar Chin Peng menjadi hero negara dengan membawanya pulang ke tanah air? Begitu juga dengan perdebatan mengenai peruntukan biasiswa kepada bumiputera dan bukan bumiputera.

Isu ini juga sudah dibincangkan merentasi zaman, dan penjelasannya juga tidak pernah berubah sesuai dengan objektif pelaksanaannya. Bantuan itu adalah bagi pelajar yang layak meneruskan pengajian dari keluarga miskin, yang kebanyakannya merupakan orang Melayu.

Lalu tidak timbul soal keistimewaan dalam pemberian biasiswa pendidikan sementelah ia juga mematuhi apa yang ditetapkan di bawah Perkara 153, Perlembagaan.

Menurut pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian, Satu Malaysia melangkaui usaha untuk mengukuhkan perpaduan dan mewujudkan peremuafakatan antara kaum.

Apa yang penting di bawah gagasan besar itu ialah pemahamannya perlu berpaksikan kepada Perlembagaan, semangat Rukunegara dan persetujuan bersama di bawah kontrak sosial.

Dalam erti kata yang lain, 1 Malaysia perlu mempunyai nilai pengorbanan dan kompromi yang tinggi.

Usaha di bawah 1 Malaysia juga adalah untuk memastikan tidak ada kelompok masyarakat yang terpinggir dan terkebelakang.

Dalam masa yang sama, ia bertujuan memastikan dalam mana-mana kelompok etnik sekalipun, jurang intra dan inter etnik tidak besar seperti hari ini.

Sivamurugan menambah, dalam keadaan politik yang tidak menentu, pasti ada usaha menekan kerajaan dengan pelbagai cadangan dan pendapat yang tidak berasas.

''Mereka yang mendesak wajar menilai semula sejarah dan menyemai nilai patriotisme dan nasionalisme sebelum membuat sesuatu cadangan. Lebih parah desakan dan cadangan itu datangnya dari ahli komponen BN sendiri!," katanya.

Dalam kedudukan hari ini, semua ahli komponen sewajarnya berpegang kepada prinsip kolektif dan cuba membina kekuatan bersama.

Bukannya menjadi gunting dalam lipatan kerana dalam jangka panjang, ia boleh meruntuhkan apa yang sudah dibina sekian lama.

Jelas Sivamurugan, apa yang mahu diatasi dalam konsep 1 Malaysia adalah penaungan politik.

Yang mahu dicapai pula adalah kebergantungan ke atas nilai-nilai yang boleh menjadi penghubung kepada usaha meraikan kepelbagaian.

Bukan penghalang atau pemusnah ke atas hubungan antara etnik dan perpaduan.

Perpaduan yang bertunjangkan kepada penerimaan ke atas perbezaan dan menyuburkan nilai-nilai kemanusiaan sebenarnya adalah roh kepada 1 Malaysia.

1 Malaysia selanjutnya tambah Sivamurugan, tidak melihat kepada latar belakang etnik.

Tetapi memastikan bahawa setiap warga Malaysia bangga menjadi bangsa Malaysia dan berpegang kepada kesemua lapan prinsip 1 Malaysia.

''Walaupun berbeza dari segi pemahaman dan kepercayaan, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk terbelenggu dengan gaya hidup yang mundur, miskin dan hidup melarat," katanya.

Apa yang dimahukan oleh kerajaan ialah dengan berpegang kepada slogan ini, kesemua warga Malaysia akan hidup dalam keadaan rukun dan damai serta berkualiti.

Bagaimanapun Sivamurugan tidak menolak, 1 Malaysia masih dalam mencari acuan yang terbaik untuk memenuhi komposisi kependudukan negara ini.

Justeru, penerangan mengenainya perlu dijalankan secara berterusan dalam melahirkan keyakinan di bawah satu gagasan besar dan payung 1 Malaysia yang menyeluruh.

Barangkali, ramai yang terlalu seronok dengan slogan ini tanpa menyelami inti pati dan makna yang cuba disampaikan.

Maka lahir pelbagai tafsiran dan kekeliruan serta kritikan dan penolakan daripada pelbagai pihak.

Apa yang penting tambah Sivamurugan, keyakinan dan kepercayaan bahawa 1 Malaysia bukan bersifat retorik dan kosmetik semata-mata hanya dapat dibuktikan menerusi pencapaian dalam bentuk pelaksanaan.

Untuk itu, kerajaan perlu mencipta program dan aktiviti untuk menjayakannya supaya mencapai kumpulan sasar.

Sama ada di bandar atau luar bandar atau di setiap peringkat lapisan masyarakat.

Paling utama, agensi kerajaan sendiri serta kakitangan awam perlu memahami sejelas-jelasnya konsep 1 Malaysia supaya ia boleh diterjemah dalam bentuk dasar yang berterusan dan tidak bersifat bermusim.

Chin Peng ujian pertama 1 Malaysia

Oleh ANUAR AHMAD

KONSEP 1 Malaysia nampaknya menerima ujiannya yang pertama. Maka tunjukkan semangat 1 Malaysia yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri. Masa telah tiba untuk semua rakyat Malaysia bersatu menunjukkan rasa benci pada Chin Peng dan Parti Komunis Malaya (PKM), bukan kerana prejudis terhadap identiti kaum atau agamanya, tetapi kerana semangat mempertahankan kestabilan dan kemakmuran negara.

Apabila Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr. Teng Hock Nan mencadangkan kepada kerajaan membenarkan pemimpin PKM Chin Peng kembali ke Sitiawan, Perak, agaknya apalah niat yang cuba disampaikan.

Tindakan kurang bijak ini bukan sahaja mengguris hati seluruh anggota pasukan keselamatan yang menggadai nyawa untuk menjaga keamanan termasuk keselamatan Hock Nan dan keluarganya. Tetapi seperti cuba melukakan kembali parut lama yang sudah sembuh sepenuhnya.

Seperti biasa masyarakat Malaysia khasnya orang Melayu begitu sabar dan matang menguruskan kebiadaban pemimpin Gerakan ini.

Tidak benar jika kemarahan orang ini dianggap sebagai orang Melayu bersifat perkauman.

Sebagai Pengerusi Parti Gerakan peringkat negeri yang menjadi salah satu parti komponen Barisan Nasional (BN), jelas sekali tindakan beliau sangat tidak kena pada tempatnya. Nampaknya beliau sengaja cuba mencabar kewibawaan Senator Tan Sri Koh Tsu Koon, Pengerusi Kebangsaan Parti Gerakan yang kebetulan dipertanggungjawabkan menjaga soal perpaduan dan hubungan etnik di negara ini.

Hock Nan seolah-olah cuba 'memalukan' ketuanya di mata rakyat dan pemimpin komponen BN yang lain.

Seperti ada sesuatu yang sangat tidak kena sejak setahun yang lalu berkaitan perpaduan serta integrasi kaum di negara ini. Seolah-olah sudah ada rancangan yang teratur oleh pihak tertentu cuba untuk menghuru-hara kestabilan negara. Bermula dengan isu-isu kontrak sosial, tuntutan pemansuhan hak masyarakat Melayu, kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu hinggalah kepada kedudukan raja-raja Melayu yang dilihat lebih bersifat dalaman, kini konflik ini sudah berkembang dengan menggunakan isu luaran seperti cadangan menerima kembali Chin Peng.

Janganlah berlagak seolah-olah tidak tahu sentimen rakyat Malaysia terhadap pengganas komunis. Masih ramai lagi generasi darurat yang masih hidup hingga ke hari ini. Sebagai pengajaran, pencadang kepada usul ini sepatutnya dikenakan tindakan yang berat supaya cadangan berbentuk hasutan ini jangan sekali-kali dijadikan mainan untuk populariti politik.

Bagi mencegah sentimen ini berterusan, langkah jangka panjang seelok-eloknya tindakan menjadikan 1 Malaysia sebagai pendidikan harus dimulakan. Satu Malaysia tidak boleh dijadikan sekadar slogan untuk perpaduan.

1 Malaysia perlu diisi dengan pengetahuan sejarah negara, nilai benci kepada propaganda politik dan anasir yang cuba menggugat kestabilan negara.

1 Malaysia seharusnya dikembangkan sejak di sekolah rendah dan menengah sebagai satu bidang ilmu baru yang mengarah kepada pembentukan masyarakat yang boleh memahami struktur dan sejarah pembentukan negara, kontrak sosial serta bagaimana untuk menghindari bencana perkauman pada masa depan.

Melalui pendidikan 1 Malaysia sama ada sebagai satu mata pelajaran atau dibina merentas kurikulum sedia ada, perlu dijadikan ilmu wajib kepada semua pelajar.

Anuar Ahmad ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
1Malaysia dalam 'bahasa rakyat'


Najib Tun Razak bersalaman dengan pelbagai lapisan masyarakat pada majlis sambutan Minggu Perpaduan 2009 Peringkat Kebangsaan di Puchong, baru-baru ini.


KONSEP 1Malaysia atau Satu Malaysia yang berteraskan 'Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan' jelas menunjukkan betapa kesungguhan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merealisasikan transformasi yang meletakkan rakyat sebagai keutamaan.

Namun begitu konsep ini tidak akan sampai menusuk ke dalam hati dan jiwa setiap rakyat sekiranya konsep ini tidak dapat mereka fahami mengikut cara masing-masing. Terdapat ramai rakyat yang mungkin masih tertanya-tanya dan keliru dengan konsep Satu Malaysia.

Rakyat pastinya akan tertanya-tanya dengan gagasan Satu Malaysia, transformasi dan liberalisasi, akhirnya rakyat dapat apa?

Rakyat mesti faham Malaysia merupakan satu-satunya negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama tetapi dapat mengekalkan kemakmuran sejak 52 tahun merdeka walaupun diusik oleh segelintir mereka yang mempunyai agenda tersendiri.

Kejayaan ini dikecapi hasil daripada usaha pemimpin-pemimpin terdahulu yang menjadikan kemajmukan rakyat sebagai sumber kekuatan untuk kesejahteraan dan perpaduan di kalangan rakyat.

Gagasan ini merupakan satu ramuan utama ke arah perpaduan, kebersamaan, kekitaan dan saling tolong-menolong tanpa mengira warna kulit ibarat berteduh di bawah satu rumah dalam sebuah keluarga yang besar.

Walaupun disogok dengan pelbagai tafsiran oleh pihak pembangkang rakyat harus mengakui bahawa kemajmukan yang ditanam sejak sekian lama adalah hakikat yang harus diterima oleh semua tanpa mengira ideologi politik.

Kesungguhan kerajaan terutamanya Perdana Menteri begitu ketara sekali namun jika rakyat tidak memahami, menerima dan merasainya, konsep ini hanya tinggal sebagai konsep sahaja yang hanya difahami oleh pemimpin-pemimpin dan sebahagian daripada kita sahaja.

Ternyata bebanan ini amat bergantung kepada Datuk Seri Dr. Rais Yatim atau lebih tepat Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan untuk memikul amanah bagi memastikan setiap warga Malaysia memahaminya.

Adakah cukup sekadar membina laman blog untuk memberi penerangan atau kempen melalui televisyen dan radio? Pastinya rakyat perlu diceritakan konsep ini mengikut 'bahasa rakyat'.

Jika hendak memenangi dan memberi kefahaman kepada rakyat, kita perlu menjadi 'rakyat', tinggal, duduk dan bersembang mengikut cara mereka.

Jika terdapat segelintir daripada masyarakat yang gemar berbincang di warung-warung kopi, maka dalam memberi penjelasan konsep ini, wakil-wakil kerajaan yang bertanggungjawab perlu bersama-sama orang kampung di sana.

Jika perlu beralih kepada cara lama iaitu menggunakan wayang pacak, wayang kulit, dikir barat, rodak dan boria sebagai wadah untuk mengajak orang kampung berkumpul maka lakukanlah, asalkan mesej dan kefahaman yang jelas tentang konsep Satu Malaysia dapat disampaikan.

Jika sukan boleh dijadikan wadah untuk mendekati golongan belia yang berjumlah 12 juta orang untuk menerangkan konsep ini, maka agensi yang berkaitan perlu melaksanakan tanggungjawab dalam memberi kefahaman ini.

Jika golongan profesional memerlukan pendekatan yang profesional, maka kerajaan perlu segera mendekati mereka agar tidak ada rakyat membuat tafsiran dan kefahaman sendiri tentang konsep Satu Malaysia.

Ini bukan masanya untuk kita bergegar berdebat membincangkan isu tentang konsep Satu Malaysia tetapi rakyat ternganga-nganga membuat kesimpulan mengikut kefahaman mereka.

Waima apa jua yang direncanakan, apa yang rakyat mahukan adalah pemimpin atau lebih tepat lagi wakil rakyat mereka yang sentiasa berada bersama mereka ketika susah dan senang bukannya masa hampir pilihan raya atau jika ada liputan media.

Apa yang mereka mahukan jika ada kematian, Yang Berhormat (YB) mereka datang mengunjung, jika ada kenduri YB mereka datang bertandang, jika ada jalan rosak, rumah dipukul ribut, YB datang menghulurkan bantuan dan membuat penyelesaian segera.

Rakyat mahukan pemimpin yang mengota apa yang dikata, cakap serupa bikin dan bikin serupa cakap. Tidak cukup sekadar berkobar-kobar ketika berdebat tetapi longlai ketika berdepan masalah rakyat.

Dalam mengharungi proses transformasi ini, rakyat mahukan pemimpin yang bukan sahaja mengetahui dan memahami kesusahan mereka, tetapi pemimpin yang dapat 'merasai' kesakitan mereka.

Misalnya apabila lif rosak maka terpaksa mereka memerah keringat dan bertongkat untuk sampai ke rumah masing-masing di tingkat atas, ada pemimpin yang dapat membuat penyelesaian segera.

Jika ini dapat dirasai oleh para pemimpin rakyat, pastinya hasrat dan aspirasi kerajaan lebih mudah untuk mereka terima dan fahami. Dekati, fahami, selami dan menjiwai setiap kesusahan rakyat.

Rakyat perlu diberi kefahaman yang jelas kerana konsep Satu Malaysia ini begitu menarik dengan matlamat antaranya setiap rakyat yang berkelayakan dan memerlukan pertolongan akan dibantu oleh kerajaan.

Kerajaan juga akan memastikan tidak akan ada mana-mana pihak yang tercicir. Kerjaan mengutamakan setiap warganegara mempunyai hak dan tanggungjawab masing-masing seperti mana yang digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Namun matlamat murni ini tidak akan tercapai seandainya rakyat tidak dapat menghayati, memahami dan merasai kesungguhan kerajaan untuk meletakkan rakyat di hadapan.

Konsep Satu Malaysia perlu difahami oleh setiap rakyat dengan kefahaman yang betul. Ini kerana dalam konteks masyarakat majmuk, jika fikiran rakyat disogokkan dengan kefahaman yang salah, maka fikiran mereka akan berkecamuk. Natijahnya pilihan rayalah tempat mereka 'mengamuk'.

Satu Malaysia perlu sampai ke telinga rakyat dengan satu kefahaman yang jelas dan ikhlas. Jangan jadi seperti mengalunkan lagu kepada si pekak, irama dan melodinya lunak merdu tetapi tidak dapat dinikmati dengan jelas, tetapi jika kena alunannya, si pekak dapat menghayatinya walaupun iramanya perlahan.

PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara, Perlis.

Pertahankan Satu Malaysia, usah layan tuntutan bukan-bukan

JIKALAU kerajaan bersikap lembut dan terbuka, tuntutan ahli Kabinet yang meminta kaedah pemberian biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dibuat secara meritokrasi mungkin akan dilayan.

Begitu juga permintaan pemimpin pertubuhan haram Hindraf supaya kerajaan memberi status Bumiputera kepada penduduk kaum lain yang lahir di negara ini selepas merdeka.

Kita tidak hairan jika dua tuntutan itu dan mungkin banyak lagi permintaan 'lama' daripada bukan Melayu selepas ini, dibuat menggunakan alasan gagasan Satu Malaysia.

Sejak gagasan itu diperkenalkan, ia menjadi alasan utama kononnya untuk menyatukan seluruh penduduk negara ini dan memberi makna sebenar kepada Satu Malaysia. Tetapi sesungguhnya 'ada udang di sebalik batu.'

Pemimpin politik dan kaum tertentu hanya mahu mengambil kesempatan supaya perkara-perkara yang dituntut, akhirnya menjadi batu loncatan untuk politik mereka.

Sebab itu dalam kerajaan sedang giat berkempen Satu Malaysia, janganlah pihak tertentu cuba mengelirukan rakyat dengan memberi tafsiran yang bukan-bukan.

Sikap 'lebih sudu daripada kuah' ini memang wajar ditegur oleh Perdana Menteri.

Sebelum pihak-pihak tertentu memandai-mandai dan membuat tuntutan yang sememangnya tidak boleh ditolak ansur, maka adalah wajar Datuk Seri Najib Tun Razak menegur beberapa pihak yang cuba mengambil kesempatan daripada gagasan Satu Malaysia.

Perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan usah diganggu dengan usaha untuk mengubah suai kandungannya. Hormati hak istimewa Bumiputera dan akur dengan dasar-dasar yang dibuat oleh negara.

Selama ini tidak ada mana-mana kaum yang disisihkan oleh kerajaan. Semua kaum mendapat pembelaan yang saksama.

Dalam keadaan sosio-politik negara yang diuji segenap sudut, maka menjadi tanggungjawab rakyat untuk mempertahankan hubungan antara kaum.

Perpaduan adalah formula pembangunan negara. Lalu, idea Perdana Menteri mencetuskan gagasan Satu Malaysia adalah untuk meningkatkan penghayatan rakyat pelbagai kaum dan agama terhadap aspek perpaduan nasional.

Memang perpaduan negara perlu sentiasa disemarakkan.

Tetapi agak malang, apabila sesetengah pemimpin bukan Melayu kurang faham lalu menganggap Satu Malaysia sebagai platform untuk melontar tuntutan yang bukan-bukan.

Kita amat bimbang, jika semua pihak terus mempersoalkan apa yang dipersetujui dalam Perlembagaan maka ia akhirnya hanya akan menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.

Oleh itu, pemimpin politik atau pemimpin yang mewakili kaum masing-masing elok hentikan desakan untuk mengubah dasar kerajaan terhadap status dan hak istimewa Bumiputera.

Selagi ada bulan dan bintang, kita percaya kerajaan akan mempertahankan dasar-dasar yang sebelum ini ternyata berjaya menyatukan kaum dan mengimbangkan kestabilan negara
Gagasan Satu Malaysia perlu formula BM > 2T

RUPA-RUPANYA setelah 52 tahun merdeka, Malaysia masih belum benar-benar berjaya menyatukan rakyatnya yang pelbagai kaum. Ia menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa memperkenalkan gagasan Satu Malaysia.

Berbeza dengan Malaysian Malaysia yang cuba 'diperjuangkan' oleh pembangkang, konsep Satu Malaysia bermatlamatkan perpaduan nasional dan bukannya ruang cauvinis membuat tuntutan bukan-bukan.

Jika selama ini perpaduan hanya berasaskan konsep toleransi, kini ia dilihat perlu ditingkatkan kepada konsep penerimaan. Maksudnya, rakyat harus menerima hakikat sejarah dan sosiobudaya yang menjadi latar kepada konsep negara bangsa Malaysia.

Namun persoalan paling asas bagi penghayatan konsep penerimaan ini ialah sejauh manakah ketelusan dan ketulusan (2T) semua kaum?

Sejauh manakah orang Melayu dapat menerima orang Cina, orang India dan suku pribumi di Semenanjung dan Sabah serta Sarawak, sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia? Sejauh manakah pula kaum dan etnik lain itu mengiktiraf orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini?

Persoalan-persoalan itu hanya dapat dijawab dengan telus dan tulus jika semua rakyat bertutur dalam bahasa yang sama.

Walaupun termaktub dalam Perlembagaan Malaysia bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, oleh itu ia menjadi bahasa penyatuan. Tetapi kebanyakan rakyat malah kalangan pemimpin negara sendiri masih tidak menghayatinya.

Masing-masing leka dengan status quo dan bersikap prejudis terhadap kaum lain. Masih ada kepercayaan dalam hati bahawa kelainan akan menimbulkan persaingan "hidup-mati". Justeru, apa yang masih ada perlu dipertahankan. Kelainan gagal menimbulkan minat untuk perkongsian, sebaliknya menebalkan lagi bibit-bibit perkauman.

Justeru, faktor Formula BM > 2T iaitu Bahasa Malaysia > Telus dan Tulus, perlu dijadikan akar gagasan Satu Malaysia jika mahu mencapai matlamat perpaduan tulen.

Formula ini hanya boleh diuji apabila semua kaum bercakap dalam satu bahasa.

Secara psikologi, jika dua pihak (A dan B) berbual dalam satu bahasa, tiba-tiba pihak ketiga menyampuk dengan bahasa lain yang hanya difahami sama ada oleh A atau B sahaja, maka pasti ada yang terasa. Perasaan kurang senang itu akan menimbulkan prejudis dan boleh membawa kepada kerenggangan dalam hubungan sesama rakyat.

Begitulah analogi bagi fungsi bahasa sebagai alat komunikasi bagi mencapai perpaduan. Bagaimana mungkin pelbagai kaum boleh disatukan jika masing-masing masih dibenarkan bercakap dalam bahasa yang saling tidak difahami.

Hal ini menyebabkan jurang komunikasi yang membawa kepada kegagalan untuk rakyat menjadi lebih rapat dan bersatu. Bagaimana boleh diukur kefahaman seseorang jika ciri bahasa tidak dikongsi bersama?

Kontrak sosial negara menyarankan bahasa yang difahami oleh semua dijadikan sebagai bahasa kebangsaan.

Terbukti ia adalah bahasa Melayu. Malangnya, tidak semua dapat menerimanya walaupun konon berpegang teguh kepada konsep toleransi dan demokrasi.

Dalam kalangan orang Melayu sendiri termasuk para pemimpin, masih ada yang tidak yakin dengan martabat yang disepakati bersama itu. Justeru, "Apalah diharap padi seberang."

Slogan "Bahasa menunjukkan bangsa" perlulah dihayati dengan setulus-tulusnya. Konsep 'bangsa' pula perlu dilihat secara menyeluruh. Bangsa Malaysia bukannya terhad kepada kaum Melayu sahaja. Ia terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India serta pribumi di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Jangan lupa kaum-kaum minoriti lain. Kepelbagaian kaum akan memperlihatkan variasi bahasa yang rencam.

Malaysia sepatutnya cemburu dengan kejayaan Indonesia menggunakan bahasa Indonesia untuk menyatukan ribuan etnik di negara kepulauan itu.

Jika selama ini semua kaum di Malaysia bertoleransi dalam pelbagai perkara, sudah tiba masanya untuk kita menghayati konsep 'penerimaan.'

Kita perlu faham bahawa toleransi mengandungi dua semangat iaitu memberi dan menerima. Tidak selamanya sesuatu kaum itu boleh memberi sahaja dan juga tidak selamanya sesuatu kaum itu boleh menerima sahaja.

Sejak 2007, bahasa Melayu diubah menjadi bahasa Malaysia. Pengorbanan 'mematikan' bahasa Melayu supaya ia tidak dilihat milik Melayu sahaja, harus dihargai oleh semua kaum demi mencapai hasrat Satu Malaysia.

Jadi, gunakanlah bahasa Malaysia supaya kita semua telus dan tulus.

DR. SHARIFUDIN LUBIS

Universiti Putra Malaysia
Pastikan bumiputera berjaya


Rahim Tamby Chik bersalaman dengan Mohd. Noordin Abbas sambil diperhatikan oleh Norizan Sharif dan Datuk Chamil Wariya sebelum Kolokium 1Malaysia Halatuju Ekonomi Bumiputera di Risda, Kuala Lumpur, kelmarin.


SELAIN daripada pandangan ahli panel, kolokium 1Malaysia: Hala Tuju Ekonomi Bumiputera turut membuka peluang kepada peserta untuk berkongsi pandangan. Kepelbagaian latar belakang peserta yang terdiri daripada ahli perniagaan, pegawai kerajaan, ahli akademik dan pemimpin persatuan perniagaan membolehkan isu yang dibincangkan dikupas daripada sudut yang berbeza dan menarik.

Antara beberapa perkara yang menuntut penjelasan selanjutnya daripada ahli panel termasuk soal status syarikat bumiputera iaitu kumpulan bumiputera mana yang dimaksudkan. Turut dilontarkan ialah permasalahan mengenai kesukaran syarikat bumiputera mendapatkan bantuan modal. Keputusan kerajaan memansuhkan kementerian MeCD turut mengundang keresahan komuniti usahawan bumiputera.

Berikut pandangan ahli-ahli panel:

NORIZAN: Dalam soal MeCD, saya tidak hanya bercakap dalam konteks membantu usahawan bumiputera semata-mata. Kerana saya sentiasa yakin tanggungjawab ini tidak harus dibebankan kepada satu atau dua kementerian.

Apa yang saya tekankan ialah MeCD itu sebenarnya lebih kepada menyediakan peluang pekerjaan untuk orang Melayu. Ketika ramai yang bercakap mengenai institusi kewangan seperti terutama bank yang seolah-olah tidak mahu membantu usahawan Melayu, saya cuba melihat dengan meletakkan diri di pihak bank.

Jika Melayu itu dilonggokkan dengan pelbagai elemen negatif, maka saya juga agak sukar untuk meluluskan pinjaman. Jadi bagaimana kita mahu mengubah persepsi bahawa orang Melayu itu sebagai bangsa yang gagal dan sentiasa memerlukan bantuan. Hakikatnya ramai orang Melayu yang mampu menjadi usahawan berjaya.

Oleh itu bagaimana kita mahu tonjolkan kejayaan Melayu ini supaya apabila pihak bank ada keyakinan untuk membantu. Ini harus difikirkan supaya jangan dilihat Melayu itu dalam kelompok usahawan yang gagal. Saya suka mengaitkan dalam konteks belia yang man kita sering menyatakan belia itu adalah aset. Tapi cara kita melihat dan melayan belia adalah sebaliknya.

Semua yang dilakukan belia itu tidak betul sehingga kita merasakan mereka adalah liabiliti. Begitu juga yang berlaku terhadap usahawan Melayu.

Saya tertarik kepada pandangan yang mengatakan bahawa ada kegagalan dalam sistem penyampaian di antara kerajaan dengan komuniti usahawan bumiputera dan rakyat kebanyakan. Saya melihat terutamanya selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, kerajaan seolaholah tidak tahu bagaimana caranya untuk berkomunikasi dengan rakyat.

Dalam peranan media baru kerajaan seolah-olah hilang arah dan masih bercakap tentang media arus perdana. Saya ambil contoh satu isu yang ditulis oleh media cetak dikupas daripada sudut yang berbeza oleh lebih ramai penulis blog.

Maka, kupasan di blog itu pastinya akan mempunyai pengaruh yang besar sebab ia melibatkan ramai pihak. Jadi kerajaan perlu melihat perkara ini dengan serius iaitu bagaimana untuk berkomunikasi dengan generasi X dan Y.

MOHD. NOORDIN: Saya tertarik dengan pelbagai komen yang diberikan terutamanya mengenai pelbagai masalah yang dihadapi. Apa yang boleh saya cadangkan kepada GABEM ialah permasalahan yang ditimbulkan ini bukanlah sesuatu yang asing.

Salah tanggapan atau pandangan negatif terhadap komuniti usahawan Melayu ini sememangnya serius sehingga sudah ada persepsi negatif di kalangan pihak bank terhadap mereka.

Bagi saya tanggungjawab di sini ialah bagaimana kita untuk menukar salah tanggapan ini. Apa yang perlu dilakukan untuk meyakinkan pihak bank bagi menolong usahawan bumiputera.

Kita sudah ada contoh yang mana usahawan bumiputera mampu menolong syarikat bukan bumiputera berkembang sehingga ke peringkat antarabangsa. Pastinya dengan kemampuan itu, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menolong mana-mana syarikat bumiputera.

Sekarang kita sudah sedia maklum masalah yang dihadapi oleh usahawan bumiputera. Maka seharusnya kita bersama-sama mencari formulasi bagaimana untuk mengubah persepsi negatif itu.

Cabarannya ialah bagaimana untuk kita mencapai kejayaan itu bukan secara mensabotaj orang lain, tetapi menerusi kredibiliti dalam apa jua yang kita lakukan seterusnya mendapat penghormatan daripada kaum lain.

Rahim Thamby Chik: Dari segi definisi istilah bumiputera, istilah majoriti itu ada 100 peratus, 49 peratus atau 30 peratus. Tapi apa yang diharapkan biarlah syarikat 100 peratus bumiputera itu menjadi lebih baik. Bagaimanapun dalam keperluan masyarakat perniagaan, adalah lebih kita menggunakan kaedah perkongsian iaitu dengan penyertaan pelbagai kaum.

Ini kerana dari segi penguasaan ekonominya, kaum bukan bumiputera adalah lebih baik. Maka boleh berlaku interaksi yang mana kaum bumiputera boleh menggunakan kepakaran, pengalaman dan kebijaksanaan kaum lain.

Keduanya kita mesti lihat dari sudut pasaran yang luas iaitu di peringkat rantau dan global. Sebab pasaran itu lebih besar dalam ia merupakan syarat bagi kita memperluaskan kek ekonomi. Kerana itu juga kita perlu pandai menggunakan bantuan yang ada.

Ketika ini bantuan daripada kerajaan sangat banyak dan berada di bawah pelbagai kementerian. Ini kadang-kadang menyebabkan masyarakat ekonomi bumiputera berasa keliru. Sebab itu saya rasakan kita perlu ada satu suruhanjaya yang menyelaras bentuk bantuan ini. Saya suka mencadangkan sekiranya Gabem menjadi satu pusat perantara yang boleh membekalkan maklumat kepada usahawan bumiputera menerusi satu portal misalnya.

Gabem bertindak dan menyelaras dengan bantuan badan-badan ekonomi lain.

Kita juga berhasrat untuk menubuhkan apa yang disebut sebagai Kelab Glokal Bumiputera (KGB). Iaitu persatuan yang menghimpunkan syarikat-syarikat bumiputera yang berjaya untuk turut bersama-sama membantu usahawan bumiputera lain.

Ini kerana tanggungjawab membantu dan mengangkat martabat masyarakat ekonomi Melayu itu tidak dipikul oleh kerajaan semata-mata.

Ahli KGB ini boleh menggunakan platform syarikat mereka untuk membantu syarikat bumiputera lain misalnya dengan menyalurkan bantuan berbentuk modal.

Menerusi KGB ini juga kita mahu membentuk menyediakan satu senarai syarikat bumiputera yang berjaya yang apabila ada projek bersaiz mega, kita boleh sarankan nama-nama mereka. Sebelum ini tidak ada pihak yang dapat menyediakan nama-mana syarikat ini kerana tiadanya satu koordinasi yang bersepadu.

Untuk itu GABEM berhasrat untuk menghubungi semua kementerian dan mendapatkan latarbelakang syarikat yang berjaya bukan sahaja untuk menjadi ahli KGB, tapi bagi membolehkan usahawan Melayu mengenalpasti dan menolong antara satu sama lain.

Sebenarnya inilah juga kejayaan kaum Cina menerusi kekuatan pertubuhan perniagaan yang mereka ada. Kerana tu kita berhasrat untuk merapatkan permuafakatan di kalangan setiap pejuang ekonomi Melayu bumiputera dan berjuang dalam satu keluarga dan pasukan. Supaya ada rangkaian bagi setiap apa yang berlaku untuk mengangkat antara satu sama lain.

Kita juga mahu ada permuafakatan antara syarikat berasaskan kerajaan (GLC) dan pegawai-pegawai kerajaan. Jika tidak sistem penyampaian kita akan hilang arah. Pembahagian projek misalnya boleh jadi diberikan kepada kroni-kroni.

Sebab itu kita mahu pegawai kerajaan yang menyedari tanggungjawab mereka supaya masyarakat ekonomi Melayu mendapat manfaat daripada perkhidmatan yang diberikan. Seterusnya dapat kita lahirkan satu sistem yang efisien, telus dan akauntabiliti.

Gerakan itu mesti efektif dan efisien dalam memastikan apa yang diluluskan pemerintah sampai kepada masyarakat ekonomi kebanyakan.

Saya juga sarankan agar kaum bumiputera melakukan jihad ekonomi. Bagi orang bukan bumiputera, perkataan jihad ini mungkin sesuatu yang ditakuti. Tapi bagi orang Islam jihad merupakan satu kewajipan.

Kita mahu melihat kecemerlangan adalah satu jihad yang harus bagi masyarakat ekonomi kita. Saya melihat politik tidak banyak membawa kesan perpaduan di kalangan kaum bumiputera. Sebaliknya peranan itu boleh dimainkan menerusi ekonomi.

Kemakmuran ekonomi akan membawa banyak faedah kepada pegangan kita. Kekuatan ekonomi juga merupakan rangsangan paling baik untuk menyumbang kepada satu perpaduan yang kukuh antara kaum di negara ini.

GABEM juga mahu menggalakkan satu syarikat dalam satu keluarga. Orang Melayu ramai yang kaya harta benda tetapi banyak juga yang terbiar. Seharusnya dalam satu keluarga itu ada sebuah syarikat yang tidak semestinya bertujuan untuk berniaga. Tetapi untuk mewujudkan budaya pengkorporatan dan memberi nilai kepada harta-harta kita.