Projek infrastruktur dinaik taraf

Oleh FAUZI JAAFAR dan SAYED HESHAM IDRIS

KUCHING 13 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu semua projek infrastruktur di seluruh negara ditambah nilai dan dinaik taraf supaya kemampuan dan keupayaan negara dalam pembangunan menjadi lebih hebat pada masa akan datang.

Perdana Menteri malah berkata, projek-projek tersebut perlu dilaksanakan mengikut permintaan agar mampu menampung keperluan dalam satu tempoh masa yang panjang dan memberi lebih banyak faedah kepada orang ramai.

‘‘Kita perlu menaik taraf, tambah nilai segala projek-projek infrastruktur dan pembangunan. Kita juga perlu merancang projek-projek untuk masa depan mengikut permintaan semasa dan ia perlu dilaksanakan segera.

‘‘Dengan itu saya percaya negeri kita akan maju,” katanya dalam ucapan Perasmian Persimpangan Bertingkat BDC bernilai RM120 juta dan Upacara Pecah Tanah serta Majlis Menandatangani Perjanjian di antara Starwood Asia Pacific & Resorts Pte. Ltd., dengan Global Upline Sdn. Bhd., di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Jeanne Abdullah, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Puan Sri Laila Taib dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Abdullah seterusnya mengulangi permintaan supaya semua projek infrastruktur dilaksanakan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat bagi memastikan ia berkualiti dan siap dalam tempoh dijadualkan.

Menurutnya, untuk mencapai objektif itu, kemampuan pihak perancang dan yang melaksanakan projek pembinaan perlu dipertingkatkan.

‘‘Jika keupayaan pihak perancang dan kontraktor masih di tahap lama, harapan untuk menghasilkan infrastruktur berkualiti dan siap dalam tempoh yang cepat akan gagal.

‘‘Dalam hal ini saya memuji industri pembinaan di Sarawak yang telah menunjukkan keupayaan meningkatkan kemampuan dari semasa ke semasa yang terbukti apabila projek persimpangan bertingkat ini mampu disiapkan 10 bulan iaitu lebih awal daripada jadual asal,’’ katanya.

Projek Persimpangan Bertingkat dimajukan oleh Global Upline Sdn. Bhd. bermula Disember tahun lalu dan dijadual siap dalam tempoh 18 bulan.

Jelas Abdullah, projek berkenaan adalah hasil kerjasama erat di antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

Katanya, kerjasama itu amat besar maknanya kerana melaluinya lebih banyak projek dapat dilaksanakan untuk rakyat.

Malah, Perdana Menteri menambah, sejak Sarawak menyertai Malaysia yang kini genap 50 tahun kemerdekaan, negeri ini telah menampakkan pembangunan yang memberi banyak faedah kepada rakyat.

Sehubungan itu, beliau berjanji akan terus merapatkan kerjasama antara Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri yang diterajui oleh Abdul Taib.

Jelasnya, Sarawak juga bakal memiliki koridor pembangunan sendiri yang kini di peringkat perbincangan mengenai skop ekonomi dan peruntukan.

Beliau percaya dengan potensi besar yang dimiliki Sarawak terutama sumber semula jadi, pelaksanaan koridor negeri itu kelak akan membawa kemajuan yang lebih hebat.

0 comments: