KUALA LUMPUR: Undang-undang baru bagi menangani masalah kebanjiran pekerja asing, termasuk pendatang haram di negara ini yang diumumkan kerajaan semalam, mampu mencapai matlamat sekiranya proses penguatkuasaaan dilaksanakan dengan berkesan.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan, berkata tidak ada sebab kehadiran tenaga kerja terbabit tidak dapat dikawal jika semua pihak, khususnya agensi kerajaan berkaitan sedia bekerjasama.
Katanya, menerusi undang-undang dikenali Akta Pekerja Asing itu, kerajaan sudah menetapkan pelbagai peraturan yang jelas dan perlu dipatuhi oleh majikan serta pekerja asing terbabit.
"Kita menyokong penuh langkah terbaru kerajaan ini kerana tidak ada sebab kita tidak boleh mengawal kehadiran mereka (pekerja asing) di samping mencegah kemasukan pendatang haram," katanya kepada Berita Harian, semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan kerajaan akan melaksanakan beberapa pembaharuan termasuk menggubal undang-undang baru bagi menangani kebanjiran pekerja asing serta mencegah kemasukan mereka secara haram ke negara ini.
Menerusi undang-undang dikenali Akta Pekerja Asing itu, beberapa syarat perlu dipatuhi antara majikan dengan pekerja asing, seperti perlindungan terhadap mereka, insurans, prosedur penggajian dan aduan.
0 comments:
Post a Comment