Tiba-tiba terbau kapur barus menjadi ‘alamat’ kepada Abdullah Abdul Jalil, 25, tentang ada lubang kubur yang perlu digalinya.
|
|
BEKERJA sebagai penggali kubur secara sepenuh masa bukan sahaja tidak glamor malah sering dikaitkan dengan unsur mistik dan alam ghaib. Tetapi bagaimana jika anda bertemu dengan seorang pemuda kota yang menjadikannya sebagai kerjaya sejak berumur 20 tahun?
Abdullah Abdul Jalil, 25, tidak malu untuk mengaku dia ialah penggali kubur di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
"Ramai orang kata muda-muda lagi dah jadi penggali kubur. Sebenarnya kedua-dua ibu bapa saya bertugas di Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan terlibat dalam pengurusan jenazah.
"Kadangkala apabila kekurangan kakitangan, mereka akan membawa saya bersama untuk membantu," cerita Abdullah tentang bagaimana dia boleh terlibat dalam bidang ini.
Sebelum ini, seperti remaja kota yang lain, melepak di pusat beli-belah menjadi rutin Abdullah.
"Boleh dikatakan saya seorang kutu rayau dan gemar bersosial. Biasalah bila ada motosikal, semua kompleks beli-belah dan taman bunga di Kuala Lumpur jadi tempat saya dan kawan-kawan melepak. Pantang tengok perempuan, cepat saja saya mengusik," kenangnya.
Berbaring di liang lahad
Tawaran bekerja sebagai penggali kubur datang kepadanya setelah bertunang dengan kekasih hati, Farah Jaafar. Memikirkan tanggjungjawab yang bakal dipikul, Abdullah menerima tawaran itu. Mereka akhirnya berkahwin pada usia 17 tahun.
"Yelah siapa sanggup terlibat dengan kerja macam tu? Namun setelah berfikir panjang, hati saya terbuka untuk melakukannya," katanya yang kini memiliki empat cahaya mata.
Masa bekerja sebagai penggali kubur tidak menentu. Kata Abdullah, dia perlu sentiasa bersedia, tidak kira siang atau malam.
"Pernah saya terpaksa menggali kubur pada pagi Hari Raya kerana berlaku kematian pada hari itu," akuinya.
Berjemur di bawah panas matahari dan lencun dek hujan lebat juga perkara biasa baginya. Kadangkala dia perlu memasang khemah bertemankan lampu pada waktu malam.
Bukan Abdullah tidak pernah bekerja sebelum ini. Bekerja di hotel dan pasar raya juga sudah dicuba. Begitupun, menggali kubur adalah pekerjaannya yang paling lama setakat ini.
"Sudah lima tahun saya melakukan kerja ini. Saya bangga dapat melakukannya. Bagi saya, inilah jalan hidup saya. Saya bertuah kerana terpilih.
"Kerja ini merupakan fardu kifayah. Saya mewakili kelompok masyarakat yang saya diami. Ia juga satu kesempatan untuk saya memberi penghormatan terakhir kepada jenazah," katanya.
Bagi Abdullah, biarpun roh sudah terpisah, jasad itu masih dapat merasai segala urusan ke atas dirinya. Jadi jenazah itu perlu diuruskan secara terhormat termasuk ketika hendak memasukkannya ke dalam liang lahad.
Kerana ingin merasai detik-detik dikebumikan, Abdullah pernah berbaring di dalam liang lahad yang telah siap digali.
"Saya tutup diri saya dengan papan lahad untuk mengalami sendiri keadaan di dalam kubur," cerita lelaki ini.
Menurut Abdullah, ukuran semua kubur adalah sama iaitu dalam dan panjangnya 2 meter manakala lebarnya 0.6 meter.
"Tak pernah lagi kubur yang saya gali itu tidak menepati saiz jenazah," ujar Abdullah yang selalunya akan dibantu oleh seorang lagi penggali kubur di situ.
Dengan dua kudrat tersebut dan sekadar berbekalkan cangkul serta penyodok, sebuah kubur boleh siap digali dalam masa dua jam.
Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara dikhususkan untuk masyarakat Islam yang tinggal di Bangsar dan Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.
"Banyak lubang kubur yang telah saya gali termasuk untuk bekas menteri, Allahyarham Tan Sri Megat Junid."
Tinggal di kawasan kubur
Menariknya, Abdullah sekeluarga juga tinggal di dalam kawasan perkuburan.
Ditanya sama ada dia pernah mengalami kejadian pelik, Abdullah menjawab tidak pernah. Namun, dia menyambung: "Tetapi isteri saya pernah menceritakan yang dia nampak saya berbaring di ruang tamu sedangkan ketika itu saya sedang menguruskan satu jenazah di kubur."
Tidak lama dahulu, salah seorang anak Abdullah selalu diserang demam panas jika meninggalkan rumah lebih daripada sehari, namun akan baik semula bila pulang ke rumah.
"Selepas merujuk kepada pengamal perubatan Islam, mereka kata ada 'benda' yang sukakan anak saya dan tidak mahu dia meninggalkan pekarangan rumah," ceritanya yang bersyukur kerana persekitaran tempat tinggalnya mengingatkan dia sekeluarga kepada kebesaran-Nya.
Satu lagi keistimewaan Abdullah ialah dia seperti mendapat 'tanda' ada jenazah yang perlu diuruskannya.
"Saya hanya menyedari tanda-tanda ini setelah setahun menjadi penggali kubur iaitu jika saya mengalami sakit-sakit badan dan terhidu bau kapur barus di dalam rumah, pasti ada jenazah yang bakal saya uruskan pada esoknya," jelas Abdullah.
0 comments:
Post a Comment