MILAN: Program bola sepak divisyen dua dan tiga Itali akan digantung hujung minggu ini, kata persekutuan bola sepak negara itu selepas peminat merusuh ekoran seorang penyokong kelab Lazio ditembak secara tidak sengaja oleh polis.
Pasukan bola sepak Itali akan berkunjung ke Scotland menjelang saingan kelayakan Euro 2008 Sabtu ini dan keadaan itu menyebabkan saingan Serie A tidak dilangsungkan pada hujung minggu ini.
Bagaimanapun, semua perlawanan divisyen dua Serie B dan Serie C untuk liga bahagian ketiga, yang dijadual Ahad ini, akan ditangguhkan.
Itali dijadual menjadi tuan rumah untuk aksi menentang Faroe Islands di Modena pada 21 November dengan Serie A dijangka diteruskan selama seminggu, Ahad depan.
Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) kini terpaksa menghentikan semua perlawanan liga buat kali kedua tahun ini disebabkan keganasan penyokong fanatik.
Menteri Sukan, Giovanna Melandri, sebelum ini mendesak pihak berkuasa bola sepak supaya mengambil langkah lebih keras dan menggantung semua perlawanan domestik.
Polis berkata, kejadian pada Ahad lalu yang menyebabkan penyokong Lazio, Gabriele Sandri (gambar) terbunuh, berlaku secara tidak disengajakan dan siasatan dilakukan bagi menyiasat bagaimana polis terbabit melakukan kesilapan penuh tragik itu.
Anggota polis yang disabitkan, kini disiasat atas dakwaan bunuh tanpa niat dan sudah ditukarkan untuk melakukan tugas dalaman, kata polis. – Reuters
0 comments:
Post a Comment