Oleh Suzianah Jiffar
DOA UNTUK TERSAYANG: Saridi (kiri) dan Zaleha (tiga dari kiri) bersama keluarga menziarahi pusara Haserawati (gambar kecil) di Kampung Ratau, Menggatal, semalam. |
Ibu bapa budak mangsa rogol, bunuh sebak setiap kali melintas tempat mayat ditemui
KOTA KINABALU: Tragedi menyayat hati yang menimpa Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin, 8, baru-baru ini dengan sendirinya mengembalikan ingatan keluarga Saridi Sahat dan Zaleha Abdullah terhadap penyeksaan yang dilalui tiga tahun lalu.
Hati ibu bapa mana tidak luluh apabila anak bongsu kesayangan yang dilihat ceria meninggalkan rumah ke sekolah tetapi kembali sebagai sekujur tubuh tidak bernyawa.
Haserawati Saridi, 9, murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Tebobon, Menggatal adalah antara statistik kanak-kanak malang yang menjadi mangsa rogol sebelum dibunuh pada 8 Januari 2004 ketika berjalan ke sekolah dari rumahnya di Kampung Ratau, Tebobon, kira-kira 25 kilometer dari sini.
Mayatnya ditemui seorang penduduk di kawasan hutan kampung berkenaan dalam keadaan berbaju kurung seragam sekolah dan berlumuran darah dengan kesan tikaman.
Keluarga mangsa yang ditemui di rumah neneknya di Kampung Ratau dekat sini, mengakui kehilangan Haserawati banyak mengubah , menjelaskan sehingga sekarang mereka sekeluarga berasa amat kehilangan sejak pemergian Haserawati yang disifatkan dibunuh dengan kejam.
Zaleha yang kelihatan tenang menyifatkan pemergian anak bongsu mereka itu menyebabkan kehidupan mereka sekeluarga banyak berubah, terutama ketika menyambut fajar Aidilfitri.
"Dulu dialah penawar kami siang dan malam. Kami layan keletah manjanya dam kami penuhi kehendaknya setakat mampu, terutama setiap kali menyambut raya... maklumlah, anak bongsu.
"Haserawati anak manja, pemalu, tidak sombong, suka membantu di rumah dan cukup gemarkan biskut makmur.
"Dia tak nak ketinggalan mengerjakan tarawih di surau berhampiran dan turut pergi mengaji. Semua itu yang membuatkan Aidilfitri kami terasa kosong kerana sebahagian besar kemeriahannya hilang bersama Haserawati," katanya.
Sejak kejadian berkenaan, Zaleha berkata, mereka sekeluarga menyiapkan sekurang-kurangnya dua pasang baju kurung untuk disedekahkan kepada keluarga kurang berkemampuan yang mempunyai anak perempuan seusia anak bongsunga itu.
Amalan itu, katanya, sedikit sebanyak mengubat rindu mereka untuk membuat persiapan Haserawati yang tidak kalah mahu bergaya menyambut raya.
Zaleha mengakui masih sukar menahan sebak setiap kali melintasi jalan berhampiran tempat kejadian menyayat hati itu.
"Pernah juga saya pengsan ketika lalu di situ. Bukan mudah menerima kenyataan sepahit ini.
"Jika dia pergi secara aman, mungkin penerimaan kami berbeza tetapi hakikat adalah sebaliknya," katanya yang sering menziarahi pusara Haserawati bagi melepaskan rindu.
Tertuduh dalam kes itu, Jamaludin Saripuddin, 26, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun dan 24 sebatan bagi kesalahan merogol. Dia berdepan satu lagi dakwaan membunuh kanak-kanak itu yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
0 comments:
Post a Comment