Imam saman fitnah tuntut RM3 juta

TEMERLOH 13 Nov. – Seorang imam hari ini memfailkan saman bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM3 juta terhadap Setiausaha UMNO Bahagian Jerantut atas dakwaan memfitnah dengan menyalahgunakan kedudukannya untuk memburukkan kerajaan dan pemimpin tertinggi UMNO.

Plaintif, Zakaria Khalib, 42, mengemukakan writ saman itu melalui firma guaman Tetuan MK Othman & Co di pejabat Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada kira-kira pukul 3.10 petang ini dengan menamakan Zamri Yaakob sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Zakaria mendakwa Zamri melalui suratnya bertarikh 15 September tahun lalu kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan disalinkan kepada Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Pahang dengan secara salah dan niat jahat menerbitkan kata-kata fitnah terhadapnya.

Beliau mendakwa Zamri menuduh beliau yang ketika itu merupakan Imam 1 Masjid Tengku Abdullah, Jerantut mempersendakan konsep Islam Hadhari sebagai ajaran agama baru yang sesat dan sesiapa yang menyokong boleh dihukum murtad dan bunuh.

Selain itu dalam samannya itu, Zakaria turut mendakwa defendan menuduh beliau menggunakan platform masjid dengan membenarkan penceramah bebas dan tidak bertauliah menyampaikan ceramah politik pembangkang.

Akibat fitnah tersebut, Zakaria mendakwa beliau dihina, dikeji dan dicemuh oleh masyarakat seolah-olah beliau seorang penderhaka kepada sultan dan seluruh rakyat Pahang.

Sehubungan itu, beliau menuntut ganti rugi am, gantirugi teruk dan ganti rugi teladan sebanyak RM3 juta serta satu injunksi untuk menghalang Zamri atau pekerja-pekerjanya dari menerbitkan perkataan berunsur fitnah tersebut.

Beliau turut memohon Zamri meminta maaf sepenuhnya dan menarik balik tuduhan fitnah ke atasnya selama tiga hari berturut-turut di slot muka hadapan akhbar berbahasa Malaysia.

0 comments: