Azamin Amin
Wed | Oct 31, 07 | 5:07:52 pm MYT

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Hrkh) - Pendedahan Pengarah Siasatan Jenayah Komersial Dato' Pahlawan Ramli Yusuff tentang siasatan rasuah RM27 juta semalam menggambarkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sedang menghadapi masalah kredibiliti yang parah termasuk dilihat wujudnya persengketaan antara dua kumpulan bersara dalam pasukan keselamatan itu.

Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar berkata kenyataannya itu turut membayangkan bahawa wujud pakatan untuk menjatuhkan nama baik Ramli dan beberapa para pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) kerana telah mendedahkan sebelum ini, kes Goh Cheng Poh @ Tengku.

Tengku dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan termasuk ada kaitan dengan beberapa kumpulan kongsi gelap terbesar dalam negara ini yang pernah dilaporkan oleh Malaysia-Today.net.

"Sehingga kini laporan Malaysian Today milik Raja Petra itu tidak dinafikan oleh sesiapa termasuk polis sendiri," katanya sewaktu sesi sidang media khas berhubung isu rasuah polis yang hangat diperkatakan di Pejabat Agung PAS tengah hari tadi.

"Saya tidak memihak kepada sesiapa malah mahu siasatan terhadap Ramli diteruskan, cuma pendedahan semalam menunjukkan ada kepincangan yang berlaku melibatkan pegawai kanan polis yang lain. Kenapa mereka ini tidak disiasat?" soalnya.

Dalam kenyataan Ramli bahawa pada tahun lalu, Jawatankuasa Bersama dan Pasukan Khas Polis peringkat Kabinet telah ditubuhkan dan PDRM diberi tanggungjawab memerangi ancaman kegiatan Ah Long dan perjudian haram yang sangat membimbangkan.

Pada Mac 2007, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri memberi arahan khusus kepada JSJK mengenai aktiviti beberapa sindiket jenayah di Johor membabitkan beberapa orang bergelar Datuk dan Jaksa Pendamai (JP). Penyiasatan JSJK membawa kepada penahanan dan buang daerah Goh Cheng Poh @ Tengku ke Jeli, Kelantan, kata Ramli.

Arahan penahanan dan buang daerah itu dibuat di bawah kuasa Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri berdasarkan risikan yang dikumpul pegawai-pegawai polis di JSJK. Pembuangan daerah Goh Cheng Poh @ Tengku adalah menerusi pengakuannya sendiri.

Dia yang mempunyai latar belakang yang dipersoalkan juga telah dibuang daerah sebelum itu dan terlibat dalam kejadian menembak yang menyaksikan seorang rakannya ditembak dan terbunuh, kata Ramli yang mendakwa isu rasuah RM 27 juta timbul selepas Tengku dikenakan tindakan.

Kata Mahfuz mengikut kepada kenyataan Ramli ini seolah-olah isu RM27 juta ini timbul selepas pihak Ramli dan JSJK mengenakan tindakan ke atas Tengku dengan kuasa arahan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Dato' Johari Baharom.

Lebih mengejutkan kata Mahfuz, Tengku yang kemudiannya menyaman kerajaan Malaysia telah disokong pula oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan BPR dalam satu afidavit yang secara tidak langsung dilihat bersetuju dengan tindakan Tengku tersebut.

Ini dilihat kata Mahfuz seperti 'pembalasan dendam' pihak lain dalam PDRM yang tidak puas hati dengan tindakan Ramli dan JSJK dan mahu menjejaskan nama baik beliau dan Mahfuz turut ditanya tentang persengketaan dua kumpulan PDRM yang juga pernah disebut oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Haniff Omar sebelum ini.

"Seolah-olah 'team A' di bayangi oleh Musa Hassan yang di sokong oleh Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi merujuk kepada rekod lanjutan khidmatnya manakala team B pula oleh Ramli Yusuff yang secara tidak langsung di sokong oleh Johari Baharom, malah sengketa Johari dan Musa juga telah diketahui umum," katanya.

"Kesan kepada situasi ini cukup bahaya dan membawa kepada malapetaka kepada keselamatan negara apabila rakyat jelata bakal menjadi mangsa kerana polis boleh dirasuah atau mempunyai hubungan baik dengan kongsi gelap dan samseng," katanya.

Beliau juga merujuk kepada kejadian dua anggota polis ditembak di Sungai Buloh baru-baru ini yang berkemungkinan adalah akibat daripada pemberi maklumat yang telah mebocorkannya kepada penjenayah dan kemungkinannya melibatkan polis yang telah dirasuah.

Beliau mahu satu Suruhanjaya Bebas Diraja ditubuhkan bagi menyiasat keselruhan kes bukan sahaja melibatkan aset dan harta Ramli yang didakwa bernilai RM27 juta tetapi juga aset, harta, kewangan dan hubungan perniagaan Ketua Polis Negara, para pegawai kanan yang lain, menteri-menteri yang berkaitan keselamatan negara termasuk BPR yang didakwa berlaku tidak adil dalam kes ini.

"Jika tidak ini akan menunjukkan bahawa Abdullah telah gagal menjadi Menteri Keselamatan Dalam Negeri kerana tidak berjaya membendung sengketa yang berlaku dan kegagalan menubuhkan suruhanjaya tersebut membukti kerajaan tidak telus dan mahu menutup pelbagai kes salah laku yang melibatakan pemimpin negara," katanya.

"Suruhanjaya ini akan menyebabkan rahsia dan kes-kes lampau dan besar mereka akan terdedah kepada umum dan mengakibatkan rakyat meragui kepimpinan mereka selama ini," jawab Mahfuz setelah ditanya wartawan tentang sebab kerajaan tidak endah tuntutan menubuhkan suruhanjaya tersebut. - mks.
Saidah Hairan
Wed | Oct 31, 07 | 5:03:47 pm MYT

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Hrkh) - Keputusan kerajaan menangguhkan pelaksanaan bahasa Inggeris dalam matapelajaran Matematik dan Sains hingga kajian menyeluruh selesai dalam tempoh tiga tahun menunjukkan ramai Menteri Melayu tidak patriotik dan tidak layak menjadi pemimpin negara.

Terdahulu, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Pelajaran, Dato' Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan dwibahasa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia boleh digunakan di sekolah kebangsaan termasuk sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT).

Ekoran pengumuman itu, ahli politik dan akademik sepakat menegaskan penggunaan bahasa Melayu dalam mata pelajaran Matematik dan Sains tidak perlu ditangguhkan sebaliknya wajar dikembalikan penggunaannya.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh melahirkan kebimbangan jika penangguhan pelaksanaan bahasa Inggeris itu disebabkan kerajaan Umno mahu 'menggula-gulakan' rakyat untuk mendapatkan sokongan dalam pilihan raya umum nanti.

Menurut beliau, sebenarnya pemimpin Umno sedar apa yang mereka lakukan tidak disenangi rakyat sebaliknya mendapat bantahan di kalangan ahli Umno sendiri.

Beliau mempersoalkan kenapa baru sekarang Hishamuddin mahu membuat kajian menyeluruh sedangkan kajian patut dilakukan di peringkat awal sebelum dilaksanakan.

Menurutnya, bagaimana rakyat yang terdiri daripada bangsa Melayu boleh mengharapkan pimpinan Umno berusaha mendaulatkan bahasa Melayu.

"Sedangkan dalam masa yang sama mereka banyak membuat pengiraan bersandarkan politik dan perniagaan bagi menjaga kepentingan kroni dan poket masing-masing," tegas beliau.

Nuridah mewakili wanita seluruh negara mengingatkan kerajaan supaya serius untuk mengkaji semula dan jangan hanya membuat propaganda pilihan raya sahaja.

Sementara itu, Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Prof. Dr Awang Sarian berharap bukan sahaja penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran Sains dan Matematik perlu ditangguhkan, tetapi wajar dikembalikan pada dasar yang asal.

Menurut beliau, pengajaran dan peperiksaan matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu perlu ditingkatkan selaras dengan Akta Pendidikan.

Beliau berkata, pada saat ini selepas kira-kira lima tahun berlangsung PPSMI (pengajaran dan pemelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris), semestinya Kementerian Pelajaran telah membuat kajian yang tuntas (lengkap) dan menilai baik buruknya dasar tersebut.

Menurut beliau, Persatuan Linguistik Malaysia berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan oleh ahli bahasa dan ahli pendidikan tetap berpendirian bahawa Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu perlu dikekalkan.

Seorang guru bahasa Melayu, Azrin Abd Majid berkata, sebagai seorang guru yang mendukung pendidikan nasional, mereka mesti cintakan bahasa, bangsa, budaya dan tanah air.

"Jika mereka tidak mempunyai sikap mencintai bahasa, bangsa dan budaya seolah-olah mereka tidak mempunyai sikap patriotrik tetapi hipokrit dan pengkhianat kepada bangsa dan bahasa mereka," tegasnya.

Menurut beliau, mereka yang tidak mempunyai sikap patrotrik dan hipokrit tidak layak menjadi pejuang bahasa dan bangsa dan orang seperti itu perlu digugurkan daripada menjadi pemimpin negara.

Beliau menjelaskan hubungan bahasa Melayu dengan bahasa al-Quran seperti 'adik beradik kembar' kerana tulisan asal bagi bahasa Melayu ialah tulisan Jawi manakala huruf Jawi itu diambil daripada al-Quran.

"Kerajaan tidak ada alasan untuk tidak mengembalikan penggunaan bahasa Melayu supaya digunakan terus dalam mata pelajaran Matematik dan Sains," tegasnya.

Menurut beliau, kerajaan akan menjimatkan wang negara jika pelaksanaan bahasa Inggeris ditangguhkan kerana setiap kali guru-guru menjalani kursus bahasa Inggeris kerajaan telah mengeluarkan kos yang terlalu tinggi.

"Kerajaan telah melakukan satu kesilapan besar dalam sistem pendidikan negara kerana menukar bahasa bukan seperti kita menukar pakaian," tegas beliau./tajdid
Harakahdaily
Wed | Oct 31, 07 | 3:57:29 pm MYT

BERIKUT ialah kenyataan penuh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM, Datuk Pahlawan Ramli Yusuff yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, semalam.

* Selama ini saya menutup mulut mengenai perkembangan terbaru dalam pasukan polis terutama mengenai penahanan dan pendakwaan terhadap pegawai-pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) yang dituduh memalsukan kenyataan mengenai pemberi maklumat sulit berhubung kes buang daerah, Goh Cheng Poh @ Tengku.

* Pada tahun lalu, Jawatankuasa Bersama dan Pasukan Khas Polis peringkat Kabinet telah ditubuhkan dan PDRM diberi tanggungjawab memerangi ancaman kegiatan Ah Long dan perjudian haram yang sangat membimbangkan. Pada Mac 2007, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri memberi arahan khusus kepada JSJK mengenai aktiviti beberapa sindiket jenayah di Johor membabitkan beberapa orang bergelar Datuk dan Jaksa Pendamai (JP). Penyiasatan JSJK membawa kepada penahanan dan buang daerah Goh Cheng Poh @ Tengku ke Jeli, Kelantan.

Arahan penahanan dan buang daerah itu dibuat di bawah kuasa Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri berdasarkan risikan yang dikumpul pegawai-pegawai polis di JSJK. Pembuangan daerah Goh Cheng Poh @ Tengku adalah menerusi pengakuannya sendiri. Dia yang mempunyai latar belakang yang dipersoalkan juga telah dibuang daerah sebelum itu dan terlibat dalam kejadian menembak yang menyaksikan seorang rakannya ditembak dan terbunuh.

Merit dalam pembuangan daerah itu merupakan sesuatu yang subjektif dan di bawah kuasa mutlak Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, oleh itu saya tidak berhak memberi komen.

* Tidak lama selepas arahan pembuangan daerah oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri itu, media melaporkan bahawa Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) telah menyiasat dan tidak mensabitkan Goh Cheng Poh @ Tengku dalam sebarang kesalahan.

* Ini tentu tidak termasuk kes dalam siasatan JSJK mengenai Goh Cheng Poh @ Tengku seperti diarahkan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Akibat laporan-laporan media ini, Goh Cheng Poh @ Tengku memohon Mahkamah Tinggi mengetepikan arahan buang daerah ke atasnya.

* Dalam pendirian yang tidak pernah berlaku, Penasihat Undang-Undang kepada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri iaitu seorang pegawai Jabatan Peguam Negara enggan menasihatkan dan mengarahkan pegawai-pegawai saya dan saya sendiri bagi menyediakan afidavit kertas siasatan terhadap Goh Cheng Poh @ Tengku untuk keperluan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Afidavit tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi susulan permohonan Goh Cheng Poh @ Tengku supaya Perintah Pembuangan Daerah ke atasnya diketepikan. Ekoran kekangan masa, kami pegawai-pegawai JSJK meminta nasihat perundangan daripada peguam persendirian yang menasihatkan dan memberi tunjuk ajar dalam menyediakan draf afidavit berkenaan. Pada masa itu, saya dimaklumkan bahawa Peguam Negara sepatutnya bertanggungjawab melakukannya mengikut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Prosiding Kerajaan 1956.

* Pegawai-pegawai saya dan saya sendiri kemudian diarah menyerahkan fail-fail sulit kes itu yang mengandungi nama pemberi-pemberi maklumat sulit kepada Jabatan Peguam Negara. Sejak itu saya menyedari bahawa pegawai-pegawai BPR telah mengesan pemberi maklumat tersebut dan telah mengambil keterangan mereka. Selepas itu, pemberi maklumat telah mengeluarkan kenyataan seterusnya bagi mendapatkan perlindungan daripada Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

* Media telah mula melaporkan dengan meluas mengenai penglibatan seorang pegawai kanan polis seperti berikut:

(a) Siasatan oleh BPR mengenai sejumlah kekayaan yang tidak didedahkan, didakwa berjumlah RM27 juta.

(b) Siasatan BPR menyatakan pegawai kanan polis menjadi penaung atau Godfather sebuah syarikat di Sabah dan pemegang saham serta pengarah.

(c) Siasatan terhadap penyalahgunaan kuasa oleh JSJK dalam tindakan mencegah jenayah berkenaan dengan penahanan dan pembuangan daerah Goh Cheng Poh @ Tengku.

* Meskipun nama pegawai kanan itu tidak didedahkan tetapi awam merujuk saya adalah pegawai berkenaan yang disensasikan di media.

* Saya difahamkan, seorang pegawai BPR, Sok One a/l Esen bersumpah dan memfailkan afidavit dalam prosiding yang dibuat oleh Goh Cheng Poh @ Tengku bagi mengetepikan Perintah Buang Daerah yang dikenakan terhadapnya. Dalam afidavit itu, Sok One a/l Esen mengesahkan bahawa BPR sedang menyiasat JSJK berhubung tuduhan Goh Cheng Poh @ Tengku bahawa pegawai JSJK menyalahgunakan kuasa.

* Pada malam Hari Raya Aidilfitri, salah seorang rakan lama saya yang juga penasihat undang-undang saya telah ditahan dan didakwa atas tuduhan gagal mematuhi notis yang diberikan kepadanya oleh BPR. Salah seorang pegawai BPR yang hadir semasa penahanannya dikatakan ialah Sok One a/l Esen. Rakan saya itu ialah salah seorang peguam yang membantu dalam penyediaan afidavit yang difailkan oleh pegawai JSJK dalam prosiding berkaitan dengan kes Goh Cheng Poh @ Tengku.

* Dalam seminggu, beberapa pegawai JSJK telah ditahan dan didakwa di mahkamah atas tuduhan memalsukan bukti atau keterangan berkaitan pembuangan daerah Goh Cheng Poh @ Tengku. Dalam kertas pertuduhan, nama pemberi maklumat sulit telah didedahkan.

* Saya memandang serius mengenai bagaimana identiti pemberi maklumat polis ditangani dalam siasatan BPR. Identiti pemberi maklumat diperoleh melalui pintasan Arahan Tetap Ketua Polis Negara. Dengan ini wujud bahaya jelas tentang kemampuan polis mengumpul maklumat risikan dan kemampuannya melindungi pemberi maklumat.

* Kejadian ini tidak dinafikan memberi kesan mendalam tidak hanya kepada JSJK tetapi kepada keseluruhan polis. Pegawai-pegawai JSJK telah diperlakukan secara salah oleh BPR dan perlu dilindungi oleh pasukan mereka sendiri.

Saya akan pergi mengerjakan umrah dan sepanjang ketiadaan saya, saya harap isu ini akan ditangani oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri./tajdid

SANTA CLARITA (California, Amerika Syarikat): Seorang budak lelaki bermain dengan mancis mencetuskan kebakaran di utara wilayah Los Angeles yang menghanguskan lebih 15,378 hektar dan memusnahkan 21 buah rumah minggu lalu, kata pihak berkuasa.

Budak yang nama dan umurnya tidak dinyatakan itu ditemu ramah sehari selepas Buckweed Fire berlaku pada 21 Oktober, kata sarjan syerif, Diane Hecht, semalam.

"Dia mengaku bermain dengan mancis dan dengan tidak sengaja memulakan kebakaran itu," kata Hecht dalam satu kenyataan.


Budak itu dibebaskan di bawah jagaan ibu bapanya dan kes itu akan diserahkan kepada pejabat pendakwa daerah, kata Hecht. - Agensi

Mohamed Hanipa Maidin
Wed | Oct 31, 07 | 10:36:35 am MYT

Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Suffian semasa merasmikan Persidangan Undang-Undang Malaysia pada 10 Oktober 1991 antara lain menyatakan:

ndent.. Well you know what the position is today regardless of what individual judges think and feel -and they are honest man. Public confidence in judiciary has been seriously eroded and it will take a whole generation before the damage done can be remedied."

(Terjemahan : Badan Kehakiman di negara kitasepatutnya bebas. Tapi kamu semua tahu keadaannya padamasa ini tanpa mengira mana-mana hakim fikirkan ataurasakan - dan mereka (para hakim) adalah orang-orangyang jujur. Keyakinan masyarakat terhadap badankehakiman telah terhakis secara serius dan iamemerlukan satu generasi sebelum kerosakan yangberlaku dapat dibaiki semula")

Episod terbaru yang menyaksikan perbualan telepon antara Dato' V.K Lingam dan Ketua Hakim Negara (Tun Ahmad Fairuz) secara jelas mengesahkan semula apa yang dinyatakan oleh Tun Suffian di atas.

Satu fakta yang tidak boleh dipertikaikan adalah segala kerosakan terhadap badan dan sistem kehakiman berlaku di zaman BN memerintah.

Ini bermakna hujah yang menyatakan insiden ini berlaku dalam zaman Mahathir adalah tidak relevan. Mahathir dan Abdullah Badawi adalah pemimpin Umno.

Jika Mahathir mungkin boleh dikaitkan sebagai tokoh yang merosakkan badan dan sistem kehakiman Abdullah pula tidak boleh lari dari tuduhan sebagai tokoh yang merestui kerosakkan sistem kehakiman tersebut.

Kita tentu masih ingat bagaimanana Kerajaan Abdullah secara angkuh menolak saranan mengkaji semula kes Tun Salleh Abas meskipun didesak oleh Majlis Peguam.

Tidakkah ini menunjukkan bahawa Abdullah Badawi merestui pemecatan Tun Salleh Abas meskipun seluruh dunia tahu pemecatan tersebut tidak sah dan dipengaruhi oleh unsur politik.

Hatta semasa Abdullah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan berada di dalam kabinet Mahathir beliau juga enggan bertemu rombongan beberapa badan antarabangsa yang terdiri daripada (International BarAssociation - IBA), Centre for the Independent ofJufges and Lawyers of the International Commission ofJurists (CIJL) , the Commonwealth Lawyer'sAssociation (CLA) dan Union Internationale desAvocats (UIA).

Badan-badan ini ditugaskan untuk membuat kajian terhadap kebebasan kehakiman.

Ini dinyatakan secara jelas di dalam laporan misi tersebut yang bertajuk "Justice in Jeopardy : Malaysia 2000 ".

Laporan itu menyatakan "repeated attempts were also made to arrange meeting with ...Datuk Abdullah Ahmad Badawi, Deputy Prime Minister , but without sucesss."

Penubuhan Jawatankuasa yang diketuai oleh Tan Sri Haidar untuk mengkaji video tape perbualan telepon antara V.K Linggam tidak boleh sama sekali dilihat sebagai satu usaha rejim Abdullah untuk membaiki sistem kehakiman yang dah terlalu reput tersebut.

Bagi rakyat Jawatankuasa tersebut hanyalah ibarat harimau tua yang tidak bergigi dan bertaring yang lebih menyerupai harimau mainan.

Abdullah memikul tanggungjawab untuk menyiasat antara lain kes -kes berikut yang secara jelas melemahkan integriti dan menghakis keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman di negara ini.

a. Kes surat Dato Ahmad Idid yang mengandungi tuduhansalah laku dan rasuah beberapa orang hakim.

Surat tersebut ditulis pada tahun 1996. Surat tersebut mengandungi 112 tuduhan yang terdiri daripada 39 kes tuduhan rasuah, 21 tuduhan salah guna kuasa dan 52 tuduhan salah laku (misconduct) dan amalan tidak bermoral.

Meskipun Peguam Negara pada masa itu pada mulanya bersungguh berjanji kepada rakyat untuk mendakwa penulis surat tersebut tapi pada 9 Julai 1996 apabila Peguam Negara mengumumkan keputusan penyiasatan polis tersebut beliau hanya menyatakan hakim yang menulis surat tersebut telah meletakkan jawatan .

Peguam Negara juga menyatakan bahawa beliau tidak akan mendakwa hakim tersebut.

Di dalam sidang akhbarnya Peguam Negara mengakui bahawa terdapat keterangan yang mencukupiuntuk mendakwa namun bagi beliau persaraan hakim tersebut sudah mencukupi sebagai satu hukuman ke atas hakim tersebut.

b. Kes Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Hamid Omar yang mengakui berjumpa dengan Tan Sri Loy di pejabatnya ketika mana kes yang melibatkan syarikat Tan Sri Loy masih dalam pendegaran rayuan di Mahkamah Agung dan Tun Hamid adalah salah seorang hakim yang terlibat mendengar permohonan intelokutori syarikat Tan Sri Loy dan memberikan keputusan memihak kepada Tan Sri Loy .

c. Kes Ayer Molek (iaitu kes Ayer Molek Rubber Co Bhd v Insas Bhd) yang juga melibatkan peguam V.K.Linggam.

Fakta kes ini antara lain adalah pada 10 hb April 1995 pihak Plaintif telah membuat permohonan secara ex parte (sebelah pihak) dan mendapat satu perintah injunksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Perintah itu memaksa Defendan untuk mendaftar perpindahan saham syarikat Ayer Molek Rubber Co.

Seterusnya mengeluarkan sijil saham yang baru ke atas nama Plaintif dalam masa dua hari bekerja selepas menerima sijil saham tersebut.

Meskipun menjadi amalan permohonan seperti yang dipohon oleh Plaintif itu sepatutnya difailkan di Mahkamah Tinggi Bahagian Dagang (commercial division) namun dalam kes ini Plaintif melanggar amalan tersebut dengan memfailkan permohonannya di Bahagian Rayuan Dan Kuasa-Kuasa Khas.

Perintah injunksi telah diserahkan kepada Defendan pada 11 hb April 1995 dan pada 12 hb April 1995 Defendan memfailkan permohonan untuk mengenepikan perintah tersebut yang sepatutnya didengar pada 13 hb April 1995.

Namun pada 13 hb April 1995 Mahkamah Tinggi telah menangguhkan pendengaran permohonan Defendan tersebut kepada 27 hb April 1995.

Ini mengakibatkan Defendan terpaksa melakukan perpindahan saham tersebut dan permohonan Defendan untuk menggantungkan perintah injunksi tersebut telah ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggii iaitu Dato' Azmeel Ma'moor (kini Hakim Mahkamah Rayuan).

Plaintif telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan dan Hakim N.H.Chan yang mmberikan penghakiman bertulis telah mengkritik secara keras tindakan Hakim Mahkamah Tinggi tersebut dengan kata-kata berikut :-

"This is a case about injustice which has been perpetrated by a court of law . This is also a case about abuse of the process of the High Court.."

(Terjemahan : Ini adalah kes di mana ketidakadilan dilakukan oleh Mahkamah sendiri dan ini juga adalah kes tentang penyalahgunaan proses Mahkamah Tinggi).

Hakim N.H. Chan juga menyelar V.K Linggam sebagaipeguam yang tidak beretika dan menyatakan tindakan beliau memfailkan permohonan anakguamnya di bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas dan bukannya di bahagian Dagang mewujudkan satu persepsi bahawa terdapat amalan" judge shopping" (membeli -belah hakim ).

Hakim N.HChan juga menukilkan kata-kata Shakespeare di dalam Hamlet iaitu " something is rotten in the State of Denmark" yang secara tersirat merujuk kepada Wisma Denmark di mana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terletak pada masa itu.

Tindakan Hakim N.H Chan yang menyelar Hakim MahkamahTinggi dan peguam V.K Linggam bagaimanapun tidak dipersetujui oleh Tun Eusoff Chin, Ketua Hakim Negara ketika itu yang secara jelas membela tindakan Hakim Mahkamah Tinggi dan peguam V.K Linggam.

Meskipun sepertimana yang dijangkakan Tun Eusoff Chin pasti membela VK. Linggam di dalam kes tersebut (bukankah mereka berdua bergambar dengan tangan berpelukan di New Zealand?) beliau sebagai Ketua Hakim Negara.

Bagaimanapun telah melakukan satu kesilapan yang memalukan apabila membenarkan Hakim Mahkamah Tinggi (yang tidak layak untuk menjadi penel hakim Mahkamah Persekutuan) untuk menjadi anggota Panel Mahkamah Persekutuan bagi mendengar rayuan anakguam V.K Linggam tesebut.

Ini secara jelas bercanggah dengan Perkara 122 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Bayangkan bagaimana seorang Ketua Hakim Negara tidak mengetahui perkara asas Perlembagan Persekutuan.

d. Kes Percutian Tun Eusoff Chin dan V.K Linggam.

Sehingga kini laporan Bowlan yang menunjukkan bukti-bukti kuat tentang hal tersebut tidak diketahui nasibnya.

e. Kes arahan Tun Eusoff Chin kepada Hakim Dato'Mohammad Kamil Awang untuk menolak petisyen pilihanraya Likas.

Hal ini dinyatakan secara jelas oleh Hakim Mohammad Kami Awang dalam penghakimannya ketika membenarkan petisyen pilihanraya yang membatalkan keputusan pilihanraya Likas yang penuh dengan tuduhan pengundi hantu. - mr
Azamin Amin
Wed | Oct 31, 07 | 9:59:35 am MYT

KUALA LUMPUR, 31 Oktober (Hrkh) - "Kredibiliti kehakiman Malaysia sudah berada di tahap yang paling rendah dalam sejarah 50 kemerdekaan negara. Fakta yang didedahkan di dalam perbualan VK Lingam - Fairuz jelas membuktikan penyelewengan dan korupsi di mana peguam, ahli perniagaan dan ahli politik mempengaruhi perlantikan hakim di peringkat tertinggi di dalam negara ini."

Demikian satu kenyataan media Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang meletakkan harapan tinggi agar Majlis Raja-Raja dapat memulakan langkah reformasi terhadap badan kehakiman negara dimulai dengan menolak lanjutan khidmat Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan reformasi kehakiman yang dibuat oleh bekas Ketua Hakim Negara, Sultan Azlan Shah semalam sewaktu merasmikan Konferensi Undang-Undang Malaysia ke-14 semalam sebgai begitu sesuai dan tepat pada masanya.

Majlis Raja-Raja dijadualkan mula bersidang semalam sehingga hari ini, 31 Oktober.

Menurut Anwar, reformasi kehakiman menyeluruh adalah sesuai dengan memulakan satu Suruhanjaya Bebas Kehakiman untuk memantau perlantikan hakim.

"Saya menggesa Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong, yang dijadualkan akan bersidang pada 30 dan 31 Oktober ini, memastikan bahawa kedudukan Tun Ahmad Fairuz sebagai Ketua Hakim Negara tidak akan disambung selepas bulan ini," tambah Anwar.

Anwar turut menyifatkan permintaan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melanjutkan perkhidmatan Fairuz menunjukkan kelemahan pemahaman Abdullah ke atas nilai integriti kepimpinan sebuah negara.

"Lantas ini perlu diubah demi kepentingan negara dan sistem kehakiman itu sendiri." katanya.

Dalam pada itu Presiden KeADILan, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, ucapan Tuanku Azlan bahawa sudah sampai masanya negara ini menjalankan reformasi menyeluruh di dalam struktur dan prosedur kehakiman adalah pendekatan paling tepat.

"Baginda yang turut menyentuh betapa beberapa hakim - hakim sewajarnya bebas dan berwibawa serta tidak dipengaruhi oleh bukan sahaja dari pengaruh luar malahan pengaruh sesama hakim sendiri jelas menggambarkan bahawa Baginda turut rimas dan kesal dengan krisis kehakiman yang begitu membimbangkan di Malaysia," jelas Wan Azizah.

Wan Azizah menambah pendedahan klip video skandal perlantikan hakim yang melibatkan peguam VK Lingam dan Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz yang telah mencetus kontroversi dahsyat dijangka akan berakhir dengan satu penutupan secara terancang oleh pihak Eksekutif.

"KeADILan tidak berganjak dalam menggesa penubuhan satu Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat hingga ke akar umbi penyalahgunaan kuasa dalam perlantikan hakim-hakim di dalam negara.

"KeADILan ingin menegaskan kami menyokong sebarang tindakan untuk merayu dan menggesa agar Yang di-Pertuan Agong tidak melanjutkan kontrak Tun Ahmad Fairuz sebagai Ketua Hakim Negara," jelas beliau.

Oleh TAN MING WAI


Ramli Yusuff semasa mengadakan sidang akhbar di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Jalan Dato’ Onn, Kuala Lumpur, semalam. – Gambar ROY AZIS.

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff hari ini mengakui beliau adalah pegawai kanan polis yang dilaporkan oleh media memiliki aset sebanyak RM27 juta.

Dalam sidang akhbar tergempar selama kira-kira 45 minit di ibu pejabat JSJK di Jalan Dato’ Onn di sini pagi ini, beliau yang mengesahkan dirinya sedang disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagaimanapun menafikan memiliki aset sebanyak itu.

Beliau melahirkan perasaan kesal dengan tindakan BPR membocorkan maklumat kepada akhbar tertentu mengenai siasatan terhadap dirinya sedangkan ia sepatutnya dirahsiakan kerana penyiasatan badan itu sendiri belum lengkap manakala faktanya pula tidak benar.

Ramli menegaskan bahawa beliau bersih daripada sebarang kes rasuah sehingga 6 September 2006 malah rekod bersih itu membolehkannya disahkan sebagai pegawai kanan polis berpangkat ‘jeneral tiga bintang’ (komisioner).

Ramli berkata: “Mungkin anda tertanya-tanya siapa pegawai yang selalu keluar surat khabar didakwa ada aset RM27 juta itu... hari ini saya buat pengakuan bahawa pegawai itu adalah saya.

“Semua (laporan) akhbar merujuk kepada diri saya... pegawai-pegawai saya pun tertanya-tanya siapa yang dimaksudkan, saya tak malu-malu atau segan beritahu sayalah pegawai dimaksudkan itu.”

Ramli, 55, berasal dari Sabah dan pernah menjadi Pesuruhjaya Polis negeri itu serta Ketua Polis Pahang. Beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengarah JSJK sejak Mei 2005.

Dalam nada marah dan kecewa, beliau berkata: “Ikut laporan akhbar, sumber mereka ialah BPR... BPR kena adillah kepada saya, belum apa-apa lagi dah keluar maklumat macam itu, semua orang tuding kepada saya kononnya ada RM27 juta. Saya fikir tak adil, belum siasat sudah tuduh saya dan buat andaian.”

Beliau mendakwa tindakan pihak BPR membocorkan maklumat mengenai siasatan terhadap dirinya itu adalah pelanggaran di bawah Seksyen 21 (8) Akta Pencegahan Rasuah.

Menurutnya, beliau sendiri menunggu sehingga tiga bulan sebelum tampil membuat kenyataan kerana mahu memberi peluang kepada BPR membuat siasatan terhadap dirinya berhubung dakwaan rasuah.

“Saya baru sekarang buat kenyataan sebab nak beri peluang BPR siasat dulu... biar mereka siasat, saya pun kena adil terhadap BPR.

“Tetapi mereka (BPR) yang tak berlaku adil kepada saya dengan bocorkan maklumat siasatan.

“BPR tak boleh sekali-kali membocorkan maklumat siasatan ke atas mana-mana pegawai atau kakitangan awam. Siasatan mereka tidak boleh diberitahu kepada sesiapa termasuk pemberita atau media,” ujarnya.

Ramli bagaimanapun mengakui dalam siasatan itu beliau ada membuat pengisytiharan rasmi keseluruhan asetnya kepada BPR yang menunjukkan ada lebihan berbanding perolehan sepatutnya daripada pendapatannya sebagai pegawai polis selama 38 tahun.

“Mengikut rekod dan laporan rasmi akauntan, pendapatan saya melebihi aset (yang sepatutnya) diperoleh selama saya bertugas 38 tahun dalam pasukan polis.

“Jadi terpulang kepada BPR untuk buat penilaian, tetapi nak kata saya miliki aset RM27 juta, itu tidak betul... ini (berdasarkan) rekod,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan, bersama dengan seorang rakan beliau ada memohon tanah milik kerajaan seluas 800 ekar (323.7 hektar) di Sabah tetapi ia dilakukan mengikut prosedur biasa.

Ramli memberitahu, apabila ada ura-ura permohonan tanah itu mahu diluluskan, beliau mendapat kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) malah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Omar memberi kebenaran lisan kepadanya untuk memiliki saham dan menjadi pengarah syarikat yang bercadang memajukan tanah tersebut.

“Tanah yang dipohon di Sabah itu belum jadi tanah kami lagi, ia (masih) tanah kerajaan negeri... kerja-kerja ukur tanah belum dibuat lagi dan geran pun belum dikeluarkan, jadi ia bukan hak kami lagi.

“Syarikat itu syarikat persendirian yang kami beli... pengarahnya saya dan rakan saya (seorang jeneral bersara) manakala tawaran untuk mengerjakannya melibatkan keluasan 800 ekar, maksudnya masing-masing 400 ekar.

“Premiumnya kami berdua baru bayar separuh iaitu RM500 untuk setiap ekar, kalau dikira cuma RM400,000 yang kami bayar. Dakwaan akhbar kata syarikat itu sebuah syarikat besar adalah palsu semata-mata,” ujarnya.

Menjawab soalan sama ada apa yang berlaku terhadapnya ada kaitan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, Ramli menafikan dakwaan itu.

Tegasnya: “Tidak, tidak, tidak. Tiada kaitan dengan Ketua Polis Negara, tiada kaitan dengan beliau.”

Ramli menyatakan, beliau tiada sebarang masalah dengan Musa dan hubungan mereka baik setelah bekerja bersama-sama sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, beliau dan Musa saling menghormati.

Sementara itu, Musa yang ditemui pada satu majlis berasingan di ibu negara enggan mengulas mengenai kes Ramli dan sidang akhbar yang diadakan itu kerana siasatan kes tersebut dijalankan oleh BPR.

“Saya sendiri tak tahu macam mana media mengetahui siasatan BPR ke atas beliau (Ramli),” katanya.

BERIKUT ialah kenyataan penuh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM, Datuk Pahlawan Ramli Yusuff yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, semalam.

* Selama ini saya menutup mulut mengenai perkembangan terbaru dalam pasukan polis terutama mengenai penahanan dan pendakwaan terhadap pegawai-pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) yang dituduh memalsukan kenyataan mengenai pemberi maklumat sulit berhubung kes buang daerah, Goh Cheng Poh @ Tengku.

* Pada tahun lalu, Jawatankuasa Bersama dan Pasukan Khas Polis peringkat Kabinet telah ditubuhkan dan PDRM diberi tanggungjawab memerangi ancaman kegiatan Ah Long dan perjudian haram yang sangat membimbangkan. Pada Mac 2007, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri memberi arahan khusus kepada JSJK mengenai aktiviti beberapa sindiket jenayah di Johor membabitkan beberapa orang bergelar Datuk dan Jaksa Pendamai (JP). Penyiasatan JSJK membawa kepada penahanan dan buang daerah Goh Cheng Poh @ Tengku ke Jeli, Kelantan.

Arahan penahanan dan buang daerah itu dibuat di bawah kuasa Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri berdasarkan risikan yang dikumpul pegawai-pegawai polis di JSJK. Pembuangan daerah Goh Cheng Poh @ Tengku adalah menerusi pengakuannya sendiri. Dia yang mempunyai latar belakang yang dipersoalkan juga telah dibuang daerah sebelum itu dan terlibat dalam kejadian menembak yang menyaksikan seorang rakannya ditembak dan terbunuh.

Merit dalam pembuangan daerah itu merupakan sesuatu yang subjektif dan di bawah kuasa mutlak Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, oleh itu saya tidak berhak memberi komen.

* Tidak lama selepas arahan pembuangan daerah oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri itu, media melaporkan bahawa Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) telah menyiasat dan tidak mensabitkan Goh Cheng Poh @ Tengku dalam sebarang kesalahan.

* Ini tentu tidak termasuk kes dalam siasatan JSJK mengenai Goh Cheng Poh @ Tengku seperti diarahkan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Akibat laporan-laporan media ini, Goh Cheng Poh @ Tengku memohon Mahkamah Tinggi mengetepikan arahan buang daerah ke atasnya.

* Dalam pendirian yang tidak pernah berlaku, Penasihat Undang-Undang kepada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri iaitu seorang pegawai Jabatan Peguam Negara enggan menasihatkan dan mengarahkan pegawai-pegawai saya dan saya sendiri bagi menyediakan afidavit kertas siasatan terhadap Goh Cheng Poh @ Tengku untuk keperluan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Afidavit tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi susulan permohonan Goh Cheng Poh @ Tengku supaya Perintah Pembuangan Daerah ke atasnya diketepikan. Ekoran kekangan masa, kami pegawai-pegawai JSJK meminta nasihat perundangan daripada peguam persendirian yang menasihatkan dan memberi tunjuk ajar dalam menyediakan draf afidavit berkenaan. Pada masa itu, saya dimaklumkan bahawa Peguam Negara sepatutnya bertanggungjawab melakukannya mengikut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Prosiding Kerajaan 1956.

* Pegawai-pegawai saya dan saya sendiri kemudian diarah menyerahkan fail-fail sulit kes itu yang mengandungi nama pemberi-pemberi maklumat sulit kepada Jabatan Peguam Negara. Sejak itu saya menyedari bahawa pegawai-pegawai BPR telah mengesan pemberi maklumat tersebut dan telah mengambil keterangan mereka. Selepas itu, pemberi maklumat telah mengeluarkan kenyataan seterusnya bagi mendapatkan perlindungan daripada Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

* Media telah mula melaporkan dengan meluas mengenai penglibatan seorang pegawai kanan polis seperti berikut:

(a) Siasatan oleh BPR mengenai sejumlah kekayaan yang tidak didedahkan, didakwa berjumlah RM27 juta.

(b) Siasatan BPR menyatakan pegawai kanan polis menjadi penaung atau Godfather sebuah syarikat di Sabah dan pemegang saham serta pengarah.

(c) Siasatan terhadap penyalahgunaan kuasa oleh JSJK dalam tindakan mencegah jenayah berkenaan dengan penahanan dan pembuangan daerah Goh Cheng Poh @ Tengku.

* Meskipun nama pegawai kanan itu tidak didedahkan tetapi awam merujuk saya adalah pegawai berkenaan yang disensasikan di media.

* Saya difahamkan, seorang pegawai BPR, Sok One a/l Esen bersumpah dan memfailkan afidavit dalam prosiding yang dibuat oleh Goh Cheng Poh @ Tengku bagi mengetepikan Perintah Buang Daerah yang dikenakan terhadapnya. Dalam afidavit itu, Sok One a/l Esen mengesahkan bahawa BPR sedang menyiasat JSJK berhubung tuduhan Goh Cheng Poh @ Tengku bahawa pegawai JSJK menyalahgunakan kuasa.

* Pada malam Hari Raya Aidilfitri, salah seorang rakan lama saya yang juga penasihat undang-undang saya telah ditahan dan didakwa atas tuduhan gagal mematuhi notis yang diberikan kepadanya oleh BPR. Salah seorang pegawai BPR yang hadir semasa penahanannya dikatakan ialah Sok One a/l Esen. Rakan saya itu ialah salah seorang peguam yang membantu dalam penyediaan afidavit yang difailkan oleh pegawai JSJK dalam prosiding berkaitan dengan kes Goh Cheng Poh @ Tengku.

* Dalam seminggu, beberapa pegawai JSJK telah ditahan dan didakwa di mahkamah atas tuduhan memalsukan bukti atau keterangan berkaitan pembuangan daerah Goh Cheng Poh @ Tengku. Dalam kertas pertuduhan, nama pemberi maklumat sulit telah didedahkan.

* Saya memandang serius mengenai bagaimana identiti pemberi maklumat polis ditangani dalam siasatan BPR. Identiti pemberi maklumat diperoleh melalui pintasan Arahan Tetap Ketua Polis Negara. Dengan ini wujud bahaya jelas tentang kemampuan polis mengumpul maklumat risikan dan kemampuannya melindungi pemberi maklumat.

* Kejadian ini tidak dinafikan memberi kesan mendalam tidak hanya kepada JSJK tetapi kepada keseluruhan polis. Pegawai-pegawai JSJK telah diperlakukan secara salah oleh BPR dan perlu dilindungi oleh pasukan mereka sendiri.

Saya akan pergi mengerjakan umrah dan sepanjang ketiadaan saya, saya harap isu ini akan ditangani oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.

BERIKUT ialah transkrip penuh soal jawab pemberita dengan Pengarah Jabatan Siasatan Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Pahlawan Ramli Yusuff pada sidang akhbar yang diadakannya di Kuala Lumpur, semalam.

RAMLI: Terdahulu saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada mereka yang beragama Islam. Sudah lama saya tidak buat kenyataan akhbar, jadi saya rasa eloklah sekali-sekala buat sidang akhbar.

Mungkin tuan-tuan dan puan-puan tertanya-tanya siapakah pegawai yang selalu keluar dalam surat khabar mengatakan mempunyai aset sebanyak RM27 juta.

Jadi hari ini saya mengaku bahawa pegawai yang dimaksudkan itu ialah saya. Saya rasa pegawai-pegawai saya pun tertanya-tanya siapa yang dimaksudkan, saya tak malu-malu atau segan beritahu sayalah pegawai yang dimaksudkan.

Bagaimanapun, saya telah membuat pengisytiharan rasmi kepada pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR). Mengikut rekod, apa yang telah dibuat secara rasmi oleh akauntan, punca pendapatan saya melebihi aset yang saya dapat selama saya bertugas 38 tahun dalam pasukan polis.

Jadi, terpulanglah kepada BPR untuk membuat penilaian. Tetapi nak kata saya memiliki RM27 juta, tidak betullah. Ini rekod.

Jika saya membuat pengisytiharan yang tak betul, itu adalah satu kesalahan. Tetapi notis yang diserahkan kepada saya adalah di bawah Seksyen 32 (1) (a) Akta Pencegahan Rasuah. Notis ini betul-betul sulit antara saya sebagai pegawai yang ditohmah dengan pihak BPR.

Saya tidak tahu bagaimana maklumat ini boleh terkeluar atau ‘bocor’, tapi mengikut laporan akhbar mengatakan sumbernya daripada BPR. Ini satu pelanggaran di bawah Seksyen 21 (4) Akta Pencegahan Rasuah. Perkara seumpama ini tidak sepatutnya dibocorkan, mereka sepatutnya menyiasat saya secara terperinci barulah membuat andaian.

Mengenai tanah yang saya pohon, ini belum tanah saya lagi, kami perlu menjelaskan perkara ini. Tanah yang saya pohon di Sabah, adalah tanah kerajaan. Saya membuat permohonan seperti biasa, seperti orang biasa. Jadi apabila diura-urakan kami nak dapat, saya mendapat kelulusan jabatan saya iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM). Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Omar telah secara lisan membenarkan saya memiliki saham dan menjadi pengarah syarikat.

Syarikat tersebut ialah syarikat persendirian yang kami beli. Untuk makluman, pengarah-pengarahnya ialah saya dan seorang rakan bekas jeneral bersara. Tawaran mengerjakan tanah itu seluas 800 ekar, bermakna 400 ekar kepada saya dan 400 kepada rakan saya itu.

Premium yang kami bayar baru separuh, kami bayar RM500 seekar, jadi bandingkan apa yang dilaporkan dalam surat khabar mengatakan syarikat tersebut adalah syarikat pemaju yang besar adalah palsu semata-mata.

Kalau dikira, cuma RM400,000. Tanah tersebut masih belum kepunyaan saya kerana pertama, kerja ukur tanah belum dijalankan dan geran belum dikeluarkan, jadi tanah tersebut belum hak milik kami lagi.

Bagaimanapun, apa yang berlaku hari ini adalah ekoran saya diberi notis oleh BPR pada 17 Julai 2007.

Untuk makluman, saya telah diarahkan oleh Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri untuk menyiasat kes-kes Ah Long di Malaysia. Saya telah dilantik sebagai pengerusi pasukan khas membanteras ah long di Malaysia. Saya diarahkan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Johari Baharum secara bertulis. Jadi saya telah mengarahkan anggota saya untuk menjalankan siasatan dan membuat perkara perlu.

Bagaimanapun, selepas siasatan dijalankan timbul masalah lain yang mana melibatkan kes perjudian. Jadi saya menggunakan kuasa-kuasa yang ada pada pasukan PDRM untuk menjalankan tugas. Tidak semestinya saya bukan orang Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), saya tak boleh siasat kes-kes yang melibatkan kes Ah Long atau perjudian kerana kuasa masih ada dalam tangan saya untuk menyiasat.

Seperti tuan-tuan sedia maklum, JSJK dipisahkan daripada JSJ pada 1 Mei 2005. Jadi kita tak ada lagi Arahan Tetap Ketua Polis Negara, kita baru merangkakan. Jadi kita terpaksa memakai Arahan Tetap Ketua Polis Negara kepada JSJ. Sebab itu kita menggunakan kuasa-kuasa yang ada ke atas seorang personaliti di Johor Bahru.

Bagaimanapun, tiap-tiap pergerakan atau apa-apa yang kita buat, dimaklumkan kepada Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Kita diarahkan supaya meneruskan siasatan ke atas penama tersebut. Sehinggalah penama tersebut telah dibuang daerah ke Jeli, Kelantan.

Saya ingin mengedarkan kenyataan akhbar kepada anda. (Beliau kemudian membaca teks penuh kenyataan akhbar itu).

Seperti yang diketahui umum, dua hari lalu, Perdana Menteri menyatakan bahawa kita perlu melindungi pemberi maklumat polis. Saya fikir perlulah kita sebagai polis mempertahankan pemberi maklumat. Itulah pendirian saya.

Soalan: Adakah benar dakwaan khabar angin mengenai peletakan jawatan Datuk?

RAMLI: Tidak, tidak. Saya tidak akan meletak jawatan. Saya tidak perlu meletak jawatan. Saya cuma ada beberapa bulan lagi (sebelum bersara), tiada sebab untuk saya meletak jawatan. Cuma, saya akan mengerjakan umrah pada 3 November, insya-Allah kalau tiada halangan, saya juga menunaikan haji pada 8 atau 9 Disember selama 40 hari.

Adakah BPR sudah bebaskan Datuk dalam siasatan kes ini?

RAMLI: Tidak. Siasatan masih diteruskan. Saya masih menunggu pegawai BPR untuk datang dan interviu saya pada bila-bila masa saja. Saya boleh menjawab segala soalan mereka.

Berulang-ulang dalam surat khabar anda mengatakan itu dan ini (terhadap saya), sekarang saya terbuka. Biar kita terbuka. Sebelum ini, saya perlu berdiam diri kerana kes saya masih disiasat BPR, namun sekarang saya telah membuat pengisytiharan. Saya rasa tidak menjadi masalah untuk membuat lebih kenyataan akhbar.

Adakah semua ini melibatkan Ketua Polis Negara?

RAMLI: Tidak, tidak, tidak sama sekali. Anda semua keliru. Kami hanya menyiasat Goh Cheng Poh berdasarkan maklumat diterima. Itu saja. Ia langsung tiada kaitan dengan Ketua Polis Negara.

Adakah Datuk bermaksud BPR membocorkan maklumat?

RAMLI: BPR tidak boleh sekali-kali membocorkan maklumat siasatan terhadap mana-mana pegawai atau kakitangan awam. Mereka tidak boleh beritahu kepada siapa-siapa termasuklah pemberita atau media.

Sebab itulah (BPR) tidak adil kepada saya. Belum apa-apa lagi sudah keluar macam itu. Semua orang sudah tahu, orang menuding jari pada saya kononnya saya menerima atau memiliki RM27 juta. Saya fikir tidak adil sebelum disiasat, sudah menghukum saya dan buat andaian.

Bagaimanakah dakwaan terhadap Datuk memberi kesan terhadap kehidupan harian?

RAMLI: Memang. Memang. Kehidupan harian saya amat seksa dalam tiga bulan ini sejak bermulanya siasatan dan tersiarnya laporan akhbar itu. Akhbar tidak mendapatkan penjelasan saya. Mereka membuat kenyataan sesuka hati. Ini tidak adil.

Saya juga seorang insan, saya ada perasaan. Saya mempunyai keluarga. Satu lagi perkara, saya kumpulan pertama bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Kami perlu mempertahankan tahap integriti kami. Malu, memang saya malu.

Adakah kes ini dimanipulasikan oleh media?

RAMLI: Saya tak tahu. Saya tidak tahu apa yang perlu diulas. Anda sendiri patut tahu apa yang telah anda lakukan.

Kenapa baru hari ini Datuk membuat kenyataan?

RAMLI: Saya memberi peluang BPR melakukan siasatan penuh terlebih dahulu. Saya mahu berlaku adil kepada mereka. Namun mereka pula yang tidak adil terhadap saya dengan membocorkan segala maklumat.

Bagaimana siasatan terhadap Datuk timbul? Adakah laporan polis dibuat oleh anggota polis sendiri?

RAMLI: Menurut notis kepada saya mengikut Seksyen 32 (1) (a), ia memberitahu bahawa ada satu laporan polis dibuat terhadap saya. Saya terkejut kerana sehingga September 2006, saya bebas daripada sebarang tuduhan rasuah. Sebab itu saya disahkan jeneral tiga bintang (komisioner). Kalaulah saya disiasat sebelum itu, pastilah saya tidak akan mendapat pangkat tersebut.

Tetapi ketika saya hampir menerima Pingat Gagah Pasukan Polis (PGPP), iaitu anugerah tertinggi dan diidam-idamkan dalam pasukan polis, pemberian pingat itu kepada saya telah dibatalkan. Ini kerana difahamkan saya disiasat BPR.

Adakah laporan terhadap Datuk dibuat oleh pegawai bawahan Datuk sendiri?

RAMLI: Itu saya tak pasti. Anda kena tanya BPR?

Bagaimanakah hubungan Datuk dengan Ketua Polis Negara?

RAMLI: Kami berdua amat baik. Kami sangat erat dan tiada masalah antara kami. Kami bekerjasama untuk satu tempoh yang lama. Tiada sebarang masalah dengannya. Kami saling menghormati.

Datuk, adakah Datuk mula disiasat sejak Datuk menyiasat kes Goh Cheng Poh?

RAMLI: Ya, saya percaya begitu. Disebabkan penyiasatan ke atas Goh Cheng Poh, saya pula disiasat. Selepas itu, beberapa pegawai termasuk penterjemah. Yang terbaru dua pegawai dan detektif ditahan serta didakwa.

Mungkinkah siasatan terhadap Datuk bermula selepas pegawai Datuk memulakan siasatan terhadap kes Ah Long?

RAMLI: Entahlah. Saya tak tahu bila BPR mula menyiasat saya. Tapi setahu saya, sehingga September 2006 saya masih bersih daripada segala tuduhan. Kalau tidak, tak mungkin saya disahkan jeneral tiga bintang.

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim, Ifwan Tun Tuah dan Irwan Shafrizan Ismail


Datuk Ramli Yusuff

Pengarah JSJ Komersial Bukit Aman pertikai ketelusan BPR

KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff, semalam mengaku beliau disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa serta memiliki aset bernilai RM27 juta.

Beliau bagaimanapun menafikan pelbagai dakwaan yang dikaitkan dengannya dan mempertikaikan ketelusan proses siasatan BPR.


"Saya kesal kerana dihukum sebelum siasatan selesai. Siasatan ini sepatutnya sulit tetapi maklumat mengenainya bocor. Saya tidak tahu bagaimana benda ini boleh keluar di media. Ini tidak adil kepada saya dan keluarga.

"Belum apa-apa orang sudah tuding jari kepada saya kerana ada RM27 juta. Saya menderita lebih tiga bulan sejak perkara ini didedahkan kepada media. BPR tidak sepatutnya membocorkan maklumat siasatan yang belum selesai. Ia melanggar Seksyen 21 (4) Akta BPR sendiri kerana mendedahkan maklumat sulit," katanya pada sidang media khas di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di sini.

Selain didakwa memiliki aset RM27 juta, Ramli dikatakan menjadi pengarah sebuah syarikat tanpa kebenaran. Kes yang disiasat BPR sejak Julai lalu itu, mendapat liputan meluas tetapi nama Ramli tidak pernah disiarkan media.


Ramli mendakwa walaupun namanya tidak disiarkan, umum mengetahui bahawa beliau adalah pegawai kanan Bukit Aman yang dirujuk dalam laporan yang disensasikan media.

Katanya, beliau tidak memiliki harta sebanyak itu dan sudah mengisytiharkan harta secara rasmi kepada BPR.

"Mengikut perkiraan akauntan bertauliah, sumber pendapatan saya melebihi aset yang dimiliki selama 38 tahun bertugas dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Mengenai tanah seluas 800 ekar yang dipohon di Sabah, Ramli menjelaskan ia adalah tanah kerajaan dan permohonan itu dibuat menerusi syarikat miliknya dan seorang rakan mengikut prosedur biasa.

"Saya mendapat kelulusan lisan daripada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Bakri Omar untuk memiliki saham dan menjadi pengarah syarikat terbabit," katanya sambil menambah, tanah itu dibeli pada harga RM500 seekar dan masih belum mendapat geran.

Mengenai penahanan dan pendakwaan beberapa pegawai jabatannya kerana didakwa memalsukan kenyataan saksi sehingga menyebabkan seorang ahli perniagaan dari Johor dibuang daerah ke Jeli, Kelantan kerana dikaitkan dengan kegiatan along dan perjudian haram, Ramli mendakwa jabatan itu tidak dilayan dengan adil oleh BPR.

"Saya menerima arahan terus dari Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Johari Baharum tahun lalu supaya memerangi kegiatan sindiket jenayah di Johor yang membabitkan beberapa Datuk dan Jaksa Pendamai (JP).

"Siasatan itu membawa kepada penahanan ahli perniagaan terbabit dan keputusan Timbalan Menteri untuk mengenakan tindakan buang daerah dibuat berdasarkan maklumat risikan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.

"Walaupun laporan akhbar selepas itu menyebut siasatan BPR dan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman terhadap lelaki terbabit mendapati dia bersih, ia pastinya tidak termasuk siasatan kita (Jabatan Siasatan Jenayah Komersial)," katanya.

Ramli turut mempertikaikan tindakan BPR mendedahkan identiti pemberi maklumat sulit polis dalam kertas pendakwaan berhubung kes memalsukan kenyataan saksi.

"Adalah jelas ia membahayakan keupayaan pasukan polis dalam mengumpul maklumat serta melindungi sumber kita.

"Perkara ini memberi kesan mendalam terhadap Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan polis secara keseluruhan. Pegawai jabatan ini tidak dilayan dengan adil oleh BPR dan tidak dilindungi oleh pasukan mereka sendiri," katanya.

Mengenai khabar angin beliau akan meletak jawatan, Ramli berkata: "Kenapa perlu saya meletak jawatan? Saya mempunyai beberapa bulan lagi sebelum bersara."

Beliau turut menegaskan, hubungannya dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan juga baik dan tiada masalah.

Sementara itu, Musa yang ditemui enggan mengulas mengenai kenyataan Ramli atau siasatan kes berkenaan.

"Saya tidak boleh komen apa-apa, ini bukan siasatan kita," katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja pada Persidangan Undang-Undang Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan pegawainya selepas Ramli menafikan dakwaan itu, Musa berkata: "Saya tidak tahu, itu apa yang beliau kata. Ini siasatan agensi lain (BPR), tanyalah pihak berkuasa yang berkaitan."

Musa juga mengaku memang wujud perbezaan pendapat antara beliau dengan Ramli, tetapi menjelaskan mereka masih saling berjumpa.

"Adakah berbeza pendapat itu kamu anggap ada keretakan hubungan?" katanya yang enggan mengulas mengenai kenyataan Ramli yang kecewa bagaimana maklumat siasatan BPR boleh diketahui media.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang ditemui pemberita pada majlis pelancaran sebuah buku di sini, pula berkata beliau berpuas hati dengan siasatan BPR berhubung kes itu.

"BPR dan polis menjalankan siasatan yang bagus dan melaksanakan tugas dengan baik. Mereka sudah selesai menjalankan siasatan kes itu.

"Kertas siasatan diserahkan terus kepada saya untuk diteliti dan sekiranya ada penambahan siasatan, kita akan beri semula kepada BPR, tapi untuk peringkat sekarang, saya rasa kertas siasatan sudah lengkap," katanya.

Abdul Gani berkata, kertas siasatan itu diteliti bersama beberapa pegawainya kelmarin dan perbincangan akan diadakan sebelum tindakan lanjut diambil.

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Majlis Raja-Raja Ke-212 yang bersidang esok akan membincangkan kedudukan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang dijadualkan bersara wajib esok.

Mesyuarat selama dua hari itu akan memutuskan sama ada beliau terus bersara atau tempoh jawatannya disambung selama enam bulan lagi.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke mesyuarat itu yang akan diadakan di Istana Negara.

Hingga hari ini, kedudukan Ahmad Fairuz yang juga Hakim Mahkamah Persekutuan masih menjadi tanda tanya ekoran beliau kini menghabiskan cuti tahunannya yang masih berbaki sebanyak 90 hari.

Isu tempoh pemegangan jawatan dan persaraan Ketua Hakim Negara termaktub di bawah Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan.

Ia menyatakan bahawa seseorang Hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah memegang jawatan sehingga mencapai umur 65 tahun atau sehingga satu masa yang diluluskan oleh Yang di-Pertuan Agong tetapi jangka masa itu tidak boleh melebihi tempoh enam bulan selepas mencapai umur tersebut.

Ini bermakna, Ketua Hakim Negara hanya mempunyai dua pilihan sama ada bersara wajib atau dilanjutkan tempoh perkhidmatannya selama enam bulan lagi.

Dalam jangka masa itu, beliau tidak akan mendengar perbicaraan mana-mana kes sebaliknya masa yang ada itu akan diisi untuk menyiapkan alasan penghakiman dan membereskan tugas-tugas pejabat yang belum selesai.

Ahmad Fairuz yang dilahirkan pada 1 November 1941 memulakan tugas di dalam badan kehakiman sebagai Majistret pada 1 Jun 1967 di Pulau Pinang.

Dua tahun kemudian, beliau dilantik sebagai Presiden Mahkamah Sesyen, Kuantan, Pahang diikuti sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Johor dan Kuala Lumpur beberapa tahun kemudian.

Beliau turut menimba pengalaman sebagai Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Penasihat Undang-undang Kementerian Hal-Ehwal Dalam Negeri, Penasihat Undang-undang Negeri Kedah/Perlis dan Timbalan Penggubal Undang-undang, Jabatan Peguam Negara.

Pada 1 Disember 1988, Ahmad Fairuz dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman diikuti sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1 Ogos 1990.

Lima tahun kemudian, beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Mahkamah Persekutuan (1 September 2000), Hakim Besar Malaya (1 September 2001), Presiden Mahkamah Rayuan (1 Disember 2002) dan Ketua Hakim Negara (17 Mac 2003).

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan S. ANAND KUMAR


Syed Shahir.

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Pemilihan pucuk pimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada Disember ini dijangka ‘panas’ apabila buat pertama kali dalam sejarah kongres yang mempunyai 750,000 ahli itu empat orang menawarkan diri untuk merebut jawatan Presiden.

Difahamkan, Timbalan Presiden MTUC, Shafie BP Mammal yang telah menyandang jawatan itu selama 13 tahun akan menentang Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud bersama dua individu lain.

Selain mereka, sebanyak 16 jawatan utama termasuk timbalan presiden dan setiausaha agung akan turut menyaksikan perebutan sengit.

Setiausaha Agung MTUC, G. Rajasekaran berkata, pemilihan itu akan diadakan pada 18 Disember ini dan sebanyak 600 perwakilan dari 142 kesatuan sekerja akan terlibat dalam proses pemilihan tersebut.

“Saya akan mempertahankan jawatan saya walaupun terdapat dua individu yang akan mencabar saya.

“Saya dapat merasakan bahawa pemilihan kali ini menarik kerana kesemua jawatan tertinggi MTUC menyaksikan perebutan. Kita tunggu dan lihat keputusan perwakilan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada pemilihan MTUC 2004, Syed Shahir yang merupakan seorang bekas guru menewaskan Datuk Zainal Rampak yang mengetuai MTUC selama enam penggal sejak 1986.

Rajasekaran mempertahankan jawatannya pada pemilihan tahun 2004 dengan menewaskan Datuk N. Siva Subramaniam, bekas Presiden CUEPACS.

Katanya, terdapat calon-calon yang telah memulakan kempen mereka kira-kira setahun lalu.

Difahamkan, berlaku persaingan dalam setiap jawatan kerana segelintir ahli kesatuan tidak berpuas hati dengan campur tangan parti politik dalam MTUC.

Syed Shahir pernah bertanding dalam pilihan raya umum 2004 mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi tewas.

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan calon angkasawan, Mejar Dr. Faiz Khaleed bakal menjalani latihan mengendalikan pesawat angkasa di Rusia tidak lama lagi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis berkata, perkara itu penting bagi membuktikan kepada umum bahawa kedua-kedua mereka layak diiktiraf dunia sebagai kosmonaut.

‘‘Selain itu, pengiktirafan tersebut penting untuk mengenepikan pandangan sinis sebelum ini yang berpendapat mereka hanyalah peserta ekspedisi angkasa,’’ kata Jamaludin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis tahlil dan kenduri arwah adik Muszaphar di Petaling Jaya dekat sini malam ini.

Turut hadir, Faiz dan Pengarah Program Angkasawan Negara, Kolonel Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh.

Jamaludin berkata, mereka akan ke Rusia minggu depan bagi mendapatkan sijil pengiktirafan mereka sebagai angkasawan daripada pihak negara berkenaan.

Beliau menambah, kementerian juga akan membuka peluang kepada wanita untuk menjejakkan kaki ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

‘‘Faiz pula Insya-Allah akan dijadualkan ke ISS pada 2010 atau 2011,’’ tambah beliau.

Katanya, pemilihan angkasawan ketiga pula akan dibuka tahun depan.

Mengenai jadual Sheikh Muszaphar, beliau berkata, dia dibenarkan berehat di rumah bersama keluarganya sehingga Rabu ini.

Katanya pada hari Khamis, Sheikh Muszaphar akan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi diikuti pada hari Jumaat bertemu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, ia diatur bagi memberi peluang kepada Sheikh Muszaphar menzahirkan ucapan terima kasihnya kepada kedua-dua pemimpin utama negara tersebut.

Tambahnya, Sheikh Muszaphar akan ke Parlimen pada Isnin depan bagi berjumpa dengan wakil-wakil rakyat.

Sementara itu, Sheikh Muszaphar kelihatan masih lagi sugul dengan kematian adiknya.

Ketika ditemui pemberita, Sheikh Muszaphar memberitahu dia mendedikasikan gelaran angkasawan yang diterimanya itu kepada arwah adiknya, Sheikh Mustafa Shukor Al-Masrie.

Menurutnya, dia yakin adik yang dipanggilnya ‘Ajil’ gembira dengan gelaran angkasawan tersebut dan berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat.

Menurutnya, sejak kecil beliau dan adiknya memang berminat mengenai hal-hal angkasa lepas.

Sheikh Mustafa meninggal dunia tiga hari lalu di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas koma sejak 21 Oktober lalu kerana terlanggar tiang dan terhantuk pasu bunga sewaktu memasuki sebuah restoran di Jalan Klang Lama, di sini.

Oleh Shariza Abdullah

ALOR STAR 30 Okt. – Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dari Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah di sini terpaksa menanggung derita kerana seluruh badannya sentiasa mengeluarkan cecair seakan darah dan pelbagai objek termasuk butiran garam dan paku payung.

Nur Atikah Abdullah mendakwa, ekoran kejadian pelik itu, dia terpaksa menanggung kesakitan setiap hari ketika cecair dan objek-objek berkenaan keluar dari badannya.

Pelajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Rotan di sini memberitahu, kejadian misteri itu pernah menyerangnya pada Februari tahun lalu tetapi hilang selepas dia mendapatkan rawatan tradisional.

Bagaimanapun, dakwa remaja tersebut, ia kembali menyerang pada awal Ramadan lepas apabila kulitnya mula mengeluarkan cecair seakan darah.

Kata anak bongsu daripada tujuh beradik itu, keadaan menjadi semakin serius sejak tiga hari lalu apabila pelbagai objek seperti garam dalam pelbagai saiz, benang, kaki lipas dan skru keluar dari badannya.

Dalam kejadian terbaru pagi ini, dakwanya, sebatang paku payung sepanjang kira-kira lima sentimeter keluar dari dadanya pula.

Kesakitan

“Cecair dan objek-objek berkenaan akan keluar tanpa mengira waktu. Ketika objek hendak keluar dari badan, saya berasa amat sakit namun kesakitan itu terus lenyap selepas objek-objek berkenaan keluar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Sejak kejadian pelik tersebut menimpanya, Nur Atikah berkata, dia tidak dapat hadir ke sekolah menyebabkan dia ketinggalan dalam pelajaran.

Sementara itu, ibu remaja tersebut, Che Siah Haron, 55, berkata, dia tidak menyangka penyakit misteri berkenaan menimpa anaknya itu memandangkan ia tidak pernah berlaku kepada ahli keluarganya yang lain.

“Memang ia tidak masuk akal dan sukar dipercayai tetapi ia benar-benar berlaku dan saya melihat dengan mata saya sendiri,” ujarnya.

Menurut Che Siah lagi, anaknya itu sudah serik untuk membuat pemeriksaan di hospital kerana tahun lalu doktor yang memeriksanya tidak menemui sebarang keganjilan.

Sehingga kini, menurutnya, dia sudah mendapatkan khidmat tiga orang bomoh bagi mengubati penyakit Nur Atikah dan amat berharap dia akan sembuh segera.

Dia juga meminta bantuan mana-mana pihak yang mempunyai pengetahuan atau kebolehan untuk mengubati penyakit Nur Atikah itu supaya tampil membantu.

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH ABDUL RAHIM

KUALA LUMPUR 30 Okt. – “Mungkin ini merupakan perjumpaan kali terakhir.’’ Itulah kata-kata terakhir Allahyarham Datuk Dr. Nik Zainal Abidin Nik Abdul Rahman, pakar kardiologi negara yang terbunuh dalam satu nahas jalan raya dekat Lebuh Raya Karak di Bentong petang semalam.

Seorang kawan rapat arwah, Samsudin Ahmad, 65, ketika ditemui memberitahu, Dr. Nik Zainal mengucapkan kata-kata itu sewaktu majlis perjumpaan bersama rakan-rakan beliau yang diadakan di Janda Baik, Karak baru-baru ini.

‘‘Sabtu lepas, arwah mengadakan majlis perjumpaan bersama rakan-rakan bekas sekolahnya dahulu, Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

‘‘Kami tidak menyangka perjumpaan itu merupakan perjumpaan terakhir kami dengannya,’’ kata Samsudin ketika ditemui di rumah arwah di Jalan Semarak di sini hari ini.

Seorang lagi kenalan rapat Allahyarham, Tan Sri Dr. Sulaiman Daud menyifatkan pemergian Dr. Nik Zainal sebagai kehilangan besar buat negara dalam bidang kepakaran jantung.

‘‘Beliau merupakan orang yang bertanggungjawab mengasaskan Unit Kardiologi Jantung Negara sehinggakan beliau pernah berjanji tidak akan bersara daripada jawatannya sebelum beliau dapat melahirkan ramai pakar jantung sepertinya,’’ ujar Dr. Sulaiman yang merupakan bekas Timbalan Menteri Kesihatan.

Sementara itu, suasana sedih menyelubungi anggota keluarga arwah sewaktu majlis pengebumian di Tanah Perkuburan, Titiwangsa di sini pagi ini yang dihadiri keluarga dan teman rapat.

Beliau meninggalkan seorang balu, Datin Daisy Abdullah dan dua orang anaknya yang turut mengikuti jejak langkah beliau dalam bidang perubatan iaitu Dr. Nik Halmey, pakar jantung di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), dan Dr. Nik Serena, seorang doktor di sebuah hospital di England.

Petang semalam, kenderaan pacuan empat roda yang dipandu Dr. Nik Zainal berlanggar dengan sebuah treler sewaktu mangsa dalam perjalanan dari rumah persinggahannya di Janda Baik menuju ke bandar Bentong.

Beliau yang cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang pekerja Allahyarham yang berada bersamanya sewaktu dalam kenderaan tersebut, bagaimanapun, tidak mengalami apa- apa kecederaan.

Pekerja itu, Fauzi Ruminah ketika ditemui di rumah arwah memberitahu sejurus selepas kemalangan berlaku dia sempat mengajar arwah mengucap sebanyak tiga kali sebelum menghembuskan nafas terakhir.

‘‘Saya sempat memangku arwah sebelum dia meninggal dunia,’’ katanya yang masih dalam keadaan sedih.

Sementara itu, seorang lagi rakannya, Datuk Mukhtar Hashim menyifatkan sifat peribadi arwah yang mulia dan sentiasa mengambil berat keadaan kawan-kawan membuatkan beliau sangat disanjungi oleh segenap lapisan masyarakat.

‘‘Beliau sangat rapat dengan kami. Pada bulan Ramadan lalu, beliau turut mengerjakan umrah bersama rakan-rakannya,’’ jelasnya.

Dr. Nik Zainal ialah bekas graduan Fakulti Perubatan Universiti Monash, Australia bersama Datuk Dr. Rozali Wathooth, rakan seangkatan beliau dalam bidang pembedahan jantung.

Beliau merupakan salah seorang pakar yang terlibat dalam pembedahan pintasan koronari yang pertama di Malaysia pada 22 Oktober 1982 bersama pasukan pakar bedah yang turut dianggotai oleh Dr. Rozali.

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL

SEREMBAN 30 Okt. – Kakitangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta agensi di bawahnya perlu membuat perubahan terlebih dahulu sebelum mengharapkan perkara sama dilakukan oleh petani.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kementerian itu perlu melatih semua kakitangan itu untuk menjadi ejen perubahan supaya dapat menjayakan dasar yang dirancang oleh kerajaan.

“Pelaksana dasar itu wajib melakukan perubahan dahulu sebelum ia disampaikan kepada petani,” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007 yang berakhir Ahad lalu berkata, perkara itu adalah antara yang diberikan penekanan pada konvensyen itu.

Malah, katanya, ia dimasukkan sebagai resolusi yang akan dihantar ke Majlis Tertinggi UMNO untuk dibincangkan sebelum dijadikan dasar.

“Resolusi ini amat penting dan bertepatan dengan masa tetapi yang penting sekali ialah pelaksanaan resolusi berkenaan. Apabila ia menjadi Dasar Pertanian Negara di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, maka ia akan menjadi penting,” kata beliau.

Mohamad memberitahu, dalam usaha menjadi ejen perubahan, konvensyen itu turut mencadangkan penubuhan Institut Teknologi Pertanian kerana ia merupakan satu keperluan bagi menyediakan tenaga kerja dalam sektor pertanian yang berpengetahuan luas.

“Ilmu dalam pertanian amat penting kerana pertanian bukan seperti dahulu. Kita kena gunakan teknologi dan kaedah saintifik. Ilmu untuk menjadi peniaga tani juga perlu. Kita bukan sekadar bertani tetapi juga mengambil kira untung dan rugi. Bukan tanam sahaja dan lepas itu dibiarkan begitu,” kata beliau.

Sehubungan itu, kata beliau, hasil konvensyen itu perlu digarap dengan sebaik-baiknya kerana pihaknya tidak mahu ia hanya tinggal konvensyen dan polisi pula hanya tinggal begitu sahaja tanpa ada tindakan yang bersungguh-sungguh.

Secara keseluruhan, Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berpuas hati dengan perjalanan konvensyen itu dan sambutan baik yang diberikan oleh semua pihak.

“Saya yakin sektor pertanian akan dapat dilonjakkan jika semua resolusi itu dilaksanakan dengan berkesan,’’ katanya.

Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007 dianjurkan oleh Biro Pertanian UMNO Malaysia bersama Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Ia dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan penutupannya dilakukan oleh Timbalan beliau, Datuk Seri Najib Tun Razak.

MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berharap wanita diberi peluang memegang jawatan Ketua Hakim Negara pada masa depan.

Shahrizat berkata, wanita kini mempunyai pengalaman, pengetahuan dan komitmen untuk menjadi hakim dan ahli akademik setanding lelaki.

"Saya percaya perkara itu boleh berlaku, mungkin bukan sekarang tapi satu hari nanti tidak mustahil kita melihat seorang wanita dilantik sebagai Ketua Hakim Negara.


"Ketika ini, 45.7 peratus peguam di negara ini adalah wanita, tapi masih tidak ramai yang dilantik sebagai hakim.

"Hanya tiga wanita berbanding 19 lelaki menjadi hakim Mahkamah Rayuan, manakala di Mahkamah Persekutuan tiada langsung hakim wanita.

"Pada peringkat Mahkamah Tinggi pula hanya 13 daripada 48 hakim adalah wanita serta lima pesuruhjaya kehakiman wanita daripada 16," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama bertajuk 'Persamaan Gender-Pencapaian Masa Kini dan Cabaran Akan Datang', pada hari kedua Persidangan Undang-undang Malaysia ke-14 anjuran Majlis Peguam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam.


Sharizat ketika diminta mengulas kemungkinan seorang hakim wanita menggantikan Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim yang bersara, esok, berkata perkara itu akan diputuskan pihak yang berkenaan.

Mahkamah perlu mentafsir Perlembagaan Persekutuan tanpa mengetepikan doktrin asas seperti rukun negara dan kebebasan badan kehakiman.

Peguam Datuk Dr Cyrus Das berkata mahkamah memainkan peranan penting dalam melaksanakan dan melindungi hak asasi rakyat seperti termaktub dalam Perlembagaan, dan bukan menterjemahkannya semata-mata.

"Hak asasi seseorang dilindungi Perlembagaan dan tidak boleh dibaca atau ditafsirkan secara sempit. Ia bukan setakat undang-undang lazim yang boleh diubah jika mendapat sokongan majoriti 2/3.


"Sikap badan kehakiman terhadap isu ini penting bagi memastikan perkembangan positif dalam perundangan perlembagaan di negara kita.

"Buat masa ini perundangan perlembagaan di negara ini masih belum cukup berkembang dibandingkan dengan negara lain seperti India.

"Ini kerana Mahkamah Agung India boleh memainkan peranan sebagai Mahkamah Perlembagaan semata-mata untuk menangani isu membabitkan perundangan perlembagaan," katanya.

"Sebaliknya di negara ini Mahkamah Persekutuan lebih bersifat sebagai Mahkamah Rayuan Tertinggi," katanya menyampaikan kertas kerja bertajuk Sumbangan Badan Kehakiman Dalam Perundangan Perlembagaan Malaysia.

Laporan Jalal Ali Abdul Rahim dan Munira Yusoff

KPN mahu polis tangani kes walaupun berlaku di luar kawasan

KUALA LUMPUR: Anggota polis yang enggan menerima laporan yang ingin dibuat orang ramai membabitkan kes di luar kawasan tanggungjawab balai mereka akan dikenakan tindakan tegas, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

"Saya sudah keluaran arahan sebelum ini supaya laporan polis mesti diterima tanpa mengira bidang kuasa (kawasan).

"Jika mereka gagal patuh, tidak sedar, degil atau tidak tahu melakukan kerja dengan baik, saya akan ambil tindakan," katanya pada sesi soal jawab pada Persidangan Undang-Undang Malaysia ke-14 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.


Beliau menjawab soalan seorang peserta yang keliru apabila mendakwa polis Kuala Lumpur enggan menerima laporan kes kemalangan dialaminya di Petaling Jaya, walaupun Musa melalui media dilaporkan berkata kes boleh dlapor di mana-mana balai.

Terdahulu, Musa membentangkan kertas kerja bertajuk 200 Tahun Kepolisan dan 50 Tahun Kemerdekaan � Pengalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) - Jalan Ke Hadapan.

Musa berkata, arahan itu bagi memudahkan orang ramai membuat laporan polis.


Menjawab soalan lain, Musa mengakui memang ada anggota dan pegawai polis terbabit rasuah dan meminta pihak yang membuat dakwaan, memberikan nama anggota terbabit untuk tindakan.

"Saya pun nak bersihkan pasukan," katanya.

Musa juga berkata, PDRM setakat ini sudah melaksanakan lapan peratus daripada 125 cadangan dikemukakan Suruhanjaya Penambahbaikan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, beliau juga difahamkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) akan ditubuhkan tidak lama lagi.

Musa berkata, beliau tidak pernah membantah penubuhan IPCMC, sebaliknya cuma tidak bersetuju beberapa peruntukan yang tidak memihak kepada polis.

Terdahulu ketika membentangkan kertas kerjanya, Musa berkata indeks jenayah yang dilaporkan dalam tempoh 26 tahun meningkat ketara iaitu 70,823 kes pada 1980 kepada 198,622 kes pada 2006.

Beliau berkata, berdasarkan indeks populasi satu per 100,000, indeks jenayah bagi setiap 100,000 meningkat daripada 510 pada 1980 kepada 727 pada 2006.

"Angka ini meningkat 42.5 peratus. Peningkatan ketara ini banyak bergantung kepada usaha PDRM meluaskan definisi dan ukuran indeks jenayah. Sebagai contoh, kes seperti peras ugut, rusuhan, ugut jenayah dan menyebabkan kecederaan dimasukkan dalam kategori ini sejak 2006.

"Faktor lain peningkatan kes adalah pengangguran, penghijrahan dari luar bandar ke bandar, kebanjiran pendatang asing dan peningkatan populasi," katanya.

Musa berkata, PDRM yang berfungsi memastikan penguatkuasaan undang-undang dan mengekalkan keamanan kini berhadapan cabaran besar.

"Kumpulan etnik yang hanya memikirkan kepentingan sendiri, mempolitikkan isu negara Islam, hak dan keistimewaan orang Melayu, meritokrasi dan ketidaksamaan ekonomi.

"Suasana ini mewujudkan cabaran kepada pasukan keselamatan. Inilah dimensi baru yang berkehendakkan perhatian rapi dari aspek keselamatan," katanya.

Oleh Magendran Rajagopal

Pertikai sambutan Maulidur Rasul cetus keliru: Abdullah

KUALA LUMPUR: Mufti diminta menghentikan kenyataan berkaitan isu remeh seperti kewujudan amalan mazhab Syafie tulen dan mempertikaikan sambutan Maulidur Rasul sehingga menimbulkan kekeliruan umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin, berkata perkara itu harus ditangani segera kerana boleh menimbulkan perpecahan ummah.

Katanya, beliau sudah meminta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz menemui pihak berkenaan dan memberikan nasihat supaya isu itu tidak berlarutan.


"Kerajaan berpendirian pendekatan memberi nasihat sudah memadai dan tidak bercadang mengambil tindakan lain yang lebih tegas kerana mungkin menimbulkan rasa kurang senang," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2008 di Dewan Rakyat semalam.

Mengenai isu ajaran sesat, Abdullah menegaskan Jakim sudah menyelaras tindakan terhadap dalang yang melakukannya serta pengikut mereka.

Katanya, pembanterasan awal dilakukan menerusi pengeluaran fatwa dan warta, program pemulihan, sesi kaunseling dan jika perlu, tindakan undang-undang menerusi kerjasama dengan jabatan agama Islam negeri.


Setakat ini, tindakan sudah diambil terhadap kumpulan ajaran sesat yang mengamalkan Ajaran Arifin Muhammad, Amalan Perbomohan Cakra Alam, Amalan Perbomohan Ibrahim Mat Zain, Kumpulan al-Arqam/Rufaqa, Ajaran Kahar Ahmad, Ajaran Haji Ghazali dan Ajaran Haji Banuar.

Dalam perkembangan lain, Abdullah berkata orang ramai yang ingin mengeluarkan wang menerusi mesin wang automatik (ATM) kini boleh berbuat demikian di masjid yang akan dilengkapi kemudahan itu secara berperingkat,

Penyediaan kemudahan ini terkandung dalam arahan yang dikeluarkan Jakim kepada semua negeri baru-baru ini.

"Antara kemudahan lain yang akan disediakan selaras usaha kerajaan menjadikan masjid pusat ekonomi dan sosial ialah kaunter pungutan zakat dan klinik," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga merancang menjadikan masjid sebagai pusat pendidikan dengan Masjid Putra di Putrajaya dipilih perintis menganjurkan kelas bahasa Inggeris.

Berhubung masalah jemaah haji yang belum menerima sijil, beliau mengesyorkan mereka menghubungi cawangan Tabung Haji berdekatan untuk membuat aduan kerana masih belum terlambat menyelesaikannya.

Katanya, mulai musim haji tahun lalu setiap individu yang menunaikan haji diberi sijil penyertaan bagi mengesahkan mereka sudah mengerjakan ibadat itu.

Oleh Azman Zakaria


PENDEDAHAN BERGUNA: Hishammuddin beramah mesra dengan pelajar Maktab Tentera Diraja Sungai Besi yang menjuarai pertandingan F1 In Schools , di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR: Keputusan mengekalkan pendekatan untuk pelajar menjawab peperiksaan subjek Matematik dan Sains dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sama ada dalam bahasa Inggeris atau bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan bertujuan mengelakkan jurang pencapaian yang lebih besar antara sekolah bandar dan luar bandar, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, jika pelajar dimestikan menjawab peperiksaan itu dalam bahasa Inggeris tahun depan, ia akan mendatangkan kesan besar dan menjauhkan lagi jurang antara sekolah bandar dan luar bandar.

Sehubungan itu katanya, pendidikan dalam bahasa Inggeris akan diperkukuhkan sebelum keputusan untuk pelajar menjawab peperiksaan itu dalam bahasa Inggeris dibuat.


"Ramai guru sudah dilatih, tapi masih ada ruang untuk mempertingkatkan kemahiran mereka termasuk dalam menggunakan perkakasan yang sedia ada.

"Mengekalkan keputusan sedia ada juga tidak jejaskan sesiapa... jika ada kemampuan dan mahir menjawab dalam bahasa Inggeris boleh jawab dalam bahasa Inggeris. Yang nak jawab dalam bahasa kebangsaan atau bahasa Cina (di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina) ataupun bahasa Tamil (di SJK Tamil) itu terserah... sekurang-kurangnya mereka ada pilihan," katanya selepas menutup pertandingan F1 In Schools di sini, semalam, yang dimenangi pasukan Rapid Blaze dari Maktab Tentera Diraja Sungai Besi.

Rabu lalu, beliau berkata, kerajaan memutuskan peperiksaan subjek Matematik dan Sains dalam UPSR diteruskan dalam dwibahasa, iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan sementara kajian menyeluruh mengenainya selesai dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.


Sebelum itu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan peperiksaan Matematik dan Sains di sekolah jenis kebangsaan akan diteruskan dalam dwibahasa.

Mengenai pertandingan F1 In Schools itu, Hishammuddin berkata, program berkenaan yang dimulakan pada 2005 semakin mendapat sambutan dengan penyertaan 438 pasukan tahun ini berbanding 14 buah pada 2005 dan 40 pasukan tahun lalu.

Katanya, program itu memberi pendedahan kepada pelajar dalam pelbagai perkara termasuk kemahiran berkaitan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), membuat kajian dan bekerja dalam satu pasukan termasuk mencari penaja.

Beliau berkata, ia juga memberi manfaat kepada agenda integrasi nasional apabila mulai tahun ini ada pasukan gabungan dibentuk.

"Kepelbagaian aliran pendidikan ini boleh kita manfaatkan dalam agenda yang lebih besar seperti integrasi nasional," katanya.

Katanya, pendekatan seperti itu akan diketengahkan pada peringkat antarabangsa apabila Malaysia menjadi tuan rumah pertandingan peringkat dunia Mac tahun depan, dengan membentuk pasukan gabungan dari sebuah sekolah negara ini dengan sebuah sekolah di Jerman.

Katanya, beliau juga sedang mendapatkan persetujuan bagi mewujudkan pasukan gabungan antara Malaysia, United Kingdom dan sebuah sekolah negara Asean untuk pertandingan tahun depan.



ANGGOTA polis berpakaian preman membawa seorang wanita turun dari pentas utama selepas dia mengganggu ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada majlis pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) peringkat negeri Pahang di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 2 di sini, semalam. - Foto Bernama.

KUANTAN: Majlis pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di sini semalam, gempar apabila seorang gadis secara tiba-tiba naik ke pentas dan menghadiahkan setangkai bunga mawar kepada Perdana Menteri yang sedang berucap.

Terkejut dengan kehadiran gadis berbaju kurung dan bertudung hitam yang membawa beg kertas berwarna coklat itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terpaksa berhenti berucap selama kira-kira lima minit.

Perdana Menteri yang menyangka gadis berusia awal 20-an itu datang untuk membawa air minuman, terkejut apabila melihat setangkai mawar merah jambu diserahkan kepadanya.


Kejadian tidak diduga yang turut disiarkan secara langsung menerusi televisyen itu, pada awalnya tidak disedari lebih 15,000 orang ramai yang mendengar ucapan Perdana Menteri kerana menyangka ia sebahagian atur cara majlis, tetapi bertukar sebaliknya apabila Abdullah meminta gadis itu turun dari pentas.

“Kenapa bagi saya bunga, saya bukan penyanyi, tak apa lah... turun dulu,” katanya menyebabkan orang ramai terpinga-pinga menyaksikan kejadian atas pentas utama yang turut disaksikan isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah.

Bagi menenangkan suasana ketika gadis itu dibawa turun pentas oleh pengawal peribadinya, Abdullah berjenaka apabila menyatakan kejadian itu antara cabaran yang terpaksa dilaluinya sebagai Perdana Menteri.


“Terkejut saya diberi bunga. Ini juga antara kerisauan jadi isteri Perdana Menteri,” katanya sambil disambut ketawa orang ramai.

Sementara itu, gadis berkenaan yang dibawa turun pentas, kemudian menangis kerana bimbang ditahan polis akibat tindakannya yang melulu berjumpa Perdana Menteri.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Polis Pahang, Datuk Ayob Mohamed dilihat bergegas menemui gadis terbabit, tetapi media dihalang daripada bercakap dengannya.

Sumber berkata, gadis terbabit yang juga bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), dikatakan terlalu meminati Perdana Menteri dan sanggup datang dari Temerloh untuk berjumpa pemimpin idolanya itu.

“Mawar merah jambu yang diberi kepada Perdana Menteri itu juga dibelinya sendiri sebab semua hiasan bunga yang digunakan bagi majlis ini, bukan dari jenis itu.

“Walaupun kejadian itu tidak mencederakan sesiapa, tetapi tindakannya berjaya membolosi kawalan keselamatan dan mengejutkan Perdana Menteri tetap disiasat dan dia kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan,” katanya.

KUANTAN 30 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta orang ramai menyerahkan sepenuhnya kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk menyiasat secara terperinci mengenai kes penyelewengan seperti didedahkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2006.

Perdana Menteri yang enggan mengulas panjang mengenai isu tersebut berkata, terpulang kepada BPR untuk melakukan siasatan selanjutnya.

‘‘Biarlah BPR buat kerja, BPR bukan bodoh sangat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Peringkat Negeri Pahang dan Daerah Mersing, Johor di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 2 (MPK 2) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang mahu BPR bukan setakat menangkap ‘bilis’, malah mengheret sama ke muka pengadilan ‘jerung-jerung’ yang terlibat dalam penyelewengan seperti didedahkan Laporan Ketua Audit Negara 2006.

Pengerusi PAC, Datuk Shahrir Abdul Samad turut menggesa kerajaan menyenaraihitamkan syarikat-syarikat pembekal yang terlibat dengan kes salah urus dana awam itu.

Dalam pada itu, Abdullah ketika diminta mengulas mengenai ulang tahun perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri yang genap empat tahun esok, melahirkan rasa syukur dan hanya akan bercakap berhubung perkara itu, esok.

‘‘Alhamdulillah, dah empat tahun ke? Biarlah saya cakap perkara ini esok,” katanya sambil tersenyum.

Oleh Ahmad Ghazali Musa, Sariha Mohd Ali, Rosli Abd Jalil dan Suzianah Jiffar

Tindakan agensi susulan Laporan Ketua Audit Negara 2006

KUANTAN: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi kepercayaan penuh kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk mengheret mereka yang terbabit dalam penyelewengan ke muka pengadilan seperti yang didedahkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2006.

Perdana Menteri berkata, beliau yakin dengan kemampuan BPR melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik dan profesional.

"Biar BPR buat kerja, dia tahu buat kerja," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Peringkat Pahang dan Daerah Mersing, Johor di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 2 di sini, semalam.


Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Effendi Norwawi dan lebih 15,000 tetamu.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang mahu BPR bukan setakat menangkap 'ikan bilis', malah mengheret 'jerung' yang terbabit dalam penyelewengan seperti didedahkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2006.

Pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di Bangunan Parlimen, kelmarin, Pengerusinya, Datuk Shahrir Samad menggesa kerajaan menyenaraihitamkan syarikat pembekal yang terbabit dalam kes salah urus dana awam itu.


Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri yang turut diminta mengulas mengenai kerajaan di bawah kepemimpinan beliau yang genap masuk tahun keempat hari ini berkata: "Alhamdullilah sampai empat tahun."

Di KOTA KINABALU, Pengarah BPR Sabah, Latifah Mohd Yatim, berkata beberapa kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penyelewengan dana awam di beberapa daerah di negeri ini sedang disiasat dan berada dalam pemerhatian pihaknya.

"Kita menyiasat beberapa kes berkaitan," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri BPR di Kompleks Pentadbiran Persekutuan Likas di sini, semalam.

Pada 23 Oktober lalu, lima termasuk tiga wanita dituduh di Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan mengeluarkan baucar pembayaran Skim Bantuan Orang Tua antara 2005 hingga 2006 bagi penerima yang sudah meninggal dunia antara 2003 hingga 2006.

Latifah berkata, 51 individu di Sabah ditahan BPR sejak Januari hingga Oktober tahun ini.

"Daripada jumlah itu, tujuh adalah kumpulan profesional, kumpulan sokongan (26) dan orang awam (18)," katanya.

BANGKOK 30 Okt. – Ketua junta tentera Myanmar, Jeneral Kanan Than Shwe dijangka mengadakan pertemuan dengan pemimpin demokrasi, Aung San Suu Kyi bagi menepis kritikan keras antarabangsa tetapi beliau tidak akan membuat sebarang konsesi serius.

Para penganalisis berkata, kedudukan Than Shwe semakin lemah akibat protes besar-besaran yang diketuai oleh sami-sami Buddha pada September lalu selain kemarahan masyarakat antarabangsa terhadap tindakan junta menumpaskan demonstrasi aman secara kekerasan.

Penganalisis juga memberi amaran, rejim tentera tidak akan menyerahkan kuasa dengan mudah dan sebarang langkah ke arah dialog hanya bertujuan mengurangkan tekanan terutama menjelang sidang kemuncak ASEAN, November ini.

Seorang aktivis dan profesor pelawat di Universiti Oxford, England, Dr. Zarni berkata, semuanya bergantung kepada “apa yang dianggap sebagai kemajuan.”

“Jika ia merupakan permulaan kepada proses dialog antara Aung San Suu Kyi dengan ketua junta, maka kemajuan akan menjadi realiti.

“Namun jika kemajuan dianggap sebagai perjanjian perkongsian kuasa antara Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD) dengan junta untuk kerajaan sementara hingga rejim memperkenalkan cadangan sendiri ke arah demokrasi, maka misi Ibrahim Gambari, (utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) tidak akan membawa sebarang kemajuan,” jelas beliau.

NLD memperoleh kemenangan besar pada pilihan raya 1990 tetapi tidak pernah dibenarkan memerintah oleh junta tentera.

Sementara itu, bantahan besar-besaran baru-baru ini berpunca daripada kenaikan harga minyak sehingga membawa kepada bantahan besar-besaran lebih 100, 000 orang di jalan-jalan raya.

Win Min, seorang penganalisis dan pelarian Myanmar yang menetap di Thailand berkata, China yang merupakan sekutu kuat cuba menjadi orang tengah bagi pertemuan antara Than Shwe dengan Suu Kyi.

Bagaimanapun, beliau menyatakan keraguan berhubung kesediaan junta untuk melakukan lebih daripada rancangan program demokrasi yang ingin diperkenalkan tetapi telah dikritik sebagai sesuatu yang memalukan.

Katanya, junta tentera menjadikan pertemuan dengan Suu Kyi sebagai taktik melengahkan masa “sehingga tekanan semakin berkurangan selepas sidang kemuncak ASEAN.”

Suu Kyi, ikon demokrasi yang dikenakan tahanan rumah sejak 12 tahun lalu, terus ditekan oleh junta disebabkan usahanya untuk membawa pemerintahan demokrasi ke negara ini.

Pertemuan Suu Kyi dan Than Shwe diharap akan membuka peluang ke arah demokrasi di negara yang diperintah tentera sejak beberapa dekad lalu.

– AFP

BUENOS AIRES: Wanita Pertama Cristina Fernandez de Kirchner yang bakal menjadi pemimpin wanita Argentina pertama, melahirkan harapan Hillary Clinton mencapai kejayaan pada pemilihan presiden Amerika Syarikat tahun depan.

Fernandez mengakui dalam wawancara 40 minit dengan stesen televisyen Argentina, Todo Noticias, kelmarin beliau mengagumi Hillary dan berkata beliau kerap dibandingkan dengan isteri bekas presiden Amerika Syarikat Bill Clinton itu.

Kedua-dua wanita adalah senator dan peguam yang mengiringi suami mereka yang menjadi gabenor sebelum menang jawatan presiden.


"Saya pernah menemui Hillary," kata Fernandez merujuk kepada pertemuan mereka di Boston pada 2004 yang gambar mereka berdua digunakan wanita pertama Argentina itu dalam kempen pemilihan beliau.

"Semuanya kini menunjukkan bahawa Hillary adalah pilihan rakyat Amerika bagi calon presiden parti Demokrat," kata Fernandez. "Kenapa tidak (Hillary boleh menang jawatan presiden)? Seorang lagi wanita (memimpin negara) bukanlah sesuatu yang tidak baik"

Fernandez ketawa ketika dirujuk sebagai bakal presiden. Saya masih tidak biasa lagi dengan panggilan itu," katanya.

Peguam berusia 54 tahun adalah antara pembantu penting suaminya dan seorang senator sejak sekian lama. - AP

ZURICH, Switzerland – Penantian panjang Brazil untuk menganjurkan Piala Dunia berakhir semalam apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan negara itu sebagai tuan rumah pusingan akhir 2014.

FIFA juga mengumumkan bahawa polisi penggiliran benua untuk menjadi tuan rumah dihapuskan.

Brazil merupakan satu-satunya calon yang membida untuk menganjurkan kejohanan antarabangsa satu acara itu, yang merupakan yang terbesar dan paling lumayan, selepas bidaannya diluluskan oleh delegasi teknikal FIFA minggu lepas.

Lebih 160 delegasi Brazil dan petugas media berada di Zurich untuk mendengar pengumuman itu termasuk Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.

Pada hari sepak mula Piala Dunia 2014, 64 tahun telah berlalu sejak negara Amerika Selatan itu menganjurkan Piala Dunia buat kali pertamanya.

Ditanya sama ada sesuatu boleh menghalang juara Piala Dunia lima kali itu daripada dinamakan sebagai tuan rumah, Presiden FIFA Sepp Blatter menjawab: “Tidak, saya tidak tahu sama ada boleh berlaku begitu. Brazil tidak mungkin kalah kerana tiada sesiapa yang mencabar mereka.”

Kali terakhir satu calon sahaja yang membida ialah pada Julai 1966 apabila Kongres FIFA menyerahkan hak tuan rumah kejohanan 1974 kepada Jerman Barat, pusingan akhir 1978 kepada Argentina dan kejohanan 1982 kepada Sepanyol.

“Ketika itu, keadaan sama sekali berbeza dan proses keseluruhan bidaan bukanlah seperti yang berlaku pada hari ini,” kata ahli jawatankuasa eksekutif FIFA Chuck Blazer.

“Hari ini, kami mendapat satu calon sahaja atas sebab-sebab yang sangat berbeza. Saya menyokong penuh bidaan Brazil tetapi saya fikir adalah lebih baik jika ada pertandingan,” katanya lagi.

Punca ia menjadi begitu ialah kerana polisi penggiliran yang diamalkan oleh FIFA yang melibatkan enam benua ahli gabungannya, strategi yang tamat semalam.

Keputusan itu membuatkan pembidaan untuk menjadi tuan rumah kejohanan 2018 terbuka luas.

Blatter berkata jawatankuasa eksekutif memutuskan untuk menerapkan polisi baru itu dengan segera selepas menolak cadangan daripada Concacaf (Persekutuan Bola Sepak Amerika Utara, Selatan, Tengah dan Carribean) yang akan memastikan bahawa rantau Amerika Utara akan menganjurkan kejohanan 2018.

“Cadangan itu telah ditolak,” kata Blatter.

Presiden bola sepak Amerika Syarikat (AS), Sunil Gulati berkata kejohanan 2018 adalah giliran untuk Concacaf menjadi tuan rumah.

“Dalam pada kami fikir bahawa sepatutnya penggiliran ini diteruskan sehingga tiba giliran kami sebelum ia ditamatkan... keputusan FIFA ini tidak mengubah komitmen kami untuk berusaha membawa Piala Dunia kembali ke Amerika Syarikat. Saya percaya bahawa bidaan AS akan sangat kompetitif,” kata Gulati dalam satu kenyataan.

Setiausaha Agung Concacaf, Blazer berkata dia kecewa dengan keputusan itu.

“Jika anda kembali ke 2002, dan melihat kepada sejarah penggiliran semasa... ia adalah giliran Asia, Eropah, Afrika dan kejohanan 2014 akan ke Amerika Selatan. Saya fikir mengikut logik dan secara adilnya giliran seterusnya adalah di Concacaf. Malangnya, ia tidak menjadi yang sepatutnya,” kata Blazer.

Hak

Korea Selatan dan Jepun menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2002 dan Jerman pada 2006. Afrika Selatan telah diberikan hak tuan rumah kejohanan 2010 dan semalam FIFA mengumumkan Brazil – satu-satunya calon – sebagai tuan rumah kejohanan 2014.

“Ada sesuatu yang hilang,” kata Blatter mengenai bidaan untuk 2014, menggambarkan kekecewaannya kerana tiada negara lain di Amerika Selatan yang membuat bidaan.

Blatter berkata, minat untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2018 begitu meluas.

“Bukankah bagus begitu? Kejohanan 2010 belum pun berlangsung, kami belum lagi membuat keputusan siapa tuan rumah 2014, namun kami sudah menerima permintaan untuk menjadi tuan rumah 2018,” kata Blatter, sambil memaklumkan bahawa dia telah berjumpa dengan Perdana Menteri Britain, Gordon Brown mengenai bidaan England.

China, Australia, Mexico, AS, Rusia dan Sepanyol juga telah menyuarakan minat masing-masing. Belanda dan Belgium akan membuat bidaan bersama untuk menjadi tuan rumah.

Untuk mengelakkan berlaku pertikaian antara ahli-ahli jawatankuasa eksekutif FIFA dengan negara-negara yang membida untuk kejohanan 2018, Blatter berkata Sebastian Coe, pengerusi baru jawatankuasa etika FIFA, akan meneliti keseluruhan proses itu. Coe juga adalah pengerusi jawatankuasa Olimpik London 2012.

Negara-negara anggota konfederasi Afrika dan Amerika Selatan tidak layak untuk menganjurkan kejohanan 2018 kerana Afrika Selatan dan Brazil akan menjadi tuan rumah dua kejohanan sebelumnya.

FIFA berada di bawah tekanan tinggi untuk membuka bidaan kejohanan 2018 bagi membenarkan negara-negara di luar Concacaf untuk menjadi tuan rumah kejohanan tahun itu.

“Saya gembira kerana FIFA telah membuka peluang kepada Piala Dunia untuk kembali ke England. Pada 2018, ia sudah 52 tahun sejak England menjadi tuan rumah Piala Dunia. Negara yang memberikan bola sepak kepada dunia berhak untuk menganjurkan semula kejohanan teragung ini,” kata Brown menerusi satu kenyataan semalam.

– Agensi