ANGGOTA polis berpakaian preman membawa seorang wanita turun dari pentas utama selepas dia mengganggu ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada majlis pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) peringkat negeri Pahang di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 2 di sini, semalam. - Foto Bernama. |
KUANTAN: Majlis pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di sini semalam, gempar apabila seorang gadis secara tiba-tiba naik ke pentas dan menghadiahkan setangkai bunga mawar kepada Perdana Menteri yang sedang berucap.
Terkejut dengan kehadiran gadis berbaju kurung dan bertudung hitam yang membawa beg kertas berwarna coklat itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terpaksa berhenti berucap selama kira-kira lima minit.
Perdana Menteri yang menyangka gadis berusia awal 20-an itu datang untuk membawa air minuman, terkejut apabila melihat setangkai mawar merah jambu diserahkan kepadanya.
Kejadian tidak diduga yang turut disiarkan secara langsung menerusi televisyen itu, pada awalnya tidak disedari lebih 15,000 orang ramai yang mendengar ucapan Perdana Menteri kerana menyangka ia sebahagian atur cara majlis, tetapi bertukar sebaliknya apabila Abdullah meminta gadis itu turun dari pentas.
“Kenapa bagi saya bunga, saya bukan penyanyi, tak apa lah... turun dulu,” katanya menyebabkan orang ramai terpinga-pinga menyaksikan kejadian atas pentas utama yang turut disaksikan isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah.
Bagi menenangkan suasana ketika gadis itu dibawa turun pentas oleh pengawal peribadinya, Abdullah berjenaka apabila menyatakan kejadian itu antara cabaran yang terpaksa dilaluinya sebagai Perdana Menteri.
“Terkejut saya diberi bunga. Ini juga antara kerisauan jadi isteri Perdana Menteri,” katanya sambil disambut ketawa orang ramai.
Sementara itu, gadis berkenaan yang dibawa turun pentas, kemudian menangis kerana bimbang ditahan polis akibat tindakannya yang melulu berjumpa Perdana Menteri.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Polis Pahang, Datuk Ayob Mohamed dilihat bergegas menemui gadis terbabit, tetapi media dihalang daripada bercakap dengannya.
Sumber berkata, gadis terbabit yang juga bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), dikatakan terlalu meminati Perdana Menteri dan sanggup datang dari Temerloh untuk berjumpa pemimpin idolanya itu.
“Mawar merah jambu yang diberi kepada Perdana Menteri itu juga dibelinya sendiri sebab semua hiasan bunga yang digunakan bagi majlis ini, bukan dari jenis itu.
“Walaupun kejadian itu tidak mencederakan sesiapa, tetapi tindakannya berjaya membolosi kawalan keselamatan dan mengejutkan Perdana Menteri tetap disiasat dan dia kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment