YDP jadikan 'hadiah' sumber inspirasi

SHAH ALAM: Penerima Anugerah Penyapu, Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Tukiman Nail menyifatkan hadiah yang diterimanya kelmarin sebagai iktibar untuk berusaha lebih gigih.

"Penyapu itu akan diletakkan di pejabat sebagai satu peringatan dan sumber inspirasi. Bila tengok penyapu itu, saya dan semua kakitangan akan ingat untuk kerja lebih gigih.

"Saya tampil untuk menerima anugerah itu semalam (kelmarin) selepas melihatnya secara positif walaupun perasaan saya bercampur,� katanya sebelum menghadiri Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) di sini, semalam.

Anugerah khas sebatang penyapu yang diikat riben itu disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo kepada MDHS dan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Hulu Selangor pada majlis anugerah sempena Bulan Kualiti 2007 Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini, kelmarin.

Tukiman yang dilantik ke jawatan itu Jun tahun lalu, berkata kerajaan negeri sudah memberi peringatan mengenainya sebelum ini dan menggesa pihak berkuasa tempatan meningkatkan kutipan cukai.

Sebaik memulakan tugas, katanya, beliau menubuhkan satu pasukan khas di kalangan pegawai untuk berusaha meningkatkan prestasi kutipan cukai semasa dan tunggakan.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya menyedari ada kekangan di Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa apabila kawasan perumahan yang dimajukan di situ pada awal 1990-an mengalami masalah berikutan ekonomi merudum pada 1997.

"Berikutan itu, daripada lebih 7,000 unit rumah dan kilang di situ, hanya 30 peratus membayar cukai semasa dan tunggakan kerana kebanyakan mereka tidak tinggal di situ walaupun perumahan siap," katanya.

"Di Lembah Beringin pula, daripada 3,000 unit rumah yang siap, hanya kira-kira 70 rumah diduduki, manakala bakinya tinggal menyewa di tempat lain. Sebuah sekolah rendah tiga tingkat di situ cuma ada 105 murid," katanya.

PTD Hulu Selangor hanya memungut 55 peratus cukai semasa dan 56 peratus cukai tertunggak, manakala MDHS memungut 66.9 peratus hasil cukai semasa dan 23.4 peratus cukai tertunggak tahun lalu.

Kerajaan Selangor menetapkan semua sembilan PTD serta 12 PBT memungut 90 peratus hasil cukai.

Sementara itu, isu Anugerah Penyapu turut dibahaskan oleh Ahli Parlimen, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, sekali gus menyaksikan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Azizah Mohd Dun menyatakan beliau sendiri kurang setuju dengan pengwujudan anugerah sedemikian.

Raja Ahmad Zainuddin yang juga Ahli Parlimen Larut, membangkitkan perkara itu ketika Datuk Azizah menjawab soalan lisan Dr Roziah Talib (BN-Ampang).

0 comments: