Oleh Azrina Ahzan dan Sazarina Shahrim


Tee Hui Yee

Dibedah semula selepas badan tolak organ pertama

KUALA LUMPUR: Tee Hui Yee, penerima jantung seorang remaja Melayu yang maut dalam kemalangan di Perak kelmarin, terpaksa menjalani pembedahan pemindahan jantung kedua awal pagi semalam selepas badannya menolak jantung pertama itu.

Keadaan Tee, 14, kini stabil selepas pembedahan selama tujuh jam mulai 1 pagi semalam di Institut Jantung Negara (IJN).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, berkata Tee bernasib baik kerana ada penderma lain bersetuju mendermakan jantung untuk membolehkan dia mendapat satu lagi organ berkenaan selepas jantung pertama dipindahkan kelmarin tidak sesuai dengan badannya.

"Penderma jantung kedua yang dipindahkan kepada Tee itu dari Johor yang juga mangsa kemalangan.

"Saya ingin merakamkan penghargaan kementerian kepada penderma dan keluarganya serta berharap ia akan menjadi amalan yang akan dicontohi rakyat Malaysia," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Rawatan dan Pemulihan 2007, di Putrajaya semalam.


Beliau bagaimanapun tidak menyatakan identiti penderma kedua itu serta meminta media tidak mengganggu keluarganya.

Tee yang menggunakan jantung mekanikal, terpaksa menunggu lebih setahun sehingga kelmarin apabila beliau menjalani pembedahan pemindahan jantung daripada penderma pertama, seorang remaja Melayu dari Perak yang maut dalam nahas jalan raya.

Bagaimanapun, kurang 24 jam selepas pemindahan jantung pertama di IJN itu, Tee terpaksa dibedah sekali lagi untuk mengeluarkan organ berkenaan bagi digantikan dengan yang lain selepas badannya menolak jantung pertama itu.

Beliau menjalani pembedahan lebih sepuluh jam untuk pemindahan jantung pertama, bermula jam 10.45 malam kelmarin. Pembedahan pemindahan jantung kedua, yang didermakan seorang lelaki Cina, mengambil masa tujuh jam, bermula 1 pagi.

Sementara itu, Ketua Pakar Bedah Kardiotorasik IJN, Datuk Dr Mohd Azhari Yakub, pada sidang media di sini berkata, selepas pembedahan pemindahan kedua itu, pengecutan jantung dan tekanan darah Tee berada dalam keadaan memuaskan walaupun dia masih kritikal.

"Daya tahan imunisasi badan Tee menolak pemindahan jantung pertama yang kami lakukan. Ini boleh berlaku walaupun ia sepadan dengan Tee berdasarkan kumpulan darah, ketinggian dan besar badan kedua-dua mereka.

"Penolakan seperti itu memang jarang berlaku dan dianggarkan hanya lima hingga 10 peratus kes pesakit yang menjalani pembedahan pemindahan dengan organ sepadan seperti ini, menolak jantung baru mereka," katanya.

Beliau berkata, pembedahan pemindahan jantung kedua terhadap Yee dijalankan oleh pasukan sama dalam pembedahan pertama kelmarin yang diketuai dirinya dan Pengarah Klinikal Pemindahan Jantung dan Paru-Paru IJN, Dr Mohd Ezani Md Taib.

Turut terbabit dalam pembedahan itu ialah enam lagi pakar bedah kardiotorasik, enam pakar bius, seorang doktor dari Institut Penyelidikan Respiratori dan 30 paramedik.

Mengenai penderma jantung baru itu, Dr Mohd Azhari berkata, beliau juga adalah mangsa kemalangan berasal dari Johor Bahru tetapi identitinya terpaksa dirahsiakan atas permintaan keluarga waris.

Manakala, pesakit berusia 39 tahun yang menjalani pembedahan pemindahan paru-paru kelmarin, Dr Mohd Azhari berkata, beliau menunjukkan perkembangan positif dan sudah mampu bernafas sendiri.

Oleh Arhiza Ahmad

SEREMBAN: Laporan bedah siasat mendapati, kematian anggota polis berpangkat koperal di lorong belakang bangunan kedai di pusat perniagaan Lavender Heights, Senawang, dekat sini, pagi kelmarin, akibat dilanggar sebuah kenderaan.

Keputusan itu diperoleh hasil bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat Armizon Jaafar, 35, oleh doktor pakar Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS), tengah hari kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Saiful Azlly Kamaruddin, berkata laporan bedah siasat mendapati beberapa tulang mangsa patah termasuk pinggul dan rusuk, pundi kencing pecah serta kepalanya retak akibat dilanggar kenderaan.

"Walaupun laporan bedah siasat menunjukkan kematian mangsa akibat dilanggar oleh kenderaan tetapi kita masih menjalankan siasatan terperinci dari segenap aspek termasuk kemungkinan berlaku unsur jenayah yang menyebabkan kematiannya.

"Ini termasuk mengenal pasti di mana kemalangan itu berlaku dan bila ia berlaku," katanya ketika ditemui di majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Aidilfitri di Plaza Tol Senawang, dekat sini semalam.

Dalam kejadian pagi kelmarin, Armizon ditemui mati dalam keadaan terlentang dengan kepala berlumuran darah oleh pengawal keselamatan yang meronda di lorong belakang bangunan kedai di pusat Lavender Heights, kira-kira jam 7.45 pagi.

Beliau bertugas di Cawangan Jenayah Berat (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK), meninggalkan seorang balu dan empat orang anak.

Saiful Azlly berkata, beliau juga sudah meminta pegawai trafik supaya menjalankan siasatan merangkumi segenap aspek termasuk mengenal pasti kenderaan yang terbabit melanggar mangsa.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis bagi membantu siasatan," katanya.

SHAH ALAM: Keterangan ahli kimia ada kebarangkalian tertuduh ketiga, Abdul Razak Baginda dan tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar ada pertalian keluarga mengejutkan semua yang hadir di mahkamah, semalam.

Peguam, ahli keluarga dan wartawan masing-masing saling berpandangan serta ketawa kecil seolah-olah tidak percaya apabila Pengarah Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Petaling Jaya, J K Primulapathi, berkata ada padanan pada contoh darah kedua-dua tertuduh berdasarkan ujian DNA.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin, saksi ke-39 pendakwaan itu menjelaskan padanan itu diperoleh berdasarkan perbandingan turutan elemen HV1 daripada ujian DNA Mitochondrial.

Noorin: Lihat laporan analisis kamu ini, rujukan turutan dibuat terhadap sampel darah Sirul Azhar berpadanan dengan Abdul Razak, jadi adakah ini bermakna mereka mempunyai keturunan sebelah ibu sama?

Primulapathi: Ya, mereka mempunyai keturunan sebelah ibu yang sama. Ia mungkin disebabkan mereka mempunyai hubungan persaudaraan di sebelah nenek moyang.

Noorin: Dalam bahasa Melayu, mungkin membawa maksud mereka berdua ada �bau-bau bacang�.

Hakim: Keterangan kamu ini adakah ia adalah kebarangkalian saja?

Primulapathi: Tidak, ia berdasarkan padanan rujukan turutan diperoleh.

Sementara itu, ketika disoal peguam bela Abdul Razak, Wong Kian Kheong, Primulapathi bersetuju enam lagi hasil analisis ujian DNA mitochondrial bagi elemen HV2 pada sampel darah Sirul Azhar dan Abdul Razak menunjukkan perbezaan.

Wong: Dan ini menunjukkan mereka berdua berkongsi keturunan sebelah ibu yang berbeza?

Primulapathi: Mutasi (perubahan genetik) mungkin boleh berlaku dari satu generasi ke generasi lain.

Disoal Wong sama ada DNA Abdul Razak dikesan pada jam tangan jenama Larmes, sepasang subang, cincin (barangan kemas Altantuya) dan jaket hitam (milik Sirul Azhar), Primulapathi mengesahkan tiada Profil DNA lain dikesan di situ selain DNA mangsa.

Beliau juga mengesahkan tiada DNA tertuduh ketiga dikesan pada sepasang selipar (ditemui dalam jip Sirul Azhar) yang mempunyai kesan darah mangsa

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali dan Norhashimah Mohd Radzali

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi semalam diberitahu, profil asid deoksiribonukleik (DNA) seseorang individu boleh diekstrak dan disapu pada benda lain oleh sesiapa saja, dan tidak semestinya pakar saja.

Malah, Pengarah Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Petaling Jaya, J K Primulapathi, berkata pelajar sekolah yang mempunyai pengetahuan mengenai proses mengambil DNA boleh melakukannya kerana ia adalah satu proses mudah dan maklumat itu boleh diperoleh menerusi internet.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin dalam pemeriksaan utama, saksi itu sebagai contoh berkata, individu boleh mengambil sampel darah dan mengekstrak profil DNA daripadanya dan mengesat pada benda lain dan mengeringkannya.

Katanya, jika kesatan itu bukan daripada sumber darah, ia boleh diperoleh daripada sumber sel badan yang dikumuh atau tertanggal setiap hari seperti peluh dan sel kulit mati.

Primulapathi berkata demikian ketika menjawab soalan Noorin berhubung penemuan profil DNA wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu pada jaket kulit hitam milik tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar dan barang kemas seperti jam tangan, subang dan cincin milik wanita itu.

Terdahulu Noorin menyoal saksi itu bagaimana pengendalian seseorang individu terhadap sesuatu barang terbabit sehingga profil DNA miliknya boleh dijumpai di situ.

Primulapathi berkata, (dalam kes ini) individu terbabit (Altantuya) menggunakan barang itu secara kerap dan memegangnya dalam tempoh yang lama kerana jika hanya sekadar menyentuh ia tidak akan meninggalkan sebarang profil DNA.

Ditanya Noorin sama ada beliau menemui profil DNA individu lain pada barang kemas dan jaket kulit hitam Sirul Azhar yang dianalisa, saksi itu menjawab: “Tidak”.

Noorin: Terdahulu kamu menyatakan keturunan sebelah ibu spesimen tisu manusia dilabelkan ‘tidak diketahui identiti’ menyamai sampel darah Altansetseg Sanjaa (ibu Altantuya). Adakah kamu menggunakan sampel darah itu bagi perbandingan?

Pramulapathi: Ya.

Noorin: Dan kamu juga bergantung kepada sampel darah Altansetseg untuk mengenal pasti keturunan sebelah ibu pemilik spesimen tisu dan rambut (Altanntuya)?

Primulapathi: Ya.

Noorin: Daripada hasil analisis kamu menunjukkan pemilik spesimen tisu itu adalah anak perempuan Altansetseg dan suaminya, Setev Shaariibuu?

Primulapathi: Ya.

Noorin: Kamu juga membuat penemuan DNA diperoleh daripada kesan darah pada selipar, rambut dan jam tangan, subang, cincin dan jaket hitam menyamai profil DNA pada tisu itu?

Primulapathi: Ya.

Noorin: Bolehkah kamu membuat kesimpulan pemilik DNA kesan darah pada selipar, rambut, jaket dan barangan kemas adalah orang sama?

Primulapathi: Saya hanya boleh merumuskan berdasarkan keputusan ujian yang saya buat, ia mungkin daripada orang sama. Seperti saya nyatakan, ujian DNA hanya dapat menentukan DNA individu memiliki keturunan sebelah ibu yang sama.

Noorin: Jika DNA itu dimiliki orang berbeza tetapi berkongsi keturunan sebelah ibu sama, apakah kemungkinannya?

Primulapathi: Saya boleh katakan sama ada individu itu adalah kakak, ibu dan nenek.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin bersambung Isnin depan.

Oleh Shamshul Azree Samshir

PUTRAJAYA: Program Angkasawan Negara yang merintis sejarah anak Melayu pertama menjelajah angkasa lepas adalah tuntutan ilmu fardu kifayah yang mampu memberi manfaat besar kepada umat sejagat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin.

Malah, katanya, program itu memiliki ciri penting pendekatan Islam Hadhari yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Islam sangat menggalakkan ilmu pengetahuan... seseorang yang memiliki ilmu akan mampu membina tamadun. Pada abad pertengahan, ramai sekali tokoh Islam lahir dalam bidang ini maka langkah ini adalah permulaan yang baik.

"Kita harapkan sains angkasa lepas berkembang dengan baik di negara kita kerana ilmu ini sangat digalakkan, ia adalah fardu kifayah," katanya pada sidang media mengenai garis panduan beribadat di ISS dan isu agama dalam Program Angkasawan Negara di pejabatnya di sini, semalam.

Dr Abdullah juga mengalu-alukan langkah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menyebarkan ilmu sains angkasa ke sekolah di seluruh negara.

"Setiap bidang yang boleh mendatangkan manfaat kepada umat Islam seluruhnya adalah suatu tuntutan fardu kifayah yang memerlukan di kalangan kita orang-orang yang pakar dalam bidang berkenaan," katanya.

Dr Abdullah juga berkata, khutbah Jumaat bertemakan 'Misi Angkawasan Negara Anugerah Allah SWT Dalam Menjana Fardhu Kifayah Ummah' yang dibaca di semua masjid di seluruh negara semalam menjelaskan kepentingan program itu mengikut pandangan Islam.

"Ini adalah sesuatu yang sangat dituntut dalam agama Islam dan ilmu itu adalah ilmu perkongsian bersama seluruh umat manusia," katanya.

Beliau berkata, selain khutbah khas, solat hajat juga dianjurkan semalam bagi mendoakan angkasawan negara sama ada Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha atau Kapten Dr Faiz Khaleed yang akan berangkat ke ISS, selamat berlepas dan pulang ke bumi.

Oleh Nurhayati Abllah

KUALA LUMPUR: Kad SIM telefon bimbit yang ditelan suspek wanita Indonesia yang disiasat bagi membantu siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, 8, sudah dihantar ke Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Cheras, untuk dianalisa.

Sumber memberitahu Berita Harian, Unit Forensik sedang membuat analisis sama ada kad itu masih boleh digunakan untuk mendapatkan maklumat yang dipercayai dapat membantu mengenai kehilangan dan pembunuhan murid Tahun Dua itu yang mayatnya ditemui pada 17 September lalu.

�Analisa sedang dijalankan dan kita tidak tahu sejauh mana kad SIM itu dapat membongkar rahsia pembunuhan Nurin Jazlin.

�Bagaimanapun, jika masih boleh digunakan, kemungkinan kita dapat mengambil maklumat yang tidak rosak termasuk nombor telefon atau SMS yang dihantar suspek,� katanya.

Beliau berkata, nombor siri di belakang kad SIM itu mencukupi untuk mengenal pasti nombor telefon bimbit yang digunakan suspek.

Semalam, akhbar melaporkan, selepas enam hari menunggu, doktor di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berjaya mengeluarkan kad SIM yang ditelan suspek wanita itu.


Wanita itu kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk menyambung reman.

Suspek yang disambung reman enam hari lagi dikatakan menelan kad SIM itu ketika dalam tahanan polis kerana dipercayai mengandungi maklumat yang dapat membantu siasatan kes berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee, ketika dihubungi semalam berkata, polis masih menjalankan siasatan dan mengumpul maklumat berhubung kes itu.

�Kad SIM itu sudah dihantar dan diserahkan kepada pihak berkenaan untuk dianalisa dan polis perlu menunggu keputusannya sebelum mengambil tindakan susulan,� katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan berkata, polis juga sedang menyiasat dakwaan orang ramai yang menghubungi talian RakanCop mendakwa melihat seorang lelaki dan wanita yang menyamai lakaran wajah dua suspek kes pembunuhan Nurin Jazlin.

Lelaki dan wanita itu dikatakan menaiki tren Star LRT dari Stesen Bandar Tun Razak di sini, pagi kelmarin.

Lelaki berusia antara 35 hingga 40 tahun dan wanita dalam lingkungan 20-an itu, bagaimanapun menghilangkan diri di tengah kesesakan orang ramai selepas turun di Stesen Masjid Jamek, kira-kira jam 8 pagi.

Beliau turut mengingatkan orang ramai dan media supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menulis laporan tanpa mendapatkan fakta yang betul kerana ia boleh menjejaskan siasatan polis.

Oleh Mohd Zin Ali

JOHOR BAHRU: �Saya memang sedih apabila organ dalam badan dia diambil, tetapi tindakan itu juga baik kerana ia dapat membantu orang lain untuk hidup sihat,� kata Mong Soon Peng, 44, ibu kepada pemuda yang mendermakan jantungnya di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, kelmarin.

Katanya, selepas mendapat nasihat doktor dan berbincang dengan suaminya, Chin Pak Siong, 48, beliau bersetuju untuk mendermakan organ anaknya, Chin Yoon Kiong, 20, yang sudah tidak dapat diselamatkan lagi kerana �mati otak�, akibat kemalangan jalan raya, untuk membantu orang lain.

Jantung anaknya itu diterima oleh Tee Hui Yee, 14, yang terpaksa menjalani pembedahan jantung sekali lagi semalam, selepas organ sama yang diterima daripada seorang pemuda Melayu dari Perak, kelmarin tidak sesuai dengan tubuhnya.

�Walaupun anak saya sudah mati, saya harap orang yang menerima barang (organ) itu dapat mengingatkan saya kepadanya setiap kali saya melihatnya,� katanya yang menyifatkan anak sulung daripada tiga beradik lelaki itu sebagai baik, ceria dan suka membantu orang lain.

Ketika ditemui di sini, semalam, Soon Peng berkata, anaknya yang patah kaki dan parah di kepala selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Bandar Baru Kangkar Pulai, kira-kira jam 9 malam, Rabu lalu, tidak dapat diselamatkan.

Beliau berkata, sebaik menyatakan persetujuan untuk menderma organ kepada orang lain, doktor menamatkan alat bantuan hayat anaknya yang bekerja sebagai juruteknik di Kempas itu, kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.

�Saya difahamkan jantung anak saya akan diberikan kepada penerima lain selepas Tee menerima jantung daripada seorang remaja lelaki dari Ipoh. Selain jantung, organ lain yang didermakan ialah paru-paru yang dikatakan untuk penerima di Singapura, manakala buah pinggang untuk penerima di Kulai,� katanya.

Pak Siong pula berkata, beliau hanya memikirkan tindakan menderma organ berkenaan adalah baik kerana anaknya yang sudah meninggal dunia dapat membantu orang lain yang sangat memerlukan menjalani pemindahan organ.

�Kami berharap dengan bantuan berkenaan, penerima organ yang masih belum diketahui itu akan dapat hidup lebih lama dan sihat untuk tempoh 10 hingga 20 tahun lagi.

�Kami juga berharap dapat menganggap penerima jantung itu sebagai anak kami. Bagaimanapun, kami tidak dapat mengunjunginya jika dia tinggal jauh daripada kami,� katanya sambil menjelaskan mayat anaknya yang dibawa pulang dari HSA, jam 9 pagi semalam akan dibakar di Taman Peringatan Ban Foo, Kulai kira-kira jam 11 pagi ini.

SINGAPURA: Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, memberi amaran Myanmar adalah 'bom jangka' yang sedang berdetik bagi Asia Tenggara dan memerlukan kerjasama rantau itu untuk membantu mematikannya, lapor akhbar semalam.

Dalam komen yang disiarkan secara meluas oleh media tempatan, Lee berkata, keseluruhan rantau berkenaan akan terjejas oleh krisis di negara diperintah tentera itu.

"Keadaan Myanmar yang tidak stabil adalah bom jangka bagi seluruh rantau ini. Pemimpin Asean tahu jika keadaan di Myanmar semakin buruk, akan tiba masanya apabila tentera melakukan lebih banyak kekejaman untuk menekan rakyatnya.

"Jadi, adalah menjadi kepentingan utama bagi setiap negara di Asean untuk membantu menstabilkan Myanmar," katanya dalam kenyataan pertama mengenai tindakan keras junta tentera Myanmar terhadap penunjuk perasaan prodemokrasi.

Lee, kini memegang jawatan Menteri Mentor dalam Kabinet anak lelakinya, Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Dia memuji reaksi sebulat suara Asean dalam menunjukkan 'kesedihan dan mual' berikutan tindakan tentera menembak penunjuk perasaan yang diketuai sami Buddha.

Sekurang-kurangnya 13 maut dan lebih 2,000 lagi ditahan dalam operasi itu, menurut junta, tetapi diplomat, aktivis serta agensi bantuan berkata perangkaan mungkin lebih tinggi. � AFP

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali dan Norhashimah Mohd Radzali


BERI KETERANGAN: Primulapathi menyambung keterangan dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

Ujian DNA sama spesimen pada jam tangan, subang mangsa: Saksi

SHAH ALAM: Pakar kimia semalam mengesahkan kesan darah yang ditemui pada permukaan atas sepasang selipar yang dijumpai dalam jip tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar, adalah milik wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Pengarah Bahagian Forensik, Jabatan Kimia Petaling Jaya, J K Primulapathi, berkata keputusan itu diperoleh selepas menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap kesan darah terbabit dan mendapati ia menyamai DNA pada jam tangan, subang dan cincin milik Altantuya.

Saksi pendakwaan ke-39 itu berkata, melalui ujian yang dijalankan, beliau dapat merumuskan bahawa DNA kesan darah pada selipar dan barangan kemas itu dimiliki oleh individu yang berkongsi keturunan sebelah ibu yang sama.

Katanya, bagi spesimen selipar dan barang kemas itu, beliau menjalankan ujian DNA mitochondrial yang hanya menunjukkan salur galur keturunan sebelah ibu.

Primulapathi berkata, beliau turut menjalankan ujian DNA sama terhadap bahagian dalam jaket kulit hitam milik Sirul Azhar iaitu di kawasan leher, ketiak dan lengan dalam dan ia juga menyamai DNA kesan darah pada selipar serta dua spesimen rambut (milik Altantuya) yang dijumpai di tempat kejadian.


Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin, apakah yang boleh dirumuskan daripada persamaan itu, Primulapathi menjawab: “Saya boleh katakan individu itu (Altantuya) pernah memakai jaket berkenaan.

Katanya, DNA tulang dan tisu (dipercayai milik Altantuya yang dijumpai di tempat kejadian) juga menunjukkan ia adalah anak perempuan biologikal Setev Shaariibuu dan isterinya, Altansetseg Sanjaa berdasarkan kepada ujian yang dijalankan terhadap spesimen darah pasangan suami isteri itu.

Katanya, kebarangkalian ketepatan ujian bagi menentukan keturunan adalah 99.9999 peratus apabila dikira berdasarkan kepada pangkalan data populasi bangsa Melayu, India dan Cina di Malaysia.

Noorin: Jadi kamu boleh memberikan keputusan muktamad bahawa tisu dan rambut itu adalah milik anak perempuan dua spesimen darah (milik Setev Shaariibuu dan Altansetseg)?

Primulapathi: Ya.

Noorin: Bagaimana keputusannya jika hanya ujian dijalankan pada satu spesimen darah saja (Setev Shaariibuu). Adakah kamu boleh mendapatkan keputusan sama?

Primulapathi: Ya. Keputusan terbaik adalah mendapatkan spesimen darah kedua-dua ibu bapa dan keputusannya adalah 99.9999 peratus. Bagaimanapun, jika spesimen bapa saja diambil, saya masih boleh menentukan perhubungan itu, tetapi peratusannya mungkin kurang iaitu 99.9996 peratus.

Noorin: Adakah peratusan kebarangkalian ibu bapa individu itu akan terjejas jika individu berkenaan berbangsa Mongolia?

Primulapathi: Hanya sedikit terjejas.

Noorin: Tetapi keputusan tidak akan terjejas jika kedua ibu bapa individu itu memberikan sampel darah mereka untuk dianalisis, betul?

Primulapathi: Dalam kes ini tidak diragukan lagi bahawa individu itu (Altantuya) adalah anak perempuan biologikal kedua pasangan terbabit. Pangkalan populasi hanya untuk menunjukkan kebarangkalian peratusan. Jika DNA sama, tidak ada sebarang persoalan lagi. Walaupun tanpa pangkalan data populasi, saya masih boleh merumuskan dia adalah anak perempuan biologikal pasangan itu.

Bagaimanapun, Primulapathi berkata, hasil ujian DNA terhadap sehelai rambut (dijumpai dalam jip Sirul Azhar) bagaimanapun tidak menyamai mana-mana DNA daripada spesimen darah Shaariibuu, Altansetseg, Sirul Azhar, Abdul Razak Baginda, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Lans Koperal Rohaniza Roslan (teman wanita Azilah).