Terowong Smart tutup, banjir kilat punca jalan sesak

Oleh Nurhayati Abllah dan Nahar Tajri


TAK BERKESAN: Laluan terowong Smart ditutup mulai jam 6 petang semalam kerana sistem amaran banjir dikeluarkan di Kampung Pandan, menimbulkan masalah kepada pemandu kerana gagal mengatasi banjir, sekali gus menyebabkan kesesakan.

KUALA LUMPUR: Banjir kilat di beberapa jalan utama berikutan hujan lebat lebih dua jam dan penutupan terowong Smart, petang semalam, mengakibatkan kesesakan teruk di ibu kota, petang semalam.

Antara jalan mengalami kesesakan lebih sejam ialah Bulatan Kampung Pandan, Jalan Tun Razak menghala ke Cheras, Lebuh Raya Persekutuan, bulatan Batu Caves dan Jalan Ampang.

Banjir kilat juga menyebabkan Jalan Chan Sow Lin menghala ke Seremban dan Ampang Point mengalami kesesakan.


Jurucakap bahagian operasi Smart berkata, kesesakan berlaku berikutan penutupan sementara terowong itu yang dibuat sebagai persediaan mengelak daripada berlaku banjir di kawasan ibu kota.

"Terowong mula ditutup bermula jam 6 petang selepas menerima amaran daripada Jabatan Pengairan dan Saliran yang mengatakan paras air di peringkat berjaga-jaga.

"Bagaimanapun, keadaan masih terkawal sepenuhnya selepas hujan mulai reda sejam kemudian dan kita sudah menjalankan proses lencongan air bagi mengelak paras air meningkat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sehingga jam 10 malam tadi, terowong Smart masih ditutup.

0 comments: