Siapa yang akan untung?
APABILA Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membuatkenyataan meminta Timbalan Presiden parti itu, Nasharudin Mat Isameletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Bachok jika masih meneruskanhasrat untuk menubuhkan kerajaan perpaduan, mungkin ramai pihak samaada di dalam Pas atau di luar Pas berasa gembira.

UMNO–Pas perlu berunding
ISU kerajaan perpaduan kini semakin mendapat perhatian, malah isutersebut juga seolah-olah menampakkan berlaku perbalahan yang seriusdalam Pas.

Bisik-Bisik Mingguan AWANG SELAMAT
KuanYew dan DAP Lawatan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew selama lapanhari ke Malaysia baru-baru ini menarik perhatian ramai dan pada masayang sama mengundang banyak persoalan.

Manek Urai jadi ukuran
MANEKURAI, nama yang tentunya membawa makna manik-manik yang mengurai.Mungkin titis embun awal pagi dengan kabus yang menyelubungi kawasanperbukitan itu memberi bayangan sedemikian.

AS dalang rusuhan di Iran
KEPUTUSAN pilihan raya Presiden Iran minggu lepas yang memihak kepadaMahmoud Ahmadinejad telah mencetuskan konflik politik dan keadaan huruhara. Sehingga kini keadaan dilaporkan masih lagi tegang dan pihakmedia Barat seperti biasa melaporkan berita yang berat sebelah terutamadalam memburukkan Ahmadinejad.

Perpaduan nasional perlu strategi baru
MINGGUlepas telah berlangsung satu seminar antara bangsa sempena MesyuaratMenteri- Menteri Pendidikan Komanwel di Kuala Lumpur pada 16 hingga 19Jun 2009.

Faktor mempengaruhi budaya Melayu
SETAKAT mana tersentuh atau terburainya kebudayaan sesuatu bangsamanakala ditakluki kuasa asing? Setakat mana juga golongan intelek danpara penulis yang dijajah bertindak untuk memelihara budaya bangsasendiri?

Indonesia sengaja memperbesarkan isu dera
SELEPASnegara ini menerima 1.2 juta pekerja berdaftar dari Indonesia dandianggarkan hampir sejuta pendatang tanpa izin, Indonesia mengugutmembekukan penghantaran pembantu rumah ke sini. Ugutan itu dilihatkesinambungan daripada “prihatin” Presiden Indonesia, Susilo BambangYudhoyono yang menelefon Siti Hajar di Kuala Lumpur yang mendakwadizalimi majikannya baru-baru ini.

Hari bapa, bapa mertua dan Bapa Kemerdekaan
DALAM ruangan kali ini yang jatuh pada Hari Bapa, penulis inginmerakamkan penghargaan secara khusus kepada bapa-bapa mertua.Menghargai bapa sendiri datang secara semula jadi. Maklumlah bapasendiri. Yang ada kalanya jarang diambil kira ialah sumbangan bapamertua kepada pembangunan keluarga.

Bahana SMS melampau
“Biarkananak anda SMS semasa makan malam! Benarkan anak anda SMS semasa sesipersekolahan! Ia memberi pulangan. Anak anda mungkin memenangi wangtunai, publisiti dan telefon bimbit baru,”. Demikianlah mesej yangdisampaikan oleh Kate Moore, juara terbaru pertandingan menaip khidmatpesanan ringkas (SMS) di Amerika Syarikat (AS).

Pro dan kontra cadangan cuti untuk amah
AMAH,pengasuh dan penolong rumah tangga adalah satu pekerjaan mulia. Bezanyadi Malaysia ia didominasi oleh golongan wanita warga Indonesia. Merekadipilih kerana pandai berbahasa Melayu – memudahkan majikan memberiarahan melakukan kerja rumah dan penjagaan anak.

Jalan perdamaian penuh berliku?
Saya dapat membayangkan betapa terguris perasaan beberapa tokoh politikyang dikecam oleh rakan sendiri disebabkan kerana hasrat ingin mencariperdamaian dalam kalangan kaum muslimin.


Kreativiti si pengedar dadah
PENGEDARAN dadah sememangnya merupakan aktiviti yang paling mendapatperhatian ramai. Kegiatan ini akan sentiasa dipantau oleh bukan sahajapihak berkuasa tetapi turut menarik perhatian masyarakat umum, pemimpinpolitik malahan mereka yang terlibat dalam penagihan dan sindiketsebegini bersesuaian dengan tanggapan bahawa ia merupakan musuh nomborsatu di kebanyakan negara.

Mentafsir erti rusuhan di Iran
TindakanPresiden Mahmoud Ahmadinejad mengusir beberapa wakil media Barat darimembuat liputan rusuhan di Iran adalah wajar. Mereka bukan sekadarmelaporkan keadaan pilihan raya Presiden tetapi mencipta persepsisupaya dunia melihat serong kepada Iran.

Sembilan pembunuhan bersiri dalam 20 tahun
Kisahpembunuhan bersiri Ryan atau nama penuhnya Very Idham Henyansyah yangmembunuh 11 orang mangsa, menyebabkan penulis yang terus tertarik untukmembuat penyelidikan tentang kes-kes pembunuhan bersiri lain diIndonesia.







Mengenali oksidentalisme Melayu
PADA2003, dalam usaha memperkenalkan wacana oksidentalisme (kajian mengenaikebaratan) di Malaysia, saya menyebut Prof Syed Hussein Alatas sebagaiseorang oksidentalis yang terbilang. Seterusnya, dalam beberapapenulisan saya, istilah 'oksidental' dan 'oksidentalis' digunakan tanparagu-ragu. Lantas saya diingatkan supaya berhati-hati dalam kegunaankedua-dua istilah itu kerana ada beberapa konotasi yang tidak disenangioleh cendekiawan dan beberapa rakan di universiti.

Soal Jawab: Ketegangan di Iran cuma luahan kemarahan, harapan rakyat
BUATkali kedua, Mahmoud Ahmadinejad menang pilihan raya presiden Iran, 12Jun lalu selepas kali pertama berjaya pada 2005. Namun, kemenanganbekas Datuk Bandar Teheran itu mencetuskan ketegangan hebat di ibu kotaberkenaan, paling teruk sejak Revolusi Islam 1979 selepas pencabarterdekatnya, Mir Hossein Mousavi tidak dapat menerima kekalahan.

Satelit Measat-3a tingkat mutu telekomunikasi
ANDAIdijalankan kaji selidik terhadap pelanggan Astro dengan pertanyaanapakah masalah paling kerap berlaku atau perkara paling 'menyakitkan'hati ketika hujan, sudah tentu jawapannya seragam - tiada siaran atausiaran terganggu.







Dibuang untuk selamatkan nyawa
JARI tangan Pakar Bedah Neuro Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. FarizalFadzil menyapu lembut cecair iodin di sekitar kepala Mohd. Hanif yangberlekuk.


Bayi hilang dalam kandungan
Betapa terkejut, tidak percaya dan juga luruh emosi seorang bakal ibuapabila mengetahui kandungannya yang berusia lebih lapan bulantiba-tiba hilang. Dari sudut apakah fenomena ini hendak dihuraikan?


Maznah makan dengan samseng
MENJALANKAN perniagaan kawalan keselamatan menuntut keberanian yangluar biasa. Kata Pengarah Eksekutif, Kumpulan Securiforce Sdn. Bhd.(Securiforce), Datuk Maznah Hamid, tanpa keberanian itu, impian akantinggal impian.


Saya lihat bayi rentung
Pengalaman mengutip cebisan tubuh yang dibakar pengganas komunis diBukit Kepong bersama Dato’ Onn Jaafar menyebabkan ada menitis air matasehingga kini.


Pengsan dituduh perempuan sundal
Ratu Kebaya sebanyak 12 kali, Halimah Shuib, 66, mengaku sembilanlelaki termasuk yang bergelar Tan Sri masuk meminang beliau sejakpertengahan tahun lalu. Bagaimana agaknya beliau menolak godaanlelaki-lelaki pada zaman mudanya?


Ilham rambut kartunis rock
KARTUNNYA bersahaja, namun mesej di sebaliknya pernah menginsafkanpeminat lelaki ini mengenai hakikat hubungan manusia di dunia ini.
Dibuang untuk selamatkan nyawa




JARI tangan Pakar Bedah Neuro Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Farizal Fadzil menyapu lembut cecair iodin di sekitar kepala Mohd. Hanif yang berlekuk.

Suasana di Bilik Bedah Neuro 1 itu senyap seketika apabila Farizal memulakan torehan. Hanya sesekali bunyi alat penyedut cecair memecah kesunyian. Bau hanyir darah seperti tidak mengganggu langsung pasukan pembedahan Farizal.

Tumpuan mereka terpaku pada lekukan di sebelah kanan kepala pesakit. Dengan penuh teliti umpama mengukir karya seni, lapisan kulit kepala itu dibuka, mendedahkan selaput otak yang berwarna putih.

Kemudian, seorang petugas membawa sekeping tempurung kepala di dalam mangkuk khas. Tulang itu dicuci sebelum dicantum semula ke kepala pesakit.

Lapan bulan lalu, sebahagian tempurung kepala Mohd Hanif terpaksa ‘ditanggalkan’ selepas dia terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Tempurung setebal 16x12 sentimeter itu disimpan di dalam bank tulang HKL pada suhu -70 darjah Celsius.

Menurut doktor, tulang itu masih boleh berfungsi walaupun selepas sembilan bulan disimpan di bawah suhu sejuk beku itu.

“Cukup empat plat dan lapan skru,” tiba-tiba Farizal bersuara setelah menanda pada kepingan tulang itu.

Berdiri cukup hampir dengan meja pembedahan, penulis ditunjukkan skru yang hanya sebesar setengah milimeter dan plat sebesar kuku jari kelengkeng bayi yang digunakan bagi menyambung kedua-dua tempurung itu.


PEMBEDAHAN kranioplasti memerlukan ketelitian kerana ia melibatkan pelindung otak yang sangat sensitif.


Proses melekatkan kembali tempurung kepala itu berlangsung tidak sampai 15 minit.

Tepat pukul 5.30 petang, Jumaat lalu, bahagian terakhir kulit kepala Mohd Hanif sempurna dijahit.

Enam jam sebelum itu, di Wad Neuro 4A, isteri Mohd Hanif, Najati Jalil mengelus lembut rerambut halus di kepala suaminya dengan penuh kasih sayang. Di dalam hatinya cuma Tuhan yang tahu.

Semenjak Mohd. Hanif terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Pedas, Negeri Sembilan, HKL sudah menjadi seperti rumah kedua Najati.

Namun, guru dua anak ini reda dengan ketentuan Ilahi. Bagaimanapun, beliau amat berharap pembedahan kranioplasti yang dijalankan lapan bulan lalu akan berjaya.

“Tapi untuk sementara waktu, bentuk kepalanya akan leper. Selepas tekanan otaknya stabil dan tiada jangkitan, kita akan pasang semula tempurung itu,” terngiang-ngiang Najati dengan penjelasan doktor pakar ketika itu.

Mengharungi detik duka sepanjang Mohd Hanif koma dan mengalami beberapa komplikasi lain, akhirnya Tuhan memakbulkan doa Najati.

“Keadaannya semakin baik. Dia sudah boleh membuka mata setiap kali saya memanggil namanya,” cerita wanita berusia 31 tahun yang berasal dari Muar, Johor ini.


DR. AZMI ALIAS


Sejak dibuang sebahagian daripada tempurung kepalanya, Mohd Hanif cepat letih dan lebih banyak tidur.

“Pernah berlaku jangkitan tetapi mujur cepat dikesan dan dirawat. Ini termasuk satu pembedahan pintasan bagi membuang lebihan cecair di dalam kepalanya,” ujar Najati sambil menunjukkan bahagian yang dibedah.

Sesekali, terbias riak bimbang di wajah wanita ini.

Kranioplasti teknik purba

Menurut Pakar Perunding Neurosurgeri di Jabatan Neurosurgeri HKL, Dr. Azmi Alias, pembuangan sebahagian tempurung kepala bukanlah sesuatu yang baru.

Bukti arkeologi mendedahkan teknik itu telah digunakan oleh masyarakat prasejarah untuk mengubati penyakit berkaitan kepala.

Pada zaman ini, teknik yang dikenali sebagai kranioplasti ini sering digunakan untuk merawat mangsa kemalangan yang mengalami kecederaan otak yang serius.

“Sistem auroregulasi yang gagal berfungsi menyebabkan tekanan intrakranial meningkat secara mendadak. Ini boleh menyebabkan pusat otak yang mengawal sistem pernafasan dan jantung tertekan, seterusnya menyebabkan kematian,” jelas Azmi.

Secara umum, otak manusia membentuk sistem saraf pusat yang mengawal segala aktiviti tubuh seperti pernafasan, degupan jantung, pergerakan anggota, kawalan hormon, pemikiran, ingatan dan perasaan.

Justeru, prosedur membuang sebahagian tempurung kepala dilakukan agar tekanan intrakranial boleh dialir keluar dan dikurangkan melalui bukaan di bahagian tulang kranium tersebut.


PLAT dan skru digunakan untuk menyambung semula tempurung kepala.


Selain kemalangan, jangkitan dan keretakan tulang kranium serta ketumbuhan memerlukan pesakit menjalani pembedahan ini.

Menceritakan aspek fisiologi dan psikologi bagi mereka yang menjalani pembedahan ini, Azmi menjelaskan walaupun ada, semuanya akan beransur hilang mengikut peredaran masa.

Jelas beliau, pesakit lazimnya akan mengalami sindrom trefin seperti letih, sakit kepala, hilang tumpuan, cepat marah, kurang toleransi terhadap bunyi bising, kurang daya ingatan dan lemah anggota badan.

“Semua ini disebabkan oleh tekanan atmosfera secara langsung terhadap peredaran darah mikro dan sistem aliran cecair di bahagian korteks otak yang terdedah tanpa perlindungan tempurung kepala.

“Selain itu, kadangkala berlaku perubahan pada struktur anatomi otak seperti pembesaran sistem ventrikel dan perpindahan struktur otak ke arah yang bertentangan,” jelasnya.

Lekuk ubah rupa pesakit

Menyentuh mengenai kesan lekuk, Azmi menerangkan, ia masih boleh dilihat dengan jelas jika melibatkan bahagian dahi dan atas mata seterusnya menjejaskan rupa paras pesakit.

“Disebabkan inilah, pembedahan kosmetik diperlukan bagi memberi perlindungan kepada bahagian otak dan memperbaiki semula bentuk kepala yang abnormal,” katanya.


SELAMA lapan bulan Najati (kanan) sabar menunggu tempurung kepala suaminya, Mohd Hanif dicantum semula di Hospital Kuala Lumpur.


Azmi berkata, fungsi tulang tempurung sebagai benteng pertahanan bagi otak adalah sangat kritikal.

Secara am, terdapat tiga jenis bahan yang digunakan bagi membentuk plat kranioplasti dan semuanya mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Ia bergantung kepada keadaan pesakit.

Apa pun, kajian mendapati pesakit yang menjalani pembedahan kranioplasti ini mengalami perubahan kesihatan yang lebih baik.

Kebanyakan mereka yang asalnya kerap mengalami sakit kepala sebelum pembedahan, kini berkurangan malah ada yang hilang langsung.

Azizi tidak ingat apa-apa – Ibu

DULU, Azizi Khalib, 17, merupakan seorang remaja dan murid yang ceria. Dia aktif dalam sukan kegemarannya, bola sepak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang Bubuk, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Tetapi keceriaan bertukar menjadi kisah sedih apabila motosikal yang dinaiki terbabit dalam satu kemalangan jalan raya berhampiran rumahnya di Kampung Bukit Teh, 3 Mac lalu.

Ekoran kemalangan itu, berlaku pendarahan otak menyebabkan tempurung kepalanya terpaksa dibuang.

“Saya pilu melihat keadaannya. Sebelum ini dia ada beritahu hasrat untuk melanjutkan pelajaran selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tapi kini masa depannya tidak menentu,” ujar ibunya, Roslina Che Ros, 39.


AZIZI terpaksa disuapkan makanan oleh ibunya di Kampung Bukit Teh, Butterworth.


Tempurung kepala Azizi yang dikeluarkan masih berada di makmal Hospital Pulau Pinang (HPP). Kos pembedahan bagi memasukkan semula tempurung kepalanya yang dijadualkan pada 6 Julai ini kira-kira RM1,200.

Azizi kerap menangis bila menyentuh bahagian kepalanya yang tidak bertempurung. Menurut Roslina, ramai rakan sekolah Azizi turut bersedih melihat wajah anaknya itu yang tidak seceria dulu.

Azizi yang sepatutnya menduduki peperiksaan SPM November ini tidak mampu mengingati apa-apa selepas kemalangan itu. Malah dia tidak dapat mengeja namanya sendiri. Apa yang hanya mampu dilakukan ialah menangis apabila berasa sakit atau tidak selesa.

Bagi memastikan Azizi dijaga sepenuhnya, Roslina yang bekerja di sebuah kilang di Perai dengan pendapatan kira-kira RM500 sebulan, mengambil keputusan berhenti kerja.

Selain Azizi, tiga anaknya yang lain ialah Mohd Amirul, 14, Nor Atika, 12, dan Nor Aini, 10.

Suami Roslina, Khalid Yahya, 45, cuma bekerja kampung termasuk membuat buluh pancang yang ditempah penduduk kampung untuk projek menanam sayur-sayuran.

Roslina yang cekal menguruskan keluarganya memberitahu, beliau tetap menaruh harapan tinggi agar anaknya itu kembali pulih.

“Terkini, doktor di HPP memberitahu pembedahan itu boleh dilakukan pada 6 Julai depan. Biarpun fizikal Azizi tidak pulih sepenuhnya, saya berharap ingatannya kembali normal kerana saya rindu untuk mendengar suaranya memanggil saya ibu.

“Biarpun berat mata memandang, sebagai ibu saya sentiasa berdoa agar kepada Tuhan selain reda dengan ketentuan-Nya,” ujar Roslina. – ABD. RAZAK OSMAN

Bayi hilang dalam kandungan

Betapa terkejut, tidak percaya dan juga luruh emosi seorang bakal ibu apabila mengetahui kandungannya yang berusia lebih lapan bulan tiba-tiba hilang. Dari sudut apakah fenomena ini hendak dihuraikan?




DISEMBER tahun lalu, impian sepasang suami isteri di Kedah untuk menimang cahaya mata sulung selepas dua tahun berkongsi hidup tidak menjadi kenyataan apabila mendapati bayi yang dikandung si isteri tiba-tiba hilang dan tidak dapat dikesan melalui teknik imbasan.

Segalanya umpama sebuah misteri bagi si wanita yang berbunga harapan selama hampir sembilan bulan itu. Dalam kes tersebut, wanita itu telah disahkan mengandung pada Mac 2008 melalui pemeriksaan di sebuah hospital kerajaan di Kuala Lumpur.

Dia dijangka bersalin pada tarikh yang telah dicongak iaitu 29 November. Namun, kelahiran yang ditunggu-tunggu itu tidak menjadi kenyataan.

"Doktor mendakwa rahim saya normal seperti wanita yang tidak mengandung. Bentuknya juga sudah kempis," ujarnya yang mendakwa terasa lenguh-lenguh badan, perut memulas dan kemudian mengalami demam panas pada hari-hari terakhir sebelum kandungannya hilang.

Sudah banyak kes yang dilaporkan media mengenai kejadian seperti ini. Bukan sahaja di Malaysia, kegemparan cerita kandungan yang lesap ini berlaku di seluruh dunia tanpa mengira latar bangsa, status sosial dan kepercayaan agama.

"Kes kehamilan palsu yang menyebabkan kandungan menghilang secara tiba-tiba memang wujud dalam dunia perubatan.

"Ia dikenali sebagai pseudosiesis atau dalam istilah Inggeris - phantom pregnancy," kata Timbalan Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Madya Dr. Jamiyah Hassan.

Pseudosiesis adalah suatu keadaan yang lazimnya bersifat psikosomatik. Ia membabitkan gangguan faktor mental dan fizikal yang menyebabkan perubahan pada badan hinggakan sosok tubuh wanita yang tidak mengandung menyamai ciri-ciri wanita hamil.

Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi (Feto-Maternal) itu menjelaskan, apabila seseorang wanita terlalu percaya atau mengharapkan kehamilan, tubuhnya akan menghasilkan hormon yang menyebabkan perubahan-perubahan tertentu.

Paling jelas adalah pertambahan berat badan (khususnya di bahagian perut) selain simptom-simptom klasik lain seperti rasa mual serta tegang perut.

Hujah medikal dan psikologi

"Apabila minda 'menipu' tubuh, paras estrogen mereka melonjak naik. Apabila dalam keadaan sakit, stres atau tertekan, mana-mana wanita pun boleh mengalami gangguan dalam sistem badannya. Ini termasuklah ketiadaan haid, rasa loya dan muntah," jelas beliau.

Tidak hairan juga kalau ketidakseimbangan hormon itu turut membuatkan payu dara membesar dan mengeluarkan susu.

"Perut yang semakin membesar sebenarnya disebabkan lemak yang terkumpul di bahagian tersebut. Ada juga yang merasakan seperti ada pergerakan bayi dalam kandungan walhal tiada janin di dalamnya," terang Jamiyah.

Beliau merumus, belum ada kajian menyeluruh tentang punca pseudosiesis. Ia tidak boleh sepenuhnya ditangani dari perspektif medikal atau ginekologi tanpa mengambil kira keseriusan permasalahan emosi.


ADAKAH imej daripada imbasan ultra bunyi boleh berlaku ralat hingga memberi harapan palsu kepada ibu hamil?


Hakikatynya, sutradara yang mengarahkan sistem tubuh untuk melakukan sesuatu dalam menjalani rutin kehidupan adalah otak.

Apabila otak mencetus isyarat untuk bekerja matlamat tertentu, maka faktor biologi akan menurut dan di situlah bermulanya konsep kepercayaan.

"Sama seperti wanita yang mahu dirinya hamil untuk melepaskan diri daripada desakan sosial, fizikalnya akan terdorong ke arah keinginan tersebut.

"Lebih-lebih lagi jika pasangannya (suami) mengizinkan perkara itu berlaku dengan turut memberi harapan," jelas Pegawai Psikologi Pejabat Kebajikan Masyarakat Johor Bahru, Maizatul Akmam Abu Bakar.

Menurutnya, secara tidak langsung sokongan itu akan meningkatkan keberkesanan emosi isterinya sedangkan akhirnya mereka yang akan kecewa.

Lebih malang, tekanan yang dihadapi lebih menyeksakan apabila cerita 'kehilangan' kandungan itu dilabel sebagai karut oleh doktor dan masyarakat yang melemparkan tuduhan seperti wanita itu sengaja mengada-adakan cerita kehamilannya.

"Selain sokongan keluarga, wanita itu perlu dibimbing secara psikologi melalui sesi pertemuan dengan kaunselor atau pakar psikiatri. Mereka diajar untuk memahami dan menerima kelebihan dan kekurangan diri.

"Ini bermakna minda mereka perlu dilaras semula agar memikirkan perkara-perkara yang lebih positif," terang Maizatul.

"Hanya apabila seseorang ibu itu boleh menunjukkan bukti sahih bahawa pemeriksaan ultra bunyi sebelum itu sudah menunjukkan sifat fizikal bayi atau denyut jantung, tetapi akhirnya bayi itu hilang, maka kita perlukan penjelasan lain," ujar Jamiyah apabila diajukan tentang sisi mistikal bayi yang ghaib dalam kandungan.

Serba-sedikit pertembungan konsep itu dihurai oleh pakar khidmat runding dan nasihat spiritual dari Pusat Rawatan Komplimentari Yashfien, Engku Ansaruddin Agus. Beliau mengakui pernah merawat tidak kurang daripada 10 wanita yang terganggu emosi akibat kehilangan bayi dalam rahim.

Muslihat dari alam lain

"Wanita-wanita itu mendakwa mereka bermimpi didatangi entiti yang mengingatkan bahawa kandungan tersebut bukan milik mereka dan akan diambil semula," ujar Engku yang tidak menolak kemungkinan kehamilan yang disebabkan 'dampingan' atau 'tumpangan' makhluk halus.

Walau bagaimanapun Engku menegaskan, perhubungan antara manusia dan jin sebenarnya tidak akan menghasilkan anak manusia.

"Sebaliknya, anak-anak daripada kaum jin itu yang bertambah bilangannya jika berjaya memperdaya manusia melalui apa cara sekalipun," katanya.

Apabila diperdaya, seseorang mudah taksub kepada sesuatu. Ini termasuklah meyakini paparan imej bayi dalam rahim melalui teknik imbasan di hospital, sedangkan mereka perlu sedar bahawa ralat teknikal dan muslihat jin juga suatu faktor penyebab.

"Oleh itu, kaum ibu perlu kembali kepada apa yang diajar melalui al-Quran dan Sunah.

Adab, petua dan doa perlu sentiasa mengiringi langkah dan setiap perbuatan agar dilindungi Allah daripada fitnah, penipuan dan helah jin serta syaitan. Golongan itu sentiasa mahu menggoyah akidah umat Nabi Muhammad s.a.w.," pesannya.

Maznah makan dengan samseng


PERNIAGAAN berasaskan keselamatan menuntut keberanian yang luar biasa.


MENJALANKAN perniagaan kawalan keselamatan menuntut keberanian yang luar biasa. Kata Pengarah Eksekutif, Kumpulan Securiforce Sdn. Bhd. (Securiforce), Datuk Maznah Hamid, tanpa keberanian itu, impian akan tinggal impian.

“Kerana peranan kami sudah seperti polis. Kami terpaksa berdepan dengan kumpulan samseng, penagih dadah dan penjenayah yang sentiasa mencabar keselamatan pelanggan kami.

“Maka kami terpaksalah bijak mengatur strategi untuk membanteras aktiviti mereka. Adakala kena pergi minum, makan atau berkawan dengan mereka untuk mengetahui muslihat kumpulan itu supaya keselamatan kami tidak tergugat,” katanya yang menyedari wujud lebih 30 geng samseng di seluruh negara.

Maznah merupakan wanita pertama di Malaysia yang mengetuai sebuah syarikat kawalan keselamatan. Antara lain, Securiforce menyediakan perkhidmatan van sekuriti dan kawalan bangunan.

“Menjadi kelebihan pula menjadi seorang wanita dalam bidang ini. Agaknya, kalau lelaki berada di tempat saya mungkin sudah kena pukul,” ujar Maznah berderai tawa.


IBU kepada lima orang anak ini seorang yang begitu menghargai pengalaman.


Satu lagi faktor yang menyokong perkembangan Securiforce ialah keupayaan anggotanya untuk memprogramkan diri sejak mula bekerja.

“Masalah utama orang kita ialah disiplin. Perniagaan seperti ini beroperasi 24 jam sehari. Kesanggupan untuk mengorbankan waktu tidur memerlukan disiplin yang tinggi,” ujar Maznah yang berpendapat kejayaan tidak sepatutnya diperoleh secara ekspres atau dalam sekelip mata.

Setelah beroperasi selama hampir 29 tahun, Securiforce kini bangga dapat menyaingi lebih 400 syarikat seumpamanya di negara ini.

“Orang mungkin lihat kami sudah berjaya dan kaya raya. Tetapi bagi kami, pencarian belum berakhir,” ujar anak kelahiran Jerlun, Kedah, ini.

Impikan waktu 36 jam sehari

Maznah mengakui, beliau dan suami suka mempelajari sesuatu yang baru. Beliau turut mengesyorkan supaya bakal usahawan mengambil satu atau dua kursus kemahiran sebagai modal perniagaan.

“Latihan secara praktikal dan pengalaman bekerja lebih penting berbanding segulung ijazah,” jelas beliau yang sering mengimpikan alangkah baiknya jika terdapat 36 jam dalam sehari berbanding 24 jam sahaja.

Selain mengepalai syarikat keselamatan, Maznah juga terlibat dalam bidang hartanah dan pembangunan sumber manusia.

Seorang yang begitu menghargai pengalaman, Maznah akan memastikan anak-anaknya yang berminat untuk bekerja dengan Securiforce memulakan kerjaya di peringkat paling bawah.

“Biar mereka tahu bagaimana seorang jaga bekerja atau memandu van sekuriti supaya mereka faham selok-belok perniagaan ini,” kongsi Maznah.


KELUARGA Maznah. (Dari kiri): Mohamad Shafiq, 20, Nurul Shameem, 24, Mazreen Shanim, 17, Datuk Shaheen, Maznah, Mohamad Nabeel, 3, Nor Sharmila, 29, dan suami, Mohamad Nizar, 31, dan Shahril Reza, 28.


Untuk berjaya dalam sesebuah perniagaan, Maznah menyarankan dua subjek perlu diberi perhatian iaitu perakaunan dan perniagaan.

“Lima anak saya semuanya menunjukkan minat untuk menjadi usahawan. Saya galakkan mereka mengambil kedua-dua jurusan sebagai pengetahuan asas.

“Seperti suami saya yang memiliki kelulusan dalam bidang perakaunan, kami kemudiannya memperkayakan diri dengan strategi perniagaan pula,” katanya.

Melalui ilmu jugalah Maznah terselamat daripada mengalami kerugian yang mampu meruntuhkan perniagaannya.

“Nasihat saya, kalau tidak mahu ditimpa ‘bala’ jangan memulakan perniagaan dengan berhutang. Gunakan wang sendiri. Juga jangan mulakan dengan jumlah modal yang terlalu besar.

Sikap berhati-hati menjadi satu lagi kelebihan Maznah dan suami, Datuk Shaheen Mirza Habib, 58. Namun, itu tidak bermakna mereka tidak pernah berdepan dengan waktu sukar.

“Pada peringkat permulaan perniagaan, kami belajar erti kesilapan pelaburan yang amat merugikan. Ia berikutan kami tersalah memilih produk.

“Penggunaan Sistem Penyeliaan Pusat (CMS) yang kami perhatikan di negara Barat rupa-rupanya terlalu jauh ke depan berbanding status negara pada waktu itu.

“Kami terlupa negara masih kekurangan bangunan pencakar langit pada sekitar 1980-an. Ini bermakna permintaan untuknya terlalu kecil. Tetapi syukur, kami tidak dibebani hutang, membolehkan kami bangun semula tanpa banyak masalah,” cerita Maznah.

Menjadi satu kebanggaan baginya apabila kami dapat menjalankan perniagaan menggunakan modal sendiri.

Bermula dengan modal RM5,000, sekarang Securiforce sudah memiliki 60 cawangan di seluruh negara dan beberapa di luar negara, mampu menggaji hampir 5,000 pekerja. Ia juga mereka cipta serta menghasilkan van kalis pelurunya sendiri.

Saya lihat bayi rentung

Pengalaman mengutip cebisan tubuh yang dibakar pengganas komunis di Bukit Kepong bersama Dato’ Onn Jaafar menyebabkan ada menitis air mata sehingga kini.


PEKAN kecil ini menjadi saksi kekejaman komunis.


KETIKA kejadian awal pagi Isnin, 23 Februari 1950 itu, dia bernasib baik kerana gilirannya mengawal Rumah Pasung Bukit Kepong baru berakhir. Empat anggota baru Home Guard atau Pengawal Kampung mengambil tugas di keliling balai itu.

Antara mereka ialah anak saudaranya, Samad Yatim yang juga Auxillary Police atau Polis Bantuan. Dinihari itu mereka agak bingit mendengar bunyi mercun sempena Tahun Baru Cina yang disambut masyarakat Tionghua berdekatan balai itu.

Tanpa disedari, itulah hari terakhir mereka dapat menyaksikan suasana malam kerana tepat pukul 5 pagi, balai itu diserang hendap. Selepas subuh, dia tidak menyangka kawasan balai tersebut bertukar menjadi padang jarak padang tekukur.


SARJAN Jamil (duduk tengah) dan anggotanya mempertahankan balai sehingga titisan darah terakhir.


“Hingga kini, setiap kali melalui kawasan balai itu, saya pasti menangis macam peristiwa itu baru saja berlaku semalam,” kata Abdullah Malik, berusia 118 tahun, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Bendar tidak jauh dari Bukit Kepong, Muar, Johor.

Mengimbau insiden itu, dia ralat mengenangkan kegagalannya menyelamatkan nyawa mereka yang terkorban mempertahankan balai tersebut. Ini kerana balai itu sudah dikepung lebih 200 pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) daripada Kompeni Ke-4.

Malah, sebaik saja mengetahui serangan itu, dia bersama penduduk kampung di bawah Penghulu Ali Mustafa dan pasukan Polis Bantuan sudah bergerak ke balai berkenaan. Mereka lengkap bersenjata raifal tetapi turut diserang komunis.

“Kami berlindung di sebalik pokok getah kerana ditembak pihak komunis. Penghulu lalu mengarah kami bersabar dan ketika itu, ada yang menitis air mata mendengar tangisan ahli keluarga anggota polis meminta tolong,” cerita Abdullah.




Menjelang petang, sebaik pihak komunis berundur, mereka segera ke balai itu. Api masih marak dan cuma beberapa orang terselamat. Balai polis, berek kelamin dan balai penghulu musnah dengan bau mayat terbakar menyelubungi kawasan.

Serangan mengejut itu meragut nyawa Ketua Polis Balai, Sarjan Jamil Mohd. Shah bersama 13 anggota polis, empat orang Pengawal Kampung, tiga anggota Polis Bantuan dan empat ahli keluarga termasuk seorang bayi yang dibakar hidup-hidup.

Pengganas dipercayai menggunakan 25 tin minyak bagi memusnahkan seluruh kompleks balai itu dan membakar mayat anggota polis. Ini menyebabkan kerja pembersihan memakan masa lebih seminggu kerana bahang api masih lagi panas.

“Suasana bertambah sayu apabila Yang Dipertua UMNO, Dato’ Onn Jaafar turut datang, beliau menangis melihat mayat rentung dibunuh komunis. Kami pun sedih apatah lagi menemui cebisan mayat dalam bara api di situ,” kata Abdullah.




Sementelahan, hubungan masyarakat di situ dengan pihak polis amat baik. Ramai anak anggota pasukan keselamatan itu dihantar mengaji al-Quran dengan ustaz di kampung tersebut selain bergotong-royong ketika majlis kenduri-kendara.

Menceritakan peristiwa sama ialah Hamidah Idris, 64, yang ketika itu berusia lima tahun. Dia dapat melihat sendiri penduduk mengutip beberapa anggota tubuh manusia untuk dikumpul sebelum dikebumi dalam satu liang lahad besar.

Biarpun masih kecil, insiden itu meninggalkan kesan mendalam kerana orang kampung waktu tersebut hidup ketakutan. Setiap malam, ada rumah penduduk diceroboh pengganas komunis yang menggeledah bagi mencari barang berharga.

“Saya selalu cerita perkara ini kepada lima orang anak bagaimana kesusahan waktu itu. Jika kenang kembali peristiwa tersebut, saya menangis dan tidak dapat membayangkan kesakitan dirasai mereka yang terkorban di balai itu,” katanya.


TAPAK balai lama di tebing sungai kini menjadi muzium mini.


Berkongsi kisah sama ialah Md. Lazim Ujud, 71, yang pernah menjadi Pengawal Kampung pada usia 16 tahun, dua tahun selepas tragedi itu. Baginya, peristiwa berdarah tersebut membuka mata penduduk kampung mengenai kekejaman komunis.

Meskipun pasukan keselamatan ‘kalah’ dalam pertempuran itu, moral pengganas komunis mulai jatuh dan mereka tidak lagi mendapat sokongan penduduk. Ini dapat dilihat pada majlis tahlil diadakan bersempena dengan kejadian itu setiap tahun.

“Selain pihak polis, penduduk kampung beramai-ramai datang ke Masjid Bukit Kepong memperingati peristiwa itu termasuk menziarahi kubur tempat bersemadi anggota polis dan keluarga serta orang awam yang terkorban,” katanya.

Keadaan ujarnya, menjadi lebih hiba apabila mereka membersihkan dua petak kecil iaitu kubur jenazah bayi lelaki dan seorang budak perempuan yang dicampak hidup-hidup oleh pihak komunis ke dalam api yang marak semasa peristiwa tersebut.

Balai polis menghadap sungai

Hakikatnya, walaupun hampir enam dekad tragedi itu berlalu, bagi generasi lama di Bukit Kepong, kezaliman pengganas komunis masih dirasai.

Bukit Kepong kini merupakan sebuah pekan kecil yang dihuni sekitar 1,000 orang penduduk. Ia terletak 60 kilometer dari bandar Muar. Jika anda berhasrat melancong ke sini, hanya ada dua tempat menarik wajib dikunjungi – balai polis dan masjidnya.

Ini mungkin pelik dan lucu namun dua bangunan itu sebenarnya merakamkan sejarah tidak ternilai yang pasti diingati seumur hidup. Ada yang berkata, pekan itu mulai popular sewaktu filem Bukit Kepong ditayangkan sejak tahun 1981.


JETI polis marin masih teguh berdiri.


Pekan itu, yang mengambil masa 20 minit perjalanan dari simpang lebuh raya dekat Pagoh; suatu ketika cuma boleh dilalui dengan sampan. Ia terpencil dan tidak ramai tahu kewujudannya hingga sekitar 1970-an apabila jalan raya dibina.

Tetapi jangan terkejut, sebahagian besar daripada generasi yang lahir sebelum 1980 di pekan tersebut ialah pelakon tambahan dalam filem arahan Tan Sri Jins Shamsuddin itu. Lokasi penggambaran adalah di sekitar Lenga, lima kilometer dari situ.

Kini, tapak Balai Polis Bukit Kepong yang dibakar ratusan pengganas komunis pada tahun 1950 telah diganti dengan bangunan baru. Ia juga menjadi muzium mini polis bagi menceritakan semula kekejaman PKM sewaktu era darurat.

Bangunan dibina dengan batu selepas serangan itu pernah beberapa kali tenggelam kerana terletak di tebing Sungai Muar. Penduduk mendakwa, cuma bumbung kelihatan apabila sungai besar yang dirujuk mereka sebagai laut itu mulai banjir.

Uniknya, menurut cerita penduduk, balai baru itu aneh. Bahagian depan menghadap ke arah sungai; satu-satunya balai polis di Malaysia dalam posisi itu. Kononnya sewaktu dibina semula, ramai penduduk bersedih, lalu ia dibangun dalam arah lawan.

Di sebelah tapak balai ada sebuah jeti kecil yang suatu ketika ialah jeti polis marin. Di situlah tercatat sejarah Konstabel Marin Abu Bakar Daud terselamat kerana menyelam dengan bernafas melalui batang keladi apabila bot polis dibakar.

Beliau antara empat anggota polis selain sembilan ahli keluarga mereka yang terselamat dalam serangan itu. Jeti tersebut menjadi penghubung utama Bukit Kepong dengan Lenga sebelum jalan raya siap dibangunkan tiga dekad lalu.

Melawat Bukit Kepong tidak lengkap jika tidak singgah di masjid jamek pekan itu yang terletak 100 meter dari tapak balai polis. Di sebelahnya ialah tanah perkuburan Islam yang menempatkan pusara mereka yang terkorban dalam peristiwa itu.

Perhatian pelawat pasti tertumpu kepada dua kubur kecil yang menjadi saksi kekejaman pengganas komunis. Di situlah jenazah seorang bayi lelaki dan kanak-kanak kecil yang mati dibunuh dengan dicampak hidup-hidup ke dalam api yang sedang marak.

Pengsan dituduh perempuan sundal

Ratu Kebaya sebanyak 12 kali, Halimah Shuib, 66, mengaku sembilan lelaki termasuk yang bergelar Tan Sri masuk meminang beliau sejak pertengahan tahun lalu. Bagaimana agaknya beliau menolak godaan lelaki-lelaki pada zaman mudanya?


HALIMAH meniru gaya beliau semasa menjadi Ratu Kebaya dahulu.


Menurut pandangan penulis, pengasas jamu Mak Dara kelahiran Rengit, Batu Pahat, Johor ini masih ‘mengancam’. Dengan tubuh tinggi lampai, sosok ibu beranak enam ini masih ketara.

“Kalau jaga makan, bersenam, cukup tidur dan amalkan petua orang lama, tidak susah hendak kekalkan bentuk badan. Tapi yang lebih penting, badan kekal sihat,” kata Halimah Shuib, pemenang pertandingan Ratu Kebaya sebanyak 12 kali.

Menceritakan detik pertama bergelar Ratu Kebaya, Halimah memberitahu beliau menyertainya ketika berumur 11 tahun.

“Masa itu, saya darjah lima. Pada mulanya saya tak berminat sangat kerana tidak pandai bergaya.

“Tapi bila ada lori masuk ke kampung dan uar-uarkan ada pertandingan Ratu Kebaya untuk kutip derma, keluarga mencadangkan supaya saya mencuba nasib.

“Walaupun baru 11 tahun, tubuh saya besar dan kelihatan lebih dewasa berbanding usia. Kalau tak silap, tinggi saya masa itu sudah lebih 160 sentimeter.

“Seminggu menghampiri hari pertandingan, saya rasa gemuruh. Dah boleh terbayang saya kena berjalan di atas pentas depan ramai orang.

“Untuk pertandingan itu, saya menjahit sendiri baju kebaya. Nak kata pandai menjahit tak juga. Bila tengok fesyen di majalah, saya cuba ikut. Emak pula hadiahkan kasut tumit tinggi dan kain batik jawa,” ceritanya.

Dalam pertandingan yang disertai 23 gadis dari sekitar pekan Rengit itu, Halimah memakai angka giliran 19.

“Lepas seorang, seorang peserta berjalan. Bila tiba giliran saya, orang ramai bersorak menyebabkan saya semakin bersemangat.

“Selepas seminggu, baru keputusan diumumkan dan saya mendapat tempat pertama.

“Hadiah yang saya dapat tidak sebesar pertandingan Ratu Cantik sekarang, lagipun ia dianjurkan untuk mengutip derma,” katanya.

Selepas pertandingan itu, apabila ada pertandingan Ratu Kebaya, Naib Penghulu pekan Rengit pasti mempelawa Halimah untuk bertanding. Kejayaan demi kejayaan menyebabkan beliau dikenali sebagai Ratu Kebaya.

Surat cinta satu almari

Selain beraksi di pentas peragaan, Halimah juga aktif dalam pentas sandiwara dan digelar biduanita kampung ketika itu.

“Saya berlakon pentas dan menyanyi untuk majlis-majlis keramaian yang diadakan di kampung dan sekitar Johor.

“Kenangan yang saya ingat sampai sekarang ialah bila berpeluang menghiburkan peserta rombongan pelakon pentas yang dianggotai P. Ramlee, Sarimah dan beberapa nama besar lain.

“Selesai berlakon, P. Ramlee naik ke pentas dan memberikan hadiah kepada saya. Memang momen itu akan kekal dalam ingatan saya sampai bila-bila,” kenang beliau.

Dengan gelaran Ratu Kebaya dan aktif di pentas keraian, Halimah mengakui beliau diburu ramai lelaki sehinggakan surat-surat cinta mereka tidak mampu dibalas Halimah.

“Selepas nama Halimah Shuib semakin dikenali di negeri Johor, saya dapat banyak surat. Satu almari kayu penuh dengan surat peminat. Setiap minggu, posmen akan bawa tiga ikat surat, hanya untuk saya. Ada yang hendak berkawan, minat dengan lakonan saya dan ramai juga yang ajak berkahwin.

“Ada juga orang kenamaan yang ingin memperisterikan saya, tapi saya pegang kata bapa dan emak, enggang sama enggang, pipit sama pipit.

Pada usia 13 tahun, Halimah berkahwin buat kali pertama. Selepas mendapat seorang anak, suaminya meninggal dunia.

“Hidup sebagai ibu tunggal pada usia belasan tahun tidak mudah ketika itu. Saya aktif semula dalam pertandingan dan arena pementasan sehingga bertemu jodoh untuk kali kedua.

“Selepas memiliki tiga orang anak, saya melupakan pentas peragaan dan menumpukan perhatian terhadap keluarga.


MENANGIS ditinggalkan suami.


“Namun, saya sangkakan panas sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Suami meninggalkan saya dan enam anak yang masih kecil,” luahnya.

Kehidupan Halimah berubah selepas itu. Demi anak-anak, beliau mencuba pelbagai pekerjaan termasuk berniaga nasi campur.

“Saya pernah berniaga nasi campur di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Perniagaan berjalan baik walaupun banyak cabaran yang terpaksa saya dan anak-anak tempuhi.

“Malangnya gerai saya disita penguat kuasa bandar raya. Habis semua kena angkut termasuk barang basah yang baru dibeli dari pasar bernilai RM650.

“Masa itu memang saya terduduk. Sewa rumah tak boleh bayar, kereta kena tarik dan akhirnya kami dihalau dari rumah sewa.

“Dek kerana tiada tempat nak bermalam, kami menumpang tidur di tepi longkang tuan rumah sewa. Makan pun kena cari dalam tong sampah, minum pun air paip saja,” beliau.

Jadi tukang masak di Genting Highlands

Tidak mahu terus hidup melarat, Halimah menghantar anak-anaknya pulang ke Rengit manakala beliau bekerja sebagai tukang masak di Muslim Café di Genting Highlands.

Dua tahun bekerja di sana, Halimah berhenti dan pulang ke kampung.

“Ramai yang dengkikan saya. Masa saya bekerja di Genting, ada yang kata saya menyundal di atas bukit. Sampaikan ada orang kampung yang datang buat rombongan ke Genting, nak tengok apa pekerjaan sebenar saya.

“Apabila balik bercuti di kampung, emak mula cerita cakap-cakap belakang orang kampung terhadap saya. Bila emak kata dia percaya anaknya cari rezeki halal dan bukan perempuan sundal, saya terus lembik dan pengsan.

“Tak sangka, ada yang sampai hati burukkan nama saya sampai macam itu sekali. Memang tidak mudah menjadi ibu tunggal. Ada saja yang tak kena pada mata orang lain,” luah Halimah.

Kini, bertemankan kekuatan daripada anak-anak, beliau mula dikenali terutama selepas jamu Mak Dara yang diasaskannya mendapat tempat di pasaran.

Bagaimana kehidupan bekas Ratu Kebaya ini sekarang selepas berpuluh tahun hidup tanpa lelaki bergelar suami di sisi?

“Saya dah serik dengan perkahwinan. Setahun saya menangis bila ditinggalkan suami.

“Walaupun ramai ingin berkawan rapat, saya lebih selesa jika berkawan biasa.

“Sejak pertengahan tahun lepas sampai sekarang, sudah sembilan orang yang datang meminang, semuanya berpangkat, ada kedudukan, ada yang bergelar Tan Sri dan Datuk, tapi hati saya belum terbuka hendak berpasangan lagi pada usia begini.

“Biarlah saya mengecapi kebahagiaan ini bersama anak dan cucu saya. Saya takut menangis lagi,” ujar Halimah yang mempunyai 19 orang cucu.

Ilham rambut kartunis rock



KARAKTER lelaki rock berambut panjang dan bermain gitar sudah sinonim dengan Gayour.


KARTUNNYA bersahaja, namun mesej di sebaliknya pernah menginsafkan peminat lelaki ini mengenai hakikat hubungan manusia di dunia ini.

Malah, karyanya pada lewat 1990-an seperti Bersama Selamanya dalam majalah Ujang menjadi satu fenomena bagi golongan remaja.

Menongkah arus dengan menggunakan karakter-karakter yang menggemari irama rock, berambut panjang serta elemen motosikal dan gitar elektrik, namanya kini sebaris pelukis-pelukis komik ternama di Malaysia.

Bagi peminat Mazli Ibrahim, 43, atau lebih dikenali sebagai Gayour, karyanya sepanjang 25 tahun lalu pasti melekap kuat di hati mereka.

“Saya cuba ketengahkan karakter tersebut kerana mahu masyarakat tahu bahawa golongan rocker juga mampu bercakap tentang apa saja. Muzik, politik, kasih sayang, persahabatan malah tentang dunia,” katanya.

Masih tegar mengekalkan imej berjaket kulit dan berambut panjang, Gayour menjelaskan bukan mudah untuknya bertapak dalam bidang pengkaryaan kartun sementelah dirinya tiada asas melukis.

“Cuma minat melukis kartun saya sangat ketara. Daripada langsung tidak mengenali jenis pen dan kertas yang betul untuk melukis, saya merangkak mencari ilmu hinggalah sekarang,” jelas anak kelahiran Bahau, Negeri Sembilan ini.

Memulakan perjalanan sebagai pelukis kartun pada tahun 1998, hasil tangan Gayour tidak pernah mengecewakan peminatnya.

Bukan tidak mahu menggunakan teknologi komputer bagi menghasilkan kartun namun ia tidak menjelmakan kepuasan hakiki.

“Ia memang remeh dan memenatkan kerana menggunakan kekuatan tangan. Tapi bagi saya, itu saja caranya untuk kita dekat dengan karya kita,” kata beliau.


MENURUT Gayour, banyak aspek perlu diambil kira sebelum sesuatu karakter kartun diwujudkan.


Belek saja karyanya seperti kartun satu muka surat berwarna, Slash dan Love Story serta pelbagai lagi kartun satu muka surat hitam putih sama ada yang berdialog atau tidak, semuanya mempunyai impak tersendiri.

“Ia tidak semudah yang dilihat dan dibaca peminat. Banyak kajian perlu dilakukan sebelum sesuatu karakter itu diwujudkan.

“Malah, untuk melukis aksi bermain gitar, drum serta alat muzik lain pun perlu ada rujukan agar gambar yang dilukis tepat,” ujarnya.

Peminat rock metal

Sebenarnya, kejayaan yang dikecapi Gayour sekarang ada kaitan dengan era kebangkitan lagu rock metal pada lewat 1970-an.

Mengambil peluang sementelah dirinya juga peminat tegar genre rock metal, Gayour memberitahu cara tersebut memudahkannya ‘membeli’ jiwa penggemar kartun.

“Saya bermula tanpa identiti yang khusus. Apabila berada di zaman ramai orang menggemari seluar ketat, jaket kulit serta kegilaan terhadap kumpulan Deep Purple, Metalica serta Scorpion, apa salahnya saya ambil kesempatan itu.

“Dan hasilnya sudah terbukti. Saya berjaya mempotretkan kehidupan penggemar rock metal dengan mesej persahabatan,” katanya sambil membetulkan rambut kerintingnya.

Rambut kerinting yang melepasi bahu itu disimpannya sejak tamat persekolahan menengah. Kali terakhir beliau menggunting rambut ialah pada tahun 1998.

Tambah Gayour, siapa tidak suka kartun yang selamba, menyeronokkan serta kena dengan kehidupan mereka setiap hari. Justeru, resipi ‘ini adalah karakter kita’ menjadikan kartunnya digemari oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Menyentuh mengenai keakraban dirinya dengan dunia kartun rock metal, Gayour tergelak panjang.

“Dari dulu hinggalah kini, inilah imej saya. Alasannya cukup mudah. Kalau dulu orang mengenali saya sebegini, dengan rambut panjang, jaket serta keselambaan saya, sekarang pun, inilah saya,” ujarnya tenang.