Kabinet bincang laporan klip video hari ini

KUCHING 13 Nov. – Laporan siasatan rakaman dan perbualan yang didakwa antara peguam dan hakim kanan mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet esok, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, laporan tersebut masih belum ditelitinya walaupun panel bebas khas yang menyiasat kesahihan rakaman tersebut telah dibubarkan selepas menyerahkan laporan lengkap kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) minggu lalu.

“Kita harap dapat membincangkannya (laporan siasatan rakaman) esok apabila dibentangkan pada Jemaah Menteri. Jadi malam ini saya baca laporan itu sebelum dibentangkan,” kata beliau pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pembinaan Kompleks Islam Sarawak di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai panel bebas khas itu yang dibubarkan sebaik sahaja menyerahkan laporan kes berkenaan minggu lalu.

Pengerusi panel berkenaan, Tan Sri Haidar Mohd. Noor berkata, ahli panel khas itu diberi tempoh sebulan untuk melaksanakan tugas berkenaan dan laporan itu telah disiapkan serta dikemukakan dua hari lebih awal.

Panel khas itu ditubuhkan selepas kerajaan memutuskan dakwaan dan spekulasi pihak tertentu berhubung isu itu boleh menjejaskan keyakinan terhadap kredibiliti serta integriti sistem kehakiman negara.

Dalam perkembangan lain, Abdullah berkata koridor pembangunan Sarawak iaitu Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak (Score) diharap dapat dilancarkan pada penghujung tahun ini.

Menurutnya, buat masa kini perbincangan berhubung koridor itu sedang giat dilakukan dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan fokus pembangunan koridor itu akan diumumkan kemudian.

Abdullah juga tidak menolak kemungkinan Score akan turut menempatkan industri makanan halal walaupun data terperinci mengenainya masih belum dapat diumumkan lagi.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, kerajaan belum memutuskan sama ada untuk mengumumkan laporan panel khas bebas bagi menyiasat rakaman video perbualan telefon kononnya seorang peguam terkenal dengan seorang hakim kanan mengenai urusan pelantikan hakim.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu, panel khas tiga orang itu telah menyerahkan laporan siasatan mereka kepada kerajaan baru-baru ini.

“Kerajaan telah menerima laporan panel khas dan pada masa ini, saya belum berkesempatan untuk mengkaji laporan tersebut,” katanya.

0 comments: