Kes bunuh Altantuya: Panggilan Razak, polis dikesan

Oleh Norhashimah Mohd Radzali

Data diberi syarikat telekomunikasi tak lengkap: Saksi

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu mengenai pertalian antara beberapa individu termasuk pegawai kanan polis, Deputi Superintendan (DSP) Musa Safri dengan tiga tertuduh dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Ketua Jabatan Digital Forensik di Cyberjaya Security Malaysia, Aswami Fadillah Mohd Ariffin, 36, berkata beliau mengesan panggilan telefon dibuat oleh tertuduh ketiga, Abdul Razak Abdullah Baginda kepada Musa.

Aswami berkata, beliau juga mengesan panggilan telefon antara anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri, yang juga tertuduh pertama dengan DSP Musa.

Saksi ke-52 pihak pendakwaan itu berkata, beliau mengesan panggilan itu menerusi log (data) yang diberikan syarikat pembekal perkhidmatan telekomunikasi iaitu Maxis, Celcom dan Digi kepada polis.

Aswami berkata, beliau bagaimanapun gagal mengesan rekod panggilan antara Abdul Razak dan Azilah daripada data yang diambil daripada telefon bimbit Azilah.

Mengikut afidavit sokongan Abdul Razak ketika memohon jaminan pada 19 Januari lalu di hadapan Hakim Datuk K N Segara, nama Musa disebut sebagai kenalan Abdul Razak dan beliau adalah orang yang memperkenalkan Azilah kepada penganalisis politik itu bagi menyelesaikan masalahnya dengan Altantuya.

Aswami berkata, beliau melakukan pemetaan atau pemadanan maklumat antara data yang diperoleh daripada syarikat pembekal perkhidmatan telekomunikasi dengan data yang diambilnya daripada telefon bimbit individu yang diserahkan polis.

Katanya, pemadanan maklumat itu dilakukan antara 17 hingga 21 Oktober tahun lalu membabitkan 12 telefon bimbit, 14 kad SIM (Modul Pengenalan Pelanggan) dan dua komputer riba yang diserahkan polis kepadanya.

Beliau berkata, selepas disemak, dua komputer riba dan dua daripada kad sim yang diterimanya tidak mengandungi data yang berkaitan dengan kes.

Aswami berkata, beliau turut melakukan pemadanan maklumat bagi log panggilan dan SMS daripada telefon bimbit serta kad sim tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar; pembantu penyiasat persendirian Abdul Razak, Suras Kumar; teman wanita Azilah, Lans Koperal Rohaniza Roslan dan Altantuya.

Disoal Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah dalam pemeriksaan utama, Aswami berkata log yang diberikan syarikat pembekal perkhidmatan telekomunikasi itu bagaimanapun tidak lengkap.

"Saya tidak menerima log SMS daripada Digi pada 18 dan 21 Oktober 2006. Saya juga tidak dapat mengesan SMS yang disimpan dalam telefon bimbit Abdul Razak dan DSP Musa,� katanya.

Aswami berkata, pada 17 Oktober tahun lalu, daripada pemadanan data dilakukannya, beliau juga mendapati Abdul Razak menerima panggilan daripada telefon bimbit Rohaniza.

"Pada tarikh sama, Abdul Razak juga dikesan membuat beberapa panggilan telefon kepada P Balasubramaniam (penyiasat persendirian yang diupah olehnya)," katanya.

Aswami berkata menerusi beberapa kaedah, beliau juga menemui SMS yang tidak dipadamkan dan ada antaranya memaparkan maklumat yang dihantar di antara Altantuya, Balasubramaniam dan Abdul Razak.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin bersambung 19 November ini.

0 comments: