Guru disiplin ajar 20 waktu seminggu 2008

KOTA BHARU 13 Nov. – Jumlah waktu mengajar bagi guru disiplin di sekolah akan dikurangkan kepada 20 waktu seminggu bermula sesi persekolahan awal tahun depan, bagi membolehkan mereka memberi tumpuan dalam mengatasi masalah tingkah laku pelajar dengan lebih berkesan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, bagaimanapun masa mengajar bagi mereka akan disesuaikan dengan jumlah tenaga pengajar di setiap sekolah untuk memastikan tiada guru lain yang dibebankan dengan tambahan jumlah waktu.

Menurutnya, sehingga kini, kira-kira 10,000 guru disiplin termasuk setiausaha disiplin ditempatkan di setiap sekolah rendah dan menengah di seluruh negara yang akan memikul tanggungjawab besar ini.

“Sepanjang pengecualian itu, mereka akan turut memberi tumpuan mengumpulkan maklumat mengenai pelajar yang selalu menghadapi masalah disiplin dan kaedah untuk membendung masalah itu dari menular.

“Selain itu menjadi pengantara bagi mengadakan pertemuan dengan kaunselor dan merancang aktiviti-aktiviti yang dapat mengalihkan minat pelajar daripada terjebak dengan masalah disiplin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan kali pertama bersama kira-kira 1,000 warga pendidik negeri Kelantan di Bahagian Teknologi Pendidikan negeri di Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pelajaran negeri, Ismail Md. Noor.

Awal bulan ini, Kementerian Pelajaran bercadang untuk mengurangkan jumlah waktu mengajar bagi guru disiplin supaya mereka dapat menangani masalah disiplin pelajar dengan lebih berkesan.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan berkata, pihaknya merasakan waktu mengajar bagi guru disiplin perlu di bawah 15 waktu seminggu berbanding 28 hingga 30 waktu seminggu selama ini.

Dalam perkembangan yang lain, Alimuddin mengingatkan semua guru agar tidak terlibat dengan sebarang gejala yang boleh menjatuhkan imej dan kewibawaan guru terutama dalam kes penyalahgunaan dadah.

Katanya, walaupun ia hanya merupakan kes terpencil namun pihaknya memandang serius perkara itu kerana melibatkan kira-kira satu peratus dari jumlah guru sebenar di seluruh negara iaitu 350,000 orang.

“Kesemua pesalah akan disabitkan kesalahan mengikut prosedur mahkamah biasa. Sebagai penjawat awam, mereka akan digantung atau diberhentikan kerja sekiranya didapati bersalah menagih dadah.

“Kita juga tidak berminat untuk 'menyimpan' mereka dalam perkhidmatan ini dan berharap tidak akan ada guru yang terlibat,” jelasnya.

0 comments: