372,150 guru dilatih menjelang 2010

KEMENTERIAN Pelajaran akan menyediakan 372,150 guru sekolah rendah dan menengah untuk menampung keperluan pertambahan bilangan pelajar menjelang 2010.

Setiausaha Parlimennya, P Komala Devi, berkata daripada jumlah itu, seramai 220,170 guru diperlukan untuk sekolah rendah, manakala 151,980 guru sekolah menengah.

Justeru, beliau berkata, seramai 38,640 calon guru sekolah rendah dan 29,750 guru sekolah menengah akan dilatih bagi sesi pengambilan 2007 hingga 2010 melalui pelbagai program latihan yang dirancang.

"Kita anggarkan kemasukan pelajar ke sekolah rendah pada 2010 ialah 3.25 juta bagi sekolah rendah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan 2.47 juta pelajar sekolah menengah.

"Jumlah keperluan guru yang diperlukan mengambil kira pertambahan jawatan dan juga keperluan menggantikan guru yang bersara atau melanjutkan pelajaran," katanya menjawab soalan S K Devamany (BN-Cameron Highlands).

Devamany ingin tahu jumlah guru terlatih dan akan dilatih untuk menampung jumlah pelajar di sekolah rendah dan menengah pada 2010.

Selain itu, Komala Devi berkata, seramai 20,627 pelajar sekolah rendah dan menengah dikenakan tindakan hukuman buang sekolah dalam tempoh lima tahun sejak 2003 hingga April lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 5,025 pelajar dibuang sekolah sepanjang 2003, diikuti 5,427 pelajar (2004), 7,493 pelajar (2005), 2,526 pelajar (2006) manakala 156 orang bagi Januari hingga April tahun ini.

"Hukuman ini dilaksanakan atas sebab salah laku berat yang dilakukan oleh seseorang murid termasuk kesalahan jenayah dan ponteng sekolah," katanya menjawab soalan Datuk Mat Yasir Ikhsan (BN-Sabak Bernam) mengenai jumlah pelajar yang dibuang sekolah sejak lima tahun lalu.

0 comments: