HIV: Suri rumah terima ganti rugi RM450,000

Oleh SHARIZA ABDULLAH


Bashah Mustaffa ditemani suaminya, Halim Hamid mendengar penerangan peguamnya, Jagdeep Singh Deo di Mahkamah Tinggi Alor Star, semalam.

ALOR STAR 13 Nov. – Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan empat defendan membayar ganti rugi am sebanyak RM450,000 kepada seorang suri rumah berusia 54 tahun yang menerima darah dicemari virus HIV akibat kecuaian Hospital Jitra ketika proses pemindahan darah, tujuh tahun lalu.

Empat defendan itu ialah Pengarah Hospital Jitra, Pengarah Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Perubatan Kedah, Menteri Kesihatan dan Kerajaan Malaysia.

Peguam Kanan Persekutuan, Ruzi Bainun bertindak mewakili empat defendan berkenaan manakala peguam Jagdeep Singh Deo mewakili plaintif.

Jagdeep yang ditemui di luar mahkamah memberitahu pemberita, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Alor Star, Rusita Md. Lazim memutuskan jumlah ganti rugi itu di kamar nya hari ini.

Suri rumah terbabit, Bashah Mustaffa hadir bersama suaminya, Halim Hamid, 52, yang dinamakan sebagai plaintif kedua dan anak sulung mereka, Masriza, 29, sebagai plaintif ketiga ketika keputusan dibacakan.

Jagdeep memberitahu bahawa mahkamah memutuskan supaya diberi ganti rugi am kepada suri rumah terbabit tetapi tuntutan ganti rugi teladan dan teruk tidak dibenarkan.

Ganti rugi am sebanyak RM450,000 yang perlu dibayar defendan itu merangkumi kesakitan, trauma dan penderitaan yang ditanggung oleh Bashah akibat infeksi termasuk faedah dan kos.

Suri rumah itu telah menuntut ganti rugi am sebanyak RM2 juta, ganti rugi teladan (RM750,000) manakala ganti rugi teruk pula sebanyak RM500,000.

Jagdeep memberitahu, pihaknya gembira kerana mendapat tuntutan ganti rugi am terbabit meski pun tidak menepati tuntutan asal.

Kata beliau, pihaknya akan mempertimbangkan untuk membuat rayuan terhadap ganti rugi teladan dan teruk yang tidak dibenarkan mahkamah.

Menurutnya, keputusan hari ini hanya membabitkan kes tuntutan plaintif pertama manakala kes lima lagi plaintif akan dibicarakan oleh mahkamah pada 4 Disember ini.

Sementara itu, Bashah ketika ditemui berkata, dia berpuas hati dengan bayaran ganti rugi am berkenaan tetapi menyerahkan kepada peguamnya mengenai tindakan lain yang mahu diambil.

Bagaimanapun katanya, dia kecewa dengan Kementerian Kesihatan kerana kemudahan rawatan percuma yang diberikan kepadanya selama ini telah terhenti sejak empat bulan lalu dengan alasan ubat lama tidak lagi dapat digunakan ke atas penyakitnya itu.

Ekoran ketiadaan ubat berkenaan, katanya, badannya terasa lemah dan kekurangan tenaga.

Justeru, dia meminta peguamnya supaya menulis surat kepada kementerian terbabit berhubung masalah berkenaan.

Bashah disahkan menerima darah mengandungi HIV pada 8 Mei 2000 selepas mendapatkan rawatan di Hospital Jitra pada 28 April tahun sama akibat mengalami turun darah.

Ekoran kejadian itu, Bashah yang juga guru al-Quran menuntut ganti rugi am termasuk ganti rugi teruk dan teladan berjumlah RM100 juta serta ganti rugi khas, kos perbicaraan dan perintah lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Bashah menamakan suaminya Halim sebagai plaintif kedua dan anak-anaknya yang masing-masing berusia 21, 19, 17 serta 12 tahun pada tarikh kejadian sebagai plaintif ketiga, keempat, kelima dan keenam.

0 comments: