Kerajaan diminta kawal angka ganjil harga

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Kerajaan diminta mengawal amalan peniaga menetapkan harga barangan mengikut angka ganjil kerana ia boleh mengelirukan pengguna.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, ini kerana tindakan sedemikian hanya gimik peniaga semata-mata bagi menarik pembeli sedangkan ia tidak mendatangkan sebarang faedah.

“Kenapa tidak digenapkan sahaja jumlah tersebut, daripada RM1.99 misalnya bagi sesuatu produk, digenapkan kepada RM1.90 atau RM2 sahaja bagi memudahkan pembeli membuat pengiraan dan pembayaran di kaunter.

“Bayangkan jika pembeli membeli lebih dari satu produk yang diletakkan pada harga yang seperti itu, mereka terpaksa mengagak-agak jumlah keseluruhan yang terpaksa dibayar sedangkan ini tidak membantu mereka untuk mengatur perbelanjaan secara bijak dan berhemah ketika membeli belah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis taklimat kepada pengarang media mengenai Mekanisme Penggenapan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Bank Negara, di sini hari ini.

0 comments: