Laporan Abdul Razak Raaff
Penyalahgunaan tumbuhan untuk tujuan khayal makin berleluasa
KUALA LUMPUR: Kementerian Keselamatan Dalam Negeri sedang mengkaji draf undang-undang untuk mengharamkan penggunaan daun ketum, kecuali untuk tujuan perubatan dan kajian, berikutan kes penyalahgunaan bahan itu kian berleluasa.
Timbalan Menterinya, Datuk Mohd Johari Baharum memberitahu sidang Dewan Rakyat, semalam penyalahgunaan daun ketum yang sebelum ini banyak berlaku di Perlis, Kedah, Pahang dan Terengganu kini semakin serius dan mula menular ke negeri lain, termasuk Selangor.
Malah, baru-baru ini 110,000 gram daun ketum dirampas di Selangor, katanya menjawab soalan Syed Razlan Syed Putra Jamalullail (BN-Arau).
"Kementerian bersama-sama pelbagai agensi berkaitan sedang mengkaji draf untuk mengharamkan penyalahgunaan daun itu sebagai bahan yang mengkhayalkan," katanya.
Syed Razlan bertanya sama ada kerajaan akan menimbangkan untuk mengharamkan penanaman dan pemprosesan daun ketum kerana masalah yang dibawanya, kecuali untuk tujuan kajian tertentu.
Mohd Johari berkata, oleh kerana draf undang-undang itu sesuatu yang baru, kajian terperinci perlu dilaksanakan sebelum dibentangkan kepada Kabinet.
Bagaimanapun, katanya kerajaan akan mempertimbangkan untuk menyediakan satu kawasan khas untuk tanaman daun ketum yang dipantau kerajaan kerana tanaman itu mempunyai kepentingan untuk tujuan perubatan.
0 comments:
Post a Comment