Oleh Amirullah Andi Nur dan Nahar Tajri

KUALA LUMPUR: Angkasawan Negara, Mejar Dr Faiz Khaleed, 27, cedera tangan kiri selepas ditetak dua lelaki bersenjata tajam yang dipercayai cuba merompaknya di hadapan rumahnya di Cheras, di sini, malam kelmarin.

Kejadian pada tengah malam itu berlaku sejurus selepas beliau turun dari kereta rakannya dan sedang melangkah masuk pintu pagar rumahnya apabila didatangi secara tiba-tiba dua lelaki dipercayai bersembunyi tidak jauh dari situ.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis yang mengesahkan kejadian itu, berkata Dr Faiz cedera ketika cuba mempertahankan diri daripada serangan seorang daripada lelaki terbabit.

Katanya, mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Gleneagles di Jalan Ampang, di sini oleh keluarganya.

“Dr Faiz menerima rawatan lanjut di pusat perubatan itu bagi merawat kecederaannya. Sehingga malam ini (malam tadi), keadaannya dilaporkan stabil dan dia diminta berehat,” katanya ketika dihubungi.

Berita Harian difahamkan, kedua-dua lelaki terbabit berhenti menyerang Dr Faiz selepas menyedari kejadian itu disedari keluarganya yang mendengar bunyi bising di luar rumah mereka. Kedua-dua lelaki itu melarikan diri tanpa mengambil sebarang barang berharga daripada mangsa.

Dr Faiz baru-baru ini diiktiraf sebagai Angkasawan Negara, bersama-sama dengan pakar bedah dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha.

Dalam pada itu, usaha menghubungi Dr Faiz melalui telefon bimbitnya malam tadi bagi mendapat maklumat lanjut mengenai kejadian itu gagal.

Sebaliknya, ibunya, Mazenah Mohamad, 53, yang menyambut panggilan itu selepas beberapa kali dihubungi Berita Harian memaklumkan anak lelakinya sedang berehat dan tidak mahu diganggu.

“Tunggulah esok (hari ini), kita akan maklumkan perkembangan beliau,” katanya tanpa memberi ulasan lanjut.

perompak

Oleh Tan Ming Wai


Faiz Khaleed.

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Angkasawan Negara, Mejar Dr. Faiz Khaleed cedera diserang dua lelaki bersenjatakan parang yang cuba merompaknya di hadapan rumahnya di Taman Mawar, Cheras di sini awal pagi ini.

Ibunya, Maznah Mohamad berkata, dalam insiden pada kira-kira pukul 2 pagi itu, anaknya cedera di tangan kiri ketika cuba menepis serangan tersebut.

Katanya, sebelum kejadian itu anaknya keluar untuk makan lewat malam bersama dua rakan pada kira-kira pukul 11 malam dengan menaiki kereta rakannya.

Katanya, mereka balik ke rumah pada kira-kira pukul 2 pagi dan sebaik sampai di hadapan rumah, Dr. Faiz yang memandu kereta itu keluar dari kenderaan tersebut.

“Pada masa itu dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal dan bersenjatakan parang menghampiri Dr. Faiz dan terus menolaknya sehingga terjatuh.

“Melihat Faiz terjatuh, lelaki itu terus mengugut rakan Faiz yang berada di dalam kereta dan meragut rantainya sebelum Faiz bangun untuk melawan.

“Pada masa itulah lelaki itu cuba menetak Faiz dan Faiz cuba menahan serangan itu menyebabkan tangan kirinya tercedera,’’ katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Jalan Ampang di sini malam ini.

Maznah berkata, tindakan Dr. Faiz membuka pintu pagar automatik rumah telah mengejutkan dua lelaki itu menyebabkan mereka terus melarikan diri.

Katanya, rakan Dr. Faiz tidak mengalami sebarang kecederaan dan mereka telah menghantar Dr. Faiz ke hospital sejurus selepas kejadian.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan kejadian itu.

Difahamkan, beberapa pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang telah mengambil keterangan daripada Dr. Faiz kira-kira pukul 11 malam ini.

Oleh Zaharuddin Mohd. Ali dan Marhaini Kamaruddin

SINGAPURA 21 Nov. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu Proton Holdings Berhad (Proton) yang mula menunjukkan perubahan positif diberi peluang untuk meneruskan program pemulihannya sendiri.

Menurut beliau, berikutan perkembangan yang baik dalam syarikat kereta nasional itu, kerajaan berpendapat Proton harus dibiarkan meneruskan usaha tersebut.

‘‘Proton kini telah pulih dan saya yakin ia berada di landasan yang betul untuk benar-benar pulih,” kata beliau.

Abdullah berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) Ketiga sebagai acara sampingan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-13 yang diadakan di sini hari ini.

Semalam, Khazanah Nasional Bhd. mengumumkan tidak akan meneruskan sebarang rundingan dengan Volkswagen AG (Volkswagen) dari Jerman dan General Motors Corporation (GM) dari Amerika Syarikat berhubung pakatan strategik dengan Proton.

Menurut Khazanah, keputusan itu dibuat selepas kerajaan membenarkan Proton beroperasi secara bersendirian berikutan perkembangan positif dalam syarikat kereta nasional itu dari segi jualan domestik dan eksport.

Perdana Menteri berkata, keputusan yang dibuat oleh Khazanah untuk menamatkan perbincangan dengan Volkswagen dan GM dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

“Proton tidak bercadang mengadakan sebarang perbincangan untuk mewujudkan pakatan strategik dengan mana-mana pihak pada masa ini,’’ jelasnya.

Pada masa yang sama, menurut beliau, tidak timbul soal kerajaan akan menyelamatkan syarikat automotif itu jika ia berdepan dengan masalah kewangan pada masa akan datang.

Menurut Abdullah, dengan pencapaian Proton yang semakin baik, kerajaan mahu memberi peluang kepada syarikat itu meneruskan program pemulihannya kerana kedudukan Proton pada masa ini tidak sama seperti beberapa tahun lalu.

‘‘Kita mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak sebelum ini kerana berpendapat Proton harus mempunyai rakan pakatan strategik untuk membantu syarikat itu.

‘‘Bagaimanapun, pihak pengurusan Proton telah berjaya menunjukkan keupayaan mereka untuk memulihkan syarikat berkenaan dan mereka harus diberi peluang,” katanya.

Perdana Menteri memberitahu, pihak pengurusan Proton telah memaklumkan kepada kerajaan mengenai program pemulihan yang sedang dijalankan termasuk keupayaan syarikat tersebut untuk mengeksport kereta keluaran Malaysia itu ke luar negara.

Proton juga, kata Abdullah, akan mengeluarkan model terbaru tidak lama lagi.

Dengan kesemua program pemulihan yang dijalankan itu, katanya, kerajaan mahu melihat Proton kembali pulih.

Ditanya sama ada kerajaan menetapkan sebarang tempoh masa untuk Proton kembali pulih, Abdullah yang juga Menteri Kewangan menegaskan, proses pemulihan itu telah pun bermula.

Menjawab satu soalan lain, kata Perdana Menteri, ada kemungkinan Proton akan mempunyai rakan pakatan strategik pada masa depan tetapi buat masa ini pihak pengurusan syarikat itu perlu diberi peluang membuktikan keupayaan mereka.

Khazanah, syarikat pelaburan kerajaan, memegang kepentingan majoriti dalam syarikat pengeluar kereta nasional itu.

Khazanah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur berkata, kerajaan berpendapat pengurusan Proton perlu dibenarkan untuk meneruskan rancangannya bagi mengukuhkan syarikat kereta tersebut.

Mengulas isu yang sama, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dalam satu taklimat di Putrajaya semalam berkata, keputusan berkenaan diambil memandangkan pelan pemulihan syarikat automotif kebangsaan sudah mula membuahkan hasil yang menggalakkan.

‘‘Tanggapan awal bahawa Proton memerlukan rakan strategik asing untuk terus kekal relevan dalam industri automotif tidak boleh diguna pakai buat masa ini kerana keadaan Proton sudah berubah sekarang,” katanya.

Proton yang ditubuhkan pada tahun 1983 mula mengeksport 30,000 unit model Gen.2 ke China mulai bulan ini dan merancang untuk mengeluarkan 80,000 unit Gen.2 di kilangnya di China menjelang 2012 dalam urus niaga bernilai RM4 bilion.

Proton juga berusaha mengeluarkan dua model baru bagi pasaran China melalui kerjasama dengan anak syarikat kereta ‘sport’ Britishnya, Lotus.

Di Indonesia, Proton kini menetapkan sasaran untuk menguasai agihan pasaran automobil tempatan kepada 40 hingga 50 peratus daripada 31 peratus sekarang ini melalui pengenalan model baru.

Satu model bagi menggantikan Saga dijangka dilancarkan pada Januari 2008, manakala kenderaan pelbagai guna (MPV) juga sedang diusahakan bagi pelancaran pada Januari 2009.

Proton turut diminta menggunakan lebih banyak kepakaran teknologi pengeluaran kenderaan di Lotus mulai sekarang.

Proton mengalami kerugian RM591 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2007 dan dijangka mencatat kerugian kecil dalam tahun kewangan semasa.

– Utusan

Daripada Mutazar Abdul Ghani dan Johan Affendi di Singapura


RAKAN SEJAWAT: Abdullah bersama Perdana Menteri Thailand, Surayud Chulanont pada Sidang Kemuncak Asean ke-13 di Singapura, semalam.

DATUK Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu Proton Holdings Bhd melaksanakan pelan pemulihan seperti dilakukan Penerbangan Malaysia (MAS) berikutan keputusan pemegang saham terbesarnya, Khazanah Nasional Bhd, menamatkan rundingan bagi mengadakan pakatan strategik dengan General Motors Corporations (GM) dan Volkswagen AG.

Perdana Menteri berkata, Proton seharusnya diberi peluang melaksanakan pelan pemulihan dan pada masa ini pengurusannya juga sudah menunjukkan keupayaan untuk memulihkan syarikat itu.

Sehubungan itu, beliau menegaskan tidak timbul soal menyelamatkan Proton kerana kedudukan pengeluar kereta nasional itu kini dalam keadaan baik.


"Apa yang saya tahu, Proton memperoleh janji niaga untuk mengeksport keretanya ke India, China, Asia Barat dan Indonesia.

"Proton juga akan mengeluarkan model baru... saya fikir inilah pemulihan yang dicapai Proton pada masa ini dan kami telah meminta Proton melaksanakan pelan pemulihan seperti yang dilakukan MAS.

"Inilah sesuatu yang kita perlu tahu, orang ramai dan pelabur mesti tahu apa yang mereka (Proton) cuba lakukan," katanya pada sidang media pada hari terakhir Sidang Kemuncak Asean ke-13 di sini, semalam.


Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Khazanah Nasional menghentikan rundingan dengan General Motors dan Volkswagen AG berhubung cadangan mengadakan pakatan strategik dengan Proton.

Dalam satu kenyataan kelmarin, Khazanah yang memegang 43 peratus

kepentingan dalam Proton menjelaskan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa perkembangan positif yang berlaku dalam syarikat itu sejak kebelakangan ini, terutama pemulihan jualan di pasaran domestik dan eksport.

Abdullah berkata, mengikut apa yang dipersetujui oleh Khazanah, buat masa ini tidak ada lagi perbincangan dengan pihak terbabit.

"Ya, tiada lagi perundingan. Ini dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Kita mahu beri peluang kepada Proton untuk laksanakan pemulihan.

"Pengurusan Proton telah menunjukkan keupayaan untuk pemulihan dan situasi Proton pada masa sekarang tidak sama dengan keadaannya ketika memulakan rundingan dengan syarikat terbabit dua atau tiga tahun lalu," katanya.

Mengenai sebarang tempoh yang ditetapkan bagi pemulihan Proton, Perdana Menteri berkata, Proton sudah memulakan usaha pemulihan dan mereka mempunyai program yang baik.

Ditanya kemungkinan Proton mencari rakan kongsi strategik tempatan berikutan penamatan rundingan dengan GM dan Volkswagen AG, beliau berkata: "Kita tidak berbincang untuk mempunyai sebarang rakan kongsi pada masa ini dan kini perhatian sepenuhnya diberi untuk menjadikan pemulihan (Proton) benar-benar berjaya."

Bagaimanapun, katanya, Proton mungkin berada dalam kedudukan baik pada masa depan untuk mempunyai rakan strategik.

"Sebelum ini, ketika menimbang untuk mencari rakan strategik, ia (Proton) berada dalam kedudukan yang tidak baik, tapi sekarang pengurusan telah membuktikan mereka sedang dalam pemulihan. Saya percaya pemulihan ini adalah pemulihan yang berjaya," katanya.

Mengulas perkembangan terkini penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes video V K Lingam, Abdullah berkata, satu lagi perbincangan mengenai perkara itu akan diadakan minggu depan.

"Saya diberitahu tadi, mereka (Kabinet) telah bincang dan buat keputusan bahawa perkara ini akan dibincang sekali lagi minggu depan apabila saya balik dari lawatan ke luar negara," katanya.

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan membenarkan Proton Holdings Bhd beroperasi sendiri menunjukkan bahawa pengeluar kereta nasional itu mampu berdikari dalam persaingan industri automotif negara yang kompetitif.

Presiden Persatuan Automatif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata walaupun ramai pihak berharap Proton mempunyai rakan strategik, namun jaminan kerajaan yang ia tidak akan menaikkan duti import kenderaan penumpang dari luar negara adalah satu perkembangan positif.

“Beberapa bulan lalu kita meramalkan rundingan itu tidak akan diteruskan berdasarkan sambutan baik diterima Proton melalui model kereta baru yang diperkenalkannya,” katanya kepada Bernama merujuk kepada Proton Persona yang mencatatkan tempahan 22,000 unit sehingga bulan lalu, dua bulan selepas model baru itu dilancarkan.

Aishah mengulas mengenai keputusan kerajaan menamatkan rundingan bagi kemungkinan menjalin kerjasama strategik antara Proton Holdings Bhd dan Volkswagen AG, serta General Motors Corporation berikutan perkembangan positif dalam jualan domestik dan eksport Proton.

Semalam, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata keputusan kerajaan itu dibuat selepas menimbang secara berhati-hati semua isu terbabit, isu kerjasama strategik, nilai usaha sama strategik serta kemajuan yang dibuat dalam pemulihan syarikat pembuat kereta nasional itu.

Bagaimanapun, Aishah berkata, Proton masih perlu menimbangkan kemungkinan usaha sama strategik dengan syarikat pengeluar kereta asing bagi menembusi pasaran luar dan penjenamaan bagi jangka masa panjang.

“Usaha sama pada masa akan datang bukan hanya untuk membangunkan model baru tetapi untuk meningkatkan eksport kereta ke pasaran luar yang lebih luas,” katanya.

Selain jumlah angka jualan yang kukuh, satu kajian khusus juga menunjukkan Indeks Kepuasan Pengguna Proton meningkat kepada 713 mata berbanding 677 mata pada tahun lepas.

Penamatan rundingan itu juga berdasarkan galakan usaha sama di luar negara dan jualan kereta nasional itu di Iran, China dan Indonesia, selain peluang akan dilaksanakan di Thailand.

SHAH ALAM 21 Nov. – Selangor dan Pahang akan memeterai perjanjian konsesi penyaluran dan pembekalan air mentah pada harga 10 sen bagi setiap meter padu di Kuantan, Pahang esok.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, kerajaan Selangor pada dasarnya bersetuju dengan harga dan kualiti air yang ditawarkan menerusi projek tersebut.

‘‘Terma-terma telah ditetapkan dan kita bersetuju untuk memulakan projek ini secepat mungkin. Kerja pembinaan terowong dijangka selesai pada tahun 2015,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Ditanya kos keseluruhan yang akan dibayar oleh kerajaan Selangor kepada Pahang, beliau berkata, ia belum dapat diputuskan memandangkan pihaknya belum mengetahui jumlah air yang akan disalurkan dari negeri itu.

‘‘Ia (jumlah air) bergantung kepada keperluan dan kita perlu tunggu kerja-kerja pembinaan terowong siap terlebih dahulu,” tambahnya.

Penyaluran air Pahang-Selangor merupakan projek Kerajaan Persekutuan yang dicadangkan sejak tahun 2000 dan dijangka menelan belanja sebanyak RM2.9 bilion.

Projek tersebut begitu diperlukan di Lembah Klang kerana keperluan air di kawasan terbabit meningkat daripada 1,500 juta liter sehari (mld) pada masa ini kepada 2,260 mld pada tahun 2010.

Selain itu, keperluan penyaluran air dari Pahang juga dianggap mendesak memandangkan Selangor dijangka menghadapi krisis bekalan air pada tahun depan.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Khir memberitahu, Kerajaan Persekutuan bersetuju membina sebuah jambatan baru di Sungai Udang, Klang bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang begitu serius ketika ini.

Ujar beliau, sejumlah RM40 juta diperuntukkan untuk projek tersebut yang turut merangkumi pembinaan jalan penyuraian trafik Klang dan dijangka siap dalam tempoh 30 bulan lagi.

KERAJAAN Selangor dan Pahang akan menandatangani perjanjian projek Penyaluran Air Mentah Antara Negeri (ISRWT) bernilai RM3 bilion, hari ini dengan penetapan harga 10 sen bagi setiap meter padu air mentah yang dibekalkan.

Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata dengan perjanjian itu, kerajaan Pahang berjanji akan memastikan mutu bekalan air mentah yang dibekalkan kepada Selangor adalah baik.

Katanya, menerusi perjanjian itu juga, Pahang dijangka mendapat tambahan pendapatan, manakala Selangor memperoleh air bersih untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan yang bakal mereka hadapi dalam lima tahun lagi.

“Jumlah pendapatan tambahan yang diperoleh Pahang tidak dapat dinyatakan kerana saya tidak mempunyai angka yang spesifik,” katanya menjawab soalan tambahan Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) mengenai anggaran tambahan pendapatan daripada perjanjian antara kedua negara berhubung pemindahan air.

Menjawab soalan asal Ismail mengenai perkembangan projek ISRWT, Shaziman berkata, April lalu kementerian sudah melantik perunding projek untuk menyediakan reka bentuk kejuruteraan terperinci dan menjalankan kerja pengawasan bagi komponen projek seperti empangan, stesen pam dan saluran paip berkembar serta terowong.

Justeru, katanya, kementerian menetapkan kerja pembinaan fizikal projek berkenaan akan dimulakan awal tahun depan.

“Oleh kerana kerja membabitkan pembinaan terowong sepanjang 44 kilometer memerlukan masa panjang untuk disiapkan berbanding komponen lain maka kerja pembinaan terowong akan dimulakan suku kedua tahun depan.

“Prakelayakan bagi terowong itu dikeluarkan 26 Julai lalu dan ditutup 19 September dan keputusan kontraktor yang layak mendapat projek membina terowong itu akan diumumkan Disember ini," katanya.

Beliau berkata, prakelayakan untuk komponen lain projek ISRWT akan dikeluarkan secara berperingkat mulai awal tahun depan dan kementerian yakin projek akan dapat disiapkan sepenuhnya pada pertengahan 2013.

Oleh Norhana Salashar Basharuddin


SITI Nadzirah Mohd. Nasir bersama anaknya, Arman Khan Fazal Azim di Rawang, semalam.

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Seorang ibu muda, Siti Nadzirah Mohd. Nasir, 20, yang terlibat dalam pertikaian penjagaan anak bersama suaminya di Pakistan sejak empat bulan lalu sanggup meredah segala kepayahan bagi memastikan bayinya, Arman Khan Fazal Azim, yang berusia setahun berjaya dibawa pulang semula ke Malaysia.

Arman Khan kembali ke Malaysia semalam selepas Siti Nadzirah menempuh perjalanan yang panjang iaitu selama hampir 24 jam.

Bagi memastikan anaknya dibawa pulang dengan selamat ke Malaysia, Siti Nadzirah bersama bapanya, Mohd. Nasir Bakar, 44, dan ibunya, Siti Abdullah, 42, sanggup melakukan penerbangan transit di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Singapura sebelum menaiki pesawat Malaysia Airlines System (MAS) pulang ke tanah air.

Siti Nadzirah pergi ke Pakistan pada 16 November lalu dan merancang dengan rapi operasi membawa pulang Arman Khan.

Ibu muda itu yang sepatutnya berlepas ke Malaysia dengan menaiki pesawat di Islamabad bertindak nekad menaiki teksi ke Lahore yang memakan masa perjalanan empat jam bagi mengelak dijejak oleh keluarga suaminya.

Selepas menempuh segala kepayahan, berbekalkan semangat dan kasih sayang yang teramat sangat terhadap anaknya, Siti Nadzirah sekeluarga selamat sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang kira-kira pukul 2 petang semalam.

Ketika ditemui di rumah keluarganya di Rawang, Selangor dekat sini malam ini, Siti Nadzirah bersyukur impiannya membawa Arman Khan pulang ke tanah air tercapai.

‘‘Walaupun saya berpendapat saya membawa Arman Khan pulang ke Malaysia melalui saluran betul, tetapi perasaan bimbang tetap ada,’’ katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada 14 Julai lalu, Siti Nadzirah mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia kerana tidak tahan dengan layanan keluarga mertuanya.

Beliau mendakwa hanya diberi susu kerbau basi dan capati bagi makanan seharian sejak dibawa ke negara itu oleh suaminya, Fazal Azim Abdul Ahad, 24.

Sebelum pulang ke tanah air, Siti Nadzirah mendapatkan hak penjagaan anaknya dari Mahkamah Daerah Bruner, Pakistan bagi membolehkannya membawa anaknya kembali ke Malaysia.

Bagaimanapun, beliau terpaksa pulang ke Malaysia dengan tangan kosong selepas keluarga mertuanya enggan menyerahkan anaknya.

Pada 23 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Peshawar, Pakistan yang sepatutnya mengumumkan keputusan mengenai hak penjagaan ke atas anak Siti Nadzirah membuat keputusan menyerahkan anak itu kepada Fazal Azim atas alasan Arman Khan tidak mengenali ibunya.

Bagaimanapun, Siti Nadzirah dibenarkan bertemu anaknya setiap hari Sabtu selama enam jam.

Menurut Siti Nadzirah, beliau dan kedua-dua ibu bapanya berlepas ke Islamabad Jumaat lalu semata-mata mahu berjumpa dengan anaknya seperti yang diarah oleh Mahkamah Tinggi Peshawar sebelum ini.

‘‘Namun, Sabtu lalu, suami saya tidak datang ke Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Islamabad seperti yang diarah menyebabkan saya bimbang.

Perbicaraan

‘‘Saya dapat tahu rupa-rupanya suami saya sedang menghadiri perbicaraan pertama kes kami tanpa memaklumkannya kepada saya,’’ ujar beliau.

Siti Nadzirah memberitahu, dengan pertolongan beberapa kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pakistan, akhirnya suaminya akur dan membawa Arman Khan untuk berjumpa dengannya keesokan hari.

‘‘Apabila memikirkan saya telah mendapat hak penjagaan ke atas Arman Khan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Daerah Bruner Julai lalu, saya nekad membawa anak saya pulang ke Malaysia.

‘‘Selain itu, Arman Khan juga mempunyai dokumen perjalanan sementara yang diperoleh di Islamabad sejurus selepas mahkamah tersebut memberi hak penjagaan itu kepada saya,’’ katanya.

Dengan dokumen perjalanan itu, Siti Nadzirah memberitahu, tiada alasan untuk mana-mana pihak mengatakan anaknya tidak boleh dibawa keluar dari Pakistan kerana mereka telah melepasi kaunter Imigresen di lapangan terbang di Lahore secara sah.

Sementara itu, peguam syarie, Zainul Rijal Abu Bakar yang dilantik mewakili Siti Nadzirah ketika dihubungi memberitahu, mahkamah di sana tidak mengenakan sebarang sekatan yang menghalang wanita itu daripada membawa anaknya keluar dari Pakistan.

Menurut Zainul Rijal, kes tuntutan fasakh Siti Nadzirah untuk memutuskan perkahwinannya dengan Fazal Azim akan didengar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat pada 9 Januari depan.

“Siti Nadzirah juga akan membuat permohonan jagaan anak kepada mahkamah negara ini,” katanya.

Menurut peguam syarie itu, kes jagaan anak itu seharusnya dibicarakan di Malaysia dan bukannya di Pakistan kerana Siti Nadzirah dan suaminya berkahwin di Malaysia.

‘‘Selain itu, anaknya juga dilahirkan di Malaysia dan merupakan warganegara Malaysia,’’ jelasnya.

Zainul Rijal berkata, beliau dalam proses mengumpul segala maklumat berkaitan tuntutan tersebut sebelum dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah dalam masa terdekat ini.

‘‘Saya baru sahaja dilantik oleh keluarga Siti Nadzirah bagi mewakili mereka pagi ini dan buat masa ini masih terlalu awal untuk saya mengulas mengenai kes itu,’’ ujarnya.

Oleh Anwar Hussin

KUALA LUMPUR: Siti Nadzirah Mohd Nasir, 20, akhirnya membawa pulang anaknya berusia 11 bulan ke Malaysia, kelmarin selepas sembilan bulan berjuang untuk mendapatkan kembali kanak-kanak itu daripada jagaan suami di Pakistan.

Siti Nadzirah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 1 petang bersama anaknya, Arman Khan, dengan ditemani bapanya, Mohd Nasir Bakar, 40, ibunya Siti Abdullah, 42.

Kepulangan Siti Nadzirah dan Arman melalui penerbangan dari Pakistan ke Dubai sebelum ke Kuala Lumpur tanpa sebarang halangan daripada pihak berkuasa Pakistan.

Peguam kepada Siti Nadzirah, Zainul Rijal Abu Bakar, berkata Siti Nadzirah berhak membawa pulang Arman ke Malaysia kerana Mahkamah Rendah Pakistan tidak pernah mengeluarkan sebarang larangan untuk beliau berbuat demikian.

Beliau berkata, Siti Nadzirah yang sudah menanggung derita selepas dipisahkan dengan anak, mengambil peluang membawa pulang Arman ke Malaysia selepas dibenarkan menjaga kanak-kanak itu untuk beberapa hari oleh keluarga suaminya.

“Saya sudah berjumpa Siti Nadzirah dan anaknya semalam di sebuah hotel di Subang Jaya dan saya melihat Arman begitu rapat sekali dengan ibunya. Ini bertentangan dengan dakwaan keluarga mentuanya di Mahkamah Pakistan bahawa Arman tidak mahu bersama ibunya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Siti Nadzirah berkahwin dengan seorang pelajar Pakistan, Fazal Azim Abdul Ahad, 24, yang menuntut di sebuah kolej swasta di Subang Jaya pada 16 Januari tahun lalu. Mereka kemudian pulang ke Pakistan pada 13 Februari lalu untuk melawat keluarga suami di sana.

Mereka yang sepatutnya hanya sebulan di Pakistan, sebaliknya diminta menangguhkan hasrat pulang ke tanah air oleh suaminya.

Siti Nadzirah kemudian diminta pulang oleh bapa mentuanya dan meninggalkan Arman padanya pada Julai lalu.

Sementara itu Siti Nadzirah ketika ditemui di Rawang berkata, beliau berasa amat lega dan terharu apabila anaknya berkali-kali menyebut ‘mama’ olah-olah menanggung kerinduan yang teramat sangat.

Beliau berkata, suaminya tiba di Kedutaan Malaysia pada Ahad lalu dengan membawa Arman dan menyerahkan kepadanya sebelum pergi ke tempat lain.

“Sejurus selepas itu, saya terus membawa anak saya keluar dari negara itu,” katanya.



Kes permohonan fasakh Siti Nadzirah akan didengar di Mahkamah Rendah Gombak Barat, Kuang, pada 9 Januari depan.

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Rakyat Malaysia perlu berhenti meletakkan bahasa Melayu di tempat kedua semata-mata kerana lebih mengutamakan bahasa Inggeris yang dirasakan lebih memberi manfaat kepada mereka.

Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan Malaysia, Datuk Dr. Hasan Ahmad berkata, golongan yang bersikap demikian terutamanya profesional, sudah lama dipengaruhi pemikiran zaman penjajah yang mementingkan bahasa Inggeris.

“Sikap ini lama-kelamaan akan menghakis keyakinan terhadap keupayaan bahasa Melayu untuk terus menjadi bahasa ilmu dan kemajuan dalam pembangunan bangsa Malaysia.

“Sebenarnya tiada masalah dengan bahasa Melayu tetapi penggunanya yang bermasalah. Anggapan bahasa Melayu tidak membawa kemajuan adalah salah sama sekali,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semasa Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-11 di sini hari ini.

Hasan berkata, bahasa Melayu adalah bahasa yang telah digunakan secara meluas sejak 700 tahun lalu dan sudah melalui pelbagai zaman sehingga menjadi bahasa ilmu yang tinggi nilainya.

Beliau berkata, negara Afrika kurang membangun akibat menggunakan bahasa penjajah tetapi Jepun, Korea mahupun Perancis mampu menjadi negara maju kerana menggunakan bahasa sendiri.

“Ini membuktikan tidak ada apa-apa salah dengan bahasa Melayu. Tidak salah jika belajar bahasa asing dan gunakan ia untuk menimba ilmu tetapi jangan sampai menganaktirikan bahasa sendiri,” katanya.

Beliau berkata, bahasa Melayu mempunyai banyak nilai tambah kerana di negara ini ia difahami oleh semua kaum.

Jelasnya, perkembangan bahasa Melayu juga tidak sepatutnya disekat sebaliknya, perlu dikembangkan supaya terus menjadi bahasa yang membawa kemajuan kepada rakyat Malaysia.

“Jika mahu laksana sesuatu dasar perlu berpendirian tetap dan stabil seperti pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang menjadi isu sekarang,” katanya.

Oleh LUKMAN ISMAIL

MELAKA 21 Nov. – Empat tengkorak dan rangka manusia dipercayai dari zaman Kesultanan Melaka yang masih lengkap ditemui di pekarangan bangunan Unit Polis Pelancong Melaka di Jalan Kota di sini baru-baru ini.

Rangka manusia yang ditemui ketika kerja-kerja penggalian berhampiran tapak Bastian Middleburg iaitu sebahagian Kota Melaka itu dipercayai berasal dari tahun 1400 hingga 1450, iaitu ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim berkata, pada masa ini rangka manusia tersebut ditempatkan di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

‘‘Kajian anatomi dan analisis saintifik telah dijalankan dengan bantuan kepakaran daripada Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia, USM.

‘‘Berdasarkan hasil sampel Radiokarbon Dating ke atas tulang femur, iaitu sampel tulang yang diambil di tapak penyelidikan mencatatkan ia berasal dari tahun 1400 hingga 1450, iaitu era Kesultanan Melayu Melaka,” katanya.

Beliau memberitahu demikian ketika menjawab soalan Datuk Abdul Ghafar Atan (BN-Gadek) berhubung penemuan bahan artifek di tapak asal menara tinjau pada persidangan ketiga, penggal keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, di sini hari ini.

Ab. Rahaman berkata, keempat-empat rangka manusia yang lengkap bersama beberapa serpihan tulang lain ditemui kira-kira enam bulan lalu di satu kawasan setempat dipercayai kubur.

Bagaimanapun, beliau berkata, kajian lebih teliti kini sedang dijalankan ke atas rangka terbabit bagi mengesahkan jantina, bangsa dan lain-lain.

Ditanya pemberita di luar dewan sama ada rangka itu akan dibawa pulang ke Melaka selepas kajian selesai dibuat, beliau berkata, ia masih belum ditentukan tetapi kerajaan negeri akan berusaha untuk membawanya pulang ke negeri ini.

‘‘Kita masih lagi belum tetapkan tetapi besar kemungkinan kita akan bawa pulang ke Melaka untuk dipamerkan di negeri ini,” katanya.

Tapak Bastian Middleburg yang merupakan sebahagian tembok Kota Melaka yang dibina ketika abad ke-16 ditemui ketika kerja-kerja pembinaan menara tinjau Melaka sedang dijalankan, akhir tahun lalu.

Ekoran tersebut, pembinaan menara tersebut telah dihentikan dan ia kemudian dipindahkan ke kawasan lain tidak jauh dari lokasi tersebut.

Pada masa kini, kerajaan melalui Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan sedang membina semula Bastian Middleburg dan sebahagian besar tembok Kota Melaka dengan peruntukan lebih RM12.8 juta.

Ab. Rahaman berkata, selain rangka manusia, turut ditemui pelbagai artifek di tapak tersebut antaranya porselin China, pecahan tembikar batu, patahan paip Belanda, peluru senapang dan lain-lain.

Oleh CYNTHIA YEOH

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Penerima jantung, Tee Hui Yee berharap dapat meraikan Hari Krismas di rumahnya setelah lebih setahun menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Gadis berusia 14 tahun itu tidak sabar-sabar untuk pulang ke rumahnya di Batu Pahat bagi menyambut perayaan itu bersama ahli keluarga terdekat dan sahabat handai.

Hui Yee berkata, dia sememangnya berharap dibenarkan pulang ke rumah sebelum sambutan Hari Krismas tahun ini ekoran keadaan kesihatannya yang semakin baik.

‘‘Saya tak sabar nak balik rumah kerana tahun lepas, saya terpaksa meraikan Krismas di sini dengan hanya mendengar nyanyian dendangan kumpulan koir.

‘‘Saya juga rindu dengan rakan-rakan di sekolah. Oleh itu, perkara pertama saya ingin lakukan sebaik sahaja tiba di Batu Pahat ialah melawat mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hui Yee dijangka dibenarkan pulang ke rumah dalam tempoh terdekat tetapi pihak IJN belum dapat menetapkan tarikh yang tepat kerana gadis tersebut masih dalam pemantauan pihaknya.

Menurut Hui Yee, dia kini gigih melakukan senaman bagi menguatkan otot-otot tubuhnya sementara menunggu kebenaran untuk pulang daripada doktor.

Tambahnya, hari ini, dia menikmati nasi berlauk ikan senangin goreng dan sayur serta puding sebagai pencuci mulut untuk makan tengah hari.

‘‘Saya boleh makan banyak sekarang tetapi masih dalam keadaan terkawal. Malah, saya mampu habiskan semua makanan yang dihidangkan,” katanya.

Hui Yee menjalani pembedahan pemindahan jantung kali kedua pada pagi 5 Oktober lalu, setelah jantung pertama yang didermakan kepada gadis tersebut tidak dapat diterima oleh tubuhnya.

Sebelum itu, Hui Yee menggunakan jantung mekanikal sejak 29 September tahun lalu.

Oleh OPAT RATTANACHOT

SIK 21 Nov. – Suri rumah yang mendakwa hilang dua jari tangan kanannya akibat kecuaian kakitangan Hospital Sik (HS) Sabtu lalu, berikhtiar untuk menyambung anggota badannya itu di hospital swasta.

Noraini Md. Isa, 35, berkata, walaupun menyedari proses penyambungan jarinya sukar dilakukan, namun dia masih menaruh harapan agar doktor pakar swasta dapat melakukannya.

“Saya masih menyimpan cebisan jari itu. Saya dan suami akan berbincang dengan doktor hospital swasta di Sungai Petani bagi mencari jalan untuk cuba menyambung semula jari itu.

“Memang usaha itu dikatakan sukar tetapi saya tetap akan cuba. Mudah-mudahan dengan kepakaran yang ada, boleh mengubah keadaan ini,’’ katanya di sini hari ini.

Noraini berkata demikian ketika mengulas tindakan susulan yang dilakukannya selepas mengumum akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kakitangan HS dan Kementerian Kesihatan berhubung kecuaian terbabit.

Isnin lalu, Utusan Malaysia menyiarkan rasa tidak puas hati Noraini yang mendakwa kecuaian kakitangan Jabatan Kecemasan HS tidak menyimpan jari tangan kanannya yang terputus dalam peti sejuk atau ketulan ais telah menyebabkan dia kehilangan sebahagian jarinya itu.

Suri rumah itu berkata, dia kehilangan jari telunjuk dan hantu sepanjang dua sentimeter setelah doktor gagal menyambung kembali kerana selnya telah mati.

Noraini dibawa oleh suaminya, Mohd. Saifol Abu Hassan, 41, ke HS untuk mendapatkan rawatan selepas dua jarinya terputus akibat terkena mata mesin pemotong rumput di rumah mereka.

Bagaimanapun, Pengarah Kesihatan Kedah, Dr. Hasnah Ismail dalam kenyataannya kelmarin memberitahu, dua jari tangan kanan Noraini sukar disambung semula kerana saluran darah yang terlalu halus pada anggota itu.

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Siti Salmah Jasni yang menjalani pembedahan pemindahan jantung dan paru-paru serentak pada 2 November lalu kini menunjukkan perkembangan positif ke arah pemulihan.

Pakar Perunding Respiratori Institut Perubatan Respiratori (IPR) Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Ashari Yunus berkata, gadis itu kini boleh duduk jika katilnya dinaikkan dan makan melalui tiub yang disalurkan.

Selain itu, menurutnya, Siti Salmah menunjukkan tanda-tanda ingin bercakap tetapi masih memerlukan bantuan mesin untuk bernafas.

‘‘Kami menganggap perkembangan ini sebagai sesuatu yang positif dan masih memantau perkembangannya.

‘‘Hanya orang tertentu dibenarkan menemui Siti Salmah buat masa ini kerana keadaannya yang masih lemah,’’ kata Ashari ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, bapa Siti Salmah, Jasni Zainal, 52, berterima kasih kepada keluarga wanita dari Kedah yang mendermakan organ kepada Siti Salmah untuk membolehkannya meneruskan kehidupan.

‘‘Saya memang sudah lama ingin menyampaikan rasa syukur dan terima kasih kepada keluarga wanita yang mendermakan organ kepada Siti Salmah.

‘‘Budi baik mereka akan saya kenang sampai bila-bila kerana organ yang didermakan itu telah memberi harapan kepada anak saya untuk meneruskan kehidupannya.

‘’Hanya Allah yang boleh membalas segala jasa mereka,’’ katanya.

Siti Salmah, 18, yang menghidap penyakit Hipertensi Pulmonari menjalani pembedahan pemindahan jantung dan paru-paru awal bulan ini selepas keluarga seorang wanita yang meninggal dunia akibat kemalangan di Kedah bersetuju mendermakan semua organ dan tisu badan wanita berkenaan.

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Amalan membaca buku tambahan di kalangan pelajar universiti di negara ini masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan pelajar universiti di luar negara iaitu secara purata mereka hanya membaca 12 buah buku selama tiga tahun pengajian.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar berkata, berdasarkan satu kajian, jumlah buku yang dibaca oleh pelajar Australia ialah 180 buah, Indonesia (94 buah), India (130 buah), Thailand (56 buah) dan Brunei (26 buah).

Beliau berkata, penemuan itu adalah hasil perbandingan yang dibuat oleh seorang pensyarah Jabatan Media, Universiti Malaya (UM), Dr. Abu Hassan Hasbullah mengenai tabiat membaca di kalangan pensyarah dan pelajar di negara ini.

‘‘Mengikut kiraan yang mudah, pelajar kita hanya membaca empat buah buku setahun. Itu belum dikira hasil kajian mengenai jumlah buku yang dibeli oleh pelajar-pelajar kita.

‘‘Berdasarkan kajian oleh pensyarah yang sama, jumlah buku yang dibeli oleh pelajar kita pula hanya setakat empat buah untuk tiga tahun pengajian (enam semester),’’ kata Noh pada majlis perasmian Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-11 di sini hari ini.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad, Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh dan Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan.

Rakan media persidangan itu ialah Pemikir iaitu jurnal terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd..

Menurut Noh, berbanding pelajar universiti di luar negara, jumlah buku yang dibeli oleh pelajar Australia ialah 160 buah, Indonesia (43 buah), Thailand (31 buah), India (75 buah) dan Brunei (15 buah).

‘‘Satu perkara yang juga menyedihkan ialah jumlah buku yang dibaca oleh pensyarah di Malaysia hanya baik sedikit daripada pelajar iaitu secara purata 20 buah buku untuk tiga tahun pengajian (enam semester),’’ katanya.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita kemudian, Noh meminta kerajaan menyediakan satu dana khas bagi membangunkan lagi industri buku di negara ini.

Beliau berkata, konsep dana itu adalah sama seperti penubuhan tabung-tabung lain yang khusus untuk membantu golongan tertentu seperti petani, penternak dan usahawan kecil.

‘‘Setakat ini tiada pinjaman yang dikhususkan untuk mereka yang mahu terlibat dalam industri ini. Pihak bank seolah-oleh tidak yakin dengan kemampuan industri ini.

‘‘Saya amat berharap kerajaan dapat menyediakan dana itu yang kemudian disalurkan ke bank-bank untuk diberikan kepada mereka yang berminat membabitkan diri dalam industri tersebut,’’ tambahnya.

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menyifatkan langkah Kementerian Pelajaran menukar nama peperiksaan bagi sekolah rendah dan menengah sebagai wajar jika elemen penaksiran itu diaplikasikan dengan berkesan.

Presidennya, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, walaupun nama itu ditukar sebanyak mana sekalipun, ia tidak akan memberi apa-apa faedah jika elemen-elemen yang tersenarai gagal dilaksanakan.

‘‘Apa ada pada nama? Yang paling penting, pihak Kementerian Pelajaran perlu memastikan semua pelajar, guru dan ibu bapa bersedia dengan konsep baru ini.

‘‘Mereka perlu memastikan pelaksanaan ini tidak membebankan semua pihak terutamanya pelajar dan guru yang akan melaluinya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Kementerian Pelajaran menukar nama dua peperiksaan iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), masing-masingnya kepada Pentaksiran Sekolah Rendah (PSR) dan Pentaksiran Sekolah Menengah Rendah (PSMR) bermula tahun 2011.

Bagaimanapun, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kekal mengguna pakai nama yang sedia ada.

Mohamad Ali berkata, semua elemen pentaksiran sekolah, pentaksiran pusat, peperiksaan pusat, pentaksiran aktiviti, jasmani dan kokurikulum serta ujian psikometrik yang digariskan perlu diperjelaskan kepada umum supaya tidak timbul salah faham.

‘‘Penaksiran yang tidak lagi menekankan pencapaian akademik semata-mata adalah sesuatu yang bagus kerana ia tidak membebankan para pelajar dengan peperiksaan.

‘‘Saya harap penaksiran ini dapat mencungkil minat dan bakat para pelajar sekali gus membina modal insan seperti yang kerajaan inginkan,” katanya lagi.

Bagaimanapun, bekas Naib Canselor Pertama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Tan Sri Ainuddin Abdul Wahid menyifatkan langkah itu tidak berfaedah dan membuang masa.

‘‘Kenapa perlu ditukar sedangkan nama yang kita gunakan juga sudah cukup sinonim dengan sistem pendidikan kita,” katanya.

Beliau berkata, langkah penukaran nama itu tidak perlu dilaksanakan memandangkan ia akan menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Para penyelidik Universiti Teknologi Mara (UiTM) berjaya merangkul tiga pingat emas ketika menyertai pameran perdagangan antarabangsa (IENA) di Nuremberg, Jerman awal bulan ini.

Dua pingat itu diperoleh oleh para penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal diketuai oleh Muhammad Hussain Ismail.

Sebutir lagi pingat emas dimenangi pasukan dari Pusat Tanah Runtuh Negara (Nasec) UiTM yang diketuai oleh Profesor Dr. Roslan Zainal Abidin.

UiTM dalam satu kenyataan memberitahu, kejayaan itu membuktikan keupayaan institusi tersebut dalam menghasilkan produk penyelidikan bertaraf antarabangsa.

‘‘Institut Penyelidikan, Pembangunan dan Pengkomersialan (IRDC) UiTM akan terus berusaha untuk menjayakan misi bagi mendapatkan pengiktirafan antarabangsa.

‘‘Usaha ini seterusnya akan meletakkan penyelidikan UiTM dalam peta dunia sejajar dengan hasrat UiTM untuk mencapai taraf universiti kelas dunia menjelang tahun 2020,’’ kata kenyataan itu di sini hari ini.

IENA berlangsung dari 1 hingga 4 November lalu membabitkan penyertaan dari pelbagai negara seperti Amerika Syarikat, Rusia, Korea Selatan, Croatia dan Hong Kong.

BUKIT MERTAJAM 21 Nov. – Perkhidmatan Pelabuhan Pulau Pinang termasuk perkhidmatan feri tidak terjejas berikutan masalah bekalan elektrik terputus kira-kira sejam di negeri ini semalam.

Pengarah Urusan Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB), Datuk Ahmad Ibnihajar berkata, ini kerana PPSB mempunyai janakuasa elektrik alternatif milik sendiri bagi memastikan operasi tidak terganggu.

“Dengan itu, urusan pengendalian terutama kargo tidak terjejas kerana generator itu mampu membekal elektrik sehingga lebih satu jam,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian sijil ISO 9001:2000 bagi tiga jabatan PPSB di sini hari ini.

Semalam, hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang dan selatan Kedah terputus bekalan elektrik selama satu jam mulai kira-kira pukul 3.20 petang ekoran talian voltan tinggi 275 kiloVoltan (kV) di sebuah pencawang di sini, terpelantik.

Kejadian itu menjejaskan aktiviti harian penduduk kawasan terbabit termasuk menyebabkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon terpaksa menangguhkan ucapannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Komunikasi Luar Tenaga Nasional Berhad (TNB), Sidek Kamiso berkata, kejadian talian voltan terpelantik itu berlaku di pencawang Juru dan ia dapat diatasi dalam tempoh satu jam.

Ahmad memberitahu, PPSB tidak menolak kemungkinan untuk membeli beberapa buah lagi generator sekiranya masalah tersebut kerap berlaku pada masa depan.

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar

KUALA KANGSAR: Tanah runtuh di tebing Sungai Kangsar menyebabkan sebahagian rumah dan jambatan besi sepanjang kira-kira 10 meter berhampiran Kampung Talang Hulu dekat sini, dihanyutkan arus deras dalam kejadian kira-kira 8 malam kelmarin.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pesara, Ahmad Majid Mat Dan, 60, berkata jambatan besi yang runtuh itu adalah laluan utama yang digunakan lebih 10 keluarga ke beberapa kampung berdekatan dan ke Bandar Diraja Kuala Kangsar.

Katanya, walaupun ada tiga lagi jambatan di Kampung Talang Hulu, jambatan yang runtuh paling kerap digunakan penduduk sekitarnya.

“Jambatan ini baru berusia lima tahun dan selalu digunakan orang kampung untuk keluar dan masuk kampung atau ke bandar.

“Arus sungai terlalu kuat hingga menghakis tebing kerana hujan lebat dari petang hingga malam tadi (kelmarin) menyebabkan hakisan tanah dan akhirnya jambatan ini runtuh," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Salah seorang mangsa, Ahmad Zahimi Haron, 46, berkata bahagian dapur rumahnya yang hampir dengan Sungai Kangsar runtuh dibawa arus deras.

Beliau berkata, rumahnya juga dilanda banjir lumpur sedalam kira-kira satu meter sejak malam kelmarin.

Katanya, kejadian itu menyebabkan rumahnya tidak selamat diduduki hingga beliau memutuskan membawa isteri dan lima anak berteduh di bawah jejambat berhampiran Plaza Tol Kuala Kangsar.

"Jiran menolong mengangkat beberapa barang di dapur sebelum kami meninggalkan rumah malam tadi (kelmarin).

"Tetapi peralatan kerja saya tidak sempat diambil," katanya yang mencari nafkah sebagai mekanik.

Ahmad Zahimi berkata, beliau tinggal di Kampung Talang Hulu sejak 40 tahun lalu dan hakisan itu adalah yang pertama di kampung itu.

Beliau berkata, hakisan tanah di sungai itu berlaku mungkin kerana kerja menaik taraf sungai terbabit oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang dimulakan beberapa bulan lalu.

Pengarah JPS Perak, Ahmad Razak Dahlan bagaimanapun menafikan projek penyaluran Sungai Kangsar sebagai punca tanah runtuh di Kampung Talang Hulu.

Katanya, kejadian itu disebabkan hujan lebat di hulu sungai, mengakibatkan arus deras dan hakisan tebing sungai.

"Projek penyaluran Sungai Kangsar sebenarnya banyak berjaya mengurangkan masalah banjir tetapi ini bukan punca tanah runtuh," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Oleh Shamshul Azree Samshir

SEPANG: Malaysia amat memerlukan terminal penerbangan tambang murah (LCCT) baru yang mampu mengendalikan kapasiti penumpang lebih besar atau mungkin menghadapi kehilangan keupayaan sebagai peneraju sektor penerbangan tambang murah.

Pengerusi AirAsia X, Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan, sehubungan itu berkata pihak berkuasa perlu menangani segera isu kesesakan di LCCT, Sepang bagi memastikan hasrat menjadikan negara sebagai hab penerbangan tambah murah tercapai.

“AirAsia dan AirAsia X mempunyai rancangan besar. Satu-satunya perkara yang menghalang kami ialah pihak berkuasa tidak mengikut rentak pertumbuhan syarikat ini.

"Seperti yang anda lihat, dalam tempoh singkat LCCT akan menghampiri kapasiti 10 juta penumpang setahun.

"Dalam usaha menjadi hab utama penerbangan tambang murah, kita perlukan LCCT baru. Bagaimanapun, perkembangan sekarang perlahan," katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani dua perjanjian membabitkan AirAsia, AirAsia X, Aviation Australia dan kerajaan Queensland di Akademi AirAsia, di sini, semalam.

Perjanjian pertama ditandatangani Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Tony Fernandes dan Ketua Eksekutif Aviation Australia, Paul Bredereck, manakala perjanjian kedua dimeterai Ketua Eksekutif AirAsia X, Azran Osman-Rani dan Menteri Pelancongan, Pembangunan Wilayah dan Industri Queensland, Desley Boyle.

Perjanjian AirAsia-Aviation Australia membabitkan kerjasama bidang latihan kejuruteraan penyelenggaraan pesawat, manakala perjanjian dengan kerajaan Queensland merangkumi promosi operasi AirAsia X di Australia dan sektor pelancongan.

Minggu lalu, Berita Harian melaporkan, kerajaan diminta menyegerakan pembinaan LCCT baru di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau mengambil langkah mempertingkat kemudahan sedia ada berikutan jumlah penggunanya semakin bertambah sehingga mengakibatkan kesesakan luar biasa.

Tinjauan akhbar ini mendapati, beberapa kaunter penerbangan antarabangsa dan domestik teruk pada waktu puncak dan semakin meruncing apabila beberapa pesawat mendarat pada waktu hampir sama, mengakibatkan suasana kelam kabut serta tidak selesa untuk penumpang.

Mengulas laporan itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy, dilaporkan berkata kerajaan akan mempercepatkan proses pembesaran dan menambah baik kemudahan yang dijangka bermula awal tahun depan.

Kalimullah juga berkata, projek pembesaran terminal LCCT yang hanya bermula tahun depan tidak mampu mengimbangi sasaran kemasukan 20 juta penumpang setahun menjelang 2011.

"Jangan halang kami. (Pesaing) Singapura tidak akan menunggu, Vietnam tidak akan menunggu," katanya.

Beliau berkata, AirAsia X tidak menghadapi masalah memenuhi permintaan pelanggan dan menyediakan laluan, malah lebih banyak pesawat yang sudah ditempah akan diperoleh mulai tahun depan.

"Kita kini bergerak amat pantas dalam pelbagai aspek termasuk latihan dan sebagainya," katanya.
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM8.3 bilion daripada RM20 bilion yang diperuntukkan bagi Kementerian Kerjar Raya menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk projek infrastruktur sudah dibelanjakan, kata Menterinya, Datuk Seri S Samy Vellu.

Katanya, RM8.3 bilion itu yang mewakili 43.8 peratus daripada peruntukan yang diberikan sudah dibelanjakan sejak tahun lalu dengan RM5 bilion dibelanjakan pada tahun itu dan RM3.7 bilion dijangka dibelanjakan sehingga akhir tahun ini.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan, di sini, semalam bagi menjelaskan kenyataannya pada Isnin lalu bahawa kementerian itu sudah membelanjakan kira-kira 75 peratus dana yang diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai projek RMK-9.

“RM3.7 bilion ini hanya mewakili 75 peratus daripada perbelanjaan untuk 2007 dan kami berharap untuk membelanjakan 100 peratus peruntukan bagi tahun ini (2007) sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Beliau yang berpuas hati dengan perbelanjaan peruntukan berkenaan berkata, Jabatan Kerja Raya akan mengiklankan tender dalam akhbar tempatan bagi beberapa projek infrastruktur dari semasa ke semasa.

“JKR sedang memantau projek yang sudah ditender dan saya sendiri meneliti laporan dan perkembangan terkini projek terbabit,” katanya.

Samy Vellu berkata, semua kerajaan negeri sudah melantik seorang wakil yang akan memantau perkembangan terkini pelaksanaan pelbagai projek RMK-9, dan mereka juga menganggotai Jawatankuasa Pemantau yang ditubuhkan Kementerian Kerja Raya khusus untuk RMK-9.

Beliau berkata, individu yang dilantik itu juga bertanggungjawab berbincang dengan kementerian mengenai projek di negeri masing-masing.

“Setakat ini, semuanya berjalan lancar melalui koordinasi antara Kementerian Kerja Raya dan kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Kerja Raya menafikan dakwaan bahawa struktur jambatan Pulau Pinang mengalami keretakan serius yang boleh mengancam keselamatan pengguna khususnya penduduk pulau berkenaan.

Samy Vellu, berkata struktur jambatan berkenaan berada dalam keadaan baik serta kukuh dan pengguna boleh menggunakan jambatan dengan selamat pada bila-bila masa.

“Pihak jurutera perunding yang dilantik mengesahkan keteguhan keseluruhan struktur dan keselamatan jambatan berada pada tahap baik. Tiada apa yang perlu dirisaukan pengguna dan mereka tidak perlu takut untuk menggunakan jambatan.

“Pihak operator jambatan, Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB) juga sentiasa memantau kerja pengawasan secara rutin mengikut jadual bagi memastikan struktur jambatan dalam keadaan selamat untuk digunakan oleh semua jenis kenderaan,” katanya.
Oleh Norliza Wasilan

KUALA LUMPUR: “Membesarkan anak yang ramai memang susah, tapi saya dan suami lebih rela tidak makan asalkan perut anak terisi. Walaupun makanan yang ada sedikit ia akan dibahagikan sama rata tanpa membezakan siapa dapat banyak, siapa dapat sikit.

“Begitupun, sudah namanya kanak-kanak, tentu mereka pun bergaduh juga sebab suka berebut, waktu itu suami menggunakan ketegasannya seperti merotan supaya mereka belajar bertolak ansur,” kata Esah Din, Penerima Anugerah Ibu Mithali Kesembilan.

Esah 70, yang buta huruf dipilih menerima anugerah itu oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) hasil kejayaannya membesarkan 17 anaknya dengan pendapatan menoreh getah, menjual kuih, jamu dan menyulam.

Katanya, berbeza dengan pelbagai kemewahan yang dinikmati anak zaman sekarang, dia dan suaminya, Sulaiman Saipian, 74, yang hidup sebagai penoreh getah sering terpaksa mengikat perut demi menyekolahkan anaknya.

Esah juga berkata, dia tidak pernah merungut dengan kesempitan hidup yang dilaluinya sebaliknya pelbagai kesulitan yang dihadapi dengan tekad untuk membanting kudratnya walaupun ketika masih dalam pantang selepas bersalin.

“Saya memang tidak boleh duduk diam, memang akan buat sesuatu untuk mendapatkan wang. Kadangkala dalam keadaan pantang pun saya akan mengambil upah menyulam baju... saya akan buat kerja sampai anak terjaga daripada tidur.

“Selepas habis pantang, saya akan terus menoreh getah dengan pendapatan RM15 sehari untuk menampung perbelanjaan harian... kadangkala bila tolak itu dan ini tinggallah 20 sen dalam tangan.

“Sebab itulah saya perlu cari pendapatan lain, dengan kemahiran yang ada dalam diri untuk membuat jamu dan menjualnya kepada penduduk kampung,” katanya yang turut menjual kuih, nasi lemak dan bihun.

Esah berkata, walaupun dia dan suaminya tidak pernah mendapat pendidikan formal di sekolah, mereka sedar bahawa pendidikan adalah satu-satunya bekalan yang paling berguna untuk menjamin kesejahteraan masa depan anaknya.

“Suami saya memang garang dengan anak, bila tengok markah ditanda pen merah memang dia marah dan rotan mereka... memang kasihan apabila melihat bekas rotan pada badan anak tapi saya tahu ia untuk kebaikan, hasilnya semua anak sekarang berjaya,” katanya.

Sebagai penerima Anugerah Ibu Mithali 2007, Esah menerima wang tunai RM25,000 serta hadiah iringan termasuk plak, senaskhah al-Quran, pakej umrah untuk dua orang, Sijil Simpanan Premium RM1,000, barang kemas bernilai RM8,000, loket emas, selendang serta jubah.

Anugerah itu disampaikan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah yang berkenaan berangkat ke majlis berkenaan yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Pasangan itu mempunyai 17 anak, iaitu 12 lelaki dan lima perempuan berusia antara 57 dan 24 tahun. Semua berjaya termasuk 13 berjaya ke universiti dan memegang jawatan penting termasuk pegawai tentera, jurutera, akauntan serta pensyarah.
MALAYSIA akan terus menyokong Myanmar untuk berunding dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan tidak memerlukan campur tangan Asean dalam memulihkan proses demokrasi di negara berkenaan.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata pendirian Malaysia itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri Myanmar, Thein Sien, semalam, selepas menghadiri Sidang Kemuncak keenam Asean-India.

"Pada masa sama, wakil khas PBB, Ibrahim Gambari berada di sini, bagi mendapatkan maklumat terkini yang dimainkan beliau di Myanmar," katanya di sini, semalam.

Sebelum ini, tuan rumah Sidang Kemuncak Asean ke 13, Singapura, merancang untuk menjemput Gambari secara rasmi bagi memberikan taklimat kepada Ketua Negara yang menyertai Sidang Kemuncak Asean dan Asia Timur (EAS).

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat bantahan Myanmar dan disokong sebahagian besar negara anggota Asean yang berpendapat isu di Myanmar adalah masalah dalaman kerajaan junta itu dan tidak sewajarnya dibincangkan dengan pihak lain sama ada Asean mahupun EAS, kecuali PBB, selain dikhuatiri menenggelamkan matlamat sebenar Sidang Kemuncak Asean ke-13.

Berikutan itu, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong selaku Pengerusi Sidang Kemuncak kali ini akur dengan bantahan Myanmar itu dan mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa Gambari tidak akan memberikan taklimat rasmi kepada Ketua Negara EAS dan Asean.

Sebaliknya, wakil khas PBB itu boleh mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan mana-mana negara yang mahu mendapatkan maklumat mengenai proses yang dimainkan PBB.

Syed Hamid berkata, pertemuan Abdullah dan Thein Sien berlangsung dalam suasana penuh harmoni dan Myanmar juga menghargai peranan yang dimainkan Malaysia, khususnya dalam Asean bagi membantu negara terbabit memulihkan semula demokrasi.

Ditanya mengenai pertemuan dengan Gambari, malam kelmarin, Syed Hamid berkata, wakil khas PBB itu tidak kecewa dengan keputusan Asean tidak membenarkan beliau memberikan taklimat rasmi kepada semua Ketua Negara Asean pada Sidang Kemuncak Asean ke-13, di sini.
Daripada Mutazar Abdul Ghani dan Johan Affendi

DATUK Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam, menyimpulkan bahawa Sidang Kemuncak Asean ke-13 dan sidang kemuncak lain yang berakhir di sini, semalam berjaya mencapai matlamatnya, terutama sekali dengan pemeteraian Piagam Asean oleh semua negara anggota Asean.

Bercakap dalam sidang media di sini, sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur malam tadi, Abdullah turut mengucapkan terima kasih kepada Singapura selaku tuan rumah sidang kemuncak kali ini, terutama Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong kerana berjaya memainkan peranan aktif dalam memastikan segala yang dirancang pada sidang kali ini, berjaya mencapai matlamatnya.

Perdana Menteri berkata, kejayaan semua negara anggota menandatangani Piagam Asean menjadi peristiwa paling penting dalam sejarah 40 tahun penubuhan pertubuhan berkenaan dan ia kini melangkah ke era baru dalam segala bidang.

"Bagaimanapun, piagam itu perlu disahkan semua negara anggota sebelum sidang kemuncak seterusnya di Thailand tahun depan, itu tempoh masa yang diberikan kepada semua ketua negara Asean. Yang pasti, piagam berkenaan menjadikan Asean sebagai satu pasaran yang lebih besar, kohesif serta kompetitif," katanya.

Mengulas mengenai isu Myanmar, Abdullah berkata, semua negara anggota Sidang Kemuncak Asean dan Asia Timur (EAS) memberikan pandangan dan ada yang agak kecewa kerana sikap Asean yang terus dengan pendirian untuk tidak campur tangan dalam masalah dalaman negara anggota berkenaan.

Perdana Menteri berkata, Asean bagaimanapun, terus akan menyokong segala usaha yang dimainkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Wakil Khasnya, Ibrahim Gambari kerana ia juga yang dimahukan Myanmar.

"Myanmar berasakan Asean tidak perlu campur tangan dalam masalah berkenaan, dan Malaysia menyokongnya. Mereka lebih senang berurusan dengan Gambari kerana beliau sudah empat kali ke negara berkenaan dan sudah mencapai beberapa persetujuan antara kedua pihak," katanya.

Justeru, beliau berkata, adalah lebih baik Asean memberikan sokongan kepada Gambari dan Myanmar supaya meneruskan objektif yang sudah mereka rancang, tetapi pada masa sama, memberikan pandangan sekiranya diperlukan kedua-dua pihak.

"Itu yang dipersetujui Gambari dan Myanmar sebelum kedua pihak itu bertemu di sini, jadi kita tidak ada masalah dan Asean akan terus memegang pendirian yang dikeluarkan Menteri Luar Asean di New York, September lalu," katanya.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, adalah penting bagi semua negara anggota mengesahkan Piagam Asean itu mengikut perlembagaan negara masing-masing supaya ia boleh digerakkan.

Katanya, atas sebab itu, semua Ketua Negara Asean diberikan tempoh selama setahun sebelum sidang kemuncak seterusnya di Thailand, tahun depan, bagi mendapatkan pengesahan daripada kerajaan masing-masing.

"Ada negara yang perlu membentangkan piagam berkenaan di Parlimen masing-masing, bagi Malaysia, kita tidak perlu ke Parlimen... cukup Kabinet saja yang memberikan pengesahan dan kita tidak mempunyai masalah untuk mengesahkan piagam ini," katanya.

Abdul Kadir Mohamad (tengah) mempengerusikan mesyuarat persediaan bersama para delegasi di hotel penginapannya di The Hague, Belanda, kelmarin.

THE HAGUE, Belanda 21 Nov. – Pasukan Malaysia mempunyai dua hari sahaja lagi untuk berhujah di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini dalam usaha untuk memastikan Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge menjadi milik negara selama-lamanya.

Pasukan pertama yang tiba di sini pada 27 Oktober lalu bersengkang mata setiap hari menyediakan pelbagai keperluan termasuk dokumen-dokumen supaya setiap hujah Malaysia dapat disokong dengan bukti-bukti penting.

Namun di sebalik kerja keras itu, menurut Setiausaha Bahagian Adjudikasi dan Timbang Tara Kementerian Luar, Raja Nazrin Aznam, delegasi Malaysia tetap cergas serta berkeyakinan untuk terus memperjuangkan kedaulatan negara ke atas ketiga-tiga pulau itu.

Beliau berkata, penyelidikan mengenai kes tuntutan bertindih ketiga-tiga bentuk maritim itu bermula sejak 17 tahun lalu iaitu sebelum Pulau Sipadan dan Ligitan menjadi rebutan antara Malaysia dan Indonesia lagi.

Beliau yang telah bersama pasukan penyelidik itu sejak 14 tahun lalu memberitahu, pelbagai pihak seperti Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Meteorologi, Istana Johor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perikanan, Arkib Negara dan Kerajaan Negeri Johor terlibat menyediakan pelbagai dokumen yang diperlukan dalam kes tersebut.

Katanya, proses penghantaran dokumen-dokumen penting serta hujah-hujah Malaysia berhubung kes tersebut bermula dengan penyediaan memorial, balasan memorial dan jawapan memorial iaitu pada 25 Mac 2004 hingga 25 November 2005.

Sebaik sahaja kes tuntutan bertindih itu didengar di ICJ di sini bermula pada 6 November lalu, katanya, kesemua pihak yang terlibat menggandakan usaha untuk memastikan tiada maklumat penting tercicir ketika kes tersebut dibentangkan di hadapan barisan hakim.

“Kami hanya tidur dua jam sehari kerana kes ini rumit dan penyediaan dokumen perlu dibuat secara teratur sebelum ia diserahkan kepada Pendaftar Mahkamah tepat pukul 9 pagi setiap hari,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Bagaimanapun, para pegawai dan penyelidik yang menyumbang tenaga untuk menjayakan kes tersebut masih kelihatan cergas dan mampu menghadirkan diri di mahkamah setiap hari untuk mendengar setiap hujah yang dibentangkan terutama oleh pihak Singapura.

Barisan peguam antarabangsa yang mewakili Malaysia juga, katanya, bertungkus-lumus hingga lewat pagi untuk memastikan setiap hujah mereka menepati matlamat negara untuk mempertahankan kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge.

Menurut Raja Nazrin, delegasi Malaysia yang diketuai oleh Duta Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad bermesyuarat bersama anggota-anggota yang lain termasuk Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Duta Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin setiap hari selepas mahkamah menangguhkan kesnya.

Pertemuan harian itu, katanya, diadakan bagi memastikan setiap hujah Singapura dapat disanggah menerusi bukti-bukti berupa dokumen perjanjian dan pemetaan.

Barisan peguam yang mewakili negara terdiri daripada Profesor Sir Elihu Lauterpacht, Profesor James Crawford, Profesor Nicolaas Jan Schrijver, Profesor Marcelo G. Kohen dan Penelope Nevill.

Singapura telah menutup kes mereka kelmarin manakala Malaysia akan mengemukakan hujah-hujah terakhirnya pada esok dan Jumaat.

Persidangan kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge berlangsung di hadapan Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh bersama 15 hakim lagi termasuk dua hakim ad hoc.

Keputusan kes ini dijangka diketahui enam bulan lagi.

– Utusan


Pemain Terengganu, Gliesson Freire (kanan) berebut bola dengan pemain Sarawak, Firdaus Morshidi dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.

KUALA LUMPUR – Polis terus menunjukkan belang untuk terus mengungguli persada teratas mencatat kemenangan kedua berturut-turut apabila menewaskan Pulau Pinang 2-0 dalam perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium MPS, Selayang, semalam.

Dua gol jaringan bintang import dari Kenya, Hillary Echesa pada minit ke-53 dan pemain Singapura, Ahmad Latif Kamaruddin di minit 78 sudah cukup menjamin tiga mata penuh buat Polis.

Polis unggul dengan dua kemenangan berturut-turut untuk mengutip enam mata penuh.

Di Stadium MBPJ, Perak turut memahatkan kemenangan kedua apabila menewaskan MyTeam 1-0.

Gol tunggal jaringan ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar pada minit ke-86 sudah cukup melegakan buat Perak terus mengekori rapat pendahulu Polis.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu meraih kemenangan pertama apabila membelasah Sarawak 4-0 menebus kekalahan pertama dalam saingan pertama Ahad lalu.

Gol-gol tuan rumah dijaringkan oleh Mohd. Ashari Samsuddin di minit 33), Che Hishamuddin Hassan (36), Zairul Anuar Zailani (59) dan Fabio Flor (82).

Stadium Darul Makmur, juara tiga piala musim lalu Kedah meraih kemenangan sulung apabila menewaskan Pahang 2-1.

Nelson Martin menjaringkan gol pembukaan Kedah sebelum diikat oleh tuan rumah menerusi Bironse Abed di minit ke-64.

Dua minit selepas itu Kedah mencatat kemenangan apabila Marlon Alex James mencipta jaringan kedua hijau kuning.

Stadium Shah Alam Mohd. Amri Yahyah menjadi penyelamat apabila jaringannya membantu Selangor seri 1-1 berdepan Johor FC.

Eddy Helmi Manan membuka jaringan di minit 65 buat Johor FC tetapi jaringan lewat permainan Amri Yahyah menyelamatkan Selangor daripada kekalahan.

Stadium Negara Hasanal Bolkiah Negeri Sembilan mencatat kemenangan pertama apabila menewaskan Brunei DPMM 1-0.

Oleh Haris Rajahdin, Asrol Awang dan Hamid Salleh

JUARA Liga Super, Kedah bangkit daripada kekecewaan minggu lalu apabila gagal memenangi Piala Sultan Ahmad Shah selepas kalah melalui penalti kepada Perlis, dengan menewaskan Pahang 2-1 dalam perlawanan di Stadium Darulmakmur, malam tadi.

Turut merakamkan kemenangan adalah Polis yang membuat kejutan lagi dalam liga elit menewaskan Pulau Pinang 2-0 manakala Terengganu membaham Sarawak 4-0.

Ia kemenangan pertama Kedah selepas dua perlawanan dan mereka harus berterima kasih kepada dua pemain import, Neslon Marcelo San Martin dan penyerang utama, Marlon Alex James yang menjaringkan kedua-dua gol skuad Hijau Kuning.


Hasil sepakan percuma di luar petak penalti, Nelson meledakkan rembatan kencang yang sama sekali memperdayakan penjaga gol, Mohd Syamsuri Mustafa untuk meletakkan Kedah di depan.

Babak kedua bermula dengan Pahang lebih dulu mengasak dalam usaha mencari gol penyamaan dan ia hadir pada minit ke-64 melalui pemain import dari Uganda, Dironse Abed yang menewaskan Mohd Helmi Eliza Alias.

Belumpun sempat reda kegembiraan penyokong tuan rumah meraikan gol penyamaan itu, Kedah membalas dua minit kemudian apabila kesilapan Syamsuri membolehkan Marlon menolak masuk dari jarak dekat yang terbukti menjadi gol kemenangan Kedah.


  • Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, dua gol ciptaan pemain import, Kenya Hillary Echesa dan Ahmad Latif Kamaruddin dalam babak kedua perlawanan membolehkan Polis mengutip maksimum enam mata sekali gus melakukan permulaan mantap musim ini.

    Pada babak pertama, Pulau Pinang bermula garang dengan mencipta percubaan bahaya pertama perlawanan menerusi hantaran sisi Zulhissyam Jamaluddin yang dirembat sipi Amir Shahreen Mubin pada minit keenam.

    Gol pertama Polis adalah menerusi Hillary Echesa pada minit ke-53 dan go kedua menerusi Ahmad Latif Kamaruddin pada minit ke-78 apabila pemain import Singapura itu tenang merembat masuk hasil gerakan solo yang menewaskan Mohd Faizal untuk kemenangan selesa tuan rumah

  • Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu melakar gembira hasil kemenangan besar 4-0 ke atas Sarawak, dengan ciptaan dua gol pada setiap babak permainan.

    Mohd Ashaari Shamsuddin membuka tirai jaringan pada minit ke-33 menerusi rembatan deras menewaskan penjaga gol Sarawak, Mohd Firdaus sebelum Che Hishamuddin Hassan mengesahkan kemenangan dengan gol kedua pada minit ke-36.

    Tendangan percuma cantik Zairo Anuar kemudiannya terus menerjah jaring untuk gol ketiga pada minit ke-59 sebelum Fabio Flor melengkapkan malam gemilang Terengganu dengan tandukan cantik ke sasaran, lapan minit sebelum tamat.

  • Oleh Hamdan Said dan Mohd Fadzrie Hazis


    ASAK: Pemain UPB MyTeam, Azmi Muslim (kiri) berebut bola dengan pemain Perak, Mohd Noor Hazrul pada perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.

    Selangor seri dengan Johor FC dan NS bernasib baik di Brunei

    PERAK melakar kemenangan kedua berturut-turut apabila menang 1-0 ke atas UPB-MyTeam, tatkala Selangor yang ingin mencatat kemenangan pertama di gelanggang sendiri sekadar berpuas hati seri 1-1 dengan Johor FC manakala skuad DPMM, tewas kepada Negeri Sembilan 1-0.

    Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, gol jaringan ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar empat minit sebelum tamat perlawanan, membantu Perak melakarkan kemenangan kedua berturut-turut mengalahkan UPB-MyTeam 1-0, malam tadi.

    UPB-MyTeam terlebih dulu berjaya meletakkan bola ke dalam gawang lawan seawal minit ke-4 ketika benteng pertahanan Perak kelihatan agak rapuh namun jaringan T Arun Kumar, dibatalkan pengadil kerana ofsaid.

    Perak yang masih segar selepas kemenangan 2-0 ke atas DPMM di Ipoh Ahad lalu, terlepas peluang terbaik pada minit ke-36, apabila hantaran lintang Shahrulnizam Mustapa dari sebelah kanan ditanduk penyerang utamanya, Khalid Jamlus, tetapi dinafikan di atas garisan gol oleh pertahanan MyTeam, Mijo Dadic.

    Satu lagi peluang gagal dimanfaatkan Perak menerusi penyerang Razali Omar pada minit ke-60 tetapi MyTeam lebih kecewa dua minit kemudian apabila percubaan jarak jauh Aslam Najumudeen ketika penjaga gol Perak, Hamsani Ahmad terbaring kesakitan, diselamatkan pertahanan, Chan Wing Hong di atas garian s gol.


    Ketika perlawanan tampak terikat seri, Ahmad Shahrul muncul wira Perak sesudah menanduk masuk hantaran lintang Danial Fadzly Abdullah dari sebelah kanan, menewaskan penjaga gol lawan, Faizal Rashid.


  • Di Stadium Shah Alam, Selangor gagal mencatat kemenangan pertama di laman sendiri apabila sekadar seri 1-1 dengan Johor FC malam tadi.

    Tuan rumah memulakan perlawanan babak pertama dengan terus melancarkan serangan ke kubu pelawat, namun gandingan serangan Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Indra Putra Mahayuddin sukar menemui sentuhan penyudah untuk menggegar gawang lawan pada babak pertama.

    Peluang terbaik Johor FC di babak pertama hadir pada minit ke-38, apabila hantaran silang Eddy Helmi Abdul Manan tepat ke Mohd Azizan Baba, namun percubaan lemah pemain itu berjaya ditampan penjaga gol Selangor, Megat Amir Faizal.

    Ketika Selangor tertekan untuk menang di gelanggang sendiri, Johor FC mengambil kesempatan menggempur kubu lawan dan usaha pasukan bimbingan Ramlan Rashid itu berhasil pada minit ke-64, apabila Eddy mudah menanduk masuk hantaran silang Mohd Azuwad Md Arip.

    Namun ketika Johor seakan sedia membawa pulang tiga mata, rembatan Amri Yahyah pada masa kecederaan ditampan Mohd Hamzani Omar ke gawang sendiri untuk menafikan kemenangan pelawat.

  • Di Stadium Hassanal Bolkiah, jaringan tunggal pemain import dari Sierra Leone, Mohd Hidayah Lamin Conteh menerusi sepakan penalti pada minit ke-28 membolehkan Negeri Sembilan melakar kemenangan pertama selepas tumbang dalam aksi pembukaan, Ahad lalu.