Singapura bersandar ‘tanggapan’

THE HAGUE Belanda 13 Nov. – Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini diberitahu bahawa Singapura tidak pernah mengemukakan dokumen undang-undang bagi menyokong tuntutan kedaulatan republik itu ke atas Pulau Batu Putih.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail ketika membangkitkan hujah itu berkata, tuntutan republik itu hanya bersandarkan kepada ‘tanggapan’ bahawa Pulau Batu Putih adalah terra nullius (tidak berpenghuni) dan tidak dimiliki oleh sesiapa.

Singapura dalam hujah-hujahnya minggu lepas mendakwa kehadiran British di pulau itu pada tahun 1847 bagi membina rumah api sekali gus memberi hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih.

“Hanya pada 14 Februari 1980, Singapura dalam nota bantahannya secara rasmi menuntut Pulau Batu Putih sebagai sebahagian daripada wilayah berdaulatnya.

“Nota itulah yang mencetuskan pertikaian. Berasaskan (nota bantahan itu) tarikh kritikal pertikaian Pulau Batu Putih adalah pada 14 Februari 1980,” hujah beliau di hadapan Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh dan 15 hakim lain pada hari pertama pusingan pertama hujah lisan Malaysia hari ini.

Abdul Gani berhujah, bukan sahaja dalam nota bantahan itu, Singapura tidak menamakan sebarang dokumen undang- undang bagi menyokong tuntutannya malah sehingga sekarang republik itu masih gagal berbuat demikian.

Katanya, penentuan tarikh kritikal itu penting dalam pertikaian Pulau Batu Putih kerana ia berkaitan dengan tindak-tanduk republik itu selepas tarikh tersebut yang disifatkan sebagai tidak normal berbanding fungsi sebenarnya hanya sebagai pengendali rumah api di situ.

Oleh itu, hujah Abdul Gani segala tindak-tanduk Singapura di pulau itu selepas tarikh tersebut mesti diketepikan kerana tarikh kritikal penting untuk menilai serta mengesahkan bukti-bukti yang dikemukakan dalam tuntutan Pulau Batu Putih.

Beliau turut menarik perhatian mahkamah mengenai tuntutan ke atas Middle Rocks dan South Ledge yang hanya timbul pada 6 Februari 1993 ketika berlangsungnya perbincangan dua hala di antara kedua- dua negara berhubung pertikaian itu.

Abdul Gani memberitahu, Singapura mendakwa perlu memasukkan kedua pulau batu itu dalam Nota Bantahan 1980 berasaskan kepada frasa “Pedra Branca dan perairan di sekitarnya’'.

“Tafsiran Singapura (dalam frasa tersebut) tidak betul. Middle Rocks dan South Ledge bukan perairan tetapi bentuk yang berbeza. Kedua- duanya mempunyai nama yang dikenali.

“Jika Singapura berniat untuk menuntut (pulau-pulau itu) pada tahun 1980, mereka telah berbuat demikian. Tetapi tidak,” hujah Abdul Gani.

Beliau turut berhujah mengenai peta Malaysia yang dikeluarkan pada 1979.

Katanya, pada 20 Disember 1979, Kementerian Luar Malaysia telah memaklumkan kepada semua Misi ASEAN menerusi telegram mengenai keputusan untuk mengeluarkan peta baru.

Telegram tersebut menyebut: “Penerbitan peta baru tidak berkaitan dengan tuntutan-tuntutan baru Malaysia tetapi hanya satu petunjuk mengenai hak-hak Malaysia di pelantar laut.”

Pada 21 Disember 1979, Kementerian Luar Malaysia memanggil satu mesyuarat antara Timbalan Ketua Setiausahanya dengan Pesuruhjaya Tinggi Singapura. Satu lagi mesyuarat juga telah berlangsung melibatkan pegawai tinggi kedua-dua negara berhubung peta 1979 dan isu-isu lain berkaitan.

“Singapura tidak membuat bantahan secara rasmi berhubung peta 1979 semasa mesyuarat pertama pada 21 Disember 1979,” katanya.

Mengenai kenyataan Perdana Menteri Malaysia semasa sidang akhbar 13 Mei 1980 seperti yang dibangkitkan oleh Singapura dalam hujah lisannya minggu lepas, Abdul Gani berhujah, ia dibuat berasaskan kepada kenyataan Lee Kuan Yew berhubung dokumen dalam simpanan Singapura bagi membuktikan Pulau Batu Putih milik mereka.

Hujahnya, sehingga sekarang Malaysia masih tidak melihat sebarang dokumen dari Singapura yang definitif untuk membuktikan fakta itu.

Sehubungan itu, hujah Abdul Gani, kenyataan Perdana Menteri Malaysia hanya bersifat persahabatan dan menghormati tuan rumah iaitu Perdana Menteri Singapura.

“Kenyataan seumpama itu tidak mempunyai nilai sahih di mahkamah ini - tetapi apa yang beliau katakan perkara itu perlu dibincangkan di antara kedua-dua negara, itulah pendirian Malaysia,” hujahnya.

Sementara itu, Duta Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin dalam hujah-hujahnya memberitahu mahkamah, Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge adalah antara pulau-pulau yang menjadi sebahagian daripada Johor.

“Anda boleh melihat Pulau Batu Putih dan perairan sekitarnya selalu digunakan oleh orang Melayu tempatan, sebagai subjek kesultanan Johor dan penduduk Johor.

“Tidak ada satu pun perkembangan kewilayahan atau politik selepas tahun 1824 mengubah (fakta) ini,” hujahnya.

Beliau turut berhujah mengenai nama Pulau Batu Putih yang turut terkenal di kalangan saudagar Cina sebagai ‘Pia Chiao’ yang membawa maksud serupa seperti yang direkodkan oleh carta pelayar China Wubei Zhi pada 1621.

Noor Farida menarik perhatian artikel 1843 mengenai kegiatan lanun yang merujuk ‘Batu Puteh’ termasuk dalam wilayah kesultanan Johor manakala peta 1928 menandakan pulau tersebut sebagai ‘Batu Puteh’.

Persidangan bersambung esok.

– Utusan

0 comments: