Showing posts with label Nizar Jamaludin. Show all posts
Showing posts with label Nizar Jamaludin. Show all posts
Terdidikkah 'nafsu politik' Nizar melalui tarbiyyah Pas
Oleh Mohd Ayop Abd Razid
ayop_60@yahoo.com

KEMELUT politik Perak masih di persimpangan. Ia sudah mengambil masa agak lama untuk diselesaikan sehingga menjejaskan pentadbiran negeri Perak serta merugikan rakyat negeri itu. Terkini kemelut politik Perak lebih fokus kepada menentukan siapakah Menteri Besar yang sah melalui proses mahkamah.

Esok, Mahkamah Rayuan akan mendengar Rayuan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor, Datuk Zambry Abdul Kadir terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Mahkamah sama juga akan mendengar permohonan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan mengadakan pilihan raya perlu dilihat sebagai pilihan terakhir. Pada hakikatnya, jika Pakatan Rakyat memahami dan menerima realiti demokrasi, maka sejak awal lagi kemelut politik Perak sudah dapat diselesaikan.

Namun, mereka gagal menerima hakikat bahawa mereka sudah hilang sokongan majoriti di DUN Perak. Ia berlaku apabila tiga Adun mereka, iaitu dua daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang daripada DAP bertindak keluar parti dan mengisytiharkan sebagai wakil rakyat Bebas. Mereka kemudian menyokong Barisan Nasional (BN) dan sokongan itu membentuk 'sifar matematik' 28 lawan 28+3 (BN).

Jelas di sini BN mempunyai sokongan majoriti dengan kelebihan tiga kerusi. Asas dan prinsip demokrasi meletakkan parti yang mempunyai sokongan majoriti, walaupun dengan satu kerusi layak membentuk kerajaan. Ini pernah berlaku di Kelantan apabila Pas Kelantan mempunyai majoriti hanya dua kerusi dalam Pilihan Raya Umum 2004.

Namun, apabila BN menang pada pilihan raya kecil 2005, Pas hanya mempunyai kelebihan satu kerusi. Hanya dengan kelebihan satu kerusi saja Pas berhak membentuk kerajaan negeri tanpa gangguan BN (Umno) sebagai pembangkang di negeri itu.

Lain pula ceritanya apabila BN memperoleh majoriti dengan kelebihan tiga kerusi. Pakatan pembangkang terus menimbulkan pelbagai onar semata-mata kerana kemaruk kuasa serta tidak mahu menerima realiti dan prinsip demokrasi.

Apabila Nizar kehilangan sokongan majoriti di DUN Perak dan cubaannya untuk mendapatkan perkenan Sultan bagi membubar DUN pada 5 Februari lalu gagal, sebaliknya BN mendapat perkenan Sultan untuk membentuk kerajaan baru negeri Perak yang membawa kepada pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak pada 6 Februari.

Sultan Azlan Shah sudah mengamalkan prinsip dan semangat demokrasi sama ketika melantik Menteri Besar daripada pembangkang dan juga BN.

Prinsip demokrasi berperwakilan inilah yang harus difahami Pakatan Rakyat. Apabila sesuatu parti memiliki sokongan majoriti, maka parti itulah yang memerintah. Apakah pakatan pembangkang lupa bahawa ketika mahu membentuk kerajaan negeri Perak sebelum ini mereka juga mempunyai majoriti tiga kerusi.

Keabsahan melalui kaedah 'formula demokrasi' enggan diterima dan diakui Nizar sehingga merumitkan dan mengusutkan keadaan. Nyata sekali Pakatan Rakyat tidak mahu menghormati keputusan dan kuasa yang dibuat Sultan Perak yang bertindak secara adil menerusi kuasa yang termaktub di dalam Perlembagaan negeri.

Jika Nizar dan Pakatan Rakyat mengutamakan kepentingan rakyat, pastinya mereka akan akur dengan tindakan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Sepatutnya mereka menerima hakikat itu dan bersedia menjadi pembangkang yang berkesan. Nizar sebagai pemimpin Pas yang dikatakan sentiasa dididik dengan program tarbiyyah yang dibanggakan Pas selama ini, sepatutnya tidak melihat kuasa sebagai segala-galanya.

Nizar tidak seharusnya terus memburu kedudukan Menteri Besar padahal ia bukan lagi miliknya mengikut formula dan prinsip demokrasi. Apa cacatnya Nizar menjadi pembangkang di DUN Perak jika itulah kedudukannya.

Lihat bagaimana Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang dulunya berkedudukan Menteri Besar sanggup menjadi ketua pembangkang di DUN Selangor. Apa yang penting negara memerlukan peranan pembangkang yang berkesan sama ada di Dewan Rakyat mahu pun di DUN.

Sebagai pemimpin parti yang kuat tarbiyyah Islamiahnya, Nizar sepatutnya faham bahawa di antara tanda seseorang itu cintakan dunia ialah apabila ia terlalu kuat merindui untuk menjadi pemimpin atau penguasa. Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sepatutnya memberi tazkirah kepada Nizar mengenai perkara ini.

Biarlah Mahkamah Rayuan membuat keputusannya nanti. Nizar dan Zambry harus bersedia menerima sebarang keputusan itu dengan hati dan minda yang terbuka. Bukankah bersikap tasamuh atau berlapang dada dalam menerima sesuatu hakikat itu satu akhlak mahmudah (terpuji)?

Amat jeliknya nafsu kita apabila sesuatu yang menguntungkan menyebelahi kita, maka kita puji dan sanjung, tetapi apabila sesuatu itu tidak memihak kepada kita maka kita keji dan bersangka buruk terhadapnya.

Jika Nizar boleh menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi yang menyebelahinya, mengapa pula beliau perlu berburuk sangka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tempoh hari. Ia adalah persoalan mengenai proses perundangan yang sepatutnya dihormati dan dihargai semua pihak.

Nizar nampaknya lebih memperlihatkan keengganannya menerima realiti demokrasi dan proses perundangan negara. Apalah yang boleh Pas lakukan dalam memperjuangkan Islam sekiranya hanya beberapa kerat saja pemimpin Pas (enam kerusi) sementara sebilangan besarnya adalah dikuasai DAP (17 kerusi) dan PKR lima kerusi selepas dua ahlinya menjadi bebas.

Ambillah iktibar apa yang dilakukan kerajaan DAP di Pulau Pinang dan juga jangan lupa pemerintahan PAP di Singapura. Sikap kedua-duanya lebih 'perkauman' daripada Umno. Nizar yang dikelilingi majoriti wakil DAP nampaknya menjadi tidak rasional akibat pengaruh dan desakan wakil rakyat DAP. Sejak mula menjadi Menteri Besar Perak, polisi pentadbiran Nizar adalah sebenarnya polisi DAP.

Nizar tidak ada kemerdekaan dalam membuat sesuatu keputusan penting. Ini dapat dilihat dalam kes pemberian tanah sehingga Nizar terpaksa mengetepikan Kanun Tanah Negara semata-mata untuk memenuhi kehendak dan desakan DAP.

Pentadbiran Nizar memberikan status hak milik kekal 999 tahun kepada penduduk yang mendiami lot tanah di kampung baru di seluruh negeri itu dengan kira-kira 80 peratus kaum Cina. Tanah itu asalnya adalah milik Melayu yang diambil oleh British di bawah Rancangan Briggs bagi menempatkan setinggan Cina untuk mengatasi masalah komunis.

Rancangan itu tidak dipersetujui Mesyuarat Raja-Raja Melayu pada 24 Mei 1950. Sepatutnya Nizar mencari jalan mengembalikan tanah terbabit kepada orang Melayu, tetapi lain pula tindakannya. Nizar harus berfikiran jauh dalam hal ini.

Jangan hanya kerana hendak meraih populariti supaya dipilih sebagai Naib Presiden dalam pemilihan partinya bulan depan, maka Nizar terus mencipta isu demi isu dalam soal kedudukan Menteri Besar Perak. Ini agenda peribadi yang tidak selari dengan prinsip perjuangan Islam. Ahli-ahli Pas harus cerdik melihat agenda halus Nizar untuk mara dalam pucuk kepemimpinan tertinggi parti itu.

Penulis adalah Ketua Unit Komunikasi Media di Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan

Mungkin penulis sudah hilang ingatan ataupon apa? Di Kelantan, tak ada proses keluar parti semuanya hasil drpd kemenangan melalui pilihanraya. PAS kalah melalui pilihanraya kecil bukannya Adun PAS lompat parti. Inilah masalahnya, membincangkan soal demokrasi dan sebagainya, bagaimana dengan tindakan 3 Adun yg dahulunya bertanding atas tiket PKR dan DAP, kalau keluar parti sekalipon menjadi BEBAS kenapa perlu menyokong BN. Bukankah tindakan ini membelakangkan demokrasi sebab kerusi itu dimenangi mereka atas tiket parti bukannya mereka menang PERCUMA atas tiket BEBAS. Adakah mereka fikir bertanding atas tiket BEBAS mereka akan menang? Inikah cara UMNO untuk memerintah sebuah negeri, kemenangan bukannya melalui sokongan rakyat dan pilihanraya tetapi melalui jalan pintas, inikah demokrasi cara UMNO? Sepatutnya untuk menukar sesebuah kerajaan perlulah dijalankan pilihanraya semula, kalau tak mahu adakan pilihanraya, tak perlu meruntuhkan sebuah kerajaan yg sudah dibina. Kalau UMNO benar2 parti yg mementingkan intergriti, apabila perubahan kerajaan berlaku, perlulah membiarkan rakyat yg menentukan bukannya dgn sokongan Adun semata2. Kalau sekadar lompat parti sahaja tidak menjadi masalah, tetapi untuk menukar kerajaan perlulah bertanggungjawab

Isu tanah, kalau betul ada masalah kenapa UMNO tak rampas balik tanah2 tersebut?
Soal Jawab: 'Pilihan raya, bubar DUN mampu selesai kemelut politik di Perak'




SECARA peribadi bagaimana Datuk Seri melihat kemelut politik di Perak sekarang yang seolah-olah seperti tiada penyelesaian dan peranan serta keputusan mahkamah berhubung perkara ini.

Kemelut di Perak ini berpunca daripada tiga orang wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) yang disembunyikan atau dibawa lari oleh Umno dan saya hanya mengetahui daripada berita jam 6 pada 4 Februari lalu. Sebelum itu pada 2 Februari, saya diberikan dua surat peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang dan Changkat Jering oleh Speaker, V Sivakumar.

Secara biasanya, akan ada pilihan raya kecil di kedua-dua tempat itu. Speaker juga ada menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tetapi SPR menafikan hak Speaker yang menyebabkan kemelut itu terus terjadi.

Saya berpendirian kalaulah SPR ketika itu tidak mengikut telunjuk Barisan Nasional (BN), barangkali kita tidak ada krisis di Perak kerana kita akan ada pilihan raya kecil di Changkat Jering, Behrang dan Jelapang. Maka, Adun baru akan dilantik sebab ketiga-tiga itu sudah meletak jawatan. Tetapi, apa dikhabarkan ketiga-tiga mereka sudah menghantar surat menarik peletakan jawatan itu yang menyebabkan berlaku satu krisis.

Saya sebagai Menteri Besar (MB) kemudian berjumpa dengan Tuanku (Sultan Perak) untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN). Itulah tanggungjawab dan amanah yang saya kena buat. Tetapi, pada 5 Februari, baginda bertitah menyuruh saya meletak jawatan dan saya mohon keampunan daripada Tuanku yang saya tidak boleh buat macam itu. Berlakulah krisis ini. Ia berlaku berpanjangan sampailah kemuncaknya apabila saya mengambil tindakan mahkamah. Kami ambil tindakan berdasarkan lunas undang-undang, bukannya nak merebut kuasa itu sangat.

Ada perbezaan tafsiran antara BN dan Pakatan Rakyat terhadap beberapa keputusan mahkamah seperti tindakan Speaker terhadap Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, enam Exco dan tiga Adun bebas sedangkan BN menyatakan Mahkamah Persekutuan menolak keputusan Speaker itu sehingga menimbulkan krisis dan kekecohan pada sidang DUN 7 Mei lalu.

Di sinilah silap BN kerana perisytiharan oleh Mahkamah Persekutuan itu menyatakan keputusan untuk menggantung itu tidak sah, tetapi ia tidak menyatakan dalam penghakiman mahkamah bahawa mereka boleh masuk Dewan, itu hak Speaker. Umno telah menyatakan Zambry bebas boleh keluar masuk sidang DUN, mahkamah menyatakan keputusan dibuat Speaker tidak sah, tetapi Speaker masih ada kuasa bahawa mereka ini digantung mengikut Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Mahkamah Persekutuan cuma menyatakan Speaker. Jadi, di sini nampak tidak konsisten kerana keputusan itu dibuat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, bukan Speaker seorang, Speaker hanya pengerusi. Kedua, Speaker masih berkuasa atas sebab-sebab menghina DUN, jadi Speaker berhak menafikan mereka masuk ke dalam DUN pada pagi 7 Mei itu. Ini menunjukkan hak dan kuasa Speaker mesti dipatuhi.

Pakatan Rakyat melihat apa yang berlaku sebagai rampasan kuasa, tetapi bagi BN apa yang berlaku sebenarnya Pakatan Rakyat tidak dapat menerima hakikat mereka sudah kehilangan majoriti di Perak.

Kita tidak hilang majoriti sebab bagaimana hakim boleh buat keputusan bahawa Zambry dan kerajaan BN tidak sah. Macam mana boleh hilang majoriti sebab kita nak nyatakan Pakatan Rakyat ada 28 kerusi dan BN ada 28 kerusi. Ia bukan hilang majoriti, itu seri. Untuk itu, saya sebagai Menteri Besar, elok diadakan pilihan raya kecil sebab ia seri. Seri itu bermakna kita tidak tahu sama ada yang tiga (Adun bebas) itu menyokong PR atau BN. Itulah sebabnya kita mohon dibubarkan, bukan kerana hilang majoriti, tetapi mengatakan ada kebuntuan dalam suasana di Perak ini. Kebuntuan itu hanya boleh diselesaikan dibuat pilihan raya semula jika kerajaan yang dipilih oleh rakyat jauh lebih mantap, jauh lebih kuat, jadi tidak ada hilang majoriti.

Datuk Seri menyatakan hanya dengan pembubaran DUN dan diadakan pilihan raya semula sebagai jalan penyelesaian terbaik.

Bukan hanya saya saja yang mengatakan. Sebagai MB, itulah sifat dan amanah tanggungjawab saya. Tetapi hari ini, kita lihat Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek; pemimpin Gerakan; Speaker Dewan Negara; Tengku Razaleigh Hamzah, pengamal undang-undang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Suhakam dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan juga menyatakan pembubaran DUN jalan terbaik. Jadi, kenapa Umno takut berjumpa dengan rakyat. Di mana kewibawaan Umno, dalam kes ini, kenapa tidak mahu kembali kepada rakyat. Ini menunjukkan mereka ada niat lain, mereka tidak yakin bahawa mereka akan menang. Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi tamparan hebat kepada Umno. Apa saja mereka tuduh saya tidak ada majoriti dan mereka ada majoriti, semuanya dinafikan dan ditolak oleh Mahkamah Tinggi yang menerima hujah saya.

Ada kalangan pihak dalam kerajaan mengatakan mengadakan pilihan raya membabitkan kos tinggi dan tidak sesuai dalam keadaan ekonomi sekarang.

Sejak bila Umno mengajar kita berjimat. Di manakah kewibawaan Umno...sebab ada krisis kewangan, maka kita (buat pilihan raya) membazir. Sejak bila dia (Umno) belajar cakap macam tu. Yang dia membazir hantar satu orang pergi angkasawan, habis RM100 juta, itu tidak membazir? (Pilihan raya) ini untuk kestabilan politik. Jadi, jauh lebih berat daripada itu pun Umno boleh belanja, macam-macam projek yang dia buat, tetapi tergendala, itu tidak membazir? Jadi, usah cerita mengenai membazir ini, dia tidak ada hak untuk bercakap mengenai pembaziran, merekalah yang menghabiskan kewangan negara.

Mungkin ada jalan penyelesaian lain seperti mewujudkan kerajaan perpaduan atau Pakatan Rakyat bertolak ansur dan berusaha mengambil semula kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, selain membubarkan DUN sekarang.

Tidak ada. Tidak ada jalan lain sebabnya pembubaran DUN ini adalah 'remedy' atau penyembuh yang paling mujarab sebab kes macam di Perak ini banyak berlaku walaupun tidak sama faktornya seperti di Nigeria, Sarawak, Sabah dan India. Setiap kali berlaku macam di Perak ini, maka ketetapan mahkamah ketika itu serahkan balik kepada rakyat. Jadi, untuk mengelakkan diserah kepada rakyat kerana takut kalah barangkali...sekarang ni dah tiga bulan, berapa banyak wang dah habis, berapa banyak masa habis, bukan saja itu, kerosakan dan tercemarnya institusi-institusi. Ini tidak membazir? Lagi membazir, pelabur tak masuk negeri Perak sebab Dr Zambry tidak boleh tandatangan apa-apa. Tak laku sekarang ni. Beliau juga tidak sepatutnya masuk pejabat MB. Ini muka orang tidak malu. Dia tidak ada hak untuk masuk pejabat MB kerana semua dia buat tidak laku. Buat mesyuarat Exco, ini tidak kena. Ini menunjukkan dia tidak faham undang-undang.

Bagaimana jika keputusan pilihan raya menyaksikan pihak yang menang dengan majoriti terlalu kecil seperti hanya kelebihan satu kerusi saja, bukankah ia masih tidak menyelesaikan krisis politik terutama jika ada Adun yang sanggup melompat.

Jika pilihan raya semula, sudah tentu kami akan mencari calon yang lebih berwibawa. Kita kena ingat yang dua Exco melompat itu adalah bekas Umno, mereka pernah jadi ahli Umno dan ditarbiah oleh Umno, sebab itu mereka mudah dipengaruhi. Jadi, apabila ada pilihan raya, kami akan mencari calon yang tidak mudah melompat.

Bagaimana jika BN berjaya memenangi pilihan raya di Perak walaupun dengan majoriti kecil, adakah PR sanggup menerima keadaan itu.

Kita boleh terima. Kita dalam demokrasi dah kalah dalam 12 pilihan raya umum, ada kita lawan? Rakyat pilih BN, silakan. Ini demokrasi. Tetapi saya tidak yakinlah BN boleh menang. BN akan kalah teruk.

Diandaikan dalam tempoh terdekat ini, BN akan memanggil sidang DUN tergempar untuk buat undi tidak percaya kepada Datuk Seri.

Mana boleh BN nak buat persidangan kerana Speakernya tidak sah. Macam mana nak panggil persidangan? Sekarang ada penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi oleh Mahkamah Rayuan, jadi apa haknya dan dari mana kuasa dia nak panggil persidangan khas itu.

Bagaimana jika Sultan Perak memberi perkenan terhadap persidangan DUN tergempar itu.

Jika Sultan beri perkenan pun, Speaker masih lagi tidak sah. Mesyuarat pada 7 Mei lalu itu bukan persidangan yang sah. Macam mana mereka boleh lantik Speaker, semua ini berlaku sebelum titah (perasmian) Tuanku. Ini tidak sah. Apakah autoriti dan kuasa yang menyebabkan mereka boleh panggil persidangan untuk mengadakan undi tidak percaya. Jadi, masih lagi akan membuka ruang, adakah akan ada kekecohan seperti pada 7 Mei. Adakah negeri kita mahu melihat semula suasana seperti itu. Saya tidak dapat beri jaminan sekiranya ada hari persidangan yang akan datang, barangkali suasananya mungkin jauh lebih buruk dari 7 Mei itu. Kenapa kita hendak mendedahkan risiko sedemikian.

Sekarang tumpuan kepada Sultan Perak, jadi bagaimana Datuk Seri melihat peranan Sultan dalam hal ini.

Itu hak Tuanku. Apabila saya disahkan (sebagai MB oleh Mahkamah Tinggi) pada 11 Mei, saya beritahu awal-awal ingin menghadap Tuanku untuk pembubaran dan pada pagi 12 Mei, saya hantar surat. Jadi, saya sebagai MB yang sah (ketika itu), saya gunakan suasana itu.

BN mengatakan mempunyai majoriti iaitu 31 kerusi berbanding 28 oleh Pakatan Rakyat.

Tiga Adun Bebas hanya boleh dikatakan sokong BN jika mereka menjadi ahli BN. Mereka hanya Bebas. Mengapa tak boleh mereka (kembali) menyokong PR balik. Di manakah kekuatan dan wibawa kerajaan itu kerana ia akan tumbang semula, lebih-lebih lagi Osman Mohd Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi ada kes rasuah. Macam mana kalau mereka sangkut (bersalah). Jika mereka ini lekat (dikenakan hukuman) kesudahannya tidakkah kerajaan baru ini goyang. Sebab itu pembubaran adalah cara penyelesaian yang baik.

Harapan Datuk Seri bagi menyelesaikan kemelut ini.

Secara kesimpulan, saya melihat keputusan Mahkamah Tinggi memberi keabsahan saya MB yang sah dan BN kena terima hakikat itu. Apa yang mereka ambil hari ini penangguhan hukuman itu adalah sementara. Tangguh tangguh ini sekejap, tidak lama, tetapi ia tidak menukar keputusan Mahkamah Tinggi.