Memoir seorang wartawan Iran

ADA kala yang dirahsiakan sama banyak dengan yang didedah dan ini juga berlaku pada peringkat sesuatu keluarga. Demikian daripada memoir Azar Nafisi, seorang sarjana yang menulis dalam pembuangan dari tanah airnya Iran, dalam bukunya berjudul Things Live Been Silent About.

Ceritanya mendapat perhatian ketika Iran menghadapi pelbagai tekanan dari luar dan dalam negeri berikutan Pilihan Raya Presiden pada 12 Jun lalu yang terus dipersoal kesahihannya melalui demonstrasi demi demonstrasi.

Menurut catatan mengenai dirinya, Nafisi mulanya mengajar mengenai Sastera Barat di Universiti Teheran. Pada tahun 1981, beliau dipecat kerana enggan memakai tudung. Beliau juga pernah mengajar di dua buah universiti lain. Beberapa tahun kemudian, beliau diterima berkhidmat di Universiti Oxford dan pada tahun 1999 beliau bersama keluarganya meninggalkan Iran lalu berhijrah ke Amerika.

Pelbagai kisah dicurahkan dalam memoir mengenai ibu dan ayahnya yang juga mengadakan hubungan sulit dengan wanita-wanita lain dan Nafisi sendiri bersubahat merahsiakan hal dari ibunya. Beliau mengeluh mengenai kenangan masa lampau sesekali menjejas perjalanan hidup dan mengganggu mimpinya di malam hari.

Menjadi latar belakang cerita ialah sejarah kancah politik Iran, budaya dan pengalaman dari zaman berzaman, termasuk peperangan demi peperangan dengan Yunani, Rom, Arab dan laskar Mongol yang menceroboh. Hinggalah ke pelbagai peristiwa lain, khususnya Revolusi Islam pada tahun 1978 - 1979 dan munculnya Ayatollah Khomeini sebagai pemimpin negara.

Juga dicatat ialah peranan berpengaruh pujangga Firdausi seribu tahun lalu dengan karya agungnya Shahnameh (raja segala raja) dalam bahasa Parsi, tiang utama bahasa kebangsaan. Pelbagai puisinya telah diterjemah ke bahasa Arab, Inggeris, Perancis dan Jerman.

Firdausi disanjungi sebagai pujangga agung oleh rakyat Iran sendiri manakala Omar Khayyam diminati oleh para pembaca Barat. Nafisi menyebut Khayyam sebagai ahli puisi dan tukang telek yang agnostik, iaitu baginya tiada sesuatu yang menunjukkan kewujudan Tuhan!

Dari Firdausi: Should there be no motherland, no creature is worthy to live in it.

Dari Omar Khayyam pula sesuatu yang berulang dilafaz oleh peminat Barat:

The moving finger writes, and having writ

Moves on: Not all they piety, nor wit

Shall lure it back to cancel half a line

Nor all thy tears wash out a word of it.

Antara cerita yang dibawa ialah peranan Perdana Menteri Mossadegh yang menjadikan industri minyak Iran sebagai milik negeri, iaitu merampasnya dari milik Inggeris. Tindakan tersebut mencetuskan kontroversi di antara Iran dan Inggeris yang melancarkan kempen memboikot hasil minyak Iran hingga menjejaskan ekonomi negara. Mossadegh juga memaksa Shah Iran mencari lindungan di Rome, Itali.

Akhirnya pada tahun 1953, berlaku rampasan kuasa oleh tentera Iran dengan hasutan dari Amerika dan Inggeris. Dan Shah Iran kembali berkuasa di Iran. Nafisi lalu bertanya: "Siapa yang salah dan siapa yang benar. Siapa mengkhianati siapa dan apa akibatnya kerana pengkhianatan demi pengkhianatan itu."

Pada tahun 1971, Shah Iran mengadakan jamuan terbesar sekali di Persepolis, pusat empayar Parsi beribu tahun lampau. Ramai raja dan pembesar negara-negara masing diundang, termasuk Prince Philip, Prince Charles dari Britain dan Maharaja Haile Selassie dari Habsyah.

Beribu-ribu khemah istimewa diadakan dan pelbagai makanan mewah dibawa dari negara Perancis dengan kapal terbang. Dalam pada itu, Persepolis "menjadi tempat larangan bagi rakyat Iran sendiri."

Pidato

Menurut cerita sesuatu yang menjadi bahan ejekan di kalangan rakyat Iran ialah pidato Shah Iran yang ditujukan kepada Cyrus, raja yang mewujudkan empayar pertama Parsi ribuan tahun lampau. Maka Shah Iran memulakan pidatonya: "Wahai Cyrus, bersemadilah dengan lena, kerana kami telah bangun!" Perayaan ulang tahun Persepolis itu menelan belanja AS$120 juta.

Peristiwa penting ialah tindakan pihak Iran menguasai kedutaan Amerika pada 4 November 1979. Juga dicatat betapa sebelumnya pernah wujud dua kumpulan revolusi bersenjata, satu anjuran komunis dan satu lagi oleh para pejuang Islam. Aktif dalam gerakan politik ialah Parti Tudeh yang komunis.

Juga diceritakan ialah keadaan Iran semasa lampau ketika diperintah oleh raja-raja yang berkuasa penuh. Poligami dibenarkan dan perkahwinan gadis-gadis mulai umur 9 tahun. Menjadi kebiasaan ialah hukuman melempar batu ke atas orang bersalah hingga mati.

Catatan penting dalam sejarah Iran ialah peristiwa yang berlaku pada bulan Muharam. Para pengikut Syiah mengenang kembali peristiwa Imam Hussain mati syahid di Karbala, Iraq kira-kira 1,300 tahun lampau. Pelbagai perbarisan diadakan dan ribuan rakyat melihat sebilangan ramai lelaki berbaris di jalan-jalan raya sambil memukul bahagian belakang diri sendiri dengan rantai besi. Imam Hussain dan pengikut- pengikutnya dianggap mati syahid.

Pada peringkat peribadi Nafisi menyebut diri ayahnya menulis diari harian ketika Nafisi berumur empat tahun. Ayahnya menyerahkan dairi itu kepadanya puluhan tahun kemudian. "Ketika saya telah mempunyai anak-anak sendiri." Manakala merungut mengenai pelbagai rahsia dari nenek moyang ayahnya, Nafisi diberitahu: "Kita bukan mentakrifkan diri sendiri melalui apa yang didedah, tetapi melalui apa yang kita rahsiakan."

Mengenai ibunya dengan pelbagai kegiatannya pula, Nafisi menulis: "Masalahnya bukanlah apa yang dicerita olehnya, tetapi apa yang dirahsiakannya."

Yang ditulis bukan hanya sejarah keluarga tetapi juga pelbagai aspek sejarah tanah air sendiri. Sebagaimana disebut mengenai seorang penulis lain, Nafisi bukan hanya penulis memoir tetapi juga menulis sebagai wartawan dan pengkritik.

- Mazlan Nordin -
berselipar mengadap Sultan

Saya dijadualkan bertugas secara rasmi di Kuala Lumpur pada 27 Mei 1963 berikutan pertukaran dari Alor Setar tetapi telah diberikan dua tugas penting sehari sebelumnya iaitu pada Ahad 26 Mei 1963. Tengah hari menemui Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman di Kelab Lumba Kuda Jalan Ampang dan petangnya mengadap Sultan Selangor di Istana Selangor di Kuala Lumpur.

Ini adalah berpunca dari berita utama muka satu Utusan Zaman 26 Mei yang bertajuk "Sultan Selangor tuduh kerajaan mungkir janji, soal tanah di Lake Garden jadi punca"

Berita itu yang ditulis oleh Ketua Penyunting Utusan Melayu, Harun Mohd Hassan melaporkan Sultan Selangor Sultan Abdul Aziz Ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah telah menuduh kerajaan mungkir janji dan memperkecilkan kuasa baginda sebagai raja kerana mengenakan syarat khas kepada baginda untuk mendapatkan sepuluh ekar tanah di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Harun Hassan telah hadir pada sidang akhbar baginda mengenai perkara itu kerana istana meminta dihantar seorang wartawan kanan.

Harun menulis "di dalam keadaan murka Sultan Selangor telah menyatakan beberapa syarat yang dikenakan oleh kerajaan untuk mendapatkan tanah itu tidak berpatutan walaupun permohonan diluluskan."

Syarat syarat yang dikenakan ialah:

l Rumah yang didirikan di atas tanah itu tidak boleh disewa.

l Tidak boleh bertukar tangan dan tidak boleh dijual.

Baginda murka kerana syarat yang sama tidak dikenakan kepada beberapa orang kenamaan lain ''Kenapa beta sahaja yang dikenakan syarat khas sedangkan orang lain dikecualikan?'' tanya baginda.

Baginda menyebutkan di antara orang yang tidak dikenakan syarat itu ialah Datuk Nik Mohd Kamil, Y.T. Lee dan A.D.York.

''Beta bukan mendapat tanah ini dengan percuma tetapi dengan mengeluarkan wang dari saku beta sendiri seperti juga yang dilakukan oleh orang lain,'' katanya.

Saya telah diarahkan untuk mendapat reaksi Tunku terhadap kenyataan Sultan Selangor itu yang ketika itu Tunku diketahui sedang berada di Kelab Lumba Kuda Jalan Ampang.

Pada mulanya Tunku melepaskan marahnya dengan berseloroh menyatakan sesuatu yang pada pertimbangan saya sangat sensitif dan tidak boleh saya tulis untuk siaran. Kemudian beliau menyatakan kesal dan sedih ''kerana baginda Sultan membuat kenyataan terbuka''.

Kata Tunku: ''Baginda boleh berkata apa sahaja dan saya pun boleh menjawab tetapi tidak ada gunanya''.

Tunku memberitahu bahawa beliau akan merunding perkara itu dengan timbalannya Tun Abdul Razak dan juga Menteri Besar Selangor Datuk Bakar Baginda.

Sebaik sahaja pulang daripada menemui Tunku, Harun telah mengajak saya menemaninya untuk mengadap Sultan Selangor kerana yang terpampang di muka satu akhbar Utusan Zaman penulisnya ialah Harun Mohd Hassan.

Harun seorang yang lucu dan melucukan, tidak serius dan suka berjenaka tetapi pada hari itu dia tidak dapat menyembunyikan kegelisahan dan ketakutannya. Dia mundar mandir dalam pejabat . ''Aku takut Zam, engkau mesti temankan aku'' dia memberitahu saya sambil mengangkat baju kemeja luar yang dipakainya yang menunjukkan dia menggunakan tali pinggang dari kain buruk yang dipintal. Semua yang melihatnya ketawa.

Saya tidak dapat menolak ajakannya kerana dia adalah ketua saya. Dia tidak menghiraukan walaupun saya memberitahu saya mempunyai berita yang belum ditulis.

Pada setiap hari minggu anggota jabatan pengarang tidak berpakaian kemas. Kebanyakan mereka berkemeja dan memakai selipar dan demikianlah keadaan saya dan Harun Hassan pada hari itu. Saya datang ke pejabat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin pada hari minggu untuk sekadar menemui rakan-rakan dan tidak menduga untuk diberikan tugas.

Oleh kerana jadual mengadap ialah pada jam 4.30 petang saya tidak berkesempatan untuk pulang menukarkan pakaian

Kenderaan

Kenderaan Utusan yang membawa kami ke Istana adalah sebuah van tua dan sudah buruk dari jenis Peugeot yang bunyi enjinnya mungkin boleh didengar satu kilometer jauhnya. Sesampai di Istana, pegawai pegawai Istana telah menunggu di luar Dewan Persidangan. Mereka nampak terkejut melihat pakaian kami, tetapi tidak berkata apa-apa sebaliknya memberitahu kami supaya menyembah bila masuk mengadap.

Alangkah malu dan kekoknya kami bila melihat Sultan bukan keseorangan tetapi dikelilingi di kiri dan kanan meja berbentuk 'U' oleh kerabat kerabat diraja, orang-orang besar negeri, pegawai-pegawai kanan Istana dan orang-orang besar daerah. Sultan berdiri di hujungnya (di muncung 'U') dan dua kerusi diletakkan di tengah-tengah untuk kami.

Semua orang kecuali Sultan adalah berpakaian Barat lengkap dan juga pakaian kebangsaan. Sultan hanya berpakaian santai. Kami menyembah dan duduk di tengah dalam keadaan berselipar dan berkemeja di luar.

Sebelum kami mengadap semua orang orang besar negeri yang diketuai oleh Tunku Badlishah Tengku Laksamana Selangor telah pun mengadap baginda untuk berbincang mengenai kemurkaan baginda terhadap syarat kelulusan tanah yang tersiar di muka satu Utusan Zaman itu.

Ketika kami mengadap jurucakap rombongan itu yang memegang Utusan Zaman memberitahu bahawa kemurkaan baginda itu ditujukan khusus kepada ahli Majlis Kerja Kerajaan Selangor dan tidak melibatkan Tunku Perdana Menteri atau kerajaan Persekutuan.

Sambil menunjukkan berita besar muka depan Utusan Zaman mengenainya, jurucakap tersebut menyatakan bahawa baginda mahu menjelaskan hal yang sebenar.

Sultan Selangor sendiri kemudiannya memberitahu ''Beta sendiri akan menemui ahli-ahli Majlis Kerja Kerajaan Negeri untuk mendapatkan penjelasan mengenai syarat yang dikenakan ke atas beta''.

Sepanjang masa pertemuan dengan kami itu, Sultan Selangor langsung tidak menunjukkan perasaan marah sebaliknya bertitah dengan nada suara yang biasa ''Beta hendak membetulkan kenyataan beta.'' Dari pengalaman saya dan orang lain, Sultan Selangor Almarhum Sultan Abdul Aziz memang seorang yang baik dan bertimbang rasa.

Sehari selepas pertemuan kami dengan baginda Sultan, Menteri Besar Selangor Datuk Abu Bakar Baginda telah memanggil sidang akhbar untuk menegaskan keputusan kerajaan negeri tidak akan berganjak daripada mengenakan syarat di atas tanah yang telah dijualkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Persidangan akhbar itu dihadiri bersama oleh Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor Haron Idris dan Lukman Yusuff.

Datuk Bakar berkata ''Adalah suatu hal yang malang bagi baginda merasakan layak untuk mengemukakan hanya satu aspek sahaja berkait dengan permintaan baginda atas tanah di Jalan Duta tanpa menyatakan keadaan yang sebenarnya di bawah peraturan mana tanah itu diberikan''.

Katanya lagi "syarat-syarat yang dikenakan kepada baginda itu bukanlah satu perkara luar biasa sebaliknya memang telah dikenakan dalam semua urusan tanah kerajaan di mana kerajaan mempunyai kepentingan di atas tanah itu.

''Pemberian tanah itu tidaklah dibuat kepada baginda sebagai Sultan negeri Selangor tetapi adalah atas nama diri baginda sendiri''.

Berikutan dengan itu suatu pertemuan diadakan pada 28 Mei 1963 di antara Sultan Selangor dengan rombongan ahli Majlis Kerja Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Datuk Abu Bakar Baginda Menteri Besar Selangor yang berakhir dengan penyelesaian.

Dalam suatu persidangan akhbar bersama antara Sultan Selangor dan Menteri Besar selepas pertemuan itu, baginda menyatakan "Sebagai Raja beta sedia menurut perlembagaan.''

''Setelah beta mendengar keterangan dari menteri dan ahli ahli Majlis Mesyuarat Kerja Kerajaan maka beta merasa puas hati yang kerajaan mengenakan syarat hanyalah sebagai cagaran sementara atas pinjaman wang kerajaan.''

Titah

Titah baginda lagi ''Salah faham di antara beta dengan ahli-ahli Majlis Kerja Kerajaan beta tidak ada lagi dan sebagai raja beta sedia menurut perlembagaan.''

Apabila saya terbaca kembali tulisan Tunku Abdul Rahman Putra sebagai Yang Dipertua UMNO Kedah dalam buku Utusan Melayu 10 tahun saya dapati perkara sensitif yang saya tidak tulis yang disebutkan oleh Tunku dalam pertemuan saya dengannya, sebenarnya telah pun ditulis oleh Tunku sekembalinya dari London setelah menamatkan pengajian undang-undangnya.

Jelas tulisannya itu menampakkan Tunku sebagai seorang keturunan raja yang berjiwa rakyat yang senantiasa sedar perlunya pematuhan kepada undang undang dan hak rakyat.

Antara lain tulisan Tunku itu menyatakan "Sejarah dunia telah menunjukkan rakyat boleh menjatuhkan raja dan boleh menaikkan raja. Rakyat boleh menjatuhkan kerajaan dan boleh mendirikan kerajaan.

''Yang Maha Mulia King Farouk Raja Mesir dua tahun yang lepas ada memberi kenyataan kepada wakil surat khabar Inggeris. Di antara lain baginda berkata, ''Saya menjadi raja kerana rakyat berkehendakkan kepada saya tetapi hanya Tuhan sahajalah yang dapat mengetahui berapa lama rakyat berkehendakkan saya.''

''Pada pandangan saya, di dalam masa ke hadapan ini akan ada lima raja sahaja dalam dunia iaitu Raja Great Britain, Raja Lekok, Raja Deman, Raja Sepit dan Raja Kelawar."

Tunku menyebutkan kepada saya nama raja-raja yang akan kekal itu dalam nada berseloroh apabila saya menemuinya untuk mendapatkan reaksinya terhadap kenyataan Sultan Selangor.

Minggu depan: Agen indonesia dalam utusan melayu.

- Zainuddin Maidin -
Sarkozy boleh jatuh kerana Bruni

Ku Seman Ku Hussain

Apa isunya hingga Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi terpaksa meminta maaf kepada rakan sejawatnya Presiden Perancis, Nicholas Sarkozy? Adakah ini kerana perang mulut semasa Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan (G8) di Rome, Itali baru-baru ini? Semuanya tidak lain kerana wanita pertama Perancis, Carla Bruni yang menyinggung tuan rumah, Itali.

Ini adalah kontroversi terbaru Bruni, seorang bekas supermodel yang berkahwin dengan Sarkozy dua tahun lalu. Bruni bukan saja tidak mengendahkan protokol sebagai wanita pertama malah tindak-tanduknya tidak memperlihatkan status kecerdikan sebagai wakil negara. Inilah satu-satunya wanita pertama yang menimbulkan banyak masalah kepada negaranya.

Kontroversi di G8 hingga memaksa Berlusconi meminta maaf kepada Sarkozy apabila beberapa akhbar Itali mengkritik sikap Bruni yang "tidak erti bahasa". Bruni gagal menghadirkan diri di beberapa majlis rasmi sepanjang persidangan itu. Sebagai Wanita Pertama dan bekas selebriti yang kontroversi, segala yang dilakukan menjadi perhatian. Maka beberapa akhbar termasuk yang dimiliki oleh adik Berlusconi sendiri menghentam sekaligus menjatuhkan maruah wanita pertama yang banyak masalah ini.

Akhbar Il Giornale yang dimiliki adik Berlusconi itu menuduh Bruni sebagai "tidak tahu menghormati majlis" kerana tidak menghiraukan program rasmi yang dirancang untuk isteri-isteri pemimpin yang menghadiri sidang G8 itu. Barangkali juga kritikan pedas terhadap Bruni kerana beliau kelahiran Itali sekalipun menjadi wanita pertama Perancis. Maka tindak-tanduknya memalukan orang Itali sendiri. Bruni perlu tahu bila beliau mempunyai kebebasan sebagai isteri Sarkozy dan pada masa tertentu apa lagi pada majlis rasmi di luar negara, beliau sebagai wanita pertama. Bruni perlu belajar menjadi Lady Diana yang dihormati bukan kerana kedudukan tetapi keperibadian dan prihatin terhadap manusia lain.

Secara penuh diplomasi, Berlusconi berkata, kritikan-kritikan itu tidak patut dibuat kerana telah menyinggung wanita pertama sebuah negara lain yang akrab dengan Itali.

Wanita pertama pemimpin G8 termasuk Michelle Obama, isteri Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama mengunjungi L'Aquila, sebuah bandar di Itali yang terjejas akibat gempa bumi April lalu. Bruni merancang untuk melawat zon bencana itu sehari kemudian. Malah Bruni juga dilaporkan tidak menghadiri majlis wanita-wanita pertama dengan Pope Benedict XVI.

Malu

Sebelum ini rakyat Perancis terpaksa menanggung rasa malu apabila gambar-gambar bogel Bruni dilelong di New York April lalu. Gambar yang diambil pada 1993 itu dilelong dengan harga RM286,821 iaitu 30 kali ganda daripada nilai jangkaan awal. Ia adalah satu daripada beberapa gambar model yang dilelong oleh Gert Elfering yang turut menyimpan gambar Lauren Hutton, Gisele Bundchen dan Kate Moss sebagai koleksi peribadinya.

Bagaimanapun Bruni dikatakan tidak merasa malu dengan lelongan itu sekalipun sangat memalukan rakyat Perancis. Malah sebelum ini beberapa pihak menjangka sekiranya Sarkozy merudum dalam arena politik, keadaan itu bukan kerana kegagalan Sarkozy tetapi kerana gelagat isterinya yang mahu terus hidup sebagai seorang supermodel bukan wanita pertama Perancis. Banyak pihak berpendapat Bruni perlu bijak meletakkan dirinya sebagai isteri Presiden Perancis dan menjaga penampilan supaya sesuai dengan kedudukannya.

Seperti kata orang bijak pandai, isteri adalah cermin kepada suaminya. Untuk mengenal suami, kenallah isterinya. Sekiranya isteri memberikan gambaran yang tidak tepat mengenai suaminya, isteri bukanlah cermin. Gelagat Bruni dalam negara dan di arena antarabangsa telah menjadi bahan lawak yang sekaligus mempersendakan dirinya.

Mac lalu isteri Perdana Menteri Britain, Gordon Brown, Sarah mengakui beliau tidak mampu menandingi "kehebatan" Bruni, yang melawat Britain bersama Sarkozy.

Bagaimana pun dalam temu bual dengan akhbar The Times, Sarah menafikan dakwaan yang mengatakan beliau menghadapi tekanan untuk bersolek dan mengenakan pakaian cantik ketika bertemu dengan bekas supermodel Itali itu.

Peluang

Kata-kata Sarah begitu lembut tetapi mempunyai maksud yang mendalam tentang Bruni. Antaranya Sarah berkata, "Saya tidak mempunyai peluang untuk menang bukan? Jadi apa yang saya pakai tidak penting. Saya tahu saya tidak akan menang pada hari itu."

Bruni berkahwin dengan Sarkozy selepas keruntuhan rumah tangga Sarkozy dengan Cecilia, cucu kepada komposer Sepanyol terkenal, Issac Albeniz. Semua ini berlaku selepas Cecilia menjalinkan hubungan dengan seorang eksekutif dari New York, Richard Attias. Tidak lama selepas bercerai, Sarkozy bertemu Bruni, supermodel kelahiran Itali yang kini berusia 40 tahun. Hubungan mereka menjadi bahan gosip di media kerana sering kelihatan keluar bersama ketika Sarkozy belum lagi menjadi Presiden Perancis. Bagaimanapun kedua-duanya menutup mulut tentang status hubungan hinggalah mereka berkunjung ke Luxor, Mesir. Kemudian Sarkozy dan Bruni meneruskan dengan lawatan rasmi ke Mesir.

Siapa Bruni? Bruni adalah anak perempuan tiri usahawan dan komposer lagu klasik, Alberto Bruni Tedeschi serta pemain piano Itali, Marysa Borini. Bapa kandungnya merupakan seorang ahli perniagaan, Maurizio Remmert. Bruni mengakhiri zaman persekolahan ketika berusia 19 tahun kerana ingin menjadi model sepenuh masa.

Pernah berkahwin dengan profesor falsafah, Raphaell Enthoven. Namun, perkahwinan mereka berakhir dengan penceraian tetapi mempunyai seorang anak lelaki, Aurelien yang berusia lapan tahun.

Sebagai supermodel, Bruni antara 20 model yang menerima bayaran tertinggi di Paris dengan pendapatannya mencecah lebih RM 2 juta setahun. Sebelum ini Bruni pernah menjalinkan hubungan dengan jutawan AS, Donald Trump, penyanyi rock Eric Clapton, pelakon Kevin Costner dan penyanyi Mick Jagger.

Antara kata-kata Bruni yang paling diingati ialah, "Bagi saya lelaki yang feminin memiliki sifat kelelakian yang lebih hebat berbanding lelaki macho." Benarkah begitu? Hanya Bruni yang sudah mengenali banyak lelaki boleh memberikan jawapan. Biarlah apa saja tanggapan Bruni tentang lelaki tetapi beliau tidak boleh berterusan memberi masalah kepada Presiden Perancis. Hakikatnya Bruni memang popular dan beliau seolah-olah mencipta kontroversi untuk menjadi bahan media.
Gambar akhbar punca rusuhan

Natrah hidup dalam jiwa orang Melayu. Natrah menjadi lambang kasih sayang orang Melayu terhadap Islam. Sekiranya Natrah tidak Islam, belum tentu Natrah begitu dikasihi dan layak mendapat pengorbanan jiwa orang-orang Melayu.

Maka kerana penyatuan Islam dalam diri Natrah, orang Melayu sanggup menggadaikan nyawa, sanggup menggadaikan masa depan mereka. Bagi orang Melayu Natrah adalah anak kecil yang wajar dilindungi, wajar dipelihara kerana agama yang disayangi mereka ada bersama Natrah!.

Walaupun singkat hidup Natrah di dunia Melayu, namun Natrah adalah seorang Islam dan mengamalkan budaya Melayu. Orang Melayu pada zaman itu sangat berbangga dapat memelihara 'anak Mat Salleh'. Ia dianggap satu kejayaan dan harga diri bangsa yang dijajah. Apa lagi sekiranya mereka dapat bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan syariat Islam.

Hati orang Melayu akan menjadi cair melihat anak-anak berambut blonde dan bermata biru bercakap Melayu! Latar sejarah zaman itu juga mempengaruhi apa yang terjadi dalam isu Natrah. Zaman kemunculan Natrah adalah zaman kebangkitan semangat menentang penjajah di kalangan orang-orang Melayu. Parti-parti politik Melayu, seperti Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), UMNO, Hizbul Muslimin dan akhbar Melayu seperti Utusan Melayu dan Melayu Raya menjadi pencetus dan penyubur semangat menentang penjajah.

Tokoh-tokoh politik dan intelektual Melayu seperti Dr. Burhanuddin Helmi, Dato' Onn, A. Rahim Kajai, A. Samad Ismail, Ishak Hj Muhammad, Zaaba, (sekadar menyebut beberapa nama) dan ramai lagi yang tidak tersebut namanya adalah orang yang berjaya menyemarakkan erti perjuangan kemerdekaan dalam dada orang Melayu melalui ceramah-ceramah politik dan tulisan mereka di akhbar setiap hari.

Dalam kehangatan semangat anti penjajah inilah Natrah tiba-tiba muncul. Jadi orang-orang Melayu memberikan sepenuh sokongan kepada orang-orang yang terlibat dalam isu ini seperti Natrah, Mansor dan Che Aminah. Orang Melayu menganggap isu Natrah dan kejayaan memperolehi kembali Natrah adalah kejayaan bangsa Melayu menentang penjajah.

Natrah menghadapi dua kali perbicaraan mahkamah. Sewaktu kali pertama Natrah berjaya dan bebas tinggal dengan Che Aminah. Kejayaan perbicaraan ini membawa Che Aminah menikah gantungkan Natrah yang berumur 13 tahun dengan anak kawan baiknya Che Wok, bernama Mansor Adabi berumur 21 tahun.

Pernikahan ini tidak dirujuk pun oleh Che Aminah kepada peguamnya, Prof. Tan Sri Ahmad Ibrahim dan Tun Saadon Jubir.

Pernikahan ini mendapat liputan luas antarabangsa dan menjadi sebab kepada wujudnya gerakan besar-besaran di Belanda di bawah Jawatankuasa Khas Bertha Hertogh untuk memperjuangkan Natrah dibawa balik ke Belanda. Atas kepentingan politik dan maruah diri bangsa yang menjajah, Natrah mesti dikembalikan kepada mereka. Mereka berasa terhina anak bangsa mereka dipelihara oleh penduduk yang pernah mereka jajah!

Menunggu

Sementara menunggu perbicaraan kedua atas isu hak penjaga anak di bawah umur, kerana Natrah berumur 13 tahun pada masa itu yang tidak sepatutnya berkahwin, Natrah ditempatkan di Gereja St Mary di Singapura.

Di gereja ini, Natrah dijinakkan dengan Bible, patung Virgin Mary, alat muzik seperti piano dan lagu-lagu gospel. Natrah dipisahkan dengan kejam daripada ibu angkatnya Che Aminah dan suami yang baru dikahwininya Mansor Adabi.

Akhbar The Straits Times dan Utusan Melayu memainkan peranan yang kontra dalam isu Natrah. The Straits Times yang dimiliki oleh penjajah Inggeris berlagak bagus dengan membuat provokasi mengatakan bahawa Natrah gembira di gereja.

Sementara akhbar Utusan Melayu mengeluarkan kisah Natrah menangis memeluk pemberita Utusan Melayu meminta beliau mengeluarkannya dari gereja itu. Orang Melayu sudah pasti dapat membaca isi hati Natrah!

Sebelum dan semasa perbicaraan berlangsung, akhbar Utusan Melayu menggerakkan Tabung Kes Perbicaraan Natrah. Masyarakat Melayu diminta memberi derma untuk membiayai kos mahkamah yang tinggi.

Sesiapa yang menderma mendapat hadiah gambar perkahwinan Natrah dan Mansor Adabi. Kecantikan Natrah dan ketampanan Mansor Adabi sampai ke hati orang-orang Melayu ke seluruh pelosok Tanah Melayu.

Kesannya orang Melayu bercerita dari mulut ke mulut dengan penuh simpati, menanam kebencian yang meluap-luap terhadap penjajah generasi demi generasi!

Semasa keputusan mahkamah di bawah undang-undang sivil yang memihak kepada ibu bapa kandung Natrah, dan pernikahan Natrah-Mansor terbatal orang-orang Melayu tidak membantah walaupun kecewa. Orang Melayu dapat menerima keputusan itu walaupun marah. Tidak ada rusuhan berlaku di persekitaran mahkamah walaupun ketika itu begitu banyak gerombolan orang-orang Melayu memenuhi pekarangan mahkamah.

Akhbar The Straits Times esoknya menyiarkan keputusan mahkamah dan menunjukkan gambar Natrah melutut kepada patung Virgin Mary. Inilah kemuncak rasa marah orang Melayu.

Pemimpin-pemimpin politik sudah tidak dapat menahan lagi kemarahan orang-orang Melayu. Rusuhan berlaku pada 12 disember 1950. Oleh kerana musuhnya adalah satu iaitu penjajah, maka orang-orang Cina dan India turut mengambil kesempatan merusuh. Rusuhan berdarah ini memakan korban yang begitu ramai - 18 terbunuh, 173 cedera dan beratus dipenjarakan. Singapura diisytiharkan darurat selama dua hari dua malam!

Natrah dilarikan dari gereja semasa darurat diisytiharkan dan diterbangkan segera ke Belanda tanpa sempat bertemu suaminya atau Che Aminah. Di Belanda Natrah disambut oleh beribu-ribu orang umpama wira perang! Barangkali satu kemenangan bagi bangsa Belanda, namun kehancuran bagi jiwa Natrah.

Kepada orang Melayu generasi lalu Natrah mempunyai kedudukan yang istimewa. Natrah akan sentiasa dikenang sebagai anak gadis yang manis yang dianggap masih utuh imannya, kerana itulah rupa gambar yang masih ada dalam simpanan orang-orang Melayu.

Malangnya kini kedua-dua mereka telah kembali mengadap Allah yang menjadikan mereka dan mencipta takdir sedih cinta tidak kesampaian untuk mereka berdua.

Yang tinggal menjadi sejarah adalah rasa cinta yang suci antara mereka berdua. Yang tetap menjadi rakaman dan perlu diingati oleh generasi baru kini adalah nilai cinta orang-orang Melayu yang agung terhadap agamanya yang tidak sanggup gadis kecilnya dimurtadkan.

Menggadaikan

Tanpa berfikir panjang, mereka sanggup menggadaikan nyawa kerana agama. Pada zaman itu orang Melayu tidak rela melihat Islam dimurtadkan. Pada zaman kini benarkah orang Melayu murtad secara sukarela?

Demikian kental semangat orang-orang Melayu memperjuangkan agamanya. Itu berlaku dalam latar zaman penjajah, ketika masyarakat Melayu serba serbi dalam kesusahan. Kini setelah 59 tahun tragedi rusuhan itu berlalu, sekental manakah daya juang kita dalam mempertahankan agama?

Persoalannya apakah yang kita perjuangkan dalam setting zaman serba mewah dan serba serbi di hujung jari? Sejauh manakah kita boleh menyuburkan iman - kepercayaan kepada yang tidak boleh dipegang dan tidak boleh dilihat iaitu Allah dalam konteks zaman yang serba mudah dan serba mewah ini?

Inilah cabaran generasi zaman kini. Semakin banyak, semakin mudah kita boleh memegang, melihat dan mengejar maklumat terkini, semakin luntur kepercayaan kepada kuasa mutlak yang tidak kelihatan dan tidak boleh disentuh ini, padahal itulah kekuatan orang-orang Melayu yang bergadai nyawa kerana Natrah! Semoga generasi baru kini telah menemui asas penting pembentuk jati diri mereka ...

Al-Fatihah untuk yang terkorban kerana isu Natrah. Semoga Allah menerima mereka sebagai as-syuhada. Al-Fatihah untuk Allahyarham Mansor Adabi, Prof. Ahmad Ibrahim, Tun Saadon Jubir. Untuk mendiang Natrah, semoga Allah menerima kesengsaraan jiwa Natrah dengan keampunan jua. (Terima kasih membaca tulisan saya, sila layari blog atau e-mel saya untuk berkongsi pandangan anda).

(minggu hadapan: natrah dalam perspektif cinta).

Fatini Yaacob

Penulis yang membuat kajian mengenai Natrah ialah
Karyawan Tamu Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

e-mel: ttin5@yahoo.com
blog: natrahfatini.blogspot.com
"Hari ini kita tolong orang, esok orang tolong kita"

Oleh Hafizahril Hamid

MENYEBUT nama tokoh yang seorang ini pastinya ramai yang mengenali beliau sebagai seorang usahawan Melayu yang sangat berjaya. Kejayaan dan kekayaan beliau ini adalah hasil dari titik peluh sendiri. Ini kerana beliau telah menceburi bidang perniagaan sejak umur belasan tahun lagi.

Hasil kejayaan beliau sekarang banyak didorong oleh semangat untuk memajukan agama, bangsa dan negara. Ini satu usaha murni yang semakin terhakis dalam diri masyarakat. Beliau yang dimaksudkan ialah Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Memang setiap kali bercerita tentang beliau, kita semua tidak boleh mengelak dari berbicara tentang kekayaan yang dimilikinya. Selain itu kehebatan beliau menguruskan pelbagai cabang perniagaan di dalam dan luar negara juga sentiasa meniti bibir orang ramai.

Kenapa beliau sering menjadi tumpuan walaupun terdapat ramai lagi usahawan berjaya di Malaysia? Jawapannya kerana beliau merupakan satu-satunya orang Melayu yang berjaya menduduki senarai 10 orang bilionair di Malaysia, satu kedudukan yang pastinya sangat membanggakan kita semua sebagai orang Melayu.

Menduduki tempat kelapan senarai orang terkaya Malaysia dengan wang tunai dan aset sebanyak AS$1.8 bilion (RM6.5 bilion) pastinya setiap berita dan pergerakan beliau ini akan menjadi perhatian. Namun bagi beliau kekayaan dan kejayaan yang diperoleh bukanlah sesuatu untuk dibanggakan jauh sekali untuk menunjuk-nunjuk.

Beliau lebih gemar mengelak dari menjadi perhatian media, tidak mahu terlalu menonjolkan diri malah senantiasa merendah diri. Itulah keperibadian yang sering ditonjolkan oleh anak kelahiran Alor Setar ini.

Sikap merendah diri, kesederhanaan dan sering bersedekah kepada mereka yang memerlukan sudah sebati dalam diri lelaki berusia 58 tahun ini.

Bagi Syed Mokhtar yang juga penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 2008, beliau sentiasa mengingati pesanan ibunya, Sharifah Rokiah Syed Abdullah supaya menyumbangkan separuh daripada pendapatannya bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Ujarnya, separuh daripada pendapatan pertama ketika membantu bapanya, Syed Nor Albukhary berniaga lembu sebanyak RM1,500 ketika tahun 60-an telah diserahkan kepada ibunya yang kemudian memintanya mengagihkan wang itu kepada 15 keluarga miskin di Alor Star, Kedah.

Pesanan ibu supaya separuh daripada pendapatan diberikan kepada orang kurang kemampuan telah memberikannya keinsafan.

Malah sampai sekarang, sumbangan kepada 15 keluarga tersebut terus diberikan, kalau yang meninggal dunia diganti dengan orang lain.

"Tuhan sudah memberikan segala nikmat, semuanya saya dah rasa, apa lagi yang kita mahu, maka nikmat itu perlu digunakan bagi faedah kepada orang ramai terutama pelajaran," katanya dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia tahun lalu.

Panduan

Bagi beliau, pesanan ibunya itu telah dijadikan panduan untuk beliau maju dalam perniagaan namun pada masa yang sama tidak lupa akan asal usul dirinya.

Syed Mokhtar turut menekankan bahawa kejayaan dan kekayaan yang dimiliki bukanlah untuk dirinya sendiri tetapi untuk dikongsikan dengan golongan yang kurang berkemampuan. Ini untuk memberi mereka peluang mendapat ilmu sekali gus mengubah hidup pada masa depan.

Beliau yang berasal dari sebuah keluarga Arab Hadhrami di Yemen dan hidup serba kekurangan ketika kecil telah membuktikan bahawa kemiskinan yang dilalui beliau bukanlah alasan untuk tidak berjaya dalam hidup.

Syarikat Kumpulan Albukhary yang dibangunkan beliau kini aktif dalam beberapa industri utama negara antaranya pengangkutan, logistik, utiliti, automotif, pertahanan, makanan dan perbankan Islam serta kewangan.

Sebagai langkah untuk membantu mereka yang memerlukan, Yayasan Albukhary yang ditubuhkan pada 1996 bagi melakukan kerja-kerja kebajikan kini semakin berkembang sebagai entiti amal global antaranya dengan penubuhan Muzium Kesenian Islam Malaysia dan Program Biasiswa Albukhary.

Yayasan tersebut turut berperanan sebagai sebuah badan kebajikan yang membantu golongan miskin, menyokong perkembangan seni dan budaya Islam dan juga menggalakkan persefahaman antara peradaban.

Antara objektif utama Yayasan al-Bukhary adalah menggalakkan persaudaraan sesama Islam. Yayasan ini terdiri daripada dua buah bahagian. Satu bahagian menjalankan kerja-kerja kebajikan manakala satu bahagian lagi menguruskan penyaluran dana daripada setiap syarikat yang mana Syed Mokhtar ada kepentingan di dalamnya.

Sehingga kini, Yayasan al-Bukhary membelanjakan lebih RM300 juta bagi aktiviti keagamaan, kebudayaan dan pendidikan. Selain itu juga, yayasan turut membantu membiayai pelajar miskin. Antara inisiatif yang dilakukan adalah membiayai pelajar Muslim miskin di serata dunia supaya belajar di Malaysia.

Antara projek terbesar yang berjaya dilakukan ialah pembinaan Kompleks al-Bukhary yang bernilai RM400 juta di Kedah yang siap dibina pada tahun 2004. Kompleks itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti masjid, pusat perubatan, pusat komuniti, rumah anak yatim, akademi khas bagi warga tua dan pusat pengajian tinggi.

Pihak yayasan juga sedang membina Universiti Antarabangsa Albukhary yang dijangka siap penghujung 2009 sebagai tempat pelajar-pelajar cemerlang kurang berkemampuan itu untuk menyambung pelajaran.

Hasil dari pesanan ibunya juga telah dijadikan panduan untuk beliau turut mengembangkan aktiviti kebajikan kepada masyarakat minoriti Islam yang tertindas dan miskin di luar negara dengan membawa pelajar-pelajar miskin tetapi cerdik untuk menyambung pelajaran di sini.

Setakat ini, seramai 372 orang pelajar dari 47 buah negara minoriti Islam sedang menimba ilmu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di bawah tajaan Yayasan Albukhary.

Yayasan berkenaan juga menaja umat Islam kurang berkemampuan dari segi kewangan bagi menunaikan ibadah haji serta memberikan bantuan pembinaan masjid-masjid termasuk membiayai projek membaik pulih Masjid Negara di ibu negara.

Selain itu yayasan tersebut telah berjaya menyiapkan Muzium Kesenian Islam Malaysia di Kuala Lumpur yang bernilai RM100 juta. Muzium empat tingkat itu adalah muzium pertama di rantau Asia Pasifik yang memaparkan hasil seni Islam.

Mendermakan

Yayasan al-Bukhary juga pernah mendermakan sebanyak RM7.75 juta kepada Oxford Centre for Islamic Studies, sebuah pusat pengajian Islam yang terkenal di serata dunia selain turut membantu Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dalam menjayakan projek mengasaskan Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) di Sungai Petani, Kedah.

Yayasan tersebut juga sering terlibat dalam mengadakan dialog peradaban bagi menggalakkan toleransi dan persefahaman antara masyarakat berbilang agama dan kepercayaan.

Pengalaman Syed Mokhtar membesar tanpa pendidikan tinggi kerana latar belakang keluarga yang serba kekurangan turut mendorong beliau menubuhkan Program Tuisyen Al-Bukhary yang memberikan kelas tuisyen secara percuma. Program tuisyen itu berasaskan iltizamnya untuk melihat pelajar di luar bandar berpeluang mencapai pendidikan tinggi sekali gus membantu mengubah kehidupan.

Menurut beliau, kesempitan hidup ketika zaman kanak-kanak sehingga tidak mampu membayar yuran peperiksaan menyebabkan beliau kini berusaha membantu pelajar-pelajar kurang berkemampuan untuk mendapat peluang pelajaran.

"Saya bersekolah setakat tingkatan lima tapi tak sempat ambil peperiksaan kerana tidak mampu bayar yuran.

"Jadi, mengenangkan dulu tidak ada peluang, bila saya dapat peluang dalam perniagaan saya fikir kena beri peluang pendidikan kepada mereka yang tidak mampu," katanya.

Selain itu, yayasan tersebut turut menyumbang kepada organisasi di luar negara dalam usaha membantu umat Islam yang memerlukan. Hampir RM1 bilion telah diberikan secara langsung kepada usaha kebajikan termasuk menyertai proses membina semula kehidupan pelarian Afghanistan, bantuan mangsa gempa di Pakistan dan Iran serta mangsa bencana tsunami di Aceh, Indonesia.

Selain itu, yayasan tersebut sedang berusaha menubuhkan hospital AIDS di Uganda, membantu kanak-kanak jalanan di Afrika dan merintis program bantuan kemanusiaan bagi mangsa perang di Iraq dan Lebanon selain urut membina 12 buah masjid di serata dunia.

Dalam pada itu penglibatan Yayasan al-Bukhary dalam projek yang dimulakan oleh bukan Islam juga menarik perhatian. Walaupun yayasan tersebut lebih menekankan kepada projek kebajikan yang bercirikan Islam, ia tetap menyumbang kepada projek yang dijalankan oleh organisasi bukan Islam. Contohnya, Yayasan al-Bukhary telah menyumbang sebanyak RM1 juta bagi Projek Langkawi, iaitu projek yang dimulakan oleh MCA bagi mengumpul dana untuk menjalankan projek pendidikan di luar bandar dan juga memberi biasiswa kepada para pelajar yang kurang berkemampuan.

Bagi Syed Mokhtar, apa yang dilakukan ini semuanya bermula daripada didikan orang tuanya sendiri. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai.

Prinsip beliau jelas, kekayaan itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Kekayaan hanya dipegangnya untuk sementara sahaja. Bagi beliau, kekayaan ini Tuhan beri kepadanya untuk membantu orang lain.

"Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri.

"Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.

"Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain," katanya.
Kematian Teoh timbulkan pelbagai spekulasi politik

Oleh Zainul Ariffin
zainul@nstp.com.my

KEMATIAN Teoh dijadikan polemik dan isu politik tanpa mengambil kira kesedihan yang melanda anggota keluarganya.

Oportunisme boleh rampas kesedihan untuk jadi modal siasah

ADAKAH ahli dan penyokong Pakatan Rakyat saja yang berasa sedih ke atas kematian Teoh Beng Hock?

Tentu sekali jika dilihat dari muka-muka sama yang bergegas mengepalai tunjuk perasaan apabila saja ada kejadian seperti ini berlaku, beratur untuk perhatian jurugambar dan pemberita, dan di dalam kepala menghitung laba politik yang mungkin diperoleh.

Oportunisme politik boleh merampas kesedihan untuk dijadikan modal politik. Kematian boleh dijadikan pemangkin untuk naikkan kemarahan, dan juga batu hikmat menarik sokongan.

Terlalu sedikit cubaan untuk menenangkan keadaan. Di dalam kes Teoh setiap kenyataan seakan-akan berbau politik. Jika orang marah, apikan lagi. Jika bersedih, apa lagi, kenangkanlah nasib mereka dan paling penting, cari pihak yang perlu dipertanggungjawabkan.

Sudah tentulah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bertanggungjawab kerana mendiang Teoh kali terakhir berada di pejabat berkenaan dan mayat beliau dijumpai berhampiran. SPRM juga menemuduga Teoh hingga awal pagi.

Tanggungjawab SPRM ialah untuk menyiasat sepenuhnya kejadian itu, dan jika ada kesilapan atau kelemahan, atau kecuaian dan salah laku di pihaknya, tindakan perlu diambil. Ia mesti telus dan tegas.

Tetapi ia sepatutnya tidak perlu dipertanggungjawabkan untuk menangkis tuduhan yang tidak berasas, menjawab tohmahan, dan melayan agenda politik orang lain. Segala keraguan dan persoalan mesti dijawab, tetapi mestilah tidak yang bermotifkan politik.

Yang lebih penting, tanggungjawab SPRM ialah supaya ia tertumpu kepada tugasnya. Siasatan yang masih ada, termasuk terhadap ahli politik yang bertempik dan berkumpul di luar pejabatnya, yang cuba menimbulkan syak dan wasangka terhadap integriti agensi itu, mestilah diteruskan.

Kita faham ramai yang marah. Kita juga tahu ramai yang bersedih dengan kematian Teoh. Semua orang ada abang, adik, anak, suami, kawan dan faham serta simpati kepada pemergian orang muda seperti Teoh yang masa hadapannya nampak cerah.

Bukan orang Cina atau penyokong Pakatan Rakyat saja yang tahu marah dan mahukan keadilan.

Namun, elemen perkauman dimasukkan oleh beberapa ahli Dewan Negeri Selangor apabila mereka disiasat sama ada menyalahgunakan peruntukan dan kuasa oleh SPRM, walaupun anggapan ini salah kerana ada Adun Melayu disiasat juga.

Namun keraguan timbul, terutama di kalangan bukan Melayu bahawa SPRM, yang semestinya seperti agensi kerajaan lain banyak pekerja Melayu, secara selektif memilih bukan Melayu untuk disiasat.

Apabila mangsa kemalangan pula orang bukan Melayu, yang sebelumnya disiasat orang Melayu, bertambah hebatlah spekulasinya. Di alam maya internet tidak susah mencari kesimpulan berunsur perkauman.

Adakah ini politik? Peduli apa kesannya kepada negara asalkan popular. Walau dihias dengan kata-kata manis seperti hak asasi ataupun ketelusan atau keadilan, yang jelas, kadang-kadang, agenda perkauman nyata.

Kenapa perlu menanam kebencian, meniup api kemarahan terhadap agensi kerajaan yang banyak juga penyokong mereka bekerja di dalamnya? Dengar sajalah perkataan kesat yang dilemparkan kepada polis dan sebagainya?

Keadilankah yang dituntut atau kebencian digalakkan?

Adakah strategi untuk menggalakkan syak terhadap agensi kerajaan. Dulunya kehakiman kemudian polis, kini SPRM?

Apakah nilai kepemimpinan politik jika apa yang digalakkan ialah membenci dan menghasut? Di manakah fahaman politik atau ideologi mulia?

Apabila saja ada perkara seperti ini, bergegas-gegas muka yang sama mengeluarkan kenyataan yang pada asasnya menanam syak kepada institusi.

Cukuplah dengan membenci pimpinan kerajaan. Mereka orang politik, mereka boleh terima semua ini. Tetapi pegawai kerajaan bukan orang politik; mereka jalankan tugas dan arahan.

Sedarlah jika setiap kali institusi kita dicerca dan dihina, lama-kelamaan akan ada yang terlekat. Makin lama semakin tipis kepercayaan kita.

Pepatah Inggeris berkata: 'You reap what you sow' � jika ada pihak yang mahu popular dengan menabur syak wasangka kepada orang lain, lama kelamaan dia juga akan menerima kesannya.

Katalah ditakdirkan pembangkang memerintah, tidak akan reputasi institusi dan agensi yang dipijak-pijak akan kembali pulih serta merta. Apa yang runtuh sukar dibina semula. Institusi akan terus dipandang serong, kepercayaan rakyat akan tetap menipis.

Adakah kehakiman atau polis yang sentiasa dikutuk akan jadi baik tiba-tiba dan terus diterima rakyat. Hakisan tidak boleh dipatah balik, malah ia selalu membawa kepada keruntuhan.

Kenapa, contohnya perlu kerajaan Selangor mahukan pakar bedah swasta untuk siasat kematian Teoh? Adakah pakar hospital kerajaan tidak layak? Atau tidak boleh dipercayai?

Kenapa Menteri Besar Selangor, seorang Melayu, meragui kebolehan orang sebangsanya bertindak dengan tulus dan adil?

Bukankah banyak pegawai agensi atau institusi kerajaan orang Melayu? Adakah polis, hakim, guru, penyiasat, doktor, pensyarah Melayu semuanya tidak boleh dipercayai?

Percayalah, inilah yang berlaku apabila kita sama naik menabur syak pada agensi dan institusi kerajaan. Layari sahaja laman internet untuk mengetahui apa yang dikatakan mengenai institusi-institusi yang kebanyakan diketuai dan dipenuhi oleh orang Melayu.

Bukan ahli dan penyokong parti politik saja yang mahukan keadilan. Orang lain pun begitu. Tetapi jangan semua institusi diruntuh. Janganlah termakan kata-kata orang, yang agendanya kadang-kadang hendak mempersoalkan kebolehan orang Melayu.
Soal Jawab: Pas tidak selamanya relevan di Kelantan


MUSTAPA bersalaman dengan ibu bapa di majlis khatam al-Quran anjuran Parlimen Kuala Krai di Dewan Utama SMK Laloh, Kuala Krai, baru-baru ini.

BAGI Umno dan Barisan Nasional (BN), peningkatan undi pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai menjadi penyuntik semangat, kalah undi tetapi menang moral. Pas pula cuba menyedapkan hati penyokongnya dengan kenyataan `menang, tetap menang' selepas hampir dimalukan dengan hanya bersandarkan majoriti 65 undi. Banyak pihak berpendapat peningkatan undi diraih calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat sebagai mesej bahawa rakyat mula kembali kepada Umno dan kian menolak Pas. Wartawan Berita Minggu, AHMAD NAIM TAHIR mendapatkan pandangan Pengerusi BN dan Umno Kelantan yang juga bekas Pengarah Pilihan Raya Kecil Manek Urai, Datuk Mustapa Mohamed dan Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak, mengenai kesan perkembangan di Manek Urai itu kepada politik Kelantan.

SEKALI lagi, BN tewas pada pilihan raya kecil pasca Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12. Apa komen Datuk dari perspektif Umno dan BN.

Ia sebenarnya kemenangan moral kerana peningkatan mendadak bilangan undi calon BN. Undi majoriti Pas berkurangan daripada 1,352 kepada 65. Kita juga menang lima daripada sembilan peti undi, selain berjaya mendapatkan kembali sokongan pengundi muda dan pengundi luar.

Ini pilihan raya kecil yang pertama kita berjaya menambah undi dengan ketara berbanding pilihan raya kecil sebelum ini yang menyaksikan bukan saja majoriti undi pembangkang bertambah, tetapi juga kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang dimenangi BN ditawan Pas. Keputusan di Manek Urai menggambarkan Umno semakin diterima rakyat. Beberapa pembaharuan yang dibawa Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri sudah memberi impak. Rakyat Kelantan semakin bosan dengan janji kosong dan retorik 'Membangun Bersama Islam' yang dicanang Pas dan mereka juga semakin kecewa dengan kepemimpinan Nik Aziz (Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat). Penduduk Manek Urai mahukan perubahan dan pembangunan. Tidak ada pihak lain yang mampu membantu mereka kecuali BN.

Sebelum hari pembuangan undi, apa sebenarnya harapan BN di Manek Urai kerana kawasan ini sememangnya diketahui menjadi kubu kuat Pas selama ini.

Sepanjang tempoh berkempen, saya dapat merasai sokongan kepada BN semakin meningkat, tetapi sehingga saat akhir saya kurang yakin kita boleh menang kerana sokongan kepada Pas yang masih kuat. Jumlah kehadiran penyokong mereka pada majlis ceramah dan pada setiap peti undi begitu ramai... semangat dan komitmen penyokong Pas sangat tinggi.

Malah, hampir semua orang penting atau `heavyweight' pakatan pembangkang turun ke Manek Urai... Hadi Awang, Nasharuddin Mat Isa, Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, semua turun berkempen. Nik Aziz juga banyak berceramah dan buat pertama kali, beliau sendiri turun ke peti undi pada hari pembuangan undi... sesuatu yang tidak pernah dilakukan beliau sebelum ini.

Ketika tempoh kempen, saya berjumpa bukan saja penyokong Pas, tetapi juga beberapa pemimpin parti itu di DUN Manek Urai. Mereka inginkan perubahan, tetapi tidak mahu mendedahkan diri atau mengisytiharkan keluar daripada Pas kerana takut ditekan oleh pemimpin dan penyokong Pas yang lain. Begitulah keadaan di Manek Urai sehingga ada yang mempunyai pandangan bahawa jika mereka mengundi BN, Nik Aziz akan dapat melihat perbuatan mereka itu.

Walaupun berminat menyokong BN, ada antara mereka yang takut mengundi BN. Ada juga yang berpendapat dengan hanya melihat gambar Nik Aziz saja, mereka akan dapat pahala... begitulah kuatnya pengaruh Pas, mereka taksub dan fanatik terhadap Pas dan saya terpaksa melalui laluan yang amat sukar. Jadi, keputusan pilihan raya ini tidaklah mengejutkan sangat walaupun kadangkala saya berasa kita mungkin (boleh) menang tipis kerana kerja kuat serta faktor bilangan ahli Pas yang kecewa dengan parti itu semakin besar.

Seperti biasa, isu agama dimainkan Pas dan ia antara faktor utama yang menyumbang kepada kekalahan BN. Bagaimana pula dengan isu royalti minyak atau pergolakan dalam Umno Kelantan sendiri.

Isu utama ialah penggunaan agama untuk meraih sokongan politik. Penyokong Pas fanatik. Ramai menyatakan mereka sajalah mewakili perjuangan Islam, manakala Umno pula dituduh parti yang menolak Islam.

Isu lain pada saya tidaklah besar peranannya. Benar isu royalti minyak dibangkitkan oleh Pas, tetapi ia bukan isu besar khususnya bagi ahli Umno dan orang atas pagar. Mengenai pergolakan dalam Umno pula, kita berjaya mengurangkannya ke tahap paling minimum. Bagi saya, isunya bukan pergolakan, tetapi kurangnya komitmen pekerja parti. Pergolakan di Umno Bahagian Kuala Krai berikutan pertandingan dalam bahagian memang sering diperkatakan, tetapi saya berpendapat ia mempunyai kesan yang amat kecil.

Jika dilihat kepada undi rosak, jumlahnya lebih banyak berbanding undi majoriti. Mungkin ia tanda protes daripada ahli parti sendiri kepada calon BN.

Undi rosak sebanyak 117 dan undi majoriti pula 65. Saya mendapat laporan secara lisan bahawa ada pengundi yang tak suka kepada calon dan merosakkan kertas undi. Hakikatnya, BN menampilkan calon terbaik, iaitu Tuan Aziz Tuan Mat.

Bagaimana pula dengan sokongan bukan Melayu dan pengundi muda di Manek Urai kepada BN.

Manek Urai cuma mempunyai kira-kira 50 pengundi bukan Melayu. Pengundi Cina dan India memberikan sokongan padu kepada BN. Bagi pengundi muda pula, jelas kepada kita bahawa semakin ramai berpihak kepada BN dan inilah antara punca undi kita meningkat dengan mendadak. Golongan anak muda ini memerlukan pembelaan dari segi peluang pekerjaan dan peluang berniaga. Anak muda di Manek Urai inginkan perubahan supaya mereka mendapat peluang yang lebih dan kampung halaman mereka dapat dimajukan. Bagi pengundi muda (dari Manek Urai) yang berada di Lembah Klang, mereka dapat melihat secara dekat apa yang sedang diusahakan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Kita yakin ini akan membawa kebaikan kepada Umno dan BN untuk PRU ke-13.

Peningkatan undi kepada BN memang cukup banyak jika dibandingkan pada PRU ke-12. Mungkin sudah bermula tiupan angin perubahan di Kelantan atau tiupan itu sekadar berkala di Manek Urai.

Angin perubahan bukan saja sudah mula bertiup di Kelantan, malah di seluruh negara. Jelas kepada kita bahawa Umno dan BN semakin diterima rakyat. Pada PRU ke-12, ada pengundi yang terlanjur... hanya ingin mengajar BN dan mengurangkan kerusi yang dimenangi kita. Bagaimanapun, kini ada yang menyesali perbuatan itu. Oleh yang demikian, kita perlu menggunakan kemenangan moral di Manek Urai ini untuk membawa perubahan di Kelantan serta seluruh negara. Kita yakin keputusan ini isyarat jelas mengenai kebangkitan Umno dan BN. Ini petanda baik sebagai persediaan untuk kita menghadapi PRU ke-13. Namun, perlu diingat kemenangan tidak akan datang bergolek... kita perlu bekerja keras.

Bagaimanapun, pembangkang mendakwa penurunan undi mereka kononnya disebabkan taktik kotor BN menggunakan wang dan menyalahgunakan agensi kerajaan sebagai alat berkempen.

Itu memang perangai pembangkang. Apa saja yang busuk dan buruk, kitalah (BN)... kita ini bodoh, mereka bersih, maksum, tak ada buat silap apa-apa. Memang alasan itu yang sering dimainkan oleh pembangkang. Kalau mereka kalah, akan kata macam-macam (alasan)... dulu masa mereka kalah, tuduh ada pengundi hantu (mengundi BN), tetapi bila mereka menang seekor hantu pun tak ada. Sebenarnya, kita pun ada terima maklumat bahawa pembangkang mengadakan perjumpaan di sebuah hotel di Kuala Lumpur dengan pengundi Manek Urai yang ada di ibu negara, menjanjikan habuan bagi mereka yang pulang mengundi. Selain itu, macam-macam benda turut diberikan kepada penduduk Manek Urai. Dalam hal kewangan ini, kita perlu ingat yang Pas sekarang bukan macam dulu lagi... Pas sekarang sudah kaya, ada banyak duit.

Bagaimana pula dengan janji BN untuk membawa pembangunan ke Manek Urai.

Saya sedang mengumpul semua permohonan berkaitan perkara itu dan kita akan kaji semuanya... ada yang kerajaan akan luluskan, tetapi keputusan itu akan dibuat mengikut kemampuan kewangan kerajaan. Mana yang kita mampu, kita akan bantu... kita tidak akan abai dan menganaktirikan Manek Urai, sebaliknya akan terus membawa kemudahan yang diperlukan oleh penduduk kawasan itu. Walaupun kalah pada pilihan raya kecil lalu, kita akan terus membela rakyat di sana kerana BN adalah parti dan kerajaan yang bertanggungjawab. Umno akan meneruskan tanggungjawab membawa kemudahan ke Manek Urai dan Kelantan. Kita menerima banyak permintaan daripada rakyat, antaranya permohonan bantuan membaiki rumah dan bantuan kebajikan masyarakat. Timbalan Perdana Menteri pun terima banyak permohonan termasuk bina masjid. Bantuan yang bakal disalurkan nanti bagaimanapun mesti bersesuaian dengan kemampuan Kerajaan Pusat dan kita berharap pada PRU ke-13 kelak, rakyat Kelantan dapat menilai keikhlasan kita.

Pada hari pembuangan undi tempoh hari, dilaporkan berlaku kekecohan. Apa saranan Datuk supaya kejadian seperti itu tidak berulang.

Kita amat dukacita dengan penyokong Pas yang bertindak di luar batasan di Sekolah Kebangsaan (SK) Peria. Ada penyokong mereka yang terlalu emosional dan berlagak samseng, mereka `boo' dan menghina pemimpin serta penyokong BN. Saya percaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis sudah membuat apa yang terbaik untuk pengundi, tetapi amat sukar untuk mengawal penyokong fanatik Pas yang bertindak secara tidak rasional. Saya ingin mencadangkan kepada SPR beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan ketegangan dan menjimatkan perbelanjaan kerajaan seperti berikut:

# Proses penamaan calon dimansuhkan, sebaliknya mereka yang ingin bertanding boleh mendaftar dengan pegawai pilihan raya tanpa diiringi penyokong. Ini kerana di mana-mana pilihan raya, biasanya ribuan penyokong mengiringi calon hingga kadangkala timbul keadaan tegang. Ia juga membabitkan kos yang tinggi kepada kerajaan dan juga parti bertanding.

# Melaksanakan tempoh bertenang atau 'cooling off period' satu hari sebelum pilihan raya di mana sebarang bentuk kempen tidak dibenarkan.

# Pada hari pengundian, penyokong tidak dibenarkan berada di sekitar tempat membuang undi, jadi tidak akan berlaku laung-melaung serta ketegangan di kalangan penyokong, manakala perbelanjaan kerajaan juga boleh dikurangkan kerana sebarang kawalan keselamatan tidak diperlukan.

Proses pengundian adalah proses yang suci dan tidak harus dicemari oleh mana-mana pihak. Langkah yang disarankan ini bukan saja dapat mengurangkan perbelanjaan, tetapi juga mengekalkan keharmonian di kalangan penyokong parti.

Jika mengambil kira perkembangan dan peningkatan sokongan rakyat di Manek Urai, mungkinkah BN boleh merampas kembali Kelantan pada PRU ke-13 nanti.

Semakin ramai rakyat Kelantan menolak Pas. Pas diberi peluang hampir 20 tahun memerintah di Kelantan dan orang muda serta pengundi luar dapat membuat penilaian mengenai kelemahan Pas... mereka bukan maksum, ada yang menyeleweng dan mengumpul kekayaan. Yang penting, kita perlu menampilkan tokoh agama yang berwibawa untuk menangkis dakyah Pas. Kita perlu mengenal pasti lebih ramai orang berilmu yang boleh meyakinkan rakyat bahawa Umno adalah parti Islam yang menegakkan syiar Islam. Kita perlu memperhebatkan 'psy-war' atau perang saraf.

Ini semua bergantung kepada komitmen dan kesungguhan. Kita sudah membina landasan di Manek Urai dan kita perlu memperkuatkan landasan itu untuk memastikan sokongan kepada Umno dan BN meningkat dan momentum ini terus digerakkan.

Pada masa ini, saya rasa kita belum dapat mendabik dada yang kita boleh menang pilihan raya di Kelantan, tetapi apabila langkah yang diumumkan oleh Perdana Menteri semakin banyak dilaksanakan dan dengan pendekatan mesra rakyat serta program memfokuskan kepada rakyat atau 'people centric', saya yakin rakyat Kelantan dan Malaysia akan menerima BN serta semakin selesa dengan BN.

Bagaimanapun, semua itu bergantung kepada beberapa perkara seperti berikut;

# Kepemimpinan yang berwibawa pada peringkat bahagian dan cawangan.

# Komitmen ahli parti dan kesungguhan tinggi untuk meraih kemenangan.

# Calon pilihan raya yang berwibawa dan disenangi rakyat.

# Disiplin di kalangan ahli parti supaya apabila keputusan (berhubung calon pilihan raya) dibuat oleh Presiden parti, semua mesti akur kepada pilihan yang diputuskan.

# Pengurusan kerja yang lebih cekap pada peringkat bahagian dan cawangan.

# Jentera penerangan dan perang saraf yang berkesan supaya kerja baik yang kita lakukan dapat diterjemahkan ke dalam bentuk undi dan dalam gerakan ini, tokoh agama yang berwibawa perlu dibabitkan.

Apakah nasihat Datuk kepada rakyat Kelantan yang masih menolak kesungguhan Kerajaan Pusat untuk membawa pembangunan di negeri itu.

Saya nasihatkan rakyat Kelantan supaya menilai sendiri perkembangan 20 tahun di bawah pemerintahan Pas dan saya rasa, memang rakyat Kelantan sudah dapat menilai. Selama dua dekad Pas diberi peluang untuk membawa perubahan di Kelantan, tetapi yang ada hanyalah slogan dan janji kosong hingga rakyat pun sudah letih mendengar janji Pas dan mula timbul keraguan mengenai kemampuan kerajaan negeri untuk melaksanakan agendanya. Ringkasnya, Pas tidak bermaya dan tidak berupaya memenuhi janji yang dibuat, tetapi terserahlah kepada rakyat Kelantan untuk menilai.

Bagi BN, kita adalah parti dan kerajaan yang bertanggungjawab dan jangan sekali-kali mempertikaikan keikhlasan kita dalam menunaikan tanggungjawab itu. Kini, ada konsep 1Malaysia yang membela rakyat pada semua peringkat... janganlah pertikaikan keikhlasan kita dalam menjayakan agenda 1Malaysia. Kita akan membela penduduk miskin, rakyat di luar bandar, orang Melayu dan semua bangsa mengikut kemampuan kewangan kita. Tidak ada yang dianaktirikan dan kita tidak sekali-kali menzalimi mana-mana pihak.
Soal Jawab: Gelombang senyap di Manek Urai isyarat pengundi mahu perubahan
Bersama Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak

BAGI Umno dan Barisan Nasional (BN), peningkatan undi pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai menjadi penyuntik semangat, kalah undi tetapi menang moral. Pas pula cuba menyedapkan hati penyokongnya dengan kenyataan `menang, tetap menang’ selepas hampir dimalukan dengan hanya bersandarkan majoriti 65 undi. Banyak pihak berpendapat peningkatan undi diraih calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat sebagai mesej bahawa rakyat mula kembali kepada Umno dan kian menolak Pas. Wartawan Berita Minggu, ROHANIZA IDRIS mendapatkan pandangan Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak, mengenai kesan perkembangan di Manek Urai itu kepada politik Kelantan.



PILIHAN raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai menyaksikan BN tewas buat kali kelima pada pilihan raya kecil selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU 12). Apa pandangan Prof berhubung perkara ini.

Pilihan kecil raya Manek Urai sangat menarik untuk dianalisis dalam konteks politik orang Melayu, khususnya pertarungan Umno-Pas di Kelantan. Kekalahan tipis Barisan Nasional (BN) bagi saya tidak begitu signifikan (penting) tetapi yang lebih utama adalah mengenai undi Pas yang merosot begitu teruk, sehingga Pas sebenarnya hampir kalah di Manek Urai. Inilah persoalan yang menjadi minat ramai orang.

Berdasarkan kepada kemenangan tipis Pas, adakah bermakna sokongan kepada BN mula meningkat terutama di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Manek Urai memperlihatkan dengan jelas dan nyata betapa sokongan kepada BN meningkat mendadak, dan pengaruh Pas pula merosot begitu teruk. Persoalannya, apakah fenomena ini hanya khusus bagi Manek Urai atau ia menjadi satu gelombang senyap baru yang sedang menjalar di bawah tanpa kita menyedarinya? Apakah masyarakat Melayu kini mula berubah sikap politik mereka selepas melihat apa yang berlaku dalam politik negara sejak setahun lalu? Kita memerlukan satu kajian perbandingan sebelum kesimpulan sebegini boleh dibuat. Barangkali jika ada satu lagi pilihan raya kecil di kawasan majoriti Melayu, maka perkara ini pasti akan menjadi semakin nyata. Jika tidak, ahli-ahli akademik harus membuat sedikit penyelidikan bagi melihat apakah ‘trend’ baru ini menyeluruh atau bersifat lokal. Yang pasti, kepemimpinan Najib mula memperlihatkan impak. Approval rating Najib juga sudah meningkat dengan signifikan. Rakyat mula serasi dan merasai ‘dampak’ kepemimpinannya

Apakah angin perubahan sudah mula bertiup di Kelantan atau tiupan itu terhad sekadar di Manek Urai.

Ternyata tiupan angin perubahan sudah bermula di Manek Urai, walaupun kalah dari segi bilangan undi, tetapi dari segi moralnya Umno telah berjaya di sana. Bukan mudah untuk menembusi kubu Pas, tetapi Manek Urai memperlihatkan ia tidak mustahil dilakukan. Lonjakan semangat sebeginilah yang Umno perlukan sangat-sangat sekarang untuk kembali bangkit selepas menerima pukulan teruk dalam pilihan raya umum lalu dan beberapa pilihan raya kecil sebelum ini. Sebenarnya kalau kita melihat dengan teliti, pilihan raya Parlimen Bukit Gantang sebelum ini pun memperlihatkan isyarat awal perubahan sikap dalam politik masyarakat Melayu. Sokongan orang Melayu kepada Umno meningkat dengan agak banyak di Bukit Gantang. Di Bukit Gantang, Pas menang kerana undi bukan Melayu. Tetapi apabila undi bukan Melayu tidak ada di Manek Urai, Pas hampir kecundang. Apa pun yang berlaku di Manek Urai mungkin akan didakwa sesetengah pihak sebagai kes terpencil tetapi saya melihat bahawa ini tidak seratus peratus tepat.

Adakah kekalahan ada kaitan dengan kempen Pas bahawa Umno tidak Islam, Pas lebih Islam dan isu royalti minyak atau disebabkan pergolakan dalam Umno Kelantan sendiri.

Saya melihat bahawa kekalahan tipis Umno kerana pengundi tradisi Pas yang masih taksub dan enggan berubah. Di Kelantan, malah di Terengganu juga, terdapat banyak kawasan pilihan raya yang mana kekuatan Pas dan Umno hampir seimbang. Ertinya pengundi atas pagar memainkan peranan sangat penting dalam menentukan kemenangan mana-mana parti. Jika sedikit saja penyokong setia Pas dapat dialihkan, Umno pasti menang. Begitulah sebaliknya kepada Pas. Inilah yang sangat sukar Umno lakukan kerana menarik pengundi setia Pas bukan satu kerja mudah. Masalah dalaman Umno mungkin lebih sesuai dijawab oleh orang lain. Tetapi saya melihat, ini masalah yang sedang diatasi dan boleh diatasi. Tetapi saya mendapat maklumat bahawa isu Pas tidaklah begitu signifikan di Manek Urai. Sebaliknya kegagalan Pas mengubah nasib penduduk Manek Urai telah memberi pukulan teruk kepada parti itu kerana Pas tidak mampu menjawab isu-isu ini dengan meyakinkan. Rakyat perlukan kemudahan asas yang Pas tidak mampu berikan.

Adakah kekalahan ini berkaitan rapat dengan faktor setempat yang mana Manek Urai adalah kubu kuat Pas.

Pengaruh Pas sememangnya kuat di Manek Urai. Sebab itulah walaupun ia telah diasak dengan begitu hebat oleh Umno, Pas masih mampu menang tipis. Pada 2004 ketika Umno berada dalam kedudukan yang sangat selesa, Umno cuma menang dengan majoriti 53 undi. Tetapi keupayaan Umno mengurangkan majoriti Pas lebih daripada 1,000 undi adalah satu pencapaian besar. Umno perlukan strategi jangka panjang untuk tawan semula kawasan ini dan kawasan lain yang seumpamanya di Kelantan. Tumpuan kepada pengundi muda perlu dibuat dan tambahkan ahli dan penyokong setia Umno di kawasan kritikal. Umno perlu bina perpaduan kental di setiap bahagian. Inilah pendekatan yang Umno perlukan dalam jangka panjang.

Jika dilihat kepada jumlah undi rosak, ia lebih banyak daripada majoriti diperoleh calon Pas. Apa yang menyebabkan perkara ini, adakah ia tanda protes kepada calon BN kerana jika tidak rosak, mungkin calon BN boleh menang dan bagaimana dengan jangkaan Exco Kelantan, Datuk Husam Musa, calonnya akan kalah.

Saya kurang pasti apa sebenarnya punca undi rosak yang angkanya lebih besar daripada majoriti kemenangan Pas. Mungkin ia akibat kesilapan pengundi sendiri. Ramai pengundi warga emas di kampung kadang-kala tersilap ketika memangkah kertas undi. Mungkin ini mengakibatkan kertas undi mereka ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Jangkaan Husam yang menyatakan calon Pas mungkin kalah adalah satu strategi politik ketika kempen. Itu bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Pas dan penyokong Pas tidak lari. Mungkin juga, Husam cemas apabila melihat asakan Umno yang bertubi-tubi sehingga menembusi kubu Pas. Calon Pas juga tidak dapat mengatasi calon Umno dari segi latar belakang akademiknya. Jadi untuk mengatakan undi rosak kerana protes kepada calon BN, saya kira mungkin tidak begitu tepat.

Perlukah BN memfailkan petisyen di mahkamah untuk pengiraan semula undi di Manek Urai.

Saya kira kalau BN mempercayai ada asas yang kuat untuk bertindak demikian, maka tidak ada salahnya memfailkan petisyen di mahkamah. Di Kuala Sanglang, Perlis, petisyen pilihan raya Pas berhasil, dan calon pilihan raya Pas, Hashim Jassin diisytihar menang selepas keputusan mahkamah menyebelahinya. Jadi asas untuk membawa perkara ini ke mahkamah harus kuat. Jika ada kes, pastinya Umno boleh membawanya ke mahkamah jika mereka mahu.

Bolehkah kita terjemahkan kekalahan tipis BN di Manek Urai ini sebagai mewakili suara majoriti di Kelantan yang kian menolak Pas. Mungkinkah BN boleh merampas kembali Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti?

Saya melihat bahawa di Manek Urai, pengaruh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat walaupun masih ada, sudah mula dipersoalkan. Tanggapan bahawa Nik Aziz tidak boleh disentuh di Kelantan tidak seratus peratus benar. Di Manek Urai, sebahagian besar pengundi memilih untuk melihat perubahan taraf hidup mereka daripada memilih untuk ‘hidup-mati’ dengan Nik Aziz. Jika tidak undi Pas tidak akan merosot sehingga lebih 1,000 undi. Ertinya, keikhlasan Umno untuk mengubah nasib rakyat Kelantan mestilah diterjemahkan dengan menampilkan perubahan ketara. Cara bekerja Umno dan kaedah mendekati rakyat perlu berubah. Sekali lagi, pada saya ialah tumpukan kepada perpaduan Umno di bahagian dan fokus kepada pengundi muda. Di Kelantan tempoh 18 hingga 20 tahun adalah satu tempoh pusingan peralihan politik. Nik Aziz sudah terlalu lama menjadi Menteri Besar di Kelantan dan selama itulah Pas masih belum mampu menampilkan tokoh pelapis untuk menggantikannya. Husam belum mampu menandingi ketokohan Nik Aziz. Umno mempunyai ramai tokoh yang boleh mengimbangi Husam, kalaulah Husam pilihan Pas Kelantan untuk menggantikan Nik Aziz. Jadi pertarungan politik di Kelantan pasca Nik Aziz sangat terbuka. Umno boleh menang jika strategi dan tindakan taktikal mereka betul. Buatlah ‘pelaburan politik’ kepada pengundi muda secepat mungkin.

Bagaimana dengan pertembungan Umno-Pas dalam menawan pengundi Melayu selepas ini? Apakah isu perpaduan Melayu akan terus menjadi semakin penting sekarang? Di mana pula kedudukan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Umno dan Pas ialah dua parti Melayu yang penting di Malaysia. Tetapi tidak bagi PKR. Suatu ketika dulu Parti Gerakan diasaskan oleh orang Melayu iaitu Profesor Syed Husein Alattas. Ia ditubuhkan bagi memperjuangkan keadilan untuk masyarakat berbilang kaum dan menentang rasuah. Inilah latar dan asas perjuangan parti Gerakan dulunya. Tapi kini Gerakan menjadi parti pelbagai kaum yang didominasi etnik Cina. Apakah nasib sama akan menimpa PKR? Sekarang ini pun arah tuju dan wawasan politik PKR tidak jelas. Pengaruh golongan radikal bukan Melayu dalam PKR sangat kuat. Agenda Islam langsung tidak ada tempat dalam PKR. Unsur Melayu dalam PKR sudah semakin cair dan menipis. Kawalan pemimpin Melayu dalam PKR juga semakin longgar. Sesetengah orang Melayu melihat PKR lebih prihatin nasib bukan Melayu berbanding orang Melayu sendiri. Malah ada orang Melayu yang merasakan sudah tidak ada bezanya antara PKR dan DAP. PKR mungkin menghadapi krisis selepas ketiadaan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tetapi hal yang sama tidak berlaku dalam Umno dan Pas. Walau apa pun krisis yang melanda, Umno masih kental dengan agenda Melayunya. Percubaan untuk merungkaikan agenda perjuangan Islam dan Melayu dalam Pas belum lagi berjaya sepenuhnya. Kekalahan puak Erdogan dan kemerosotan teruk undi Pas di Manek Urai mungkin menyedarkan Pas betapa mereka tidak boleh lari daripada perjuangan asas untuk menjaga Islam dan orang Melayu di Malaysia. Jika tidak, Pas akan dihukum orang Melayu.
Buang bayi perbuatan orang jahiliah

Oleh Abdul Bari Awang

Islam sangat mementingkan kehidupan, kesejahteraan manusia

HUKUM seorang ibu menggugurkan janin atau kandungannya tidak disebut secara jelas dalam al-Quran dan hadis Nabi.

Namun apa yang jelas, al-Quran dan Hadis Nabi mengharamkan pembunuhan kerana Islam adalah agama yang sangat mementingkan kehidupan dan kesejahteraan manusia seluruhnya.

Antaranya Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan barang siapa membunuh seorang yang beriman dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka Jahannam, dia kekal di dalamnya. Allah murka kepadanya, dan melaknatnya serta menyediakan azab yang besar baginya" (an-Nisa': 93).

Malah, kejinya perbuatan membunuh juga dapat dilihat dalam sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Tidak halal darah seorang Muslim (haram membunuhnya) kecuali disebabkan berlakunya salah satu daripada tiga perkara: kafir setelah beriman (murtad), zina setelah berkahwin, membunuh jiwa tanpa jiwa (membunuh tanpa alasan yang benar)".

Namun persoalannya, apabila seorang ibu terpaksa menggugurkan kandungannya, adakah ini bermakna, ibu berkenaan dalam kategori membunuh? Jadi, adakah pengguguran adalah jenayah yang sama dengan pembunuhan? Adakah kandungan atau janin sama nilainya dengan nyawa manusia yang sudah dilahirkan?

Bagi menjawab persoalan ini, ulama sudah membahagikan janin kepada dua peringkat; iaitu peringkat janin sebelum ditiupkan roh dan peringkat janin selepas ditiupkan roh berdasarkan dalil hadis Nabi SAW.

Sabda Nabi yang bermaksud: "Sesungguhnya seorang kamu berada di dalam perut ibunya selama 40 hari sebagai nutfah (air mani), kemudian bertukar menjadi 'alaqah (segumpal darah) selama itu juga (40 hari), kemudian bertukar menjadi mudhghah (seketul daging) selama itu juga (40 hari), lalu Allah SWT mengutuskan seorang malaikat, maka diperintahkan dengan empat kalimat, dan dikatakan kepadanya: tulislah amalnya, ajalnya, celaka atau bahagia, kemudian ditiupkan roh ke dalamnya (janin)".

Peringkat pertama ini adalah peringkat ketika janin baru terbentuk sehinggalah ia berumur 120 hari yang bersamaan dengan empat bulan. Ketika ini, janin tidak dianggap sebagai benda hidup, malah janin masih dianggap sebagai benda yang tidak bernyawa kerana roh belum lagi ditiupkan ke dalamnya.

Justeru, jika seorang ibu terpaksa menggugurkan kandungannya atas sebab tertentu yang dibenarkan hukum syarak maka inilah waktu yang paling selamat untuk menggugurkan janin. Ia adalah pandangan, sebahagian ulama daripada Hanafiyyah, Malikiyyah, Syafi'iyyah, dan Hanabilah.

Namun sebahagian besar ulama tetap mengharamkan kecuali demi menjaga keselamatan ibu. Ada juga pandangan dari sebahagian ulama Syaffi'iyah yang membenarkan pengguguran pada peringkat ini walaupun janin itu adalah hasil daripada zina dan rogol.

Asas kepada pandangan ini ialah pengguguran janin sebelum umurnya mencecah 120 hari tidak dianggap sebagai pembunuhan, kerana janin belum lagi bernyawa (Muhammad Naim Yasin, 1996 Ali Mahyuddin & Ali Yusuf. (2006).

Walaupun, pengguguran janin ketika peringkat ini tidak dikira sebagai pembunuhan, namun sebahagian ulama daripada Syafi'iyyah dan Hanabilah mengharamkannya, malah mereka makin melarang perbuatan menggugurkan janin apabila janin makin membesar. Dengan kata lain, dosa menggugurkan janin, walaupun tidak sama dengan dosa membunuh jiwa seorang yang hidup, namun perbuatan ini tetap berdosa, dan darjah dosanya semakin membesar dengan meningkatnya umur janin (Muhammad Naim Yasin, 1996).

Pada peringkat kedua pula, iaitu selepas janin ditiupkan roh (selepas 120 hari), semua ulama berpendapat bahawa hukum menggugurkan janin itu berubah menjadi haram dan berdosa kerana janin sudah pun dianggap hidup dan bernyawa (Muhammad Naim Yasin, 1996).

Oleh itu, Islam melarang dan mengharamkan ibu menggugurkan kandungannya ketika peringkat ini, kecuali dengan satu sebab saja; iaitu jika janin mengancam nyawa ibu berdasarkan pengakuan yang dibuat oleh pakar perubatan, dan pengguguran janin adalah satu-satunya cara dan jalan untuk menyelamatkan nyawa ibu. Asas kepada pendapat ini ialah nyawa ibu lebih berharga daripada nyawa janin. Justeru, nyawa janin terpaksa dikorbankan demi menjaga keselamatan ibu (Muhammad Naim Yasin, 1996).

Adapun alasan kerana malu, takut miskin, dan sebagainya tidak membolehkan seorang ibu menggugurkan kandungannya sebaik saja janin berusia 120 hari.

Menurut Imam Sayyid Qutb, terdapat pertalian yang amat erat antara larangan membunuh anak dan larangan mendekati zina kerana daripada zina lahirlah anak yang tidak diingini, lalu mereka dibunuh dan dibuang begitu saja. Malah, perbuatan berkhalwat antara seorang lelaki dan seorang wanita (berdua-duaan di tempat sunyi) dianggap sebagai muqaddimah (permulaan) dan pintu kepada zina.

Oleh itu, berkhalwat dan segala perbuatan yang boleh membawa seseorang kepada zina turut diharamkan dalam Islam. Asas kepada larangan ini ialah Allah amat menyayangi hamba-Nya. Justeru, Dia yang Maha Pengasih dan Penyayang melarang hamba-Nya daripada terbabit dalam zina yang hanya akan membawa bahaya yang besar kepada diri dan masyarakat seluruhnya (Sayyid Qutb, 2000).

Sayangnya, kebanyakan ibu yang terpaksa menggugurkan janin di Malaysia khasnya adalah hasil daripada hubungan haram (zina). Jika janin itu tidak digugurkan sudah menjadi rahsia umum bahawa bayi itu akan dibuang ke dalam tong sampah, diletakkan di hadapan rumah orang malah masjid tempat ibadat yang begitu suci juga pernah dijadikan sasaran tempat buangan bayi.

Perbuatan membuang bayi pada masa kini menyamai perbuatan Wadulbanat orang Arab pada zaman Jahiliyyah yang menanam hidup-hidup anak perempuan mereka sebelum datangnya pembimbing agung Nabi Muhammad SAW. Malah, perbuatan membuang bayi pada masa kini lebih jahiliah dari perbuatan jahiliah terdahulu kerana pada zaman itu bayi dibezakan jantinanya. Hanya anak perempuan yang ditanam dan bukan anak lelaki, namun sekarang bayi lelaki juga menjadi bayi buangan yang dibuang oleh ibu kandungnya sendiri.

Biasanya wanita yang terlanjur berada dalam dilema berhadapan dengan dua pilihan, membuang bayi atau melakukan pengguguran janin. Ada yang memilih pengguguran janin.

Walaupun pengguguran hasil zina sebelum janin berusia 120 hari dibolehkan oleh sebahagian ulama, namun pengguguran ini bukan menjadi suatu cara untuk mengharuskan atau menghalalkan zina. Wanita yang terbabit dengan masalah zina mesti menyedari bahawa hidup dalam kitaran dosa, zina dan pengguguran, adalah sebuah kehidupan yang penuh kegelapan, penderitaan, penyiksaan, dan penghinaan. Mahukah kita terus dibelenggu dengan dosa, kegelapan, dan penghinaan?

Bertaubatlah dan kembalilah ke pangkal jalan sebelum kematian datang menjemput sedangkan kita masih berada dalam kegelapan dan kealpaan. Berusahalah sedaya upaya untuk keluar daripada kepompong sempit yang penuh dengan najis dan kotoran jahiliah moden, dan carilah cahaya yang dapat melenyapkan kegelapan hati nurani.

Imam al-Shafiie ada menyebut ilmu itu cahaya, dan cahaya yang dapat menyinari kegelapan ini hanyalah dengan mencari ilmu pengetahuan yang berguna.

Pengguguran janin dan pembuangan bayi yang semakin membarah hari ini adalah punca daripada hilangnya rasa tanggungjawab dan rasa hormat terhadap wanita pada tahap yang sepatutnya, dan juga kesan daripada tandusnya penghayatan ilmu agama dalam masyarakat.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab bersama menangani isu keruntuhan akhlak dan gejala sosial yang semakin mengancam keamanan masyarakat dan menjadi semakin parah seperti penyakit barah terutama isu-isu yang membabitkan penghinaan terhadap wanita seperti masalah zina dan rogol.

Sikap menuding jari ke arah orang lain tidak akan menyelesaikan masalah, malah sikap terpuji ialah setiap orang perlulah melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing serta bersama-sama berusaha dalam menyelesaikan masalah masyarakat dan sama-sama membangunkan masyarakat.

Antara sabda Nabi yang selayaknya menjadi pedoman orang beriman dulu, sekarang dan selamanya ialah: "Setiap kamu adalah pemimpin (yang mempunyai tanggungjawab masing-masing), maka setiap orang akan ditanya mengenai rakyatnya (orang atau tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya)�" (hadis muttafaq 'alaih).

Penulis adalah Penolong Profesor, Jabatan Fikah dan Usul Fikah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Kedai nyanyian Shazrina

Anak antara manusia terkaya di Malaysia, Shazrina Tan Sri Azman, mewarisi kemewahan cinta kepada muzik daripada ibu dan bapanya.




MASIH ingatkah anda kepada lagu Are We Rap Star Now?, Doodat dan Goodvibes yang popular sekitar 1999? Lagu yang didendangkan kumpulan Teh Tarik Crew atau TTC yang terdiri daripada Altimet, Mizz Nina, Fiquentional dan DJ Fuzz itu begitu terasa tenaganya.

Biarpun era itu sudah berlalu, pemilik suara wanita tunggal di dalamnya, Mizz Nina, atau Shazrina Azman, 29, masih tekad memperjuangkan muzik yang begitu dipercayainya itu.

Bagaimanapun, Shazrina sudah menukar 'kiblat' genre muziknya. Anak bongsu Pengerusi Kumpulan AmBank Berhad, Tan Sri Azman Hashim, itu memilih untuk melatih suaranya menyanyikan lagu berentak jazz dan blues pula.

"Suara sama seperti mana-mana instrumen muzik yang lain. Ia boleh dan perlu dilatih. Kombinasi inilah yang menjadikan ramai penyanyi mempunyai suara yang sedap didengar," katanya.

Peminat Janet Jackson

Peminat setia Janet Jackson itu turut menekankan yang muzik bukan sekadar menyanyi dan mempunyai vokal yang hebat.


BUKTI kemampuan wanita dalam bidang pengurusan studio dan muzik.





Ungkapnya, muzik mampu membebaskan jiwa yang terperangkap, letih dan sakit.

"Ia adalah terapi terbaik untuk melegakan perasaan yang tertekan yang boleh dilakukan, dialami dan dihayati oleh semua peringkat umur," ujarnya.

Tambahnya, muzik juga dapat mengaktifkan semua deria terutama pendengaran.

"Kerana itulah, pembelajaran standard di mana-mana studio ialah mendengar. Kita akan diajar mendengar melodi. Memahaminya dan barulah menyanyi," katanya yang tidak lekang dengan senyuman.

Menariknya, Shazrina berkongsi perspektif itu dengan bapa tersayang.

Azman, 70, yang turut dikenali sebagai Singing Banker, juga memilih untuk berehat dengan menyanyi di samping meluangkan hujung minggunya untuk bermain golf, menunggang kuda, jet ski, memandu bot berkuasa besar, kereta sport dan selam skuba.

Dinobatkan majalah Forbes sebagai lelaki ke-11 terkaya di Malaysia pada tahun lalu dengan harta beranggaran RM2.1 bilion, beliau pernah dipetik berkata: "Saya juga menyanyi untuk menghiburkan (pendengar).

"Walaupun saya lebih terdedah kepada lagu-lagu lama, saya juga gemarkan lagu nyanyian Michael Buble, Celine Dion dan Elton John."

Namun, pengaruh yang lebih besar ke atas minatnya itu datang daripada ibunya, Tunku Arishah Tunku Maamor.

"Sebagai anak bongsu, saya lebih banyak menghabiskan masa dengan ibu yang amat gemar menyanyi. Setiap kali ibu berkumpul bersama-sama teman untuk menyanyi, saya akan turut serta. Secara tidak langsung minat saya terhadap nyanyian juga timbul," kongsinya yang mula terdedah kepada seni itu sejak berumur enam tahun.

The Singing Shop menjadi bukti cinta ibunya terhadap muzik dan nyanyian. Menubuhkan sekolah nyanyian itu sejak tahun 1988, kini Shazrina pula diamanahkan untuk menerajuinya selaku pengarah.


ILHAM dan aura yang dibangkitkan oleh ibu membuatkan Shazrina tidak menyesal meninggalkan bidang hebahan radio.


Mula serius dengan tugasnya sejak dua tahun lalu, anak jati Kuala Lumpur itu memberitahu, The Singing Shop kini sedang dilengkapi dengan peralatan dan kepakaran muzik yang terbaik seperti bilik audio, bilik rakaman, bilik latihan vokal dan nyanyian serta pentas.

"Walaupun sudah terasa lengkap, tetapi ia masih belum sempurna. Perkembangan teknologi yang pesat dan enigma dalam bidang ini membuatkan kami perlu sentiasa memberi perhatian terhadap arus perubahannya.

"Mujur kami mempunyai tenaga pengajar dan jurutera bunyi yang terbaik. Pendek kata, studio ini dapat memberi yang paling bagus kepada pelajar dari aspek pengajaran, latihan dan rakaman," jelas Shazrina.

Gadis yang boleh bermain drum ini pernah menjadi deejay selama tujuh tahun di beberapa stesen radio.

Malah, pengalaman bekerja bersama stesen radio Fly.FM cukup mengajar beliau erti sabar dalam menghadapi realiti kehidupan.

Tujuh tahun jadi deejay radio

"Paling mudah, disiplin diri. Berada di konti seawal pukul lima pagi mengajar saya supaya menghargai masa.

"Begitu juga dengan menyanyi. Di sini, saya menghargai suara saya dengan berlatih untuk menjadikannya lebih 'indah'," katanya.

Mendengar beliau mengalunkan beberapa bait lagu, terbukti nyanyiannya bukan kosong.

Secara peribadi, Shazrina tidak menganggap wujud perbezaan dari aspek gender apabila melibatkan pengurusan studio.

"Yang penting, peralatan dan tenaga kerjanya. Semuanya perlu profesional," ujarnya yang pernah mendapat pendidikan di International Council of Music (ICOM) pada tahun 2002.


SELESA dengan irama jazz, Shazrina membuktikan nyanyian bukan bidang picisan.


Menurutnya, secara teori, semua orang boleh menyanyi.

"Yang penting ialah cara suara itu dicorak dan digubah mengikut kemampuan seseorang itu. Justeru, tidak mustahil yang 'buta nada' juga mampu menyanyi dengan baik," katanya.

Peningkatan terhadap program realiti sedikit sebanyak memberi impak terhadap kemasukan pelajar ke sekolah nyanyian.

Katanya, meskipun kedatangan pelajar bermusim, beliau melihatnya sebagai tempat mengasah teknik nyanyian serta persembahan mereka.

"Macam Sharizan dan Cheryl Samad. Mereka tahu mereka sudah bagus dalam nyanyian tetapi mereka tetap mengambil inisiatif belajar di sini," katanya.

Dengan perancangan yang lebih teliti, Shazrina kini berusaha untuk membuka lebih banyak cawangan The Singing Shop terutama di Sabah.

Ugut sebar aksi panas

Lily rela adegan seksnya dirakam kekasih. Kini, lelaki itu mengugut untuk menghantar salinannya kepada suaminya.


LILY (kanan) membiarkan saja tindak tanduk bekas teman lelakinya kerana tidak mahu kehidupan rumah tangganya bergoncang.


“IA umpama malapetaka dalam hidup saya. Saya terpaksa mengorbankan hampir separuh gaji saya setiap bulan untuk diberikan kepada bekas teman lelaki.

“Jika saya lewat serahkan duit, dia mengugut akan menyebarkan gambar bogel dan rakaman aksi intim kami sewaktu bergelar kekasih, lima tahun lalu.

“Oleh kerana tidak mahu menanggung malu, saya terpaksa tunaikan permintaannya lebih-lebih lagi saya sudah bersuami sekarang,” ujar Lily, 27, wanita yang menjadi mangsa ugutan bekas teman lelakinya, R.


WANITA sering menjadi mangsa manakala lelaki bertindak sebagai perakam.





Menurut wanita malang ini, R mula memeras ugut apabila mengetahui dia sudah mendirikan rumah tangga awal tahun lalu.

“Saya mengakui kami telah terlanjur dan R pernah merakam aksi intim sewaktu kami berasmara. Tapi itu cerita lama iaitu semasa kami sama-sama menuntut di luar negara.

“Tapi selepas empat tahun berpisah, tak sangka dia berjaya menjejaki saya dan jadikan rakaman itu sebagai senjata untuk memporak-perandakan hidup saya,” luah Lily.

Dalam keterpaksaan, eksekutif kewangan ini menurut kemahuan R walaupun dia sedar perbuatan R itu sangat keterlaluan.

“Demi rumah tangga yang baru dibina, saya ikutkan saja kehendak R. Pernah sekali saya enggan membayar kerana baru terlibat dalam kemalangan.

“Namun, R tidak peduli. Malah dia memberi amaran salinan rakaman tersebut akan dihantar kepada suami dan keluarga jika saya ingkar,” ujarnya.

Lily juga pernah bercadang untuk membuat laporan polis dan menceritakan keadaan yang sebenar kepada suami dan keluarganya, tetapi setiap kali memasuki pekarangan balai polis, pendiriannya goyah tatkala memikirkan nasibnya jika rakaman itu tersebar.

“Saya benar-benar tertekan. Tak boleh dibayangkan betapa malunya saya, suami dan keluarga jika perkara ini diketahui umum. Bukan hanya maruah, masa depan saya juga akan jadi taruhan.

“Apa yang saya cuba lakukan sekarang ialah merayu kepada R supaya berhenti mengganggu saya. Kalau tidak, mungkin saya akan membuat laporan polis selepas yakin rahsia ini tidak akan diketahui orang,” kata Lily.

Menurut penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim, perkembangan teknologi gajet dan alat peranti tanpa wayar seperti telefon bimbit menjadi penyumbang besar kepada kebanjiran rakaman seks pasangan kekasih.

“Dengan kehadiran puluhan jenis telefon berkamera di pasaran, aksi panas lebih mudah dirakam dan disimpan di dalam memori binaan dalam ataupun kad memori gajet terbabit.

“Saya percaya aksi-aksi panas ini dirakam sekadar untuk suka-suka dan keputusan untuk menyimpannya hanya sebagai koleksi peribadi. Namun, disebabkan kecuaian, rakaman itu jatuh ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab, maka tersebarlah rakaman penuh aib tadi.

“Ironinya, orang yang berfikiran waras tidak akan mendedahkan tubuhnya untuk tatapan umum, lebih-lebih lagi ketika sedang melakukan hubungan seks di ranjang yang boleh menjatuhkan maruah sendiri,” ujar Kamal Affendi.


TELEFON bimbit merupakan peranti paling mudah untuk merakam aksi panas.


Dalam konteks ini, wanita dilihat sebagai mangsa utama. Kebanyakan rakaman video seks amatur memaparkan aksi ghairah wanita dan amat jarang ditemui rakaman yang mendedahkan muka lelaki.

Disebabkan itu, kaum wanita sering berdepan dengan ugutan penyebaran aksi panas berbanding lelaki yang menjadi perakam.

“Kebanyakan kes ugutan menjadikan kaum wanita sebagai mangsa. Namun, merujuk kepada siasatan dan kes-kes yang diadukan, pengugut tidak berniat untuk menyebarkan rakaman aksi seks tersebut sebaliknya mereka berbuat demikian kerana tidak mahu kehilangan wanita tersebut.

“Saya percaya ugutan itu hanya pura-pura. Ugutan itu cuma umpan mereka untuk memeras bekas teman wanita bagi mendapatkan wang, seks, perlindungan dan sebagainya,” kata Kamal Affendi.

Jelasnya lagi, sangat jarang pengugut menyebarkan rakaman aksi seks melainkan yang mengugut itu ialah pihak ketiga.

Nasir tembak makhluk halus

Lelaki Kuala Nerang ini mendakwa boleh mengesan kehadiran emas dan harta karun di dalam perut bumi.




MENGUBAT pesakit dengan menembak makhluk halus menggunakan senapang? Bunyinya memang pelik, tetapi itulah yang dilakukan oleh Nasir Che Ngah, 56, yang tinggal di Kuala Nerang, Kedah.

Lelaki ini didakwa boleh merawat penyakit misteri dan ‘buatan orang’, malah mengesan harta karun yang tertanam jauh di perut bumi.

Rumah Nasir yang dibina di atas tanah pusaka ibunya terletak agak terpencil daripada kediaman penduduk kampung yang lain.

Persekitaran sebegini mungkin klise sebuah drama seram televisyen atau kisah hantu dalam novel.

Bagaimanapun, kata Nasir yang lebih mesra dipanggil Abang Ali, dia tidak mewarisi ‘sesuatu’ daripada nenek moyang. Sebaliknya, kepandaiannya mengubati orang sekarang diperoleh selepas puas menuntut ilmu.

Menurut Nasir, selepas berhenti kerja di sebuah jabatan kerajaan pada tahun 1981 untuk bekerja sendiri, terdetik di hatinya untuk kembali mengaji al-Quran dan menggantikan balik ibadat yang telah diabaikannya semasa zaman remaja. Umur Nasir ketika itu ialah 28 tahun.

“Sejak itu, saya banyak berpuasa dan menghabiskan masa dengan membaca al-Quran dan hadis di rumah,” ujarnya kepada Jurnal.

Nasir memberitahu, suatu hari pada tahun 1985 ketika mendalami ilmu Islam, dia terdengar satu suara yang pada mulanya sayup-sayup tetapi lama-kelamaan suara tersebut semakin dekat. Keadaan itu berlaku selama kira-kira tiga bulan.


SERPIHAN cermin berbentuk pelik yang didakwa imej makhluk halus yang telah ditembak.






ANTARA khazanah perut bumi yang ditemui Nasir ialah serbuk emas ini.


Anehnya, Nasir tidak terkejut. Malah dia sudah menjangkakan perkara itu kerana tujuan dia menuntut ilmu adalah untuk bertemu dan bersahabat dengan entiti alam ghaib itu.

“Kini makhluk itu banyak membantu saya dalam mengubati pesakit. Malah dia juga boleh mengesan khazanah yang terdapat di dalam perut bumi,” jelas Nasir yang pernah membantu pihak muzium mengesan artifak-artifak lama yang tersembunyi di dalam tanah.

Menceritakan mengenai makhluk yang telah banyak membantunya itu, Nasir memberitahu, sebelum ‘memanggilnya’, dia perlu melakukan solat sunat dua rakaat dengan bacaan ayat-ayat tertentu dan menyatakan pertolongan yang ingin diminta.

Sungguhpun telah banyak membantu orang ramai yang dalam kesusahan seperti kereta hilang, sakit disihir, ternakan dicuri dan masalah rumah tangga, Nasir tidak terlepas daripada dituduh melakukan pengubatan songsang.

“Saya masih seorang Islam dan mengaji al-Quran macam penganut Islam yang lain. Cuma saya ada kebolehan untuk merawat pesakit,” akui Nasir.

Bincang dengan ‘mereka’

Mengenai cara pengubatan beliau, anak jati Kedah ini menjelaskan, pesakit tidak perlu datang ke rumahnya untuk berubat sebaliknya hanya waris terdekat yang mesti datang berjumpa dengannya.

“Saya perlukan nama pesakit dan berjabat tangan dengan waris untuk mengetahui sama ada pesakit ‘terkena buatan orang’ atau memang dia sakit,” jelasnya.

Ujar beliau, ada satu kes di mana seorang waris menyangka ibunya diserang pesakit misteri pada hal ibunya itu ada ketumbuhan apendiks.

“Jadi saya segera suruh anaknya itu membawa ibunya ke hospital untuk pemeriksaan dan ternyata ia benar,” kata Nasir.

Bagi pesakit yang mempunyai masalah kronik seperti disihir atau sakit yang melibatkan makhluk halus, cara menembak makhluk itu dengan menggunakan senapang dan peluru khas akan dilakukan jika pengubatan cara biasa tidak berjaya.

Pengubatan itu akan dilakukan di belakang rumahnya dengan menembak makhluk halus yang mengganggu pesakit melalui sekeping cermin.

“Apabila saya tembak, serpihan cermin itu akan membentuk makhluk yang saya lihat sebelum ini,” jelasnya yang turut menunjukkan serpihan cermin berbentuk aneh kepada wartawan Jurnal.

Apa pun, menurut Nasir, usaha mengubati pesakit tidaklah sesukar berunding dengan makhluk halus yang menjaga khazanah bumi seperti emas.

“Kerja itu lagi rumit, kena bincang dengan ‘mereka’. Kalau ada yang tidak kena, perlu bincang balik. Jangan buat mereka marah kerana makhluk halus itu sangat ‘lurus’,” tambahnya yang dahulu kerap mencari emas di hutan Pahang dan Kelantan.