KUALA LUMPUR 13 Nov. – Impian penerima jantung baru, Tee Hui Yee untuk bertemu idolanya, Siti Nurhaliza akhirnya tercapai apabila penyanyi tersohor itu meluangkan masa mengunjunginya di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.
Gadis itu jelas tergamam apabila Datin Seri Siti Nurhaliza Taruddin tiba-tiba muncul bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy dan isteri, Datin Seri Lai Yoke Lan pada pukul 9.30 pagi.
‘‘Peminat.’’ Itulah perkataan pertama yang disebut Hui Yee kepada artis pujaannya itu sehingga membuatkan Siti sebak dan dilihat mengesat air mata.
Dalam pertemuan singkat itu, Siti sempat menghadiahkan cakera padat album terbarunya yang ditandatangani beliau manakala Kong Choy pula memberikan sejambak bunga dan buku senaman Cina berjudul Qi Gong.
Sebelum beredar meninggalkan pekarangan ruang tamu wad, Hui Yee seolah-olah tidak mahu melepaskan Siti apabila dia menggenggam erat tangan penyanyi itu dan mereka berpelukan seketika.
Kisah Hui Yee yang menderita sakit jantung mendapat liputan meluas media setelah kempen mencari jantung untuknya digerakkan oleh Utusan Malaysia.
Hui Yee terpaksa menjalani pembedahan pemindahan jantung kali kedua pada pagi 5 Oktober lalu, setelah tubuhnya tidak menerima jantung pertama yang didermakan kepadanya.
Sebelum itu, Hui Yee menggunakan jantung mekanikal sejak 29 September tahun lalu.
Dia sebelum ini, ada menyatakan hasratnya untuk berjumpa penyanyi pujaan ramai itu selain artis program realiti Akademi Fantasia (AF4), Lotter.
Siti ketika ditemui pemberita selepas pertemuan itu berkata, dia berasa sangat terharu dengan ketabahan gadis itu yang terpaksa melalui saat-saat getir dalam hidup.
‘‘Dia betul-betul ada kekuatan dalaman. Saya lihat Hui Yee begitu gembira sekali bertemu saya dan saya ada memberi kata-kata semangat kepadanya supaya cekal mengharungi cabaran,’’ katanya.
0 comments:
Post a Comment