Semburan asap nyamuk tidak beracun

ULAU PINANG 13 Nov. – Kementerian Kesihatan menganggap kejadian 19 pelajar perempuan sebuah sekolah agama persendirian di Alor Star, Kedah, dikejarkan ke hospital akibat terhidu asap semburan nyamuk petang semalam, sebagai tidak munasabah dan sengaja dibuat-buat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, asap ubat nyamuk itu tidak mungkin menjadi punca pelajar perempuan Sekolah Agama Darul Ulum Ihya Ulumuddin, di Jalan Langgar mengalami muntah dan pengsan.

“Mana mungkin mereka pengsan sebab terhidu asap semburan kabus yang kita buat. Kalau asap itu beracun, sudah lama kita tidak benarkan kakitangan kita buat.

“Itu hanya alasan, ada sebab lain itu. Lagipun yang kena hanya pelajar perempuan. Bila tengok rakan mereka pengsan, yang lain pun ikut pengsan juga,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Q dan Jasamu Dikenang peringkat Jabatan Kesihatan Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang di sini hari ini.

Abdul Latiff berkata, asap semburan itu hanya dijadikan alasan oleh pihak terlibat sedangkan ada sebab lain mengapa kejadian itu berlaku.

“Tidak ada bukti dan kajian saintifik menunjukkan asap semburan untuk mencegah nyamuk aedes itu beracun. Berikan bukti. Kejadian seperti ini memang tidak munasabah,” katanya.

Akhbar hari ini, melaporkan 19 pelajar perempuan sekolah berkenaan yang berumur antara 13 hingga 19 tahun muntah dan pengsan selain pening selepas kakitangan Jabatan Kesihatan melakukan semburan asap ubat nyamuk di asrama mereka.

Mereka yang terlibat kemudiannya, dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah dengan tiga ambulans kira-kira pukul 7.55 malam dan dirawat sebagai pesakit luar sebelum dibenarkan pulang kira-kira pukul 11.40 malam.

0 comments: