Hajat Yee temui Siti termakbul



TERHARU: Siti Nurhaliza menyampaikan cenderamata kepada Yee di IJN, Kuala Lumpur, semalam sambil disaksikan Chan (dua dari kanan), ibu bapa Tee dan kakitangan hospital.

KUALA LUMPUR: Hajat penerima jantung baru, Tee Hui Yee, 14, yang sedang menjalani terapi fisiologi, untuk menemui penyanyi pujaannya Datin Seri Siti Nurhaliza Taruddin termakbul semalam apabila penyanyi nombor satu negara itu mengunjunginya di Institut Jantung Negara (IJN).

Dalam pertemuan yang diatur Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy itu, Siti yang tiba di IJN jam 9.30 pagi meluangkan masa kira-kira 10 minit bersama Hui Yee yang meminatinya sejak kecil.

"Ketika kali pertama bersua, dia kata dia peminat saya sejak kecil lagi. Saya lihat Hui Yee yang ditemani ibu bapanya begitu gembira sekali dapat bercakap dengan saya dan kelihatan semakin pulih.


"Saya akan terus mendoakan kesejahteraan Hui Yee yang turut mendoakan semoga saya terus berjaya dalam kerjaya nyanyian. Saya rasa begitu terharu dan hadiahkan dia dengan dua cakera padat (CD) terbaru saya," katanya ketika ditemui di lobi IJN selepas pertemuan itu.

Siti berkata, dalam pertemuan itu beliau memberi kata-kata semangat kepada Hui Yee dan beliau melihat ada kekuatan semangat dalam dirinya, iaitu elemen terpenting untuk kembali pulih ketika mengharungi kesakitan.

"Sebelum beredar, saya lihat sendiri walaupun demam, Hui Yee mampu berjalan sendiri perlahan-lahan. Sama-samalah kita berdoa semoga dia cepat sembuh dan organ yang baru diterima serasi dengannya," katanya sebak sehingga menitiskan air mata dalam pertemuan itu.

Siti yang ditemani pengurusnya, Rozi Abdul Razak, menjelaskan walaupun pertemuan itu singkat, ia penuh bermakna.

Selain CD, Siti menghadiahkan Hui Yee sejambak bunga dan sebuah buku Qi Gong.

Siti berkata, beliau sudah merancang melawat Hui Yee sebelum ini selepas terbaca mengenai impian remaja itu menerusi akhbar, tetapi tidak dapat dilakukan apabila Hui Yee tiba-tiba dimasukkan dalam wad rawatan rapi (ICU).

"Masa yang kami nanti-nantikan ini muncul semula apabila Datuk Seri Chan (Kong Choy) menghubungi suami saya malam tadi (kelmarin) untuk mengaturkan pertemuan ini," katanya.

0 comments: