Polis Itali disiasat

ROM – Seorang pegawai polis telah disoal siasat berhubung kemungkinan dengan insiden tembakan yang membunuh seorang peminat bola sepak sehingga mencetuskan rusuhan di seluruh Itali.

Pihak berkuasa turut menahan empat orang semalam, yang disyaki terlibat dalam rusuhan di Rome, di mana para peminat yang marah telah menyerang berek polis berdekatan stadium dan ibu pejabat Jawatankuasa Olimpik Itali.

Lapan peminat dipenjarakan di Bergamo atas dakwaan melakukan keganasan dan mencederakan pegawai awam apabila para peminat cuba meruntuhkan penghadang sewaktu perlawanan Atalanta-AC Milan pada Ahad lalu, kata polis.

Sementara itu, pihak berkuasa sukan di Rome telah memperketatkan kawalan berikutan insiden keganasan terbaru ini.

Gabriele Sandri, seorang DJ berusia 26 tahun dari Rome sedang duduk di dalam kereta yang berhenti di kawasan rehat sebatang lebuh raya berhampiran Arezzo di Tuscany apabila dia menerima tembakan maut di leher oleh seorang pegawai polis.

Ketua polis Arezzo, Vincenzo Giacobbe berkata seorang anggota polis telah disiasat yang berkaitan tuduhan membunuh.

Pada Ahad lalu, polis di Arezzo berkata bahawa pegawai itu, yang berada di sebelah sana lebuh raya, telah melepaskan dua tembakan amaran untuk meleraikan satu pergaduhan di kawasan rehat itu. Tetapi, kelmarin, mereka memberikan versi berbeza yang mereka panggil “kesilapan tragik”.

Ketua Polis Negara Antonio Manganelli berjanji akan mendapatkan cerita sebenar mengenai kejadian itu, selain mengkritik anggota polis berkenaan kerana mengambil tindakan “yang tidak perlu”.

Laporan sebelum ini berkata polis cuba menghentikan pergaduhan antara peminat-peminat Lazio dari kumpulan Sandri – yang sedang dalam perjalanan untuk menyaksikan kelab mereka bermain di gelanggang Inter Milan – dengan sekumpulan peminat Juventus, yang turut dalam perjalanan ke utara untuk menonton pasukan mereka beraksi.

Semalam, pihak berkuasa meragui bahawa pergaduhan itu berpunca daripada perseteruan antara peminat.

– AP

0 comments: