Perlis lantik hakim syarie wanita

Oleh Adha Ghazali

Pelatih perguruan berusia 24 tahun ditawar kendali Mahkamah Rendah Syariah: Shahidan

KANGAR: Perlis dijangka menjadi negeri pertama mempunyai hakim syariah wanita berikutan keputusan Majlis Fatwa negeri memutuskan tiada halangan wanita menyandang tanggungjawab itu, baru-baru ini.

Malah, Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata calon wanita sesuai sudah dikenal pasti dan surat tawaran untuk mengisi kekosongan di Mahkamah Rendah Syariah Kangar, sudah dihantar.

Jika tawaran itu diterima calon dikenal pasti, Jabatan Kehakiman Syariah Perlis menjadi yang pertama di negara ini mempunyai hakim wanita.


"Surat tawaran mengisi kekosongan jawatan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Kangar sudah dihantar kepada calon itu untuk dipertimbangkan, selepas Majlis Fatwa Negeri Perlis memutuskan tiada halangan melantik wanita ke jawatan itu," katanya di sini, semalam.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti calon itu dengan alasan ia masih dalam pertimbangan dan tiada kata putus diterima daripada calon terbabit.

"Calon itu berusia 24 tahun serta mempunyai kelayakan dan latar belakang perundangan syariah. Kini, beliau mengikuti kursus perguruan.


"Selain hakim wanita itu yang akan dipertanggungjawab mengendalikan prosiding di Mahkamah Rendah Syariah, dua lagi hakim akan turut dilantik bagi jawatan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang sudah lama kosong," katanya.

Difahamkan, setiap hari antara 10 hingga 15 kes membabitkan isu poligami, tuntutan harta sepencarian dan hak penjagaan anak dikendalikan Mahkamah Tinggi Syariah, selain kira-kira 30 kes lain seperti tuntutan cerai, fasakh, nafkah anak, mutaah dan paling popular pengesahan nikah di negara jiran oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Pada masa ini semua perbicaraan kes syariah di Perlis dikendalikan hakim iaitu Zaini Abdul Rahim dan bidang kuasa beliau hanya meliputi prosiding di Mahkamah Rendah Syariah, manakala Ketua Hakim Syarie, Datuk Kurnia Bakti Othman Ismail pula sudah tamat kontrak.

Keadaan itu menyebabkan lebih 700 kes dikendalikan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis tertangguh, selain terpaksa ditunda ke tarikh baru, berikutan kekosongan jawatan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, sejak awal Ogos lalu.

Sementara itu, Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, ketika dihubungi berkata, Majlis Fatwa memutuskan tiada sebarang halangan dalam Islam untuk membenarkan wanita memegang tanggungjawab sebagai hakim syariah, asalkan ia tidak meliputi kes hudud dan qisas.

0 comments: