Kementerian pertahan cuti bersalin ditambah

Oleh Suzianah Jiffar

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan terus memperjuangkan peruntukan cuti bersalin 84 hari bagi kakitangan sektor awam, berbanding 60 hari sekarang.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata lanjutan cuti itu bertujuan memberi masa mencukupi bagi mereka baru melahirkan anak.

"Justeru, kita harap kerajaan dapat memberi pertimbangan sewajarnya kerana kita juga mempunyai 84 alasan mengapa tempoh cuti bersalin perlu dilanjutkan.

"Antaranya ialah kita mahu memberi motivasi kepada wanita muda untuk berkahwin dan bekerja pada masa yang sama," katanya ketika menutup Kongres Wanita Eksekutif Antarabangsa 2007 (IWEC), di Magellan Sutera di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin dan Pengarah Yayasan Sabah, Tan Sri Datu Khalil Datu Jamalul.

Kongres Eksekutif Wanita Antarabangsa (IWEC) 2007 anjuran Kumpulan Yayasan Sabah itu diadakan selama tiga hari berakhir semalam.

Kementerian itu menghantar kertas cadangan cuti bersalin 84 hari kepada Kabinet tidak lama dulu, berdasarkan maklum balas pertemuan dengan Ketua Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat.

Shahrizat berkata, pihaknya puas hati kerana majikan sektor swasta di negara ini turut menawarkan cuti kepada pekerja lelaki mereka yang baru mendapat anak.

"Ketika ini, sektor awam memberi cuti tujuh hari kepada suami yang isteri mereka baru bersalin dan kelonggaran itu banyak membantu.

"Saya bangga kerana sektor swasta turut mengambil pendekatan sama," katanya.

0 comments: