Singapura gagal sedia dokumen Batu Puteh

MAHKAMAH Keadilan Antarabangsa (ICJ) semalam diberitahu, Singapura gagal mengemukakan keterangan undang-undang yang tidak boleh dipertikaikan dalam bentuk dokumen untuk menyokong hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, berkata republik itu tidak berbuat demikian dalam Nota 14 Februari 1980, iaitu bantahan penerbitan peta Malaysia mencatatkan Pulau Batu Puteh sebahagian wilayah Malaysia serta gagal mengemukakan bukti menuntut kedaulatan itu sehingga kini.

"Kedaulatan Pulau Batu Puteh tidak pernah menjadi pertikaian sehingga sebelum 1978 apabila republik itu buat pertama kalinya menimbulkan perkara itu dalam mesyuarat pada 13 April 1978 antara pegawai dua negara.

"Dalam mesyuarat itu, Singapura mendakwa negara itu mempunyai keterangan undang-undang yang tidak boleh dipertikaikan ke atas kedaulatan Pulau Batu Puteh," katanya ketika mengemukakan hujah Malaysia berhubung asal-usul pertikaian Malaysia-Singapura berkaitan kedaulatan Pulau Batu Puteh.

Abdul Gani berkata, minggu lalu Singapura mengemukakan kenyataan Perdana Menteri Malaysia berhubung hak Pulau Batu Puteh pada sidang media yang diadakan di negara itu.

Pada sidang media itu, Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew menegaskan bahawa negara itu mempunyai dokumen membuktikan hak kedaulatan ke atas Pulau Batu Puteh.

Bagaimanapun, kata Abdul Gani hingga kini Malaysia belum dapat melihat dokumen dari republik itu untuk membuktikan dakwaan berkenaan.

"Kenyataan Perdana Menteri Malaysia hanya untuk menunjukkan tanda persahabatan dan hormat pihak pelawat dalam sidang akhbar yang diadakan oleh penganjur.

"Kenyataan seumpama itu tidak mempunyai nilai untuk dipercayai mahkamah tetapi yang diperkatakan itu perkara yang perlu dibincangkan oleh kedua-dua negara, kedudukan yang diambil Malaysia.

"Bagaimanapun, apa yang menjadi pertanyaan, apakah dokumen yang didakwa dimiliki Singapura benar-benar dalam pemilikan republik itu," katanya.

Mengenai tarikh kritikal pertikaian Middle Rocks dan South Ledge, Abdul Gani berkata, Singapura hanya menimbulkan kedaulatan kedua-dua kawasan itu pada 6 Februari 1993 dalam perbincangan antara kedua-dua negara.

Sehubungan itu, katanya, dakwaan Singapura negara itu memasukkan Middle Rocks dan South Ledge sebagai perairan di sekeliling Pulau Batu Puteh dalam Nota 14 Februari 1980 tidak tepat.

Selain itu, katanya, Singapura membuat tuntutan ke atas Middle Rocks dan South Ledge sebagai sebuah perairan dan bukan dalam bentuk kawasan berdasarkan nama kedua-dua tempat berkenaan yang terkenal.

Katanya, jika republik itu benar-benar ingin menuntut kedaulatan Middle Rocks dan South Ledge, negara itu sepatutnya berbuat demikian pada 1980, sebaliknya tidak.

Sementara itu, Ejen Bersama Malaysia, Datuk Noor Farida Ariffin yang juga Duta Malaysia ke Belanda, memberitahu mahkamah bahawa Pulau Batu Puteh, Middle Rocks dan South Ledge antara kawasan maritim sebahagian daripada Johor.

Katanya, Pulau Batu Puteh dan kawasan perairan sekelilingnya digunakan oleh orang Melayu tempatan, sebagai rakyat Johor dan Kesultanan Johor.

Sehubungan itu, katanya, tidak ada sebarang perubahan politik dan sempadan pembangunan selepas 1824.

0 comments: