Showing posts with label RUHANIE AHMAD. Show all posts
Showing posts with label RUHANIE AHMAD. Show all posts
Kenapa Indonesia jadi sasaran pengganas

Oleh Ruhanie Ahmad

PERANG Anti Terorisme Global (PAKG) adalah perang yang dilancarkan oleh pendukung paradigma realisme dan puak neo-konservatif. Ini menyebabkan matlamat PAKG sentiasa dicurigai kerana penuh dengan elemen pembohongan dan berdolak-dalik.

Pendukung paradigma realisme bertindak atas pendekatan “matlamat menghalalkan cara”. Tanpa menitikberatkan aspek-aspek moral, menghormati undang-undang antarabangsa atau prihatin terhadap kesaksamaan umat manusia.

Mereka bertindak demikian kerana paradigma realisme yakin bahawa peperangan adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan untuk menyelesaikan konflik.

Paradigma realisme juga percaya bahawa dunia ini wujud dalam kerangka anarki di mana tidak wujud kerajaan yang lebih berautoriti daripada sesebuah negara yang berdaulat.

Kelompok realis juga hanya mementingkan diri sendiri, tidak mempercayai orang lain dan diizinkan untuk membunuh serta menyebabkan kemusnahan jika tindakan yang dilakukan adalah untuk memelihara kelangsungan, kepentingan dan keselamatan negaranya.

Tindakan-tindakan yang tidak berprinsip di dalam paradigma realisme hanya diizinkan jika demi kepentingan dan kelangsungan negara. Tetapi bagaimanakah jika soal kepentingan negara itu sengaja disalahgunakan untuk mencapai agenda yang tidak menepati kepentingan tersebut?

Kumpulan neo-konservatif pula adalah pendukung falsafah politik yang berusaha untuk menggunakan kuasa ekonomi dan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) bagi mengembangkan liberalisme, demokrasi dan hak-hak asasi manusia ke seluruh dunia.

Kumpulan ini berperanan penting dalam pembentukan dasar luar AS di era pentadbiran Presiden George W. Bush yang memperkenalkan Doktrin Bush menerusi PAKG.

Lantaran itu, komuniti dunia perlu berani bertindak untuk membedah matlamat sebenar PAKG serta mendedahkan elemen-elemen realisme yang tersirat di sebaliknya. Cendekiawan Islam harus mempelopori usaha ini.

Bedah dan dedahkan, benarkah tragedi 9/11 yang mencetuskan PAKG adalah angkara pengganas Islam? Benarkah PAKG sebenar-benarnya bermatlamat untuk melenyapkan terorisme Islam? Dan, tidak mungkinkah “faktor China” merupakan matlamat utama dan objektif sebenar peperangan itu?

Persoalan ini wajar dianalisis kerana peperangan preventif adalah antara peperangan yang berkait rapat dengan mekanisme keseimbangan kuasa.

Oleh itu, sebagai permulaannya, komuniti intelektual Islam di Asia Tenggara wajar mengkaji apakah motif sebenar di sebalik siri ledakan bom yang melanda Indonesia sejak AS mengisytiharkan rantau ini sebagai koridor kedua PAKG mulai Januari 2002.

Koridor pertama PAKG adalah di Afghanistan, Asia Tengah, mulai Oktober 2001. Koridor ketiganya adalah di Iraq, Asia Barat, mulai Mac 2003. PAKG di Afghanistan dan Iraq dilakukan secara terbuka. PAKG di Asia Tenggara dilaksanakan menerusi strategi Konflik Intensiti Rendah (KIR).

Persoalan ini perlu diperincikan bukan untuk membela pengganas dan keganasan. Tetapi, kerana seperti dihuraikan di atas, AS melancarkan PAKG berasaskan paradigma realisme atau doktrin Machiavillian di mana “matlamat menghalalkan cara”.

AS melancarkan PAKG untuk menjamin survival, kepentingan dan keselamatannya daripada ancaman ‘pengganas Islam’ antarabangsa. Tetapi, benarkah survival, kepentingan dan keselamatan AS diancam oleh pengganas Islam antarabangsa? Bagaimana jika perceived threats ini hanya rekaan semata-mata?

Setelah bukti-bukti yang mengatakan AS diserang oleh pengganas Islam pada 11 September 2001 dikaji secara kritikal, ternyata bukti-bukti itu adalah rekaan. Tragedi 9/11 yang mencetuskan PAKG bukannya angkara Al-Qaeda.

Kedua-dua pendedahan oleh seorang professor dari AS itu sehingga kini tidak dinafikan oleh mana-mana pihak di Amerika sendiri.

Oleh itu, siri ledakan bom di Indonesia wajar dikaji untuk memastikan mengapakah sejak akhir 2002, Indonesia sentiasa menjadi lokasi ledakan bom yang kononnya angkara Jemaah Islamiah. Apa pula mesej ledakan bom terbaru yang terjadi setelah Presiden Susilo Bambang Yudhoyono memenangi pilihan raya baru-baru ini?

Siri ledakan bom di Indonesia yang pertama disasarkan kepada pusat pelancongan di Bali, pada 12 Oktober 2002. Siri kedua membabitkan sebuah hotel antarabangsa di di Jakarta, pada pada 5 Ogos 2003. Siri ketiga melibatkan anjung Kedutaan Australia, juga di Jakarta, pada 9 September 2004. Siri keempat berlaku lagi di Bali pada 1 Oktober 2005. Siri terbaru, sekali lagi membabitkan sebuah hotel antarabangsa di Jakarta, pada 17 Julai 2009.

Tetapi, walaupun ledakan bom yang dulu dan yang terbaru adalah tindakan yang terkutuk, pastikanlah siapa dalangnya. JI atau pengganas upahan? Militan Islam atau pihak-pihak yang mahu memfitnahkan sekelompok umat Islam sebagai pengganas antarabangsa?

Maria Ressa (2003) menyatakan, siri ledakan bom itu sebenarnya dirancang untuk dilakukan oleh sekutu Al-Qaeda di Singapura, bukannya di Indonesia. Tetapi, rancangan itu dikesan dan dipatahkan oleh pihak berkuasa republik tersebut.

Singapura mematahkannya berdasarkan lima pita rakaman yang ditemui oleh tentera AS di bawah timbunan sampah di sebuah rumah yang dibom di Kandhahar, Afghanistan pada Oktober 2001. Seluruh pita rakaman itu pula dikatakan sama seperti yang dirampas daripada sebuah rumah di Singapura (Ressa 2003:153).

DATUK RUHANIE AHMAD adalah Naib Presiden Perkasa yang kini melanjutkan pengajian sarjana dalam jurusan Analisis Strategi dan Keselamatan di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Bersambung esok
Perlembagaan payung keselamatan

Oleh RUHANIE AHMAD

Matlamat Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan perlu dihayati semula sebelum pindaan dilakukan kepada mana-mana akta keselamatan negara, khususnya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Peruntukan ini memberikan kuasa kepada kerajaan untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan jenayah yang memudaratkan awam.

Ia juga merupakan teras kepada undang- undang seperti ISA, di samping mencegah pelbagai ancaman yang dijangka muncul (perceived threats) dan ancaman keselamatan bukan tradisional seperti terorisme, sabotaj, cauvinisme dan pengkhianatan.

Dalam konteks kajian keselamatan kontemporari, peruntukan ini bukan sahaja menjamin keselamatan negara, malahan keselamatan politik, keselamatan masyarakat dan keselamatan ekonomi yang dikaji secara meluas dan mendalam berikutan beberapa konflik etnik di era pasca Perang Dingin.

Antara kajian ini terkandung dalam buku-buku Buzan (1991), Buzan, Waever, De Wilde (1998), Scherrer (2003), Mackerras (2003), Guzzini & Jung (2004), Sheehan (2005), dan Booth (2007).

Keselamatan Politik

Buzan (1991:19) menyatakan, keselamatan politik adalah mengenai keupayaan organizational sesebuah negara, sistem kerajaan dan ideologi yang menjadi legitimasi kerajaan berkenaan.

Aspek keselamatan ini terkandung dalam Perkara 149(1)(b) yang mencegah tindakan "membangkitkan perasaan tidak suka terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana kerajaan dalam Persekutuan."

Dan, Perkara 149(1)(d) yang melarang tindakan "untuk mendapatkan diubah, dengan apa-apa cara lain daripada cara yang sah, apa-apa jua yang tertubuh menurut undang-undang" di Malaysia.

Maksud 149(1)(d) diperjelaskan oleh mukadimah ISA yang menyatakan "untuk mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah. Kerajaan Malaysia yang sah yang ditubuhkan menurut undang-undang."

Kedua-dua peruntukan Perlembagaan ini menjamin keselamatan politik kerana institusi Yang di-Pertuan Agong adalah lambang demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang menjadi ideologi nasional negara. Tindakan merobah kerajaan secara tidak sah pula adalah mencanggahi prinsip-prinsip demokrasi.

Keselamatan Masyarakat

Keselamatan masyarakat adalah mengenai kemampanan pola tradisional bahasa, kebudayaan dan agama serta identiti dan adat resam dalam suatu keadaan yang melalui evolusi (Buzan (1991:19)

Lazimnya, keselamatan masyarakat juga merangkumi keselamatan insan seperti keselamatan pribumi, keselamatan etnik dan keselamatan identiti.

Aspek keselamatan ini terangkum dalam Perkara 149(1)(a) yang mencegah tindakan "menyebabkan kekerasan yang dirancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan kekerasan itu;"

Perkara 149(1)(c) yang mencegah perbuatan "mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan antara beberapa kaum atau golongan penduduk yang mungkin menyebabkan kekerasan;"

Dan, Perkara 149(1)(f) yang melarang tindakan "yang mendatangkan mudarat ketenteraman awam atau keselamatan, dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya."

Peruntukan ini juga terkandung dalam Mukadimah ISA yang melarang individu melakukan keganasan terancang dan Fasal 8(1) ISA yang mengizinkan tahanan pencegahan ke atas individu yang berhasrat mendatangkan mudarat kepada keselamatan Malaysia.

Seluruh peruntukan ini selaras dengan ciri-ciri keselamatan masyarakat kerana api perkauman dan konflik etnik, jika tidak dicegah, boleh menjejaskan kesejahteraan serta identiti rakyat Malaysia yang majmuk.

Ini membuktikan ISA yang bersumberkan Perkara 149 bukan undang-undang yang bertujuan untuk melenyapkan pengkritik kerajaan, ketua parti pembangkang, pemimpin pelajar dan peneraju kesatuan sekerja, seperti dipropagandakan oleh pemimpin pembangkang tertentu di Malaysia.

Sebaliknya, Perkara 149 dan ISA adalah undang-undang yang menghalalkan tindakan sesiapa juga yang memerintah Malaysia untuk melindungi keselamatan rakyat supaya identiti mereka tidak terjejas, konflik etnik dapat dibendung dan keganasan etnik dapat dielakkan.

Keselamatan Ekonomi

Buzan (1991:19) menghuraikan, keselamatan ekonomi melibatkan akses kepada sumber-sumber, kewangan dan pasaran yang diperlukan untuk memelihara tahap kebajikan rakyat dan kuasa negara.

Aspek keselamatan ini termaktub dalam Perkara 149(1)(a) yang melarang tindakan "kekerasan yang dirancang terhadap harta", dan Perkara 149(1)(e) yang melarang tindakan yang "mendatangkan mudarat kepada ketenteraman awam atau keselamatan dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya."

Aspek ini juga terkandung dalam Fasal 8(1) ISA mengenai tindakan individu yang "boleh mendatangkan mudarat kepada penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalam negara atau kepada kehidupan ekonominya."

Huraian ini membuktikan bahawa keselamatan ekonomi negara dan rakyat adalah dilindungi oleh Perkara 149 dan ISA. Sebarang dakyah sebaliknya adalah bertujuan untuk mengelirukan rakyat supaya mendesak kerajaan memansuhkan ISA.

Keselamatan Rejim

Seluruh peruntukan dalam Perkara 149 dan ISA juga memberikan perlindungan kepada keselamatan rejim yang memfokus kepada negara, individu, dan kumpulan sosial di sesebuah negara.

Antara nilai-nilai teras yang dipertahankan menerusi konsep keselamatan rejim adalah ideologi politik pemerintah, perpaduan etnik, keharmonian agama, institusi raja, pembangunan dan kemakmuran.

Keselamatan rejim disifatkan sebagai keselamatan kerajaan (Buzan 1985) kerana ia memelihara kelangsungan negara Dunia Ketiga, khususnya bila masyarakat majmuknya tidak berkongsi nilai dan kepentingan nasional yang serupa.

Keselamatan Pribumi

Keselamatan pribumi dihuraikan secara tidak langsung menerusi konsep keselamatan etnik dan identiti yang antara lainnya adalah mengenai migrasi serta dampaknya kepada penduduk asal di sesebuah negara.

Menurut Sheehan (2005:92), Buzan menyifatkan migrasi sebagai ancaman kepada masyarakat kerana ia mengancam identiti warganegara (pribumi) di sesebuah negara. Isu migrasi dikategorikan sebagai ancaman keselamatan sejak tahun 1990-an.

Scherrer (2003:95-97) pula menyatakan, serangan terhadap identiti sesuatu kelompok boleh mendorong pemberontakan; perbuatan mempolitikkan etnisiti makin bertambah; dan etnisiti terus menjadi elemen dalam sesuatu pertelingkahan sosial.

Huraian ini membuktikan tindakan mempertikaikan peruntukan Perlembagaan mengenai Islam, Raja Melayu, Bahasa Melayu, orang Melayu, Bumiputera dan keistimewaan mereka, adalah tindakan anti-nasional.

Ini kerana tindakan sedemikian boleh "menimbulkan perasaan jahat atau permusuhan antara beberapa kaum atau golongan penduduk yang mungkin menyebabkan kekerasan," seperti yang dihuraikan dalam Perkara 149(1)(c).

Tindakan Futuristik

Oleh sebab itu para pejuang kemerdekaan Malaysia menangani masalah etnisiti seperti ini secara proaktif. Ia dilakukan menerusi kewujudan konsep pribumi yang ditafsir secara Perlembagaan dalam Perkara 160, 161A, (6)(a)), 161A(7) dan 161A(6)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Konsep kewarganegaraan rakyat bukan pribumi pula ditafsir secara Perlembagaan menerusi Perkara 14, 15, 15A, 16, 16A, 18, 19 dan 22 Perlembagaan Persekutuan. Tafsiran ini juga berasaskan prinsip muafakat dan toleransi antara kaum.

Menurut Leong H. Liew (2005:88), pemberian hak-hak kewarganegaraan kepada bukan Melayu di Malaysia adalah sebagai pertukaran kepada pengiktirafan bukan Melayu kepada hak-hak istimewa orang Melayu.

Etnik keturunan Cina khususnya, wajar menginsafi hakikat ini kerana Mackerras (2003) membuktikan bahawa layanan terhadap masyarakat minoriti di Malaysia adalah lebih baik berbanding di China, Indonesia dan Thailand.

Etnisiti di negara-negara tersebut, melainkan di Indonesia dan Thailand, memang belum pernah mencetuskan konflik seperti tragedi 13 Mei. Ini kerana ketiadaan aktor politik yang mengeksploitasikan isu-isu etnisiti.

Ini membuktikan bahawa masalah etnisiti di Malaysia boleh dibendung dan dielakkan sekiranya tiada pemimpin politik menggunakan isu berkenaan untuk mendapatkan pengaruh dan sokongan.

Menurut Leong H. Liew (2005: 92-93), eksploitasi isu-isu etnik dilakukan secara agresif oleh parti-parti pembangkang Cina sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 1969.

Mereka memperolehi pertambahan kerusi. Tetapi, tindakan mereka menyebabkan orang Melayu terancam sehingga mencetuskan ketakutan dan kemarahan yang belum pernah terjadi sejak Perang Dunia Kedua. Akibatnya adalah Tragedi 13 Mei 1969.

Pelindung Rakyat

Kesimpulannya, tragedi 13 Mei boleh berulang jika masih ada pihak mengeksploitasi isu-isu etnik. Ia juga boleh meletus kerana isu etnik yang digandingkan dengan isu hak-hak asasi kini jadi semakin ketara.

Wacana mengenai hak-hak asasi ini dimunculkan menerusi pelbagai tuntutan hak-hak sivil, politik, etnik dan demokrasi. Wacana ini terbahagi kepada aliran universalis yang menerima dukungan Barat dan aliran komunitarian yang wujud di Asia (Mackerras 2003:4-5).

Pendukung aliran universalis menitikberatkan hak-hak sesuatu kelompok. Mereka ketepikan elemen sejarah dan permuafakatan kaum. Mereka juga tidak pedulikan dampak negatif perjuangan mereka kepada keselamatan negara dan rakyat.

Gerakan ini kian menonjol di Malaysia. Kes-kes membabitkan Islam diheret ke mahkamah sivil. Keistimewaan pribumi terus dipolitikkan. Bahasa Melayu cuba disinonimkan dengan bahasa etnik lain, termasuk untuk kegunaan di papan tanda jalan.

Fenomena ini membuktikan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dan ISA adalah penting untuk melindungi seluruh peruntukan Perlembagaan mengenai pribumi yang masih dipolitikkan oleh sesetengah pemimpin parti politik di Malaysia.

Ia juga memperkukuhkan hujah bahawa seluruh peruntukan Perlembagaan mengenai Agama Islam, Raja-Raja Melayu, orang Melayu, Bumiputera, dan Bahasa Melayu tidak akan mencetuskan konflik etnik jika tidak dieksploitasi oleh sesetengah pemimpin politik dan pertubuhan sivil.

Oleh itu, rakyat Malaysia tidak harus terpengaruh dengan dakyah kononnya ISA yang bersumberkan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan adalah akta yang menindas rakyat.

Sebaliknya, semua undang-undang keselamatan di Malaysia yang bersumberkan Perkara 149, termasuk ISA adalah penting untuk menjamin keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat jelata.

Undang-undang seperti ini tidak wajar dimansuhkan. Sebarang pindaan mengenainya tidak boleh mengkompromikan matlamat Perkara 149 yang melindungi kepentingan serta kelangsungan pribumi, rakyat bukan pribumi, dan lain-lain peruntukan strategik dalam Perlembagaan Persekutuan.

DATUK RUHANIE AHMAD ialah mantan Ahli Parlimen Parit Sulong merangkap Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia atau Perkasa
Kawalan media demi pertahan nilai teras

Oleh RUHANIE AHMAD


DEMIKIANLAH hakikatnya kebebasan akhbar di Malaysia dan Singapura. Tetapi, oleh kerana sesetengah pihak yang mendakwa diri mereka jaguh kebebasan akhbar dan sering berkiblatkan kepada Amerika Syarikat (AS), maka wajarlah ditinjau apakah bentuk dan realiti kebebasan akhbar di negara tersebut.

Konsep kebebasan akhbar di Amerika Syarikat

Kebebasan akhbar di AS adalah bersumberkan The First Amendment (1791) Perlembagaan AS. Antara seluruh media di AS, media cetak paling bebas. Bagaimanapun, kebebasan akhbar di AS juga adalah bersyarat. Namun ia tidak termasuk kebebasan untuk menyiarkan bahan-bahan lucah atau pornografi. Kebebasan itu juga tidak mengatasi keselamatan serta kepentingan negara.

Media penyiaran yang terangkum di bawah First Amendment AS pula menghadapi peraturan dan sekatan.

The Communications Act 1934 AS mewujudkan The Federal Communications Commission (FCC) untuk meregulasikan radio, televisyen dan telekomunikasi. Anggota FCC dilantik oleh Presiden AS. (Ryan & Wentworth 1999:120-122).

Pada awal 1990-an kerajaan AS menggunakan alasan "keselamatan ketenteraan" untuk menyekat kebebasan akhbar. Contohnya, campur tangan ketenteraan AS di Granada, Panama dan Teluk Parsi membolehkan kerajaan menggunakan isu "keselamatan ketenteraan" sebagai alasan untuk memperkenalkan satu sistem yang menyeluruh bagi menapis penyaluran berita mengenai perang terbabit.

Wartawan yang membuat liputan Perang Teluk, contohnya, hanya diizinkan melaporkan berita-berita atas kawalan pegawai Pentagon. Wartawan yang diizin membuat liputan juga disaring oleh pihak Pentagon (Exoo, 1994:96).

Berikutan tragedi 11 September 2001, kerajaan AS pula mengambil beberapa langkah yang disifatkan sebagai menjejaskan kebebasan akhbar. Hakikat ini dihuraikan secara panjang lebar oleh Navasky (2002:28). Antaranya, Navasky menyatakan, kerajaan AS mengeluarkan arahan eksekutif untuk menghalang pengedaran kertas-kertas maklumat mengenai bekas Presiden AS.

Peguam Negara AS menarik balik andaian di sebalik Freedom of Information Act bahawa sesuatu dokumen hanya akan dilarang daripada edaran jika ia menimbulkan mudarat. Kerajaan AS juga meluluskan Patriot Act. Akibatnya, pengaliran maklumat di AS telah dikompromi dan hak rakyat AS untuk mendapatkan maklumat turut terjejas.

Hakikat kebebasan akhbar di AS seperti dihuraikan di atas membuktikan Perlembagaan AS juga memberikan kebebasan akhbar secara bersyarat.

Ia selaras dengan kebebasan akhbar yang dipelopori menerusi Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan PBB. Pada waktu yang sama, dua nilai teras yang amat dipelihara oleh AS adalah kepentingan dan keselamatan negara.

Oleh itu, kebebasan akhbar di AS tidak boleh mengatasi aspek nilai-nilai teras berkenaan.

Realiti kebebasan akhbar di Malaysia

Berdasarkan seluruh huraian di atas, kerajaan Malaysia terbukti memberikan kebebasan akhbar di negara ini selaras dengan prinsip dan konsep kebebasan akhbar yang dipelopori oleh Deklarasi Hak Manusia Sejagat, PBB dan juga AS.

Nilai-nilai teras yang dipertahankan oleh kerajaan Malaysia juga sama dengan nilai-nilai teras yang dipertahankan menerusi deklarasi itu dan juga AS. Dalam lain perkataan, kebebasan akhbar di Malaysia adalah sama piawaiannya dengan kebebasan akhbar yang dilindungi oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, selaras dengan matlamat serta prinsip PBB dan sama tarafnya dengan standard kebebasan di AS.

Pada waktu yang sama, amalan kebebasan akhbar di Malaysia juga tidak jauh berbeza dengan amalan di Singapura dan Indonesia.

Oleh itu, mengapakah pihak yang kononnya juara kebebasan akhbar di Malaysia gagal menerima hakikat? Mengapakah NGO antarabangsa yang memberikan ranking negatif terhadap kebebasan akhbar di negara ini seolah-olah tidak mahu menerima realiti? Mengapakah diketepikan kebenaran dan diperbesarkan pula kepalsuan?

Isu kebebasan akhbar di Malaysia juga menjadi polemik dan dipolitikkan. Mungkinkah kerana ia adalah antara isu terbaik untuk dijadikan perkakas yang boleh melumpuhkan kekuasaan Melayu yang menjadi teras pemerintahan negara ini? Oleh itu, adakah soal kebebasan akhbar di negara ini yang kononnya negatif akan lenyap bila kuasa negara beralih ke tangan yang lain, khususnya ke tangan bukan Melayu?

Mengapakah kelompok antarabangsa dan tempatan yang prihatin terhadap kebebasan akhbar di Malaysia tidak memberikan minat dan komen terhadap tindakan seorang exco sebuah kerajaan negeri yang menyaman sebuah akhbar Melayu dengan jumlah jutaan ringgit semata-mata kerana akhbar itu menyiarkan sebuah cerpen mengenai seorang individu yang hanya wujud dalam dunia khayalan?

Mengapakah kelompok ini juga tidak pernah membuat apa-apa kritikan bila exco yang sama juga menyaman seorang penyair dan menuntut gantirugi sebanyak RM30 juta semata-mata kerana penyair itu menghasilkan sebuah puisi yang kononnya merujuk kepada exco tersebut? Tidakkah tindakan undang-undang seperti ini merupakan langkah yang tidak kondusif kepada kebebasan berkarya dan kebebasan akhbar?

Kesimpulan

Kebebasan akhbar yang menjadi sebahagian ciri-ciri kebebasan masyarakat yang demokratik adalah kebebasan yang bersyarat dan yang dihadkan oleh nilai-nilai teras sesebuah masyarakat dan negara. Nilai-nilai teras yang sangat dititikberatkan oleh kerajaan Malaysia adalah ketenteraman awam, keselamatan negara, keharmonian kaum dan perpaduan masyarakat.

Amalan kebebasan akhbar yang bersyarat ini juga terdapat di AS, Singapura dan Indonesia. Oleh sebab itu, tuduhan kononnya kerajaan Malaysia tidak memberikan kebebasan akhbar adalah dakyah semata-mata.

DATUK RUHANIE AHMAD ialah bekas wartawan dan juga bekas Ahli Parlimen Parit Sulong
Realiti kebebasan media di Malaysia

KEBEBASAN adalah antara elemen penting dan fundamental bagi seluruh umat manusia. Elemen ini termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948. Ia dititikberatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sesebuah negara yang demokratik juga memaktubkan aspek kebebasan dalam perlembagaannya. Contohnya, Groves (1978:27) menyatakan, Perlembagaan Persekutuan memaktubkan sembilan aspek hak dan kebebasan. Satu daripadanya adalah mengenai kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

Bagaimanapun antara aspek kebebasan yang sering menjadi polemik dan dipolitikkan oleh sesetengah pihak di Malaysia adalah kebebasan akhbar.

Pihak-pihak terbabit melontarkan pelbagai tuduhan dan kecaman kononnya Malaysia tidak mengamalkan kebebasan akhbar. Mereka mendakwa kononnya Malaysia tidak mematuhi prinsip kebebasan yang termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.

Mereka juga memperbesar-besarkan ranking kebebasan akhbar Malaysia yang dikeluarkan oleh pelbagai pertubuhan antarabangsa untuk menyokong dakwaan kononnya Malaysia adalah negara yang tidak mesra akhbar dan menggunakannya semata-mata demi keselamatan rejimnya sahaja.

Anehnya, majoriti golongan yang mendakwa sebagai juara kebebasan akhbar di negara ini bukannya pengamal kewartawanan. Mereka juga bersuara dan berbicara mengenai isu tersebut bukan atas dasar profesionalisme.

Majoriti mereka adalah pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Mereka menggunakan isu kebebasan akhbar sebagai perkakas untuk mengecam kerajaan yang melaksanakan beberapa undang-undang yang matlamat utamanya adalah bagi memelihara nilai-nilai teras Malaysia yang berbilang keturunan. Mereka menggunakan isu kebebasan akhbar untuk memperolehi perbatuan siasah.

Konsep media dan akhbar

Media massa, terutamanya akhbar, tidak wujud berasingan daripada lain-lain institusi masyarakat. Ia merupakan bahagian penting dalam proses perubahan dan pemeliharaan sesebuah masyarakat (Ryan & Wentworth 1999:23). Menurut teori liberal, akhbar mempunyai empat fungsi utama, iaitu menyampaikan maklumat kepada masyarakat umum, memantau kerajaan, mendorong debat umum, dan menyalurkan pendapat umum.

Lain-lain fungsi tambahan adalah memupuk nilai-nilai utama yang dikongsikan oleh sesuatu masyarakat, membantu masyarakat menyesuaikan diri kepada perubahan, dan mendedahkan kemungkaran (Curran & Seaton, 2003: 346).

Dalam pada itu, istilah media massa pula tidak boleh didefinisikan dengan sejelas-jelasnya. Sesetengah media memang benar-benar bersifat media massa. Ini termasuklah radio, aktiviti rakaman, panggung wayang dan televisyen. Bagaimanapun, media massa lazimnya merujuk kepada radio, akhbar, televisyen dan media rakaman (Ryan & Wentworth, 1999:11).

Dalam konteks Malaysia, akhbar adalah apa-apa hasil penerbitan yang mengandungi berita, penerangan, laporan kejadian atau apa-apa pendapat, pemerhatian atau ulasan, berhubungan dengan apa-apa berita, penerangan atau kejadian, atau dengan apa-apa perkara lain, yang menarik minat orang ramai, atau apa-apa majalah, komik atau bentuk majalah berkala lain yang dicetak dalam apa-apa bahasa untuk dijual atau diedarkan dengan percuma pada lat-lat tempoh yang kerap atau tidak kerap, tetapi tidaklah termasuk apa-apa hasil penerbitan yang diterbitkan oleh atau untuk Kerajaan Persekutuan atau mana-mana Kerajaan Negeri atau Kerajaan Singapura (Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, 1984: Fasal 2).

Konsep kebebasan akhbar sejagat

Sebagaimana dinyatakan dalam pengenalan artikel ini, konsep kebebasan akhbar termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat yang diluluskan oleh PBB pada 10 Disember 1948. Artikel 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat menyatakan, setiap individu mempunyai hak kepada kebebasan bersuara dan pendapat.

Hak ini termasuklah kebebasan mempertahankan pendapat-pendapat tanpa gangguan. Ia juga merangkumi kebebasan memperoleh, menerima dan menyebarkan maklumat serta idea menerusi sebarang media tanpa mengira sempadan.

Artikel 29(2) deklarasi tersebut memaktubkan, dalam melaksanakan seluruh hak dan kebebasan, setiap individu adalah tertakluk kepada sekatan-sekatan yang ditentukan oleh undang-undang khusus.

Sekatan-sekatan itu adalah bagi memastikan keperluan-keperluan yang saksama terhadap moraliti, ketenteraman awam dan kesejahteraan umum di dalam suatu masyarakat yang demokratik.

Artikel 29(3) deklarasi berkenaan menegaskan, seluruh hak dan kebebasan tidak boleh mencanggahi seluruh matlamat dan prinsip PBB. Menurut Piagam PBB, antara matlamat dan prinsip PBB adalah pengamalan toleransi dan kehidupan bersama secara aman; bersatu memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa; menghapuskan seluruh ancaman kepada keamanan; pemansuhan tindakan-tindakan ganas; dan bertindak selaras dengan undang-undang antarabangsa untuk meleraikan persengketaan atau lain-lain tindakan yang menjejaskan keamanan.

Artikel 30 deklarasi yang sama pula memaktubkan, tiada peruntukan dalam Deklarasi yang boleh ditafsirkan sebagai menggambarkan sesebuah negara, kumpulan atau individu mempunyai hak untuk melakukan apa-apa kegiatan atau melakukan apa-apa tindakan yang bertujuan untuk menghancurkan seluruh hak dan kebebasan yang termaktub dalam deklarasi.

Huraian di atas membuktikan kebebasan akhbar yang dijamin oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat adalah kebebasan yang terhad, bersyarat, mempunyai batas dan mempunyai sekatan. Hakikat ini kurang diketahui oleh masyarakat umum.

Ini kerana pihak-pihak yang mendakwa diri mereka sebagai juara kebebasan akhbar sengaja menyembunyikan fakta-fakta tersebut supaya masyarakat umum dapat dikelirukan bahawa kebebasan akhbar adalah kebebasan yang total dan tanpa batas atau sekatan.

Huraian tersebut juga membuktikan nilai-nilai teras sejagat yang dititikberatkan dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan oleh PBB adalah kesusilaan, kesejahteraan, ketenteraman, keamanan, keselamatan, kesaksamaan, toleransi, serta pemeliharaan hak dan kebebasan manusia daripada kemusnahan.

Ini bermakna seluruh anggota komuniti dunia wajar memelihara dan mempertahankan nilai-nilai teras sejagat atau universal core values ini supaya tidak terancam dan tergugat.

Hakikatnya demikian kerana ramai sarjana keselamatan antarabangsa berpendapat ancaman dan gugatan kepada nilai-nilai teras dunia atau nilai-nilai teras sesebuah negara memang boleh mengancam keselamatan serta menjejaskan kelangsungan sesebuah negara yang berdaulat dan merdeka.

Konsep kebebasan akhbar di Malaysia

Kebebasan akhbar di Malaysia tidak dimaktubkan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Bagaimanapun, Fasal 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan memaktubkan bahawa tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4), tiap-tiap warganegara adalah berhak bebas bercakap dan mengeluarkan pendapat.

Bagaimanapun, Fasal 10 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan pula memaktubkan bahawa Parlimen boleh dengan undang-undang menggunakan ke atas hak-hak yang diberi oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, perhubungan persahabatan dengan negeri-negeri lain, ketenteraman awam untuk melindungi keistimewaan-keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Negeri atau untuk mengelakkan penghinaan terhadap mahkamah, fitnah, atau perbuatan mengapi-apikan supaya dilakukan sesuatu kesalahan.

Fasal 10(4) Perlembagaan Persekutuan pula memaktubkan bahawa pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal 10 (2) (a).

Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang perbuatan mempersoal apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau dilindungi oleh Bahagian 3, Perkara 152, 153 dan 181 berhubung dengan apa-apa jua melainkan berhubung dengan pelaksanaannya sebagaimana dinyatakan dalam undang-undang itu.

Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan yang dimaksud di atas adalah mengenai kewarganegaraan. Perkara 152 mengenai Bahasa Kebangsaan, 153 mengenai perezaban kuota mengenai perkhidmatan, permit dan sebagainya untuk orang Melayu.

Hakikat sekatan terhadap kebebasan di Malaysia seperti di atas adalah selaras dengan Artikel 29(2) Artikel 29(3) dan Artikel 30 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.

Ia juga selari dengan matlamat serta prinsip PBB. Nilai-nilai teras di sebalik sekatan yang dikenakan oleh kerajaan Malaysia pula adalah keselamatan negara, ketenteraman awam, dan perpaduan rakyat.

Ini membuktikan bahawa sekatan-sekatan terhadap kebebasan akhbar di Malaysia adalah demi kepentingan negara dan majoriti rakyat jelatanya.

Konsep Kebebasan akhbar di Singapura

Kebebasan akhbar di Singapura adalah berasaskan falsafah kebebasan akhbar PAP selaku parti pemerintah. Oleh sebab itulah PAP menjadi determinen yang tunggal dan penting kepada perkembangan akhbar di Singapura. Falsafah berkenaan adalah berasaskan kenyataan Lee Kuan Yew di Perhimpunan Agung International Press Institute di Helsinki, Finland pada 9 Jun 1971.

Kuan Yew menyatakan: "freedom of the press, freedom of the news media, must be subordinated to the overriding needs of the integrity of Singapore, and to the primacy of purpose of an elected government."

Beliau juga menyatakan, Singapura mahu "the mass media to reinforce, not to undermine, the cultural values and social attitudes being inculcated in our schools and universities."

Nilai-nilai yang dimaksudkan adalah nilai-nilai multi rasialisme, toleransi agama dan menghormati hak-hak golongan minoriti.

PAP juga berpendapat, "the press may be separate and independent of the government but in no circumstances should it imagine itself as having an equal role or status. An elected government is ultimately the only institution with the legitimacy to represent public opinion and interpret the national interest. The press is unelected, and cannot be permitted to obstruct the government as it carries out its mandate."

Falsafah kebebasan akhbar ini direalisasikan menerusi undang-undang akhbar, terutamanya the Newspaper and Printing Presses Act. (presspedia.journalism.sg: diakses pada 8 Mei 2009).

Hakikat di atas membuktikan bahawa Singapura juga memberikan kebebasan akhbar secara bersyarat, berdasarkan kepada nilai-nilai terasnya, iaitu multirasialisme, toleransi agama dan perasaan hormat terhadap masyarakat minoriti. Amalan ini adalah selaras dengan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.

Menurut presspedia.journalism.sg, kebebasan akhbar di Singapura juga diberikan berasaskan agenda pembangunan negara dan tanggungjawab sosial. Menurut www.wikipedia.org (diakses pada 8 Mei 2009).

Oleh sebab itulah kerajaan Singapura tidak berasa malu terhadap ranking kebebasan akhbar yang rendah yang diberikan oleh sebuah NGO antarabangsa. Ini kerana republik itu mempunyai ranking yang tinggi di bidang kebebasan ekonomi dan kemakmuran.

Bahagian kedua rencana ini akan disiarkan esok.

DATUK RUHANIE AHMAD ialah bekas wartawan dan juga bekas Ahli Parlimen Parit Sulong