PETALING JAYA 13 Nov. – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menasihatkan para jemaah haji supaya sentiasa bersabar menempuh ujian ketika menjalankan ibadat di Tanah Suci Mekah.
Seri Paduka turut berharap supaya para jemaah haji bersedia menunaikan ibadat haji setelah melalui kursus intensif yang dikendalikan oleh Tabung Haji.
“Beta percaya, dengan adanya kursus-kursus intensif ibadat haji ini, para jemaah kita akan lebih bersedia,” titahnya.
Seri Paduka bertitah demikian pada majlis mengucapkan selamat jalan kepada bakal jemaah haji di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya di sini, hari ini.
Turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan ialah Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.
Seramai 380 jemaah haji kumpulan keenam berangkat ke Madinah dari Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya di sini pada pukul 11 pagi ini dengan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH8006.
Dalam majlis itu, Seri Paduka dan permaisuri turut berkenan menyampaikan hadiah sehelai kain pelikat dan kain batik bagi setiap orang jemaah haji sebagai cenderamata.
0 comments:
Post a Comment