Lebih 45,000 pekerja asing berpenyakit

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Seramai 45,430 pekerja asing di Malaysia didapati gagal dalam ujian saringan kesihatan disebabkan pelbagai jenis penyakit walaupun sudah memperoleh sijil kesihatan Fomema dari negara asal mereka, sepanjang tahun lepas.

Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon berkata, sebanyak 33.5 peratus atau 15,201 orang daripada jumlah itu menghidap hepatitis B dan 23.3 peratus atau 10,569 orang berpenyakit tibi.

“Penyakit lain yang dikesan ialah sifilis (8.7 peratus), penagihan dadah (lapan peratus) dan lain-lain penyakit (28.6 peratus),” katanya menjawab soalan Datuk Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang mahukan kerajaan menyatakan jenis-jenis penyakit yang dibawa oleh pekerja asing.

Menurut beliau, semua mereka yang gagal dalam saringan kesihatan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk proses penghantaran pulang ke negara asal.

Katanya, kerajaan telah menetapkan pekerja asing menjalani saringan kesihatan dalam masa sebulan selepas tiba di Malaysia serta saringan tahunan bagi tahun pertama dan kedua ketika berada di negara ini.

“Terdapat kemungkinan beban penyakit di kalangan pendatang tanpa izin adalah lebih tinggi.

Katanya, banyak sijil yang dikeluarkan oleh klinik di negara asal juga tidak menyatakan secara tepat keadaan kesihatan mereka.

“Ini terbukti apabila 1.34 juta pekerja asing yang disaring pada tahun 2006 sebanyak 3.3 peratus didapati menghidap pelbagai penyakit,” katanya.

0 comments: