Oleh Manja Ismail
PENGENDALI Touch n' Go dan konsesi lebuh raya seharusnya berbincang mencari jalan melancarkan perjalanan, termasuk meningkatkan perkhidmatan kad elektronik itu. |
Kad elektronik lebuh raya, kemudahan lain perlu diperluas
BAGI sebahagian besar warga Lembah Klang, penggunaan kad pembayaran elektronik, Touch n' Go bagaikan satu kemestian jika mereka mahu tiba ke pejabat pada waktunya. Setiap bulan, mereka memperuntukkan sebahagian gaji untuk menambah nilai kad itu yang jumlahnya bergantung kepada kekerapan dan jarak menggunakan lebuh raya.
Walaupun ada lebih 10 lebuh raya bagi melancarkan lalu lintas di sekitar Lembah Klang, ia hanya membantu, itu pun pada waktu dan di lebuh raya tertentu, ketika mereka memandu di lebuh raya. Bagaimanapun, mereka terpaksa menempuh kesesakan teruk sebelum plaza tol dan di beberapa laluan, sebaik melepasinya.
Kesesakan sebelum plaza tol tentunya meningkat pada hari bekerja Ramadan sekarang kerana ramai mahu pulang berbuka di rumah dan pastinya semakin teruk menjelang musim pulang beraya nanti. Penggunaan lorong Touch n' Go atau Smart Tag jika laluannya di sebelah kanan, memang menjimatkan banyak waktu.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila perangkaan terbaru menunjukkan pengguna Touch n' Go kini mencecah 5.9 juta dengan 3.7 juta daripadanya adalah pengguna lebuh raya, manakala 2.7 juta lagi mereka yang menggunakan kad pintar itu untuk tujuan lain.
Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata angka itu membuktikan semakin ramai rakyat lebih selesa menggunakan kad pintar itu untuk melakukan pelbagai urusan pembayaran berbanding secara tunai yang diamalkan sebelum ini.
Bercakap selepas Melancarkan Kad 1Malaysia Touch n' Go Edisi Terhad, Jumaat lalu, beliau berkata, kerajaan menggalakkan pengguna lebuh raya beralih daripada sistem tunai kepada Touch n' Go dan Smart Tag bagi melancarkan laluan di plaza tol, terutama pada waktu puncak dan musim perayaan.
Memang sejak diperkenalkan di Plaza Tol Jalan Pahang pada Mac 1997 dan Lebuh Raya Utara-Selatan pada November 1998, Touch n' Go banyak memberi keselesaan kepada pengguna lebuh raya. Penggunaan kad itu dari plaza tol di Kempas, Johor sehingga Jitra, Kedah, menjadikan Touch n' Go satu perkhidmatan pembayaran tol elektronik untuk satu laluan terpanjang di dunia.
Kini Touch n' Go, bukan saja menjadi kad elektronik tunggal untuk pembayaran tol, malah boleh digunakan untuk pelbagai tujuan lain, terutama bagi pengangkutan awam seperti LRT, KTM komuter, bas dan perkhidmatan meletak kereta di gedung beli-belah.
Bagaimanapun, berdasarkan surat dan e-mel kepada media, banyak juga aduan daripada mereka yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan Touch n' Go � sesuatu yang tidak dapat dielakkan jika pelanggannya hampir satu perlima rakyat negara ini.
Yang paling ketara ialah kemudahan untuk menambah nilai kad elektronik itu di luar Lembah Klang dan laluan bukan Lebuh Raya Utara-Selatan. Pengguna Lebuhraya Pantai Timur (LPT), misalnya, terpaksa memastikan nilai kad mereka mencukupi sebelum keluar dari ibu kota kerana tidak ada kemudahan tambah nilai di kawasan rehat, plaza tol atau mesin ATM di stesen-stesen minyak sepanjang laluan itu.
Seorang pengadu mendakwa, pernah dia terpaksa keluar di Plaza Tol Maran sebelum masuk semula untuk ke Kuantan kerana jangkaannya dapat menambah nilai di beberapa stesen minyak sebelum Plaza Tol Gombak atau Hentian Rehat Temerloh, meleset.
Pemandu dari Kelantan, Terengganu dan Pahang yang menghala ke ibu kota tentu lebih sukar untuk menambah nilai, itu pun jika mereka ada menggunakan Touch n' Go. Berbeza dengan Lebuh Raya Utara-Selatan di mana kad itu boleh ditambah nilai di hentian rehat, ada peniaga di hentian rehat LPT yang tidak tahu mengenai kad elektronik itu.
Barangkali kerana penduduk di Pantai Timur masih lagi dianggap mundur dan pengguna LPT tidak seramai Lebuh Raya Utara-Selatan, pengendali kad elektronik itu tidak melihat usaha mempromosi Touch n' Go sebagai keutamaan.
Ada juga yang mempersoalkan bayaran tambahan 50 sen untuk menambah nilai di mesin ATM dan RM1 di mesin Simpanan Tunai. Sementara tiada caj tambahan dikenakan di kaunter Touch n' Go, pejabat operasi lebuh raya dan lorong tambah nilai, kemudahan itu hanya diperoleh di lokasi tertentu. Bagi lorong tambah nilai misalnya, ia hanya disediakan ketika keluar dari lebuh raya di plaza tol tertentu, bukannya ketika memasuki lebuh raya sedangkan bagi kebanyakan pengguna, mereka lebih suka berbuat demikian sebelum memulakan perjalanan jauh.
Tidak lama lagi kita akan menyambut Aidilfitri dan seperti biasa, kesesakan teruk berlaku di sepanjang lebuh raya, terutama sebelum plaza tol. Pengendali Touch n' Go dan konsesi lebuh raya seharusnya berbincang untuk mencari jalan melancarkan perjalanan, termasuk meningkatkan perkhidmatan kad elektronik itu di mana perlu.
Yang lebih penting, pengendali Touch n' Go jangan dilihat mengejar keuntungan semata-mata dengan hanya memberi tumpuan kepada warga Lembah Klang. Langkah terbarunya melancarkan Kad 1Malaysia Touch n' Go seharusnya mencerminkan perkhidmatan yang tidak berbeza untuk warga kota dan desa atau pengguna Lebuhraya Pantai Timur dengan Utara-Selatan.
0 comments:
Post a Comment