Ranking universiti jatuh: Menteri boleh dituduh makan gaji buta

Abdul Halim Mohd Rashid
Wed | Nov 14, 07 | 7:28:06 am MYT

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Hrkh) - Kejatuhan ranking universiti-universiti di negara ini mesti dipersalahkan kepada kerajaan terutama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed.

Sambil menyatakan kekesalan terhadap kejatuhan yang amat memalukan negara itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang Haji Abdul Fatah Harun menyifatkan perkara itu berpunca dari kesibukan Menteri Pengajian Tinggi, naib-naib canselor dan pihak berkuasa di universiti membelenggu para pelajar untuk memastikan mereka menyokong kerajaan.

"Oleh kerana terlalu sibuk memenjarakan para pelajar di dalam kandang kerajaan, menteri berkenaan, naib-naib canselor dan pihak berkuasa di universiti bukan sahaja mengakibatkan pilihan raya pelajar di institusi-instusi pengajian tinggi sama sekali tidak demokratik dan menghina daya intelek para pelajar, malah lebih buruk lagi ranking universiti-universiti di negara ini telah jatuh ke tahap yang amat memalukan kita sebagai rakyat negara ini. "Memenjarakan para pelajar di dalam kandang kerajaan seolah-olah menjadi kerja sepenuh masa menteri berkenaan, naib-naib canselor dan pihak berkuasa di universiti," kata beliau.

Kejatuhan yang memalukan itu, kata Abdul Fatah, boleh menyebabkan Menteri Pengajian Tinggi, naib-naib canselor dan pihak berkuasa di universiti dituduh makan gaji buta atau melakukan penyelewengan akademik sehingga mengorbankan nama negara lebih-lebih lagi masa hadapan serta daya saing para pelajar.

Beliau bimbang pelajar-pelajar dari luar negara tidak akan berminat lagi untuk melanjutkan pengajian di negara ini kerana kualiti yang buruk.

Baru-baru ini, ranking Times Higher Education Supplement (THES) tidak menyenaraikan walau satu pun universiti di Malaysia dalam ranking 200 universiti terbaik dunia 2007.

Keadaan itu semakin merosot berbanding tahun lalu di mana Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diletakkan dalam kedudukan 185 dalam ranking itu manakala Universiti Malaya pada ranking 192.

Mustapa kelihatan menyalahkan kaedah yang digunakan untuk membuat ranking oleh Ququarelli-Symmonds (QS), sebuah syarikat swasta British bagi pihak THES. Kaedah tersebut telah diubah, yang menurut syarikat itu bertujuan menjadikan kajian lebih tepat.

"Akibatnya ranking bagi hampir semua institusi yang tersenarai, termasuk yang berada dalam kedudukan 20 terbaik dunia juga berubah," kata menteri itu.

Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang menolak alasan yang diberikan Mustapa itu sambil menyatakan Universiti Malaya telah merudum dari tangga ke 54 ke tangga 246 sedangkan Universiti Nasional Singapura hanya jatuh dari tangga ke 19 ke tanggan ke 33 sahaja.

Beliau mempersoalkan mengapa perkara itu berlaku sedangkan kedua-dua universiti di tubuhkan di zaman sebelum merdeka.


0 comments: