Hukuman gantung, buang sekolah dikaji semula

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN

PUTRAJAYA 13 Nov. – Kerajaan akan mengkaji semula bentuk tindakan ke atas pelajar yang melanggar disiplin bagi menghapuskan hukuman gantung dan buang sekolah yang disifatkan tidak lagi relevan untuk diteruskan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar berkata, satu pendekatan baru yang lebih praktikal sesuai dengan perkembangan semasa perlu dilaksanakan supaya hukuman ke atas pelajar bermasalah lebih bersifat mendidik.

Tindakan menggantung dan membuang sekolah, katanya, hanya mengundang masalah berpanjangan kerana akan berlaku keciciran sekali gus menambahkan lagi masalah sosial.

‘‘Kajian berhubung peraturan mengenai disiplin pelajar akan dibincangkan dalam satu seminar peringkat kebangsaan yang akan berlangsung pada 25 Disember depan di Kajang, Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan kempen bergerak ke sekolah-sekolah rendah dan menengah seluruh negara untuk meningkatkan disiplin pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) di sini hari ini.

Noh berkata, seramai 500 orang termasuk pemimpin politik, badan-badan bukan kerajaan (NGO), tokoh-tokoh akademik dan pegawai pendidikan akan terlibat membincangkan mengenai hukuman tersebut secara telus dan terperinci dalam Program Peningkatan Disiplin Pelajar yang akan diadakan hujung tahun ini.

‘‘Resolusi daripada hasil perbincangan itu akan dijadikan asas untuk menggariskan peraturan baru yang bakal diguna pakai di sekolah-sekolah seluruh negara,” katanya.

Program Peningkatan Disiplin Pelajar, katanya akan meletakkan tiga kumpulan sasar untuk menangani masalah disiplin di sekolah iaitu guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pelajar.

Beliau berkata, guru-guru kaunseling akan dihantar mengikuti kursus asas undang-undang dan tatacara sebelum tindakan disiplin diambil ke atas pelajar.

‘‘Majlis Permuafakatan PIBG Kebangsaan akan menemui pengerusi-pengerusi PIBG di seluruh negara untuk mendedahkan kursus asas keibubapaan kepada pemimpin PIBG sementara pelajar didedahkan dengan ceramah dan pameran berkaitan disiplin,” katanya.

Noh menambah, kemuncak daripada Program Peningkatan Disiplin Pelajar itu ialah seminar yang akan berlangsung di Kajang dengan pembentangan 10 kertas kerja oleh pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan polis.

0 comments: