Perluas kuasa maritim -- Hujah Malaysia terhadap motif tuntutan Singapura ke atas tiga pulau

Daripada NORAINI ABD. RAZAK

THE HAGUE, Belanda 13 Nov. – Malaysia hari ini mempertahankan kedaulatan negara terhadap Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge dengan berhujah tuntutan Singapura ke atas pulau-pulau berkenaan bertujuan memperluaskan kuasa maritim republik itu di Selat Melaka dan Selat Singapura.

Pasukan Malaysia berhujah, tindakan Singapura itu ternyata merosakkan persetujuan yang telah sekian lama wujud berhubung kawalan keselamatan dan perlindungan alam sekitar di perairan yang menjadi laluan utama kapal-kapal itu.

Malaysia juga berhujah bahawa ia sentiasa menghormati peranan republik itu, bagaimanapun tuntutan Singapura menimbulkan tanda tanya mengenai apa sebenarnya yang ingin dilakukan oleh negara jiran itu di ketiga-tiga pulau yang menimbulkan pertikaian.

Tindak-tanduk Singapura itu juga, hujah Duta Tugas-Tugas Khas Malaysia, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad amat bertentangan dengan fungsi sebenar republik itu di Pulau Batu Putih iaitu semata-mata sebagai pengendali Rumah Api Horsburgh.

“Singapura tidak memerlukan pulau yang lebih besar untuk (menguruskan) rumah api dengan lebih baik. Mengapa ia memerlukan pulau yang lebih besar,” soal Abdul Kadir dalam hujah pembukaan hari pertama pusingan pertama hujah lisan Malaysia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini.

Beliau berhujah, di sebalik saiznya yang kecil, kedudukan Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge amat penting.

“Bukan sahaja ia (pulau-pulau itu) mempunyai implikasi kepada kestabilan wilayah dan maritim di Selat Singapura dan Selat Melaka.

“Bukan sahaja ia (pulau-pulau itu) mempunyai implikasi kepada kestabilan wilayah dan maritim di Selat Singapura dan Selat Melaka.

“Malah persetujuan yang telah dicapai sejak sekian lama penting untuk pengurusan bersama bantuan pelayaran, perlindungan alam sekitar di perairan serta soal- soal keselamatan di selat itu,” katanya.

Abdul Kadir dalam hujah yang ringkas tetapi padat mengaitkan tuntutan Singapura dengan polisi penambakan republik itu yang aktif selain beberapa tindakan yang menunjukkan hasrat negara itu yang didakwanya untuk menguasai perairan di situ.

Beliau yang bertindak sebagai ejen utama dalam kes itu menarik perhatian mengenai hujah Singapura dalam hujah bertulisnya berhubung cadangan penambakan di sekitar Pulau Batu Putih.

Hujah Abdul Kadir, tuntutan Singapura selain mempunyai kesan ke atas persekitaran serta pelayaran di Selat Singapura juga berpotensi untuk membawa perubahan yang serius kepada kawalan keselamatan di laluan masuk di timur selat tersebut.

Malah katanya, kaedah agresif yang digunakan oleh Singapura untuk menuntut ketiga-tiga pulau itu telah membawa perubahan kepada kestabilan di kawasan tersebut.

Beliau berhujah, sejak 1986 (selepas timbulnya pertikaian ke atas Pulau Batu Putih), Singapura telah menghantar kapal tentera lautnya ke pulau tersebut dan sejak dari tarikh itu telah menjalankan rondaan tetap 24 jam di situ.

“Ia telah menimbulkan ketegangan dan bahaya. Nelayan-nelayan Johor telah dihalau oleh pasukan peronda laut Singapura daripada perairan tradisional serta tempat perlindungan mereka di sekitar Pulau Batu Putih.

“Kapal peronda Malaysia serta para pegawai-pegawainya juga tidak boleh mendekati pulau itu tanpa dihalang secara fizikal oleh kapal peronda Singapura,” katanya.

Malah, katanya, kenyataan Singapura dalam hujah bertulisnya menunjukkan bahawa republik itu telah menempatkan peralatan komunikasi ketenteraan di Pulau Batu Putih pada Mei 1977 dan perkara itu tidak disedari oleh Malaysia sebelum ini - semestinya ia menimbulkan kebimbangan di pihak negara ini.

“Masalah Malaysia dengan Singapura ialah kehadiran tenteranya di sebuah pulau milik Johor yang terletak di laluan masuk di timur Selat Singapura.

“Kita tidak mempunyai masalah dengan Singapura sebagai pengendali Rumah Api Horsburgh,” katanya.

Penting

Abdul Kadir berhujah, dengan jumlah trafik yang menggunakan Selat Melaka dijangka meningkat daripada 94,000 kapal pada 2004 kepada 141,000 pada 2020, keselamatan pelayaran dan maritim serta perlindungan alam sekitar di situ amat penting.

Oleh itu, beliau menambah, kerjasama yang berterusan di antara negara-negara terlibat iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia amat penting dan tidak boleh dijejaskan dengan tuntutan Pulau Batu Putih, Middle Rocks dan South Ledge oleh Singapura.

Malaysia turut berasaskan kepada dua perjanjian penting pada tahun 1824, surat kebenaran kepada British untuk membina rumah api di Pulau Batu Putih (1844) serta Sistem Rumah Api Negeri-Negeri Selat untuk mempertahankan hujah bahawa pulau-pulau itu tidak pernah diserahkan kepada British pada bila-bila masa.

Perjanjian yang dirujuk ialah Perjanjian Crawfurd dan Perjanjian Inggeris-Belanda di mana di bawah perjanjian itu, Johor menyerahkan Singapura dan pulau-pulau kecil serta pulau batu dalam lingkungan 10 batu daripada republik itu kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris.

Pulau Batu Putih terletak 25.5 batu nautika daripada Singapura.

Justeru, Malaysia dalam hujah-hujahnya enggan menggunakan perkataan menuntut (seperti yang digunakan oleh Singapura) sebaliknya meminta mahkamah mengesahkan semula kedaulatan negara ke atas ketiga-tiga pulau itu.

Abdul Kadir menegaskan bahawa Pulau Batu Putih bukan terra nullius (tidak berpenghuni) sebelum rumah api didirikan di situ pada tahun 1847, justeru kehadiran British di pulau itu semata-mata sebagai pengendali Horsburgh dan peranan itu diteruskan oleh Singapura sehingga kini.

“Pada tahun 1844 Sultan dan Temenggong Johor telah membenarkan rumah api didirikan di Pulau Batu Putih dan Malaysia tidak pernah mencadangkan pengendalian yang disambung oleh Singapura sebagai satu masalah,” hujahnya.

Persidangan berlangsung di hadapan Naib Presiden ICJ Awn Shawkat Al-Khasawneh serta 15 hakim lain.

Turut membentangkan hujah-hujah lisan bagi pihak Malaysia ialah Duta Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Profesor Elihu Lauterpacht.

– Utusan

0 comments: