Oleh Norliza Wasilan
TERBAIK: Jeffrey (duduk kanan) dan Mashanis (duduk kiri) bersama pemenang kategori lain pada Pertandingan Pidato Kanak-kanak, di ibu kota, semalam. |
KUALA LUMPUR: Kepetahan menyampaikan idea yang bernas secara spontan dan lawak bersahaja ketika berpidato berjaya mencuri tumpuan juri sehingga menobatkan pelajar Sekolah Kebangsaan Damansara, Jeffrey Johan Adlan Disney, 11, sebagai Johan Pidato Kanak-Kanak Malaysia 2007.
Jeffrey yang merangkul Piala Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selepas muncul juara kategori Bahasa Inggeris membuatkan lebih 400 tetamu di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terpukau dengan persembahannya yang penuh bersemangat.
Anak kepada Penerbit dan Penulis Pendidikan, Mark Disney, 44, dan Pensyarah universiti swasta, Nina Adlan, 41, yang memenangi pertandingan sama tahun lalu, menganggap kejayaannya itu sebagai perangsang untuk memotivasikan dirinya menjadi warga negara yang kreatif serta berpandangan jauh.
"Pidato memerlukan seseorang itu pantas berfikir dalam menyampaikan hujah dan saya tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan idea," katanya selepas pertandingan yang dianjurkan Petronas itu, di sini, semalam.
Ditanya hadiah wang tunai RM1,000 yang diterima, Jeffrey berkata, RM700 akan disimpan dalam bank manakala selebihnya untuk membeli permainan kegemarannya, game boy.
Sementara itu, pelajar Tahun Enam, Sekolah Kebangsaan Seri Ketereh, Kelantan, Mashanis Mohamad, 12, yang memenangi anugerah bagi kategori Bahasa Malaysia, berkata kejayaan yang diterima adalah sebagai membalas kekecewaannya dalam pertandingan sama tahun lalu.
Anak kepada pemandu lori, Mohamad Ismail, 42, dan guru, Meriam Hashim, 37, itu mula berpidato sejak berumur sembilan tahun dan menjadikan setiap pertandingan yang disertai dilakukan secara bersungguh-sungguh tanpa tekanan.
Jeffrey dan Mashanis masing-masing menerima hadiah antaranya set komputer, trofi, wang tunai RM1,000 serta hadiah tajaan lain, daripada isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Penaung Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia.
0 comments:
Post a Comment