Bangunan PTNP Tasik Banding runtuh

Oleh ABDUL RAZAK DIN


RUNTUH... Bangunan dua tingkat yang hampir siap dan bakal menjadi pusat pentadbiran Taman Negeri Royal Belum di tebing Tasik Banding, Gerik, Perak, ranap sama sekali dalam kejadian awal pagi semalam. – Gambar HANAFI KHAMIS.

GERIK 13 Nov. – Sebuah bangunan dua tingkat milik Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) yang sudah hampir siap di Tasik Banding di sini, runtuh sama sekali dipercayai akibat kerosakan pada struktur.

Yang menjadi persoalan ialah bagaimana bangunan yang sepatutnya menjadi pusat pentadbiran Taman Negeri Royal Belum dan dibina dengan kos jutaan ringgit itu boleh runtuh sekelip mata.

Ia seolah-olah menggambarkan pembinaannya yang terletak di lereng Tasik Banding itu tidak dipantau dengan betul dan tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

Menurut saksi, separuh daripada struktur bangunan yang dibina sejak empat tahun lalu itu runtuh pada pukul 8 pagi ini dan ranap sepenuhnya kira-kira pukul 10 pagi.

Namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian runtuhan bangunan yang belum diduduki itu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, di samping bangunan yang runtuh itu, terdapat juga kejadian tanah runtuh di bahagian belakang bangunan yang dibina di lereng Tasik Banding tersebut.

Bangunan tersebut dipercayai dibina oleh kontraktor swasta.

Seorang penduduk yang juga saksi kejadian, Bileh Jalil, 18, berkata, beliau menyedari bangunan itu runtuh kira-kira pukul 8 pagi setelah terdengar bunyi yang kuat dari kawasan berkenaan.

Katanya, semasa kejadian beliau berada di sebuah gerai berhampiran jeti yang digunakan untuk berulang-alik ke sekitar pulau-pulau di Tasik Banding.

Menurutnya, selang dua jam kemudian satu lagi runtuhan berlaku, iaitu kira-kira pukul 10 pagi yang sekali gus meranapkan keseluruhan struktur bangunan berkenaan.

“Saya tidak sangka bangunan itu runtuh sama sekali kerana tiada kejadian hujan lebat berlaku semalam dan air di kawasan berkenaan sudah surut,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, hari ini.

Katanya, semasa kejadian lima orang pekerja termasuk dua Orang Asli sedang menyiapkan kerja-kerja di kawasan bangunan berkenaan.

“Saya percaya tiada kemalangan jiwa berlaku di kawasan runtuhan tersebut kerana mereka bekerja di luar kawasan kemalangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Hulu Perak, Supritendan Maahad Mohd. Nor ketika dihubungi berkata, polis sehingga kini belum menerima laporan berhubung kejadian itu.

0 comments: