Yuran PIBG sehingga RM200?

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Kementerian Pelajaran diminta menetapkan paras siling bagi yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi memastikan ia tidak membebankan golongan miskin dan yang berpendapatan rendah.

Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mendedahkan ini kerana ada sekolah yang mengenakan bayaran sehingga RM200.

Presidennya, Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, senario itu berlaku disebabkan PIBG diberi kuasa sepenuhnya untuk menentukan kadar yuran yang bakal dikenakan ke atas pelajar.

Beliau mendakwa sekiranya kementerian terbabit tidak berbuat sesuatu untuk mengatasi masalah tersebut, dikhuatiri ibu bapa tidak berkemampuan akan ‘terasa’ dalam keadaan Malaysia mempromosi sistem pendidikan percuma.

“Kami sering menerima aduan daripada mereka (ibu bapa yang kurang mampu) berhubung masalah ini. Mereka kesal dengan tindakan pihak sekolah dan PIBG yang mengenakan yuran (PIBG) terlalu tinggi.

“Itu belum lagi ditambah dengan bayaran untuk aktiviti sekolah. Mungkin setelah dicampur dengan yuran PIBG, mereka terpaksa membayar lebih daripada RM200. Bukankah kadar yuran terlalu tinggi menyusahkan mereka,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, Kementerian Pelajaran mengeluarkan satu garis panduan berhubung paras siling bayaran tambahan yang akan dikenakan ke atas pelajar pada sesi persekolahan tahun depan berdasarkan tiga pakej yang mengambil kira keadaan sosioekonomi sesebuah sekolah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, garis panduan itu dikeluarkan bagi memastikan jumlah bayaran tambahan ke atas beberapa kemudahan yang disediakan oleh pihak sekolah untuk kegunaan murid sepanjang tahun tidak membebankan ibu bapa khususnya yang berpendapatan rendah.

Mohamad menambah, berdasarkan maklumat diterima, sekolah yang mengenakan yuran PIBG yang tinggi adalah di kalangan sekolah berasrama penuh, elit serta sekolah di bandar-bandar besar.

“Menghapuskan yuran sekolah sahaja tidak akan mengurangkan bebanan ibu bapa kerana mereka terpaksa membayar yuran tambahan yang lain dan salah satunya yuran PIBG.

“Bukan semua ibu bapa berpendapatan tinggi, malah masih ramai yang dikategorikan sederhana dan tidak berkemampuan terutama mereka yang mempunyai tanggungan yang ramai,” ujarnya.

Ketika ditanya kadar yuran PIBG yang munasabah, beliau berkata, RM100 adalah maksimum tetapi ia tetap bergantung kepada faktor pendapatan ibu bapa dan jumlah tanggungan.

“Bayaran RM100 adalah maksimum tetapi jika didapati ada ibu bapa yang berpendapatan rendah atau mempunyai tanggungan yang ramai, kadarnya boleh dikurangkan.

“Sebenarnya ada sekolah yang mengenakan kadar yuran PIBG yang munasabah iaitu dalam lingkungan RM20,” ujarnya.

Sementara itu beliau memberitahu, penentuan yuran PIBG akan dibuat pada mesyuarat PIBG setiap tahun dan selepas itu kadar yang dipersetujui dimaklumkan kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

“PPD tidak akan membuat semakan terhadap kadar tersebut. Selepas ini PIBGN mahu kementerian memberi kuasa kepada PPD menyemak semula kadar yuran PIBG dengan berdasarkan paras siling yang ditetapkan,” ujarnya.

0 comments: