Penyapu jadi sumber inspirasi – Tukiman


Tukiman Nail.

SHAH ALAM 13 Nov. – “Saya letak penyapu itu dalam pejabat sebagai inspirasi serta iktibar kepada saya dan kakitangan. “Biar apabila tengok penyapu itu, kami semua akan bekerja lebih kuat lagi. Ini merupakan satu cabaran.”

Begitulah luahan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Tukiman Nail apabila bercakap mengenai anugerah ‘penyapu’ yang diterimanya kerana gagal mencapai sasaran dalam mengutip hasil cukai, dalam Majlis Anugerah Bulan Kualiti 2007 semalam.

Memang sukar bagi beliau untuk menerima hadiah yang disifatkan sebagai satu sejarah agak perit dalam hidupnya yang telah menerajui pihak berkuasa tempatan itu sejak Jun tahun lalu.

“Ini bukan kejutan... saya telah diberitahu awal beberapa hari mengenai keputusan MDHS akan menerima anugerah tersebut dan Menteri Besar pun dah beri amaran kepada semua ketua jabatan mengenai anugerah ini pada tahun lalu.

“Sesiapa pun memang sukar hendak menerima penyapu sebagai hadiah tetapi saya bersifat budiman, naik juga (ke pentas) dengan perasaan macam-macam,” katanya ketika ditemui sebelum menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor di sini, hari ini.

Semalam, pada majlis Anugerah Khas Prestasi Kutipan Hasil Negeri Selangor 2006, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menghadiahkan penyapu kepada MDHS yang diwakili Tukiman dan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor.

Sehingga sekarang, kata Tukiman, beliau menerima banyak khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada rakan-rakan yang kebanyakan menyuntik semangatnya untuk terus bekerja kuat.

Bagaimanapun, Tukiman menegaskan, anugerah tersebut diterima bagi kategori kutipan hasil cukai semasa dan tunggakan cukai yang tiada kena-mengena dengan mutu perkhidmatan awam.

“Ini bukan cerita masalah perkhidmatan tidak cekap, jalan berlubang atau tiada lampu jalan. Ini semua (anugerah penyapu) mengenai kutipan hasil cukai,” tegasnya.

Beliau menjelaskan, kawasan pentadbirannya mempunyai tunggakan cukai RM17 juta manakala cukai yang sepatutnya dikutip ialah RM23 juta.

Kebanyakannya, kata beliau, melibatkan kawasan Bukit Beruntung, Bukit Sentosa, Bandar Sungai Buaya dan Lembah Beringin iaitu kawasan tidak ramai penghuni.

0 comments: