Saya PM untuk semua kaum, agama: Pak Lah

Oleh Muhd Yusuf Abu Bakar, Matzidi Dris dan M Hifzuddin Ikhsan


PEMBANGUNAN BERTERUSAN: Abdullah meletakkan tapak tangan pada skrin komputer sambil diperhatikan (dari kiri) Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu; Pengarah Urusan Global Upline Sdn Bhd, Datuk Mohamad Daniel Abong (dua dari kiri), Abdul Taib, Chan dan Jabu (kanan) ketika merasmikan Persimpangan Bertingkat Kenyalang di Jalan Lapangan Terbang Baru, di Kuching, semalam.

KUCHING: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau adalah Perdana Menteri untuk semua kaum di negara ini, bukan hanya untuk Melayu atau umat Islam.

Katanya, sebagai Perdana Menteri, tanggungjawab yang diamanahkan menjadi pemimpin semua kaum dan agama yang ada di negara ini, termasuk penduduk di Sarawak dan Sabah.

"Sebagai ketua pentadbiran negara, tugas dan tanggungjawab saya bukan hanya di ibu negara, Kuala Lumpur, malah juga hingga ke Sarawak dan Sabah.


"Saya perlu adil bukan saja kepada orang Melayu yang beragama Islam, tetapi juga kepada kaum lain, termasuk Iban, Kadazan, Cina dan India serta agama mereka," katanya berucap pada Majlis Pelancaran Pembinaan Kompleks Islam (KIS) di Jalan P Ramlee, di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan dua timbalannya, Tan Sri Dr George Chan dan Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

KIS yang bernilai RM100 juta akan menjadi mercu tanda baru bandar raya Kuching dan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh 30 bulan selepas mula dilaksanakan April depan.


Mengenai pembinaan KIS, Abdullah berkata, perlu wujudkan ruang yang akan membolehkan mereka bukan beragama Islam menggunakan kemudahan yang ada, sekali gus dapat bergaul dan bekerjasama dari semasa ke semasa.

"Menerusi kaedah ini, hubungan masyarakat Islam dan bukan Islam di Sarawak dapat ditingkatkan melalui kefahaman masing-masing," katanya.

Beliau juga berkata, masyarakat Islam perlu menghayati serta mengamalkan ajaran sebenar Islam, yang lebih menjurus kepada kesederhanaan, bukan saja ketika berurusan dan bergaul sesama mereka malah dengan kaum dan penganut agama lain.

"Masyarakat Islam dan orang Melayu tidak boleh menjadi pelampau dalam apa juga hal. Kita tidak boleh cenderung untuk bergaduh dan mengadakan rusuhan. Sikap negatif itu perlu dikikis.

"Sikap cepat marah serta bertindak ganas yang melampau dan cenderung untuk bergaduh dan merusuh menyebabkan ada pihak melihat umat Islam sebagai pengganas," katanya.

Abdullah berkata, masyarakat Islam perlu bekerjasama dengan kaum dan agama lain untuk memajukan negara dalam pelbagai bidang dengan cara ini umat Islam bukan saja lebih dihormati, malah dicontohi.

0 comments: