Singapura menyimpang jauh

Oleh Khirul Bahri Basaruddin


KEMUKA HUJAH: Dari kiri, Syed Hamid, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Duta Besar Malaysia Ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin dan Abdul Kadir membentang fakta pada hari pertama Malaysia menyampaikan hujah pada perbicaraan ke atas kedaulatan Pulau Batu Puteh, Middle Rocks dan South Ledge yang terletak di Perairan Pantai Johor, semalam.

Persetujuan 150 tahun lalu mengenai Pulau Batu Puteh diubah secara radikal

KUALA LUMPUR: Malaysia semalam memulakan hujah di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung isu tuntutan Singapura ke atas Pulau Batu Puteh, dengan mempersoalkan tindakan republik itu yang jauh menyimpang daripada asas persetujuan antara Kesultanan Johor dan British sejak 150 tahun lalu.

Ejen Malaysia, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad, dalam hujah di hadapan panel 14 hakim tetap dan dua hakim ad hoc, berkata persetujuan itu hanya membolehkan British membina dan mengendalikan rumah api tetapi Singapura yang mengambil alih pengendaliannya, kini mendakwa pulau itu tidak bertuan sekali gus menjadi milik republik itu selamanya.

Beliau berkata, Singapura secara radikal cuba mengubah persetujuan yang sudah lama terjalin bagi mendapatkan rumah api dikenali Horsburgh serta mengubah rupa bentuk di pulau berkenaan.


"Singapura berusaha menjadikan republik itu wilayah maritim berpengaruh berdasarkan kehadirannya di Pulau Batu Puteh sebagai pengendali rumah api, sedangkan tidak pernah timbul isu berhubung wilayah perairan atau pelantar laut di sekeliling pulau itu.

"Oleh itu, tuntutan Singapura bukan saja mengganggu persetujuan yang dibuat sejak beratus tahun lalu, malah menimbulkan persoalan apa yang ingin dilakukan republik itu terhadap pulau berkenaan," katanya pada hujah lisan Malaysia di pusingan pertama berhubung hak milik Pulau Batu Puteh serta dua kawasan berhampiran - Terumbu Karang Tengah dan Terumbu Karang Selatan.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, turut hadir dalam perbicaraan yang dipengerusikan Naib Presiden ICJ, Awn Shawkat Al-Khasawneh.


Kedudukan Pulau Batu Puteh

Abdul Kadir berkata, republik berkenaan mempunyai dasar aktif berhubung penambakan laut dan dalam tuntutan bertulis ada dinyatakan cadangan untuk menambak laut sekeliling pulau berkenaan.

Katanya, Malaysia pernah membawa kes penambakan laut dengan Singapura di Tribunal Antarabangsa Mengenai Undang-Undang Laut (ITLOS) pada September 2003 dan perkara itu dalam pengetahuan ICJ.

Sambil menegaskan Singapura tidak memerlukan sebuah pulau besar untuk mengendalikan rumah api yang lebih baik, Abdul Kadir mengajukan pertanyaan:

"Apakah ia memerlukan sebuah pulau besar? Selain tindakan itu boleh memberi kesan terhadap alam sekitar dan pelayaran di Selat Melaka serta Singapura, ia juga boleh mengubah persetujuan keselamatan di pintu masuk timur Selat Singapura.

"Malah, Singapura menggunakan pendekatan agresif menuntut pulau itu dan pada 1986, selepas tarikh pertikaian bermula, republik itu menghantar kapal tentera laut ke Pulau Batu Puteh dan mengawal sekeliling pulau itu 24 jam sehingga kini.

"Nelayan Johor dihalau daripada menangkap ikan di kawasan perairan itu, manakala pegawai serta kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak dibenarkan menghampiri pulau itu, jika tidak, akan dihalang kapal perang," katanya.

Beliau berkata, Malaysia difahamkan pada 1977 republik berkenaan memasang peralatan komunikasi tentera di pulau itu, sekali gus melanggar persetujuan awal berhubung pembinaan dan operasi rumah api.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia menggunakan dasar aman dan bertindak secara baik sementara menunggu pertikaian itu diselesaikan mahkamah.

Mengenai dakwaan bahawa pulau itu tidak bertuan, Abdul Kadir memberitahu mahkamah Pulau Batu Puteh, Middle Rocks dan South Ledge berada di bawah penguasaan Kesultanan Johor, kemudian Negeri Johor dan Malaysia.

Katanya, Sultan Johor sekarang adalah pewaris kepada pihak yang menandatangani Treti Crawfurd, iaitu perjanjian persahabatan dan perikatan antara Johor dengan Britain pada 2 Ogos 1824.

Beliau berkata, melalui perjanjian itu Kesultanan Johor menyerahkan wilayahnya kepada Syarikat India Timur (EIC) untuk menubuhkan Singapura, iaitu pulau yang terletak di hujung Semenanjung Malaysia, kira-kira 600 meter dari tanah besar Johor.

Selain itu, katanya, tuntutan republik itu menafikan perjanjian wilayah antara Britain dengan Belanda melalui Perjanjian British-Belanda 1824 yang menggariskan wilayah penguasaan penjajah berkenaan.

Katanya, dalam perjanjian itu semua wilayah di selatan Selat Singapura terletak di bawah pengaruh Belanda, manakala Pulau Batu Puteh dalam penguasaan Johor dan British.

Mengenai rumah api Horsburgh, Abdul Kadir berkata, Temenggong dan Sultan Johor memberi kebenaran kepada EIC untuk membina dan mengendali rumah api itu pada 25 November 1844.

Katanya, Malaysia tidak mempunyai masalah republik itu mengendalikan rumah api berkenaan bagi memastikan pintu masuk ke Laut China Selatan aman serta stabil.

Bagaimanapun, katanya, keadaan itu ingin ditukar Singapura apabila menuntut kedaulatan pulau itu, sedangkan republik itu hanya pengendali rumah api, kedudukan yang dihormati Malaysia hingga kini.

0 comments: