Liga Itali digantung seminggu

MILAN – Jadual perlawanan bagi divisyen dua dan tiga Itali untuk hujung minggu ini akan ditunda, kata Persekutuan Bola Sepak Itali semalam berikutan kejadian keganasan bola sepak yang dicetuskan oleh satu insiden tembakan terhadap seorang penyokong Lazio oleh seorang anggota polis.

Itali akan melawat Scotland dalam kempen kelayakan Euro 2008 pada Sabtu ini, bermakna tiada perlawanan bagi Serie A tetapi perlawanan-perlawanan dalam Serie B dan Serie C pada Ahad ini telah ditunda sebagai perkabungan terhadap peminat yang mati itu.

“Keputusan oleh persekutuan ini... ialah menggantung kejohanan profesional Serie B dan C yang dijadualkan berlangsung Ahad ini,” kata Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), Giancarlo Abete kepada wartawan.

FIGC kini telah memberhentikan aksi liga buat kali kedua dalam tahun ini kerana keganasan peminat.

Itali dijadualkan bertemu Kepulauan Faroe di Modena pada 21 November manakala Serie A dijangka diteruskan pada Ahad minggu yang sama.

Terdahulu, Menteri Sukan Giovanna Melandri menggesa pihak berkuasa bola sepak itu supaya mengambil “tindakan tegas” dan menggantung kejohanan-kejohanan tempatan selama beberapa minggu tetapi Abete sudah berpuas hati dengan keputusan yang telah dibuat oleh pihaknya.

“Kami percaya bahawa kami telah memberikan isyarat penting mengenai ketegasan kami. Kami percaya bahawa dalam situasai ini, bola sepak telah menjadi mangsa dan bukanlah watak jahat,” katanya.

– Reuters

0 comments: