Peguam Negara kaji tindakan

Penganjur perhimpunan haram wajar dihukum selaras kepentingan negara: Nazri

KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail akan memutuskan mengenai tindakan yang sesuai dikenakan terhadap penganjur perhimpunan haram di ibu negara, Sabtu lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata beliau menyerahkan kepada Abdul Gani untuk mengambil tindakan sesuai selaras dengan kepentingan negara.

"Undang-undang negara perlu dihormati dan jelas kepada saya bahawa polis tidak mengeluarkan permit (bagi mengadakan perhimpunan itu).

"Mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967, mereka yang menyertai perhimpunan haram akan ditahan," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Simposium Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun di sini, semalam.

Kelmarin, Nazri memberitahu Dewan Rakyat bahawa perhimpunan haram itu ialah helah Pembangkang untuk dijadikan alasan kerana mereka pasti kalah pada pilihan raya umum akan datang.

Dengan itu mereka akan menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang kononnya tidak adil dan telus dalam mengendalikan pilihan raya.

Polis menggunakan gas pemedih mata dan semburan air untuk menyuraikan kira-kira 4,000 orang yang cuba berarak dari Jalan Tun Perak ke Dataran Merdeka dalam perhimpunan haram anjuran satu kumpulan yang menamakan dirinya Bersih yang disokong oleh lima parti pembangkang.

Seramai 245 orang ditahan untuk disoal siasat tetapi dibebaskan selepas kenyataan mereka direkodkan.

Terdahulu, dalam ucapannya, Nazri berkata, pembangunan modal insan menjadi keutamaan negara bagi membolehkannya berdaya saing menerusi penguasaan teknologi terkini.

Beliau berkata, Malaysia perlu membangunkan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi bagi memenuhi pasaran global yang teknologinya sentiasa berubah.

Katanya, kumpulan baru rakyat Malaysia berkemahiran tinggi yang mampu menterjemahkan idea dalam mengeluarkan produk baru untuk pasaran akan dapat dilahirkan menerusi transformasi sistem pendidikan.

"Saya percaya kerjasama antara Malaysia dan Jepun akan memastikan Malaysia terus mengekalkan pertumbuhan ekonomi mapan dan daya saing industri supaya setaraf dengan rakan di Jepun," katanya.

Kira-kira 400 peserta, termasuk wakil dari 15 universiti Jepun menghadiri simposium empat hari itu yang dianjurkan bersama oleh Pusat Universiti Malaysia-Jepun dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Sementara itu, di KUCHING, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit dengan perhimpunan haram berkenaan di ibu negara.

Katanya, tindakan diambil kerana mereka dengan jelas melanggar undang-undang negara, termasuk cuba menggugat ketenteraman awam.

"Polis akan pantau setiap perhimpunan haram, termasuk mengambil tindakan ke atas yang terbabit kerana tidak mahu apa yang berlaku di Batu Burok, Terengganu berulang.

"Kita dimaklumkan mereka tidak memperoleh permit untuk perhimpunan berkenaan dan ia jelas bertentangan dengan undang-undang dan polis bersedia mengawal keadaan seperti yang sudah kita lakukan," katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) Sarawak di Jalan Puncak Borneo di sini, semalam.

Musa diminta mengulas mengenai cadangan pihak tertentu yang mahu menganjurkan perhimpunan haram sama seperti di ibu negara Sabtu lalu di Batu Buruk, Terengganu malam ini, walaupun tidak dibenarkan polis.

Dalam lawatannya itu, Musa turut menemui hampir 500 rekrut konstabel polis, termasuk memberi ucapan ringkas kepada mereka yang dijangka tamat latihan pada penghujung tahun ini sebelum dihantar berkhidmat di seluruh negara.

Musa berkata, lebih baik pihak berkenaan tidak menganjurkan perhimpunan seperti di Kuala Lumpur kerana ia menggugat ketenteraman awam.

"Lebih baik mengelak kejadian seperti Sabtu lalu berlaku lagi daripada terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang yang tegas," katanya.

Dalam kejadian itu, polis menggunakan semburan air dan gas pemedih mata bagi menyuraikan perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) selepas permit penganjurannya ditolak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Mengulas mengenai perkembangan siasatan pengedaran gambar bedah siasat Nurin Jazlin Jazmin di internet, Musa menafikan pembabitan anggota polis tetapi enggan mendedahkan siapa suspek berkenaan.

0 comments: