Bahagia berbapa tiri

Dibesarkan oleh bapa tirinya sejak berusia enam tahun, Natra mengakui berasa amat bahagia dengan kehidupan yang dilayarinya sekarang.


FOTO yang dirakamkan Effa untuk mengenang bapa tirinya, Ahmad Pahaki (dua dari kiri) dan adik-adik tirinya di Johor Bahru.


"MEMPEROLEH bapa tiri bukan bermakna satu penggantian, sebaliknya, ia tambahan. Jadi, tentu lagi best sebab saya ada dua bapa," ujar An-nuura Nasuha Rasnatrazia Mohd. Rasul, 18, salah seorang anak tiri kepada Datuk Ir. Hanaffi Daud.

"Saya sayang bapa-bapa saya. Bapa kandung, saya panggil Alid (singkatan Walid bermaksud bapa dalam bahasa Arab). Saya sayang Alid kerana tanpa dia, saya tidak lahir ke dunia. Bapa tiri saya pula, saya panggil Papa. Saya juga sayang kerana tanpa dia, saya mungkin tidak ada kerana tidak dibesarkan," katanya yang disapa keluarga sebagai Natra. Natra merupakan anak kepada Wanita Ikon 2007, Datuk Normaziah Sheikh Mohamed.

Dibesarkan oleh bapa tirinya sejak berusia enam tahun, Natra mengakui berasa amat bahagia dengan kehidupan yang dilayarinya sekarang. Dia kini secara keseluruhannya mempunyai enam orang adik beradik.

Menyifatkan hubungannya dengan Papa amat akrab, mereka berdua berkongsi minat yang serupa iaitu menonton bola sepak dan fotografi.

"Saya memang 'kamceng' dengan Papa. Kami memang biasa tonton bola di TV sama-sama. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan pasukan kegemaran kami, Manchester United. Kalau Papa tidak ada, tengok bola sendirian rasa macam tak best. Kalau tak dapat tengok bola bersama-sama, kami akan saling berhubung menerusi telefon untuk mengetahui perkembangan perlawanan. Kami juga beli jersi yang sama," kata Natra yang menyifatkan Papa amat memahami.

"Bagi saya, Papa adalah kombinasi untuk segalanya. Dia banyak berjasa kepada saya dan kakak walaupun kami anak tiri. Papa memang cool. Mungkin Papa bukanlah bapa paling cool di dunia tetapi dia adalah papa paling cool bagi saya," ucapnya sepenuh hati.

Ditanya bagaimana pandangannya tentang persepsi masyarakat luar yang melabelkan bapa tiri dengan perkara-perkara negatif, Natra mengeluarkan buah fikirannya.

"Itu adalah stereotaip yang selalu digambarkan dalam drama atau media. Tetapi, hakikatnya tidak begitu. Mungkin ada yang macam itu, tetapi tidak semua. Papa saya baik. Tak macam yang banyak digambarkan dalam televisyen. Saya bahagia bersama Papa.

"Bagi saya, hubungan tiri memerlukan hubungan dua hala. Kalau satu pihak hendak berbaik tetapi satu pihak lagi tidak mahu berbaik dan berburuk sangka, satu perhubungan yang baik tidak akan berlaku," tuturnya.

Sementara itu, pembantu penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Effa Norzila Samsudin, 25, menyifatkan tanpa sokongan keluarga termasuk bapa tirinya, Ahmad Pahaki Moin, 54, dia mungkin tidak akan berjaya seperti hari ini.

"Saya masih ingat jasa dan pengorbanannya terutama semasa dia mengajar saya Matematik mengenai topik waktu dan masa sewaktu saya di bangku sekolah rendah.


Sampai pukul 2 pagi, dia menerangkan tentang perkara itu memandangkan saya terlalu susah untuk faham," katanya yang berasal dari Johor.

Sejak kecil, tambah Effa, dia tidak sanggup menulis bapa tirinya itu sebagai 'penjaga' apabila mengisi borang.

"Sepanjang hayat saya juga, dia tidak pernah mengasari saya. Seingat saya, cuma sekali tamparannya hinggap di wajah saya. Itu pun apabila saya melawan cakap emak di depan matanya," kata Effa yang amat merindui keluarganya di kampung. Hanya sekeping foto bapa tiri bersama beberapa saudara tirinya yang dirakamkannya menjadi pengubat kerinduan.

"Buat bapa tiriku, Ahmad Pahaki, Selamat Hari Bapa. Saya akan berusaha untuk terus menggembirakan dan membuat dirimu bangga. Buat bapa kandungku, anakmu ini akan berusaha sedaya upaya untuk mengambil berat akan keluargamu," ujarnya.


KATE HUDSON di samping bapa tirinya, Kurt Russell.


Nur Atiyah Rus Aizan, 14, yang masih bersekolah berkongsi ceritanya tentang bapa tirinya, Hosen Ahmad, 55.

"Saya biasa berbual dan berkongsi cerita dengan Bapak (panggilannya untuk Hosen). Memang kadang-kadang, dia agak garang terutama apabila saya terlalu leka menonton televisyen dan tidak membuat kerja sekolah. Tetapi, saya tahu dia marah kerana sayang," katanya sambil memberitahu cuma sekali dia berjumpa dengan bapa kandungnya.

"Saya anggap bapa tiri saya macam bapa saya sendiri. Sempena Hari Bapa ini, Tiyah ingin mengucapkan terima kasih kerana menjaga, mendidik dan membesarkan Tiyah selama ini. Tiyah sayang bapak!" ujarnya. - ADHAM SHADAN

Pewaris revolusi Khomeini

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
saphilla.isa@kosmo.com

Riak wajahnya nampak lembut dan santun, seiring dengan keperibadian yang perlu ada pada seorang lelaki yang warak. Namun, ketegasan, kepintaran dan kelantangannya bersuara menyerlahkan aura Ahmadinejad sebagai pemimpin sejati.




DALAM satu sidang media antarabangsa, seorang wartawan Jepun melontarkan soalan kepada Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad. "Presiden Ahmadinejad...,kenapa anda masih mempertahankan perkembangan teknologi nuklear Iran yang mengancam kedamaian dunia?" soalnya.

Dalam nada yang perlahan dan bersahaja, presiden berusia 52 tahun itu menjawab: "Anda seharusnya lebih khuatir terhadap negara yang pernah menjatuhkan bom nuklear ke negara anda, berbanding bimbangkan nuklear Iran."


PEMIMPIN Agung Iran kedua, Ayatollah Ali Khomeini berucap selepas membuang undi semasa pemilihan Presiden baru-baru ini.





Demikian ketegasan dan kepintaran seorang pemimpin bernama Mahmoud Ahmadinejad. Walaupun revolusi pemikirannya dikritik serta ditekan hebat Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya, ia tidak sedikit pun menakutkan pemimpin itu.

Bahkan, dengan ugutan demi ugutan yang dilemparkan oleh AS, yang mahu menyerang bumi Iran sekiranya Ahmadinejad masih berdegil dengan ujian nuklearnya, ia langsung tidak mengurangkan sokongan rakyat Iran ke atas Ahmadinejad.

Lebih menarik lagi, tanggal 12 Jun lalu menjadi bukti betapa rakyat Iran berdiri teguh di belakang pemimpin itu. Di sebalik harapan Barat yang mahu melihat Ahmadinejad jatuh pada pemilihan presiden ke-10 baru-baru ini, rakyat Iran menutup mulut AS dan sekutunya apabila memberi kemenangan penuh bergaya kepada presiden kesayangan mereka.

Bahkan dengan pelbagai tajuk-tajuk berita negatif serta gambaran buruk tentang Ahmadinejad dari segi cara beliau menggerakkan ekonomi dan hak asasi manusia, Ahmadinejad tetap disanjung oleh rakyat Iran.

Jika pada kali pertama memenangi jawatan presiden pada tahun 2005, Ahmadinejad mendapat 62 peratus undi, kali ini, jumlah itu meningkat kepada 62.63 peratus.

Beliau mencapai kemenangan luar biasa dengan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Kamran Daneshjoo mengumumkan menerusi televisyen bahawa presiden itu memperoleh hampir 21.8 juta undi daripada jumlah undi di 346 daripada 366 kawasan pengundian.

Yang pasti, ketegasan dan kehebatan pemikiran revolusi bukanlah satu-satunya penyebab mengapa rakyat Iran terus menyokong Ahmadinejad sekali gus menolak pencabar terdekatnya, Mir-Hossein Mousavi, 68, serta kelompok kepimpinan reformis yang lain.

Malah, tambah mengagumkan, beliau bukanlah daripada sebuah keluarga bangsawan, bukan juga seorang tokoh ulama dan juga ahli politik gah pada awal kemunculannya.

Mengenali Ahmadinejad yang kini merupakan pemimpin Islam yang digeruni dan hangat diperkatakan di arena antarabangsa itu, beliau hanyalah anak kepada seorang tukang besi yang dilahirkan pada 28 Oktober 1956 di Aradan, sebuah kawasan di luar Tehran.


TOKOH Revolusi Iran, Ayatollah Khomeini menjadi mentor Ahmadinejad.


Beliau memperoleh ijazah pertama dari Universiti Sains dan Teknologi Tehran dalam bidang Kejuruteraan Awam dan kemudiannya memperoleh ijazah doktor falsafah dalam Kejuruteraan Pengangkutan dan Perancangan dari universiti yang sama. Beliau juga seorang yang sangat sederhana dan warak.

Ahmadinejad datang dari kedudukan keluarga yang sederhana dengan ayah dan emaknya merupakan penyokong kuat Revolusi Islam Iran pada tahun 1979 yang dipimpin oleh Ayatollah Ruhollah Khomeini.


AHMADINEJAD terus kekal sebagai Presiden bumi Iran walaupun AS, sekutunya dan media Barat melontarkan pelbagai berita negatif kepadanya.


Ayatollah Khomeini menjadi pemimpin agung Iran pertama apabila berjaya menjatuhkan monarki Pahlavi yang menindas golongan ulama melalui polisi antiulama manakala Revolusi Putih banyak mempengaruhi gaya kepimpinan Ahmadinejad.

Hakikatnya, figura revolusioner yang sangat diingati dunia inilah yang menjadi mentor kehidupan dan kepimpinan Ahmadinejad yang juga acap kali dilihat bagaikan seekor singa garang apabila mengaum tanpa rasa takut terhadap musuh-musuhnya terutama negara-negara yang menindas masyarakat Islam.


SOKONGAN isteri, Parvin menguatkan semangat Ahmadinejad untuk menjadi Presiden unggul Iran.


Selain tegas melawan anasir-anasir yang menggugat Islam, Ahmadinejad membebaskan dirinya daripada lingkungan kebesaran harta dunia. Beliau membuktikan erti pemimpin berjiwa rakyat yang sejati seperti mana yang dipraktiskan oleh Ayatollah Khomeini.

Semasa Ayatollah Khomeini bergelar pemimpin nombor satu Iran, pernah berlaku bekalan elektrik terputus di kediamannya. Pembantunya kemudian segera membawa minyak ke rumah Ayatollah Khomeini untuk menghidupkan janakuasa bagi membolehkan sistem pemanas berfungsi.


KETEGASAN keputusan dan kesederhanaan hidup Ahmadinejad memikat jutaan rakyat Iran untuk terus setia dengannya.


Namun, Ayatollah Khomeini menolak. "Kalau rakyat menggigil kesejukan, mengapa pula aku harus bersenang-senang memasang pemanas," ungkapnya.

Itulah yang diteladani Ahmadinejad sekali gus menjadikan dia seorang pemimpin yang sangat dikagumi.

Jauh daripada mengagumi jentera Ford, Mercedes atau BMW, Ahmadinejad hanya menggunakan sebuah kereta Paykan buatan Iran.

Dalam kalangan penyokongnya, Ahmadinejad dilihat sebagai seorang lelaki yang sangat ringkas dengan cara hidup sederhana. Sewaktu pertama kali dipilih menjadi presiden pada tahun 2005, lelaki itu seboleh-bolehnya mahu hidup seperti biasa dengan tinggal di kediaman sendiri di Tehran.

Namun, gesaan daripada pasukan keselamatan menyebabkan dia bersetuju berpindah tinggal di istana presiden. Itu pun jauh daripada imej kekayaan yang biasanya dirujuk kepada presiden sebelumnya, Ali Akbar Hashemi Rafsanjani. Sebaik sahaja berpindah, Ahmadinejad mengarahkan karpet istana ditukar.

"Presiden mengarahkan karpet-karpet mewah dan antik Persian digulung dan dihantar ke muzium untuk dijadikan bahan pameran. Beliau meminta karpet murah sebagai ganti di kediaman istana," cerita salah seorang pembantunya.

Ahmadinejad berkahwin dengan Parvin dan mempunyai tiga orang anak iaitu dua lelaki dan seorang perempuan.


LOJI kuasa nuklear Iran yang menjadi kontroversi kerana dikutuk hebat AS.


Apa yang menariknya mengenai pemimpin Islam itu adalah, beliau kerap berpakaian baju-T dan jaket berbanding jubah hitam yang dipakai oleh pemimpin-pemimpin ulama Iran.

Paling dikagumi oleh dunia Islam, beliau juga merupakan pemimpin negara Islam yang bebas rasuah, tidak mempunyai pakatan sulit, mengamalkan ajaran Islam dengan baik, malahan merupakan seorang yang soleh dan amat menjaga pergaulan.

Ahmadinejad juga mempunyai komitmen yang tinggi kepada negara, bangsa dan ideologinya sehingga dia tidak pernah panik menangani ancaman asing khususnya AS.

Bisnes kondom laris di Vietnam

Masyarakat Vietnam tidak malu membeli kondom secara terbuka dan mereka mahukan kondom yang lebih sofistikated serta varieti.


HOANG LONG di depan butik kondomnya di Ho Chi Minh City, Vietnam.


DI sebalik pembangunan pesat perniagaan Ho Chi Minh City, Vietnam, ramai orang yang membeli kondom murah di gerai-gerai di tepi jalan, kedai ubat atau di pasar raya.

Tetapi dua beradik ini membuka sebuah butik kondom yang mewah di bandar ini memberitahu, pelanggan kini mahu lebih banyak pilihan dan kondom yang lebih sofistikated. Pembukaan butik itu juga adalah usaha untuk menimbul kesedaran tentang seks yang lebih selamat dalam kalangan masyarakat di sebuah negara yang konservatif dari segi sosial dan pendidikan seks adalah tabu.

"Menjalankan perniagaan ini adalah bagus untuk masyarakat dan orang awam," kata Nguyen Khanh Phong, 28.

"Kami berjumpa dengan pihak berkuasa dan meminta kebenaran. Mereka memberi kelulusan kepada kami," tambah adiknya yang berusia 21 tahun, Nguyen Hoang Long.

"Kini semuanya berjalan mudah dan lancar," katanya yang menjalankan bisnes itu lebih dua bulan. Butik tersebut kini berkembang maju.

Kedai yang dipanggil Volcano itu cuba untuk tidak merahsiakan apa yang dijual. Kotak-kotak kondom berpaksikan pintu-pintu cermin bagi kedai kecil, dinding-dinding itu dicat merah muda, disusun dengan kondom-kondom daripada merentasi Asia.

"Kami membelanjakan sejumlah wang yang banyak," kata Phong.

Mahal

Jenama Fuji Shock dari Jepun adalah salah satu daripada kondom yang paling digemari dalam kalangan pelanggan walaupun ia berharga lima kali ganda lebih mahal berbanding sekotak kondom VIP buatan tempatan. Ia dijual pada harga VND5,000 (RM0.99)

"Bila mereka bawa keluar benda ini, ia seperti gula-gula coklat," kata Phong sambil menunjukkan pembalut kondom yang berkilat.

Satu lagi kondom Jepun yang dipamerkan mempunyai satu cahaya apabila lelaki berejakulasi.

"Pelanggan kami amat gemar rekaan kondom dari Jepun," tambah Long.


KONDOM dari Jepun dicipta dengan pelbagai cita rasa dan lebih sofistikated.


Sementara itu, dengan rokok di tangan, Sanh, 60, duduk di atas sebuah bangku merah rendah di depan sebuah almari yang dipenuhi dengan kotak kondom VIP. Pelanggan pula mencari sesuatu yang lebih eksotik untuk kondom X-Men. Dijual pada harga VND10,000 (RM1.98) setiap kotak, kondom-kondom itu dilengkapi dengan gula getah.

Sanh berkata, vendor-vendor di tepi jalan membuatkan proses menjual kondom lebih mudah, terutamanya di kalangan penunggang motosikal yang berhenti dan membuat pembelian mereka dengan cepat.

"Kami menjualnya dengan banyak sekali," kata Sanh sambil menambah bahawa dia tiada masalah dengan pihak berkuasa kerana tidak menjual barangan larangan seperti DVD lucah, permainan seks palsu, dadah antimati pucuk.

Akhir bulan lalu, pihak berkuasa di Hanoi merampas sebuah beg yang dipenuhi dengan agen afrodisiak (penaik syahwat) dan alat permainan seks tersembunyi dalam sebatang pokok sepanjang jalan yang sememangnya diketahui umum adalah satu perniagaan haram.

Pornografi

Membuat dan mengagihkan pornografi dan melanggar etika budaya jualan juga boleh dikenakan hukuman penjara hingga 15 tahun di Vietnam.

Namun, sesetengah bahan masih mudah diperoleh.

Di sebuah kedai ubat Cina diberi nama HCMC, seorang penjual bergegas ke belakang kedai. Dalam keadaan berhati-hati dia menunjukkan sebuah alat permainan seks dipanggil dildo yang beroperasi menggunakan bateri. Alat itu mengeluarkan warna ungu dan merah semasa digunakan.

Long dan Phong yang hanya tertumpu pada jualan kondom, bagaimanapun berkata, ia adalah satu pasaran cukup besar di sebuah negara di mana pandangan masyarakat terhadap seks sedang berubah, terutama dalam kalangan belia.

"Masyarakat Vietnam sangat terbuka mengenai hal ini," kata Long.

Mereka ingin menawarkan pelanggan kondom yang pelbagai cita rasa.


RAKYAT Vietnam semakin terbuka membincangkan tentang seks termasuk isu kondom.


Dua beradik itu berkata, pelanggan mereka bersedia untuk membayar lebih banyak wang untuk kualiti dan perkhidmatan. Pembeli juga kerap menerima diskaun. Jika pelanggan malu membeli, Long dan Phong menawarkan perkhidmatan penghantaran.

"Untuk membuka kedai ini kami membelanjakan lebih daripada VND20 juta (RM3,958), tetapi jualan minggu pertama sudah mencecah VND1.5 juta (RM296) dan pendapatan kini melebihi VND10 juta (RM1,979) setiap minggu," ujar Long.

Pasangan itu juga merancang membuka kedai kondom baru bulan depan di HCMC dan berdekatan kawasan Tay Ninh.

Perniagaan boleh jadi baik, tetapi dalam sebuah bandar di mana papan-papan iklan mengingatkan bahaya HIV/AIDS, mereka berkata, mereka sebenarnya masih berkhidmat untuk sesuatu yang disokong oleh pihak berkuasa.

"Kerajaan menggalakkan kami untuk menjualnya," kata Long. - AFP